Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Amal sunah Rasul mudahkan laluan ke syurga

Posted by epondok di Mac 6, 2015


Oleh Hasliza Hassan

Melakukan perubahan memerlukan semangat yang kuat kerana selain kelemahan diri, pengaruh luar boleh menjadikan hasrat untuk berubah terbantut atau hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Cabaran lebih besar apabila ingin memulakan langkah menuju jalan ke syurga.

Itu antara inti pati perbincangan pada forum perdana bertajuk ‘Jalan Ke Syurga’
Pendakwah terkenal, Syed Norhisyam Tuan Padang, berkata ilmu penting untuk memandu tindak tanduk manusia kerana melalui ilmu seseorang itu dapat menilai sesuatu perkara dan memastikan mereka berada pada landasan ajaran agama yang sebenar.

Ilmu, pilih kawan dorong ke syurga

Katanya, ilmu juga membantu seseorang menentukan pengaruh baik yang akan membawa kepada kebaikan selain pemilihan kawan yang baik sebagai pendorong untuk istiqamah dalam mencapai impian menjadi penghuni syurga.

“Rasulullah SAW bersabda, bagi sesiapa yang tempuh satu jalan untuk mencari ilmu, dia sedang menempuh jalan ke syurga. Ini kerana ilmu akan memandu manusia untuk ke syurga, manakala kawan yang tidak baik akan membawa kita jauh daripada syurga,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang memimpin diri untuk melakukan kebaikan, sifat istiqamah perlu untuk menangkis pengaruh yang boleh menjejaskan usaha itu kerana seseorang yang ingin berubah ke arah kebaikan pasti berdepan pelbagai ujian.

Syed Norhisyam berkongsi kisah sahabat Rasulullah SAW, Hanzalah, yang bersemangat untuk mencari jalan ke syurga, namun berdepan cabaran mengekalkan semangat itu.

Diriwayatkan, Hanzalah berjumpa Abu Bakar dan memberitahunya: “Wahai Abu Bakar, Hanzalah sudah munafik kerana apabila duduk di majlis bersama Rasulullah SAW, beliau nampak syurga dan neraka tetapi apabila kembali kepada keluarga serta dalam kalangan sahabat, beliau lupa segala-galanya. Abu Bakar berkata: Jika begitu, Abu Bakar juga sudah jadi munafik. Mereka berjumpa Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: Jika sesiapa dapat mengekalkan iman walau di mana berada, nescaya malaikat akan bersalaman dengannya.”

Amal sunah Rasulullah

Namun, tidak dinafikan sifat manusia memerlukan peringatan, justeru cara terbaik untuk mengekalkan usaha melakukan kebaikan secara istiqamah ialah dengan mengamalkan sunah Rasulullah SAW. Ia boleh dimulakan dengan sunah yang kecil seperti mengucapkan salam serta membudayakan memberi senyuman.

Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata kecantikan dan keindahan syurga menjadikan semua hati tertarik untuk menjadi ahli syurga.

Katanya, walaupun tiada siapa dapat membayangkan keadaan syurga, namun terdapat gambaran mengenai syurga yang diceritakan termasuk dalam al-Quran serta sunah Rasulullah SAW sebagai pemangkin untuk manusia menjalani kehidupan yang membawa mereka menuju jalan ke syurga.

“Imam Malik ditanya oleh sahabat bagaimana bentuk syurga dan Imam Malik menjawab, yang ada di muka bumi ini tidak boleh dikatakan bahawa itulah syurga. Jika hendak diceritakan pun, orang akan kata tidak masuk akal dan hati tidak boleh bayangkan kerana syurga itu hebat.

“Bagaimanapun, jika ditanya semua akan melahirkan keinginan untuk menjadi ahli syurga. Sebab itu kita tidak lihat banyak perbincangan mengenai neraka kerana sebut saja neraka, ia sudah sangat menakutkan,” katanya.

Dosa halang masuk syurga

Beliau berkata, sifat syurga ada tiga dan ia selari dengan fitrah dimiliki manusia iaitu sukakan kepada kehijauan seperti taman indah dipenuhi pohonan hijau, ingin berteman atau mempunyai pasangan dan suka kepada makanan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) kebun-kebun dan buah anggur. Dan perawan yang sebaya umurnya. Dan gelas yang penuh berisi dengan minuman.” (Surah Naba’, ayat 31-34)

Dr Mohd Izhar berkata, bukan semua boleh mencapai syurga kerana ada dosa menghalang seseorang itu masuk syurga iaitu hati yang ada padanya perasaan takbur dan lelaki dayus yang membiarkan isteri serta anak melakukan perkara menyalahi hukum agama.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: