Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Dadah boleh musnah institusi keluarga

Posted by epondok di Mac 7, 2015


Penggunaan dadah masih menjadi masalah besar pada waktu ini. Dalam Islam, beberapa dalil dengan terang merujuk dadah itu dilarang keras kerana ia akan membinasakan hidup dan masa depan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat hal yang memudaratkan.” (Riwayat Imam Ahmad)
Secara amnya, kemudaratan tidak patut dilakukan kepada diri sendiri atau orang lain dan jangan pula melakukan sesuatu yang berguna kepada diri sendiri, tetapi mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Jelas sekali Allah SWT serta Rasul-Nya menginginkan manusia menjauhi perkara boleh membinasakan diri.

Ini termasuklah menjauhkan diri daripada penggunaan dadah. Meskipun ada larangan yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, namun penggunaan dadah masih menjadi masalah besar yang perlu ditangani bersama.

Majoriti penagih Melayu

Terdapat permintaan yang cukup besar daripada penagih dadah menyebabkan banyak percubaan untuk menyeludup bahan itu ke dalam negara sedangkan penyeludup berhadapan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada akhir tahun 2014, pihak polis berjaya melakukan beberapa serbuan dan melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang dianggarkan berjumlah RM8.5 juta. Dari segi penagih pula, 77 peratus daripada lebih 20,00 penagih yang direkodkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada 2013 adalah orang Melayu.

Manakala 60 peratus daripada mereka dalam kategori remaja dan belia dari umur 13 hingga 39 tahun. Angka-angka ini menunjukkan penagihan dadah masalah besar umat Islam yang perlu dicegah sedaya upaya kerana jika tidak, nescaya hancurlah masa hadapan generasi akan datang.

Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk menangani gejala dadah termasuk pembinaan pusat pemulihan bagi membantu memulihkan penagih. Kerugian yang ditanggung akibat hilangnya golongan muda dan belia yang terjebak perangkap dadah sememangnya tidak ternilai.

Wujud keluarga harmoni

Oleh itu, kita seharusnya mengambil langkah awal untuk mencegah anak dan ahli keluarga daripada terbabit dengan penagihan dadah. Mulakan dengan ahli keluarga sendiri terlebih dahulu kerana mereka adalah tanggungjawab yang perlu diberikan keutamaan. Apabila berjaya memelihara ahli keluarga, barulah masyarakat secara amnya terlindung daripada masalah dadah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 29)

Antara langkah yang boleh diambil untuk mencegah ahli keluarga daripada terbabit penagihan dadah, ibu bapa perlu menjalankan peranan dengan memberikan kasih sayang dan perhatian secukup terutama mereka yang masih kecil dan muda remaja.

Kita perlu mewujudkan suasana kekeluargaan yang harmoni, mendidik dengan disiplin, mengawasi gerak geri anak, bekerjasama dengan pihak sekolah, membelai anak dengan sentuhan dan kata-kata mesra, memberi penghargaan, perhatian dan dorongan, serta meluangkan masa menjalankan aktiviti bersama.

Pihak kerajaan mahupun swasta perlu mengadakan program pendidikan berkala dan terancang bagi membangkitkan kesedaran remaja dan belia supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Program pendidikan itu perlu dilaksanakan di peringkat awal perkembangan anak dan di peringkat sekolah.

Kerajaan dan anggota masyarakat perlu berganding bahu membanteras penyalahgunaan dadah. Anggota masyarakat yang mengetahui kegiatan mencurigakan perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan segera.

Penyalahgunaan dadah hanya akan membawa banyak kemudaratan kepada diri penagih, keluarga, masyarakat dan negara. Penyalahgunaan dadah akan menghancurkan keharmonian sesebuah keluarga. Jika ketua keluarga terjebak kegiatan itu, ia akan menyebabkan isteri serta anak hilang tempat bergantung.

Ia juga akan menimbulkan banyak masalah jenayah dalam masyarakat termasuk mencuri, merompak, memeras ugut, mahupun membunuh. Penagih dadah sebenarnya telah menempah maut dan secara perlahan-lahan membunuh diri mereka sendiri.

Marilah kita jalankan peranan dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga supaya tiada satu pun daripada ahli keluarga kita terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: