Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2015

Jamuan Laksa untuk derma Masjid Pondok Tunjung, Kota Bharu

Posted by epondok di Mac 31, 2015

Dijemput muslimin dan muslimat untuk majlis jamuan laksa dalam mengutip sumbangan derma bagi baik pulih bumbung Masjid Pondok Tunjung, Kota Bharu

 

Tarikh :  4 April 2015 (Sabtu)

Masa   : 11 pagi hingga 4 petang

Tempat : Pondok Tunjung, Kota Bharu

 

Assalamu‘alaikum wbt

MEMOHON SUMBANGAN “MEMBAIK-PULIH BUMBUNG MASJID” PONDOK TUNJONG,

Dengan segala hormatnya kami Jawatan Kuasa Masjid Pondok Tunjong (Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah) sukacita memaklumkan bahawa “Sebahagian besar atap/bumbung masjid kami” telah mengalami kebocoran yang sangat perlu kepada usaha pembaikian.

Untuk makluman tuan, masjid pondok tersebut telah didirikan pada tahun 1984 dengan cara dan corak pembinaan yang lama. Sekarang telah berusia 30 tahun dan mengalami masalah seperti tersebut diatas tadi. Jawatan kuasa telah bermesyuarat dan memutuskan untuk membaik-pulih memandangkan masalahnya yang sangat serius. Anggaran perbelanjaan adalah hampir RM70,000.

Pada masa ini, pondok kami mempunyai 30 pelajar tetap yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Kebanyakannya dari golongan miskin dan juga anak-anak yatim. Juga menyantuni beberapa keluarga serta sejumlah warga emas.Masjid juga dimakmurkan oleh penduduk sekitarnya melalui solat berjemaah setiap waktu di samping kuliah-kuliah yang berterusan.

Justeru itu, kami dengan berbesar hati :
Memohon sumbangan/derma/zakat dari pelbagai pihak demi menjayakan misi yang suci ini.Sumbangan Ikhlas dari YBhgDato’/Datin /Tuan/ Puan /Muslimin /Muslimat boleh disalurkan terus melalui akaun kami di :

Nama Penerima : MADRASAH AL-FUNUNIAH AL-TUNJUNIAH
No.Akaun : 5531-0456-0280
Nama Bank : MAYBANK KOTA BHARU KELANTAN

Sebarang pertanyaan sila hubungi :
Ust. Mohd Nasharuddin Bin Mohd Abdul Ghani H/P: 019-985 9887
Ust. SrHj Mat Daud Bin Deraman (Pengerusi) H/P: 019-981 5656

Bersama ini disertakan “salinan surat perwakilan pondok bagi pihak Majlis Agama Islam Perlis ” untuk membuat kutipan zakat & mengagihkan kepada asnaf yang ditentukan. Resit Rasmi bayaran zakat akan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Perlis, (MAIPs). Salinan Resit Rasmi pembayaran zakat turut disertakan. Sila lihat lampiran 1 & 2. Manakala gambar-gambar masjid (bunmbung lama dan baru) ditunjukkan dalam lampiran 3-4

“Dan perumpamaan orang yang meng’infaq’kan hartanya untuk mencari redha Allah dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat. Maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”.
[Al-Baqarah 2: 265]
Diatas kerjasama serta sokongan pihak tuan untuk bersama kami menjayakan misi diatas, kami dahului dengan ucapan jazakumullahukhairan kathira

Posted in Pondok Tunjung, Program Terbaru | Leave a Comment »

Miliki jiwa besar bina kekuatan diri

Posted by epondok di Mac 31, 2015

Oleh Mazlina Ismail

Ajaran Islam membawa dan merubah diri daripada ‘zero to hero’, mentransformasikan manusia daripada individu biasa kepada luar biasa. Pada zaman jahiliah, masyarakatnya seperti belalang di padang pasir yang tiada matlamat hidup, namun kedatangan Islam menjadikan mereka masyarakat hebat seperti singa.

Ini digambarkan melalui ungkapan ‘ahli ibadah di malam hari, singa di siang hari’ dengan perjuangan mereka menyebarkan dakwah Islam pada siang dan tekun beribadah pada sebelah malam. Ia juga menyaksikan sejarah manusia melalui didikan dan tarbiah daripada Baginda Rasulullah SAW.

Hasilnya, mereka berjaya menguasai dua kerajaan besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi. Kerajaan Rom mula jatuh pada 14 Hijrah, manakala Parsi sekitar 17 Hijrah.

Begitulah penjelasan Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm, jam 10.00 pagi Isnin lalu ketika membicarakan tajuk ‘Individu Hebat Dalam Rumah Tangga’.

Untuk menjadi orang yang hebat, Islam mengubah hati dan akal individu seseorang sehingga mereka mampu menguasai diri, akhirnya mengalahkan musuh mereka juga. Bagaimana mungkin menjadi manusia hebat jika diri belum mampu menghindari daripada melakukan perkara mungkar.

Muhammad mengajak mengimbau peristiwa berlaku sekitar 3000 tahun lalu ketika awal penemuan besi iaitu zaman peralihan antara gangsa dan besi. Ia adalah kisah Talut dan Jalut yang dirakamkan dalam al-Quran (surah al-Baqarah, ayat 246 hingga 252).

Ketika itu, Palestin dikhabarkan mempunyai sumber besi yang banyak sehingga seorang raja bernama Raja Jalut berhasrat menawannya bagi menguasai sumber besinya untuk membuat banyak senjata. Lalu Allah SWT mengutus seorang bernama Talut untuk memimpin Bani Israel.

Talut telah berpesan kepada tenteranya seperti mana yang dirakamkan dalam al-Quran: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka sesiapa antara kamu meminum airnya, dia meminumnya, kecuali dengan seceduk tangan. Maka dia adalah pengikutku.” (Surah al-Baqarah, ayat 249)

Ujian ketahanan diri

Walau bagaimanapun, apabila tiba di sungai itu, ramai pengikut yang ingkar perintah dan tidak mengendahkan larangannya. Sebenarnya di sini bukan masalah minum air banyak atau sedikit, tetapi ujian daripada Allah SWT untuk melihat siapakah yang benar-benar mempunyai ketahanan diri yang kuat.

Sehinggalah apabila mereka bertemu tentera Jalut, kelompok tentera yang meminum air banyak tadi merasakan tidak mampu melawan tentera Jalut yang sebegitu ramai, tetapi tentera yang setia dengan Talut dan meminum hanya seceduk tangan mempunyai keyakinan tinggi mereka mampu mengalahkan musuh.

Apabila peperangan meletus, Nabi Daud yang pada ketika itu masih muda remaja yang turut berperang bersama tentera Talut berjaya membunuh Jalut.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah ini ialah jika kita berjiwa besar, kita mampu mengalahkan musuh walaupun bilangan mereka lebih ramai. Peristiwa ini mengajar pentingnya kekuatan diri dan kawalan nafsu dalam hidup ini.

Menjadi orang hebat perlu melakukan beberapa perkara termasuk mengehadkan kemahuan bagi melatih supaya berdisiplin, memiliki kekuatan akal dan hati yang kuat. Contohnya, mengehadkan diri daripada makan banyak.

Banyak amalan dalam Islam yang mendidik kita mendisiplinkan dari dengan bersifat sederhana. Contohnya, pada bulan Ramadan kita tidak dibenarkan makan pada siang hari. Itu had yang ditetapkan oleh Allah SWT bertujuan melatih kita untuk mengawal diri.

Walhal, jika kita makan ketika berseorangan, tiada siapa pun yang tahu tetapi kita tidak melakukannya kerana mampu mengawal diri. Begitu juga dalam rumah tangga, kita perlu mengehadkan kemahuan membeli-belah. Jangan membeli apa sahaja yang diinginkan tanpa ada keperluan.

Cara disiplinkan anak

Sebaliknya, hadkan dan paksa diri menabung. Begitu juga dalam mendidik anak. Orang tua-tua dahulu mengehadkan anak mereka bermain supaya pulang sebelum Maghrib. Itu disiplin yang cuba dididik oleh orang dahulu terhadap anak supaya mereka menjadi orang yang berdisiplin dan mampu mengawal diri.

Membina kekuatan diri, hati perlu berjiwa besar mengambil tanggungjawab. Suami perlu berjiwa besar memberi nafkah untuk keluarga kerana tanggungjawab itu terletak kepada suami walaupun isterinya bekerja. Mengambil tanggungjawab dan menunaikan tanggungjawab adalah latihan menjadikan kita orang hebat.

Tanggungjawab suami menyediakan keperluan keluarga sementara tanggungjawab isteri menguruskan rumah tangga. Apabila masing-masing menunaikan tanggungjawab, rumah tangga akan rukun, damai dan ahlinya hidup harmoni.

Orang yang kuat ialah yang mampu menahan marah seperti mafhum hadis, orang yang kuat bukanlah orang yang menang kerana bergusti, tetapi orang itu mampu mengawal dirinya apabila dalam keadaan marah. Sementara sabar adalah sifat yang cantik dan sifat itu jika dimiliki menjadikan seorang itu hebat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Doa ibu mustajab

Posted by epondok di Mac 30, 2015

Seorang ibu perlu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Ibu tidak boleh berasa lemah atau berputus asa mendoakan yang lebih baik untuk anak.

Sekalipun menghadapi kesukaran dan kesedihan, janganlah meletakkan diri sebagai ibu yang lemah untuk terus berdoa demi kebaikan. Bagaimanakah untuk seorang ibu itu terus bersemangat berdoa tanpa rasa bosan atau putus asa?

Allah SWT menyeru hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya, namun tidak ramai yang menyahut seruan itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul-rasul itu (ialah kerana) sesungguhnya mereka itu sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh pengharapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk dan taat kepada Kami.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 90)

Terlalu banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam kita berdoa. Apabila kita berasakan banyak perkara baik yang belum dilakukan, maka perasaan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan akan timbul dari dalam diri.

Doa ibu penuh pengharapan

Bagi mendapat nikmat dan berkat dalam berdoa, perlulah meletakkan rasa khusyuk yang penuh pengharapan kepada Allah SWT bahawa hanya Dia Yang Maha Berkuasa memberikan segala-galanya. Ingatlah Allah SWT sentiasa ada dan Maha Mendengar rintihan hamba-Nya yang berdoa khususnya doa seorang ibu.

Doa ibu sentiasa memberi harapan dan kekuatan kepada anak. Ustazah Norhafizah Musa berkongsi kehebatan doa seorang ibu melalui rancangan Usrati di IKIMfm yang bersiaran setiap Khamis, jam 5.15 petang.

Doa ibu adalah dengan kesempurnaan dan kehebatan kasih sayang yang terdapat pada dirinya. Bayangkan jika kasih sayang yang sepatutnya ada pada seorang ibu itu hilang, maka anak akan dipukul, syariat Islam tidak dididik dengan sempurna dan akhirnya mereka terbiar dengan kehidupan tanpa bimbingan yang betul.

Ibu bapa yang kasih dan sayang kepada anak sudah pasti tidak mahu melihat anaknya diazab kerana tidak mengenal Allah SWT. Bagaimanakah yang dikatakan sebagai kasih sayang seorang ibu kepada anak?

Berilah pendidikan agama supaya mereka mengenal Allah SWT. Mendidik anak perlu sabar dan jangan sekali-kali berputus asa dengan kerenah mereka kerana melalui kesabaran itu Allah SWT akan memberi ganjaran apa yang diusahakan.

Norhafizah menyarankan ibu bapa sentiasa memberi nasihat kepada anak walaupun mereka tidak menghindarkan nasihat itu. Ada kala anak tidak menunjukkan reaksi terhadap nasihat yang diberikan kepada mereka kerana mereka masih belum matang untuk menilainya.

Namun, apabila mereka telah matang dan tahu menilainya, ketika itulah mereka akan sedar bahawa nasihat diberikan adalah demi kebaikan. Oleh itu, ibu bapa jangan sekali-kali berputus asa memberikan nasihat kepada anak dan sentiasa berharap nasihat itu akan memberikan panduan kelak. Doa ibu menjadi kuat dan mustajab kerana kasih sayang dalam hatinya adalah kerana Allah SWT.

Jangan jadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk tidak mempunyai ruang bersama anak. Setiap minit yang terluang cuba mendalami perasaan, kehendak dan keperluan anak. Amalkan membelai dan memeluk anak dengan rasa penuh kasih kasih sayang di samping bergurau senda dengan mereka.

Dorong anak dengar kata ibu bapa

Ini bukan sahaja akan membangkitkan rasa hormat anak kepada ibu bapa, malah akan mendorong mereka menjadi anak yang mendengar kata ibu bapa. Norhafizah menyarankan kepada ibu bapa mengungkapkan sayang kepada anak ketika berbual, terutama dalam berdoa selepas solat berjemaah dengan mereka.

Doa ibu bapa juga merangkumi keikhlasan dan ketulusan. Ada kala seseorang itu berdoa untuk kebaikan orang lain atas sebab mendapatkan kebaikan pada dirinya. Akan tetapi doa ibu bapa adalah sama sekali daripada hati yang tulus ikhlas untuk kebaikan anak, bukan mendapat balasan atas kejayaan yang diperoleh.

Seorang ibu mendoakan kebaikan kepada anak sebelum mereka dilahirkan di dunia lagi, mengharapkan diberi perlindungan oleh Allah SWT. Sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan doa seorang ibu terhadap anaknya demi kebaikan di dunia dan akhirat.

Doa ibu adalah doa yang bersatu antara hati, lidah dan fizikal. Hati yang sentiasa berharap kepada Allah SWT, lidah yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan menasihati anak, manakala fizikal berusaha serta berkorban melakukan yang terbaik untuk anak.

Selain itu, doa ibu terdapat nilai kesungguhan sehingga menitiskan air mata demi untuk kebaikan anak. Di samping itu, ibu tidak pernah berhenti berdoa untuk kebaikan anak walaupun hatinya dilukai oleh anak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hidup biarlah 
cari reda Allah

Posted by epondok di Mac 29, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Dalam hidup bermasyarakat, kita tidak boleh lari daripada pujian, kejian dan umpatan terhadap setiap tindakan atau perbuatan yang dilakukan. Dengan kata lain, sikap menjaga tepi kain orang lain memang berlaku. Untuk itu, penting bagi kita mengetahui dan menetapkan bahawa setiap perbuatan itu mesti berlandaskan syariat.

Ini supaya hidup kita yang sementara di atas muka bumi sentiasa mencari reda Allah.

Membicarakan tajuk ini, marilah kita mengikuti kisah Luqman al-Hakim iaitu seorang ahli hikmah. Suatu hari, Luqman ingin pergi ke pasar dan telah dicatat segala peralatan dan barang keperluan yang ingin dibeli. Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan masyarakat dan pandangan manusia, Luqman turut membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai.

Senario pertama:

Ketika mereka tiba di sebuah perkampungan dengan si anak menunggang keldai tersebut dan Luqman menarik keldai dengan berjalan kaki. Orang ramai mula memerhatikan mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama seekor keldai.

“Mengapa kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki? Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadab dan tercela anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai! Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua. Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum kepada dia?”

Senario kedua:

Dalam perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan. Kali ini Luqman pula menunggang keldai.

Ketika itu, semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Mereka mula mencela dan berkata: “Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak dibiarkan berjalan kaki menarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu kepenatan sepanjang perjalanan. Si bapa lebih besar daripada kanak-kanak itu dan sepatutnya si anak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut!”

Senario ketiga:

Setelah melepasi kampung kedua dan berfikir beberapa ketika, Luqman berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, kali ini kita menunggang keldai ini bersama-sama sehingga tiba di pasar.”

Namun, setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar berkenaan, tiba-tiba orang ramai mula bersuara, “Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah seksanya keldai itu membawa beban berganda!” Mereka berkata kepada Luqman dan anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”

Senario keempat:

Kali ini Luqman dan anaknya hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat, penduduk di situ berkata: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat sedia ada!”

Kesimpulannya, kalau nak ikut kata manusia, serba salah dibuatnya. Orang yang berakal tidaklah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.

Berbalik kepada isu hudud, hendaklah kita umat Islam menyokong pelaksanaan hukum itu dan yakin dengan janji Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)

Jangan kita bimbang dengan penentangan manusia.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Utamakan kebersihan, kesihatan dalam pemakanan

Posted by epondok di Mac 28, 2015

KITA sememangnya cukup obses dengan amalan pemakanan yang mengikut sunnah. Apa sahaja yang diperkatakan berkaitannya, lebih-lebih lagi produk-produk melibatkan makanan sunnah yang banyak berada di pasaran, pasti kita akan berusaha untuk memilikinya.

Bahkan aspek istiqamah dalam menjadikan ia satu amalan harian jatuh di tangga kedua, malah bukan satu persoalan penting kerana sikap itu wujud disebabkan setiap daripada Muslim mengetahui akan kelebihan dan kebaikan pengambilannya yang menjadi ikutan sejak 1, 400 tahun lalu.

Ini sejajar mengapa Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai rasul terakhir-Nya iaitu untuk membawa rahmat kepada seluruh isi alam ini. Di samping membawa perkara yang disifatkan sebagai penyempurnaan akhlak manusia.

Di antara perbuatan baginda yang perlu diikuti dan dihayati bersama adalah daripada aspek etika pemakanan ataupun tatacara pemakanan sihat.

Dalam hal itu, Rasulullah SAW merupakan seorang yang amat mementingkan khasiat dan kualiti makanan yang diambil, sekali gus manfaat daripadanya.

Ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang bermaksud: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung), melainkan jika ia tidak dapat mengelak. Maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Ditambah pula, etika Rasulullah SAW itu selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan. (al-A’arf: 31)

Ketaksuban umat Islam itu diakui Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Pakar pemakanan Islam itu menyatakan bahawa sikap itu wujud kerana umat Islam di merata dunia mahu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan dalam kehidupan mereka.

“Begitulah juga dalam soal pemakanan (atau minuman), kita akan berusaha mengikuti apa yang menjadi amalan Rasulullah SAW.

“Sebab kita tahu setiap makanan atau cara Nabi makan itu ada kebaikan. Contohnya, Nabi SAW banyak makan buah dan terbukti daripada segi saintifik, ia sesuai dengan makanan kesihatan,” kata Mohd. Izhar Ariff yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Panel Halal Selangor.

Pada masa sama, Mohd. Izhar Ariff berkata, keterujaan umat Islam itu telah mendorong kepada pertumbuhan sebegitu banyak syarikat menjual produk berasaskan makanan sunnah dalam pelbagai bentuk.

Berdaya saing

Syarikat tersebut sama ada berskala kecil atau sederhana bukan hanya bersaing menawarkan produk yang terbaik tetapi menggunakan pelbagai pendekatan bagi menjadikan produk mereka lebih berdaya saing.

Ekoran daripada itu, banyak makanan atau minuman sunnah yang sebelum ini sukar didapati atau hanya ada mengikut musim tertentu, kini lebih mudah diperoleh, bahkan dijual dengan harga yang berpatutan.

Antara yang popular adalah kurma, minyak zaitun, susu kambing, madu, habatus sauda dan buah delima.

Selain dijadikan makanan harian, ia juga menjadi pilihan yang sangat digemari dalam menu diet sihat masa kini.

“Saya tidak menyalahkan ikhtiar pengusaha syarikat tersebut kerana ia memudahkan masyarakat Islam mengamalkan sunnah Nabi dalam soal makanan (atau minuman),” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa pengusaha syarikat itu perlu memastikan setiap apa yang mereka dakwa itu seharusnya berasaskan dalil yang sahih.

Ini kerana, tambahnya ia berkait rapat dengan sifat amanah yang cukup dipentingkan oleh Islam sendiri.

“Selain itu, aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan juga perlu menjadi keutamaan, sama ada semasa dalam proses penyediaan, pembungkusan mahupun penghantaran kepada pembeli.

“Ini kerana, saya khuatir mungkin disebabkan kecuaian terhadap aspek tersebut akan mengakibatkan produk tersebut tercemar atau kotor dan akhirnya, menyebabkan pengguna mengalami keracunan atau lebih teruk lagi, ia membawa kepada kematian,” katanya.

Kegagalan para pengusaha syarikat tersebut akan memberi gambaran atau imej yang tidak baik kepada amalan pemakanan sunnah itu.

“Hal ini turut membuka peluang dan ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya melabelkan imej secara negatif, walaupun yang bersalah itu adalah pelakunya,” kata Mohd Izhar Ariff.

Pikul amanah Allah

 

TIDAK dinafikan aspek kebersihan dan kesihatan dalam kitaran penghasilan produk makanan atau minuman sunnah bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan organisasi perniagaan, sama ada ia berskala besar, sederhana atau kecil-kecilan, aspek di atas mesti menjadi penekanan utama. Lebih-lebih lagi, kredibiliti logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mampu melariskan jualan produk mereka itu.

Bagi pengusaha produk coklat kudapan berasaskan kurma, Choc Lyshanza, Ahmad Suhaimi menyifatkan kepatuhan tersebut bukan hanya kerana undang-undang negara tetapi tanggungjawab pihaknya sebagai seorang Muslim.

Beliau berkata, pengabaian aspek tersebut akan menimbulkan perspektif negatif bukan hanya dalam kalangan umat Islam tetapi bukan Islam terhadap amalan pemakanan sunnah.

“Saya menganggap ia sebagai satu tanggungjawab kerana ia adalah imej kepada Islam sendiri.

“Jika kotor dan tidak bersih, orang akan kata ia disebabkan oleh Islam dan bukannya manusia itu sendiri,” katanya ketika ditemui di kedainya di Klang, baru-baru ini.

Selain coklat kurma, syarikat Tebrau Takzim itu turut menawarkan produk berasaskan coklat yang sesuai untuk majlis perkahwinan, hari jadi atau kudapan sampingan kanak-kanak.

Selaras dengan pendirian tersebut, Ahmad menegaskan bahawa setiap biji kurma yang digunakan itu akan dibelah dua, bukan hanya supaya ia mudah disalut dengan coklat.

Tetapi, beliau menambah, apa yang lebih penting adalah untuk melihat keadaan bahagian dalam kurma.

Lagipun, kebanyakan buah kurma yang dipetik langsung dari pokoknya tidak akan dibersihkan bagi mengelakkannya kerosakan apabila diperap dalam kontena untuk tujuan eksport.

“Setakat ini hampir tiga hingga lima peratus, buah kurma itu kami terpaksa buang bagi mengelakkan wujudnya keracunan kepada pembeli,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad berkata, pihaknya turut memastikan pembekal bahan coklat itu memiliki sijil halal daripada Jakim memandangkan syarikat pembekal itu beribu pejabat di Belgium.

“Sijil halal itu amat penting bagi kami. Selain Jakim, kami turut merujuk kepada Lembaga Koko Malaysia kerana mereka ada senarai yang halal dan tidak halal,” katanya.

Begitu pun, beliau menafikan kitaran proses itu akan menyebabkan bebanan kos kerana semua itu boleh diatasi jika jadual pemprosesannya dipatuhi dengan teliti dan rapi.

“Bebanan kos sukar dielakkan jika pengusaha gagal mematuhi jadual kitaran pemprosesan produk mereka. Sebagai pengusaha, mereka perlu sentiasa inovatif dan kreatif dalam memastikan jadual kitaran pemprosesan dipatuhi semaksimum mungkin.

“Saya percaya jika kita berjaya mematuhinya, sudah pasti tidak akan ada pembaziran yang ketara,” jelas Ahmad.

Wujud pengabaian

Hakikatnya, umat Islam perlu memahami bahawa sunnah Nabi adalah merupakan perkara atau perbuatan yang berasaskan prinsip bukan hanya baik dan halal tetapi suci dan bersih.

Sejajar dengan itu, umat Islam perlu berpegang kepada prinsip tersebut dalam mengamalkan sunnah Nabi, termasuklah berkaitan dengan pemakanan atau minuman yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Namun ada beberapa kes yang ditemui oleh jawatankuasa panel halal itu yang menunjukkan masih wujud pengabaian daripada aspek kebersihan dan kesihatan produk itu.

“Contohnya, ketika meluluskan pensijilan halal untuk produk-produk makanan sunnah, kita dapati ada kuman pada produk air atau makanan sunnah tersebut.

“Malah ada juga kes yang kita temui di mana para ustaz atau ustazah yang menghasilkan air Ruqyah tanpa menjaga kebersihan sehingga apabila melalui ujian makmal, ia didapati kotor atau ada kuman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Izhar Ariff menyeru umat Islam supaya memastikan keinginan mendalam kepada aspek pemakanan sunnah sehingga kita mengambil mudah dan meremehkan perihal prinsip amalan itu.

Beliau percaya bahawa usaha itu juga akan menjadikan amalan pemakanan sunnah Rasulullah SAW dihormati dan diyakini, bukan hanya oleh umat Islam tetapi bukan Islam.

“Pada masa sama, masyarakat juga perlu memahami dengan jelas supaya mereka tidak mudah diperbodohkan oleh golongan yang suka mengambil kesempatan.

“Sekiranya mereka mahu membeli produk sunnah, maka perlu dipastikan terlebih dahulu tentang dalil dan sijil halal produk tersebut,” katanya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Utama ihsan dalam pendidikan

Posted by epondok di Mac 23, 2015

Oleh Maslina Alias
Setiap ahli keluarga perlu memahami konsep ihsan dalam memainkan peranan bagi memastikan rumah tangga harmoni dan bahagia. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak dalam menerapkan konsep ihsan. Elak mencari kesalahan dan berkeluh kesah, sebaliknya cuba memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Sekiranya kita berusaha untuk berubah ke arah kebaikan, maka ahli keluarga kita juga akan terdorong untuk sama berubah. Antara maksud ihsan ialah melakukan sesuatu perkara dengan sebaik mungkin dan penuh keikhlasan.

Bagaimanakah sesuatu perkara itu dapat dikenal pasti sebagai perkara terbaik untuk dilakukan bergantung kepada niat dan keazaman.
Ustazah Norhafizah Musa mengambil contoh bagaimana seorang isteri yang berniat untuk memasak makanan yang baik untuk seluruh ahli keluarganya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Setiap perkara yang dilakukan perlulah tidak melanggar syariat agama walaupun niat pada permulaannya adalah baik dan selepas melakukan perkara tersebut sentiasa muhasabah untuk memperbaiki diri, bukan untuk mendapat kepujian atau berbangga diri.

Tanam sifat rendah diri

Fahaman melakukan sesuatu perkara dengan cara terbaik perlu diakhiri dengan jiwa yang tawaduk terhadap Allah SWT. Tanamkan rasa rendah diri terhadap Allah dan sentiasa memohon ampun daripada-Nya dengan segala perkara yang dilakukan.

Ihsan juga bermaksud keupayaan dan kemampuan meletakkan diri pada tempat orang lain. Norhafizah ketika bersiaran di IKIMfm dalam rancangan Usrati, jam 5 petang Rabu mengambil contoh bagaimana anak cuba mencuri perhatian ibu bapa dengan cara memberontak.

Dengan nilai ihsan ini, ibu bapa yang ada rasa empati terhadap anak akan cuba sedaya upaya memahami kehendak mereka dengan menolong mereka menguruskan emosi. Sentuhan, belaian dan pelukan akan menjadikan anak terasa diri mereka lebih disayangi. Ibu bapa juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik terhadap anak bagi mengelakkan jurang perhubungan di antara ibu bapa dengan anak.

Ibu bapa yang meletakkan diri pada tempat anak tidak akan memarahi anak yang memberontak kerana ingin mendapatkan perhatian ibu bapa, sebaliknya merasa belas kasihan dan lebih memahami kehendak mereka.

Nilai ihsan bukan sesuatu yang mudah untuk diterapkan di dalam rumah tangga kerana ia memerlukan pemahaman dari dalam diri dan membabitkan banyak faktor.

Antara faktor yang boleh menjayakan penerapan nilai ihsan ialah kasih sayang. Ibn Qayyim menceritakan seorang sahabat melihat sebuah rumah yang pintunya tertutup. Tiba-tiba pintu itu terbuka dan beliau melihat seorang ibu sedang menolak anaknya lalu terjatuh. Ibu itu memarahi anaknya kerana tidak mendengar kata-katanya sambil menghalaunya dari rumah dan seterusnya menutup kembali pintu. Anak itu menangis di hadapan pintu sambil mengetuknya, namun ibunya tidak membuka pintu sehinggalah anaknya terlelap di hadapan pintu.

Akhirnya ibunya membuka pintu dan memeluk anaknya sambil memberi nasihat dengan nada yang lembut dan penuh kasih sayang. Ibunya mengatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk mendidik dan mengajar anaknya untuk menjadi anak yang lebih baik. Inilah erti kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu kepada anaknya.

Mungkin tidak banyak ibu bapa yang menunjukkan kasih sayang seperti yang ditunjukkan oleh ibu itu, namun sebagai ibu bapa seharusnya memohon doa kepada Allah SWT untuk melimpahkan rahmat di dalam diri.

Curah kasih sayang dalam keluarga

Dengan ini mudah bagi ibu bapa untuk mencurahkan kasih sayang dan melakukan kebaikan terhadap ahli keluarga, terutama anak.

Norhafizah memberikan contoh kisah seorang lelaki yang berbakti kepada ibunya. Suatu hari beliau berjumpa dengan Saidina Umar lalu bertanya, “Adakah perbuatan aku ini sudah boleh dianggap sebagai cukup membalas budi dan jasa ibuku terhadapku? Adakah berbuat baik terhadap ibuku itu sudah dianggap sebagai anak yang berbudi dan mengenang jasa?” Saidina Umar menjawab, “Tidak sama sekali!” Lelaki itu terkejut dan bertanya kembali, “Kenapakah perbuatan aku itu tidak dianggap sebagai berbudi?” Saidina Umar menjawab, “Engkau semasa menguruskan ibumu engkau mengharapkan kematiannya tetapi ibumu semasa menguruskanmu mengharapkan kehidupanmu akan menjadi lebih sempurna.

Kasih sayang seorang ibu terhadap anak tidak akan sama dengan kasih sayang anak terhadap ibu. Kasih sayang ibu adalah penuh dengan keikhlasan dan hanya mengharapkan kebaikan untuk anak tanpa mengharap balasan. Hati seorang ibu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan seharusnya anak menghargai kasih sayang ini.

Apabila seorang ibu memarahi anak, ia bukanlah dari hati tetapi hanya untuk memberi tunjuk ajar atau bersifat sementara saja demi mendidik mereka. Hati ibu sentiasa berfikir untuk memberikan kasih sayang kepada anak bukan atas sebab tanggungjawab tetapi kerana untuk memelihara anak dengan limpahan kasih sayang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran asas petunjuk nyata, ghaib

Posted by epondok di Mac 22, 2015

CIKGU SIDEK BABA

AL-QURAN ditanzilkan kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Manusia perlu memahami kewujudan perkara yang nyata dan kewujudan yang tidak nyata (al-ghaib). Kedua-duanya mempunyai hubungan yang amat erat kerana alam ini tidak terjadi dengan sendiri seperti manusia itu juga diciptakan. Al-Quran terkandung ilmu yang sifatnya memberi pertunjuk.

Hal-hal yang nyata dalam alam ini mungkin boleh dikaji oleh manusia. Itu pun dalam keterbatasannya disebabkan upaya akal manusia tidak segala-gala. Manusia yang bergantung kepada akal atau rasional semata-mata hanya mendapat jawapan yang terbatas mengenai hakikat kewujudan alam ini.

Al-Quran terkandung pertunjuk hal-hal yang nyata dan hal-hal yang ghaib. Faktor naqliah (wahyu) apabila dihubungkan dengan faktor akliah (pemikiran) sifatnya mempedoman mengenai hakikat Penciptaan, kewujudan alam dengan segala hikmah dan rahmahnya.

Al-Quran menjadi prasyarat dalam kalangan ulama dan ilmuwan Islam mentafsir dan mengkajinya kerana ia tidak saja terkandung persoalan akidah dan ibadah tetapi juga isu syariah dan akhlak yang menjadi asas penting setiap penganut Islam.

Al-Quran tidak saja bersifat tekstual tetapi juga bersifat kontekstual dan terhubung dengan alam ini dan juga kehidupan manusia. ALLAH mengurniakan manusia akal supaya upaya berfikir manusia terpandu dan terpedoman. Al-Quran terkandung pertunjuk yang menghubungkan ilmu dan kebenaran supaya manusia memahami hakikat kejadian dan penciptaan.

Ia menjadi faktor penting yang menyebabkan lahirnya tamadun Islam suatu ketika dulu. Tamadun itu mampu memberi pencerahan di Barat. Barat hilang pertunjuk bila Kristianiti dilihat bercanggah dengan sains. Islam menerusi al-Quran terkandung keserasian dengan sains dan menyebabkan tamadun lahir.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang memberi pedoman kepada tradisi sains dan teknologi. Islam dan sains bergerak seiring kerana sifat Islam tidak saja sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi juga suatu cara hidup.

Prof Dr Maurice Bucaille dari Perancis memeluk Islam kerana yakin dengan al-Quran sebagai sumber ilmu yang benar dan tidak bercanggah dengan kajian sains. Pakar kejaninan (embriologi) ini melihat kejadian manusia dalam al-Quran amat menepati kajian saintifik moden.

Konsep alaqa dan nutfah dalam al-Quran dalam proses kejaninan adalah benar. Ia bukan kata-kata Nabi Muhammad kerana pada zamannya Baginda tidak terdedah dengan pendidikan sains tetapi datangnya daripada ALLAH yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk.

Beliau telah mengarang sebuah buku yang menarik untuk diteliti iaitu Al-Quran, Bible dan Sains Moden yang memberi pedoman mengenai hubungan al-Quran dan Sains Moden dan menjadi faktor utama kembalinya beliau kepada fitrah.

Seorang lagi tokoh astrofizik Perancis menerima kebenaran daripada al-Quran dan menjadi Muslim apabila mendapati konsep kosmos yang menjadi fokus kajian dan kepakarannya. Dr Bruno “Abdul Haqq” Guiderdoni menyatakan dalam suatu wawancara, “kita benar-benar melihat keindahan yang mempesona dalam keteraturan yang menguasai kosmos ini. Sebagai orang beriman, saya berasa ALLAHlah yang menciptakan kosmos. Keindahan dan keharmonian alam semesta adalah salah satu tanda ALLAH. Dengan demikian, menjelajahi kosmos adalah salah satu cara beribadah kepada Tuhan” (Membaca Alam Menemukan Tuhan).

Sarjana dan ilmuwan dari Barat ini adalah beberapa contoh daripada ramai ilmuwan Barat yang telah kembali kepada agama fitrah berasaskan kebenaran al-Quran. Suatu ketika dulu Islam agak asing di Eropah tetapi kini ia sedang berkembang seimbang dengan kecenderungan manusia mencari kebenaran yang hakiki.

Dalam usaha manusia Barat meneroka makna kehidupan yang sebenar Islam menawarkan kepada mereka jawapan mengenai kemelut manusia kini. Al-Quran dan as Sunnah tetap unggul menjadi rujukan manusia yang sifatnya dinamik berubah tetapi perubahan berasaskan etika dan akhlak menjadi keutamaan dalam Islam.

Keruntuhan akhlak yang semakin parah di Barat, ilmu yang diteroka sifatnya mekanistik dan pendidikan yang kehilangan roh, pola kekeluargaan yang semakin rapuh, sistem sosial yang lepas bebas daripada pedoman agama menyebabkan Islam semakin diterima. Ia menyebabkan Islamafobia terjadi. Takdirnya Islam berkembang di Barat tidak mustahil Eropah boleh menjadi negara Islam.

Tradisi saintifik yang berkembang di Eropah boleh bertukar menjadi tradisi tadabbur yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama menghasilkan ululalbab.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pengenalan Hukum Hudud

Posted by epondok di Mac 22, 2015

SIRI AN-NAIM (28)  

Disusun oleh :
Haji Daud B. Haji Muhammad,
Ketua Penyelia Agama, Kelantan.
Terbitan : Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.

  بسم الله الرحمن الرحيم

HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM

Anggapan setengah masyarakat hari ini terhadap hukuman sebat yang terkandung dalam hukum dan perundangan Islam telah dipengaruhi oleh keadaan hukuman sebat yang dilaksanakan di penjara-penjara sekarang. Lebih-lebih lagi dari segi alat pemukul (rotan) cara-cara pukulan dan kesakitan yang dialami oleh penerimanya dan berbagai-bagai lagi.             Dalam risalah yang kecil ini dijelaskan secara ringkas tentang hukuman sebat sebagaimana yang dikehendaki oleh ugama Islam terutamanya yang berhubung dengan alat sebat, cara-caranya dan anggota-anggota yang boleh dipukul (sebat).

Hukuman sebat yang dikenakan sebagai siksaan bagi kesalahan jenayah yang menyentuh maruah, akal dan kehormatan :

واما الجلد فجعله عقوبة الجناية على الأعراض ، وعلى العقول ، وعلى الابضاع

(Mengikut Istilah Fuqaha’)  Ianya bertujuan diantara lainnya. :

1. Supaya sesiapa yang menerima hukuman itu atau melihatnya akan menjauhi jenayah itu sejauh-jauhnya.

2. Membersihkan masyarakat dari perbuatan tabiat yang keji dan hina.

3. Mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman penjenayah

4. Untuk menjadi contoh teladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-perbuatan jenayah.

HUKUMAN SEBAT :

Hukuman sebat itu terbahagi kepada dua bahagian :

1. Sebat dalam masalah hudud iaitu siksaan yang telah ditetapkan oleh Allah yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah Subhanahu wataala

.2. Sebat dalam masalah Ta’zir iaitu kesalahan-kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada siksaan-siksaan ta’zir, selain daripada siksaan hudud, qisas, diat dan kafarat, dan erti ta’zir itu ialah denda yang menjadi pengajaran.Syarak tidak menetapkan sesuatu siksaan atau hukuman tertentu bagi kesalahan Ta’zir dan cukup serta memadai dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendah-rendahnya kepada seberat-beratnya  dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana-mana hukum-hukum yang sesuai mengikut suasana dan keadaan masalah itu sendiri.

JENIS-JENIS KESALAHAN  HUDUD.

Jenis-jenis kesalahan hudud yang telah ditetapkan hukuman sebat ialah :

1. ZINA.

Firman Allah Taala :

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ

Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat. (Surah An-Nur : 2)

Yang dimaksudkan dengan penzina perempuan dan penzina lelaki yang dikenakan hukuman sebat seratus kali itu ialah khusus untuk penzina yang belum kahwin

(Ghaira Muhsin) Ertinya yang belum merasai persetubuhan halal, iaitu dengan cara berkahwin, adapun penzina yang telah berkahwin (Muhsin) hukumnya ialah rejam. Ini adalah berdasarkan kepada hadis berikut :

عن أبي هريرة قال : اتى رجل رسول الله (ص) وهو في المسجد فناداه فقال يارسول الله اني زنيت فاعرض عنه حتى ردد عليه أربع مرات فلما شهد على نفسه أربع شهادات دعاه النبي (ص) فقال : ابك جنون ؟قال : لا قال : فهل أحصنت ؟ قال نعم. فقال النبي (ص) اذهبوا فارجموه .

Maksudnya : Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW. semasa baginda berada di dalam masjid lalu beliau memanggil Rasulullah seraya berkata : Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling daripadanya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali. Maka apabila lelaki berkenaan telah membuat pengakuan ke atas dirinya sebanyak empat kali Rasulullah SAW. pun memanggilnya lalu bersabda : Adakah engkau gila ? Jawab lelaki itu : Tidak. Nabi bersabda lagi : Adakah engkau telah kahwin ? Jawab lelaki itu : Ya. Maka Nabi bersabda : Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam. (Muttafaq ‘Alaih)

2. QAZAF (MENUDUH ZINA)

Firman Allah : وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً

Maksudnya: Orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat. (Surah An-Nur : 4)

Mengikut kaedah dalam perundangan Islam bahawa sesiapa yang menuduh seseorang dengan apa jua perbuatan yang haram, tertanggung ke atasnya (wajib) membuktikan kebenarannya. Dan jika gagal atau enggan hendaklah dikenakan siksaan. Melemparkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah perbuatan yang menyentuh maruah dan kehormatan seseorang. Sangat berat untuk ditanggung oleh mana-mana orang yang tidak bersalah. Sangat banyak akibat yang timbul dari sesuatu tuduhan zina yang melulu ke atas seseorang. Perbuatan itu akan melahirkan kemarahan, persengketaan serta meruntuhkan rumahtangga dan masyarakat. Anak-anak yang lahir dari seseorang yang tertuduh zina akan menjadi mangsa. Kerukunan dan kebahagiaan suami isteri akan roboh dan hancur berkecai.Oleh itu amat wajar orang yang membuat tuduhan palsu itu dihukum sebat dengan lapan puluh kali sebat.

مدمن الخمر كعابد وثن

Ertinya : Orang yang ketagihan arak itu adalah seperti penyembah berhala. Oleh kerana minum arak itu adalah dari perbuatan dan pekerjaan syaitan yang amat keji maka Rasulullah SAW telah menghukum ke atas peminum arak dengan empat puluh kali sebat sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak.

KESALAHAN TA’ZIR

Firman Allah :وَاللاَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ

MAKSUDNYA : Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). (Surah An-Nisa’ : 34)

Ayat tersebut merupakan hujjah dan dalil bagi ahli-ahli perundangan Islam bahawa hukuman sebat boleh dikenakan ke atas kesalahan-kesalahn ta’zir dan sebat merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan ta’zir yang serius untuk memberi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada penjenayah-penjenayah yang merbahaya yang sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu. Keistimewaan hukuman ini ianya tidak membebankan pihak berkuasa (kerajaan) dan tidak menghalang pesalah sesudah menjalani hukuman dari berusaha menjalankan pekerjaan dan sebagainya dan tidak pula terpaksa meninggal dan membiarkan ahli keluarganya menempuh berbagai-bagi kesusahan dan keperitan hidup mencari nafkah dan sebagainya seperti mana dalam kes hukuman penjara kerana hukuman sebat dilaksanakan serta-merta setelah disabitkan kesalahannya dan sesudah itu dibebaskannya untuk membolehkan meraka menjalani kehidupan biasa bersama-sama keluarganya.

KADAR HUKUMAN SEBAT

Ulamak Syafie berpendapat bahawa hukuman sebat dalam kesalahan ta’zir tidak boleh melebihi sekurang-kurang hukuman hudud. Ertinya hukuman ta’zir dengan rotan “Sebat” ke atas seseorang pesalah hendaklah kurang daripada empat puluh kali sebat.

Sabda : من بلغ حدا في غير حد فهو من المعتدين

Maksudnya : Sesiapa yang melebihi had “Sekatan” dalam kesalahan bukan hudud maka ianya termasuk bersama-sama golongan orang yang melampaui batas.

ALAT SEBAT

Alat sebat tidaklah dalam satu jenis dan satu bentuk sahaja sebat bolehlah dijalankan dengan menggunakan rotan atau pelepah tamar atau ranting kayu ataupun hujung kain bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksudnya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya maka itu hendaklah sederhana ukurannya jangan terlalu muda atau terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah. Ini kerana tujuan yang sebenar hukuman sebat bukan hendak membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.

روى مالك عن زيد بن أسلم أن رجلا اعترف على نفسه بالزنى على عهد رسول الله (ص) ، فدعاله رسول الله (ص) بسوط ، فاتي بسوط مكسور ، فقال : “فوق هذا ” فاتي جديد لم تقع ثمرته ، فقال : “دون هذا” فاتي بسوط قد ركب به ولان فأمر به رسول الله (ص) فجلد ..

Maksudnya : Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya, seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah SAW. didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda minta tongkat yang lain, apabila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah SAW menolaknya lagi dan meminta tongkat yang sangat sederhana yang tidak keras, Rasulullah SAW menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya.  

CARA MELAKSANAKAN SEBAT

Ketika melaksanakan hukuman sebat hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya sehingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkatan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya.

ANGGOTA-ANGGOTA YANG BOLEH DIPUKUL

Pukulan hendaklah diatur supaya kena merata-merata anggota tubuh badan pesalah itu kecuali muka, kepala dan dada ditegah sama sekali  memukulnya dan tidaklah boleh disebat hanya setempat sahaja.

KEADAAN PESALAH

Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakain yang tebal atau beralas yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereka berpakaian demikian “tebal” hendaklah diganti dengan pakaian yang nipis “sederhana”.

PESALAH MENGANDUNG

Dan jika pesalah mengandung hendaklah ditunggu sehingga melahirkan anak sama ada anak kandungan itu dari perbuatan zina atau tidak dan sembuh dari sakit beranak serta suci dari darah nifas dan tenaganya sudah pulih. Ini berdasarkan kepada hadis berikut :

عن علي رضي الله عنه أنه قال : أن امة لرسول الله (ص) زنت فامرني أن أجلدها فاذا هي حديته عهد بنفاس فخشيت ان انا جلدتها ان اقتلها فذكرت ذلك لرسول الله (ص) فقال : دعها حتى ينقطع عنها الدم ثم أقم عليها الحد

Maksudnya : Dari Sayyidina Ali RA bahawa beliau berkata : Bahawa seorang Amah ‘Hamba’ Rasulullah SAW telah berzina maka Rasulullah SAW telah mengarahkan kepadaku supaya aku jalankan hukuman sebat ke atasnya sedangkan ianya masih baru melahirkan anak, maka aku bimbang jika aku jalankan sebat ke atasnya akan membunuhnya, lalu aku beritahu keadaan itu kepada Rasulullah SAW , maka sabda Rasulullah “Biarlah dahulu dia sehingga sembuh dari sakit beranaknya kemudian boleh sesudah itu kamu jalankan hukuman ke atasnya”.

PESALAH SAKIT

Jika didapati pesalah dalam keadaan sakit dan penyakitnya ada harapan untuk sembuh maka hendaklah ditunggu sehingga dia betul-betul sembuh kerana jika dijalankan juga semasa pesalah itu sedang sakit akan bertambah berat penyakitnya dan mungkin boleh membinasakannya. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta-merta tanpa menunggu dan membuang masa lagi tetapi dengan satu syarat, bahawa rotan yang digunakan tidak akan membinasakannya. Oleh itu hendaklah menggunakan ranting kayu atau rotan yang kecil atau pun pelepah tamar yang kecil dan jika ukuran ini juga dibimbang akan membawa maut kepadanya maka bolehlah dikumpulkan seratus ranting kayu atau seumpamanya dan diikat dalam satu ikatan dan disebat dengannya satu kali. Cara begini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW supaya dilakukan ke atas seseorang lelaki yang berzina yang sakit berat tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

روى من أن رسول الله (ص) امر بضرب رجل مرض حتى صنى ضربة واحدة شمراخ لانه زنى

Maksudnya : Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang sakit merana dengan satu pukulan dengan seratus mayang tamar yang diikat “seikat” kerana lelaki itu telah melakukan perbuatan zina.

Ini kerana pesalah yang sakit merana tidak mempunyai harapan untuk sembuh sama ada dibiarkan tanpa dijalankan hukuman sebat kerana penyakitnya atau dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah pasti jika dilaksanakan sepenuhnya akan membawa maut kepadanya dan di dalam keadaan begini diambil jalan, tengah iaitu disebat satu kali dengan seratus mayang tamar seumpamanya yang diikat dengan satu ikatan sahaja.

Firman Allah : وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَاضْرِبْ بِهِ وَلاَ تَحْنَثْ

Maksudnya : Dan ambillah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah dengannya dan janganlah engkau menyalahi sumpahmu itu. (Surah Sod : 44)

Dengan cara yang demikian adalah lebih baik dari biarkan tanpa menjalani hukuman atau dibunuh pesalah yang sakit yang tidak sampai kepada hukuman yang wajib dibunuh.

PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT DIHENTI ?

Hukuman sebat dihenti dan tidak boleh dilaksanakan apabila timbul dan berbangkit sesuatu yang boleh menggugurkan hukuman hudud iaitu :

1.       Apabila pesalah menarik balik pengakuannya sebelum dilaksanakan hukuman jika hukuman sebat kerana zina dijatuhkan berikutan pengakuannya samada pengakuannya itu dibuat secara langsung atau tidak.

2.       Apabila saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian mereka sebelum dilaksanakan hukuman samada secara beramai-ramai atau sebahagian darinya sekiranya bilangan saksi yang tinggal kurang dari empat orang.

 

MASA DAN TEMPAT MELAKSANAKAN HUKUMANT

idak boleh dijalankan hukuman sebat dalam masa dan keadaan cuaca yang sangat panas atau terlalu sejuk jika dibimbang boleh membawa kebinasaan kepada pesalah dan bagi kesalahan hudud adalah dikehendaki supaya dijalankan hukuman sebat di hadapan orang-orang mukmin.

Firman Allah :وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya : Dan hendaklah pelaksaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (Surah An-Nur : 2)

Yang dimaksudkan dengan sekumpulan itu mengikut pendapat Mujahid “Seorang lelaki dan ke atasnya sehingga sampai kepada seribu orang.Manakala Ibnu Zaid pula berkata “Bahawa tak dapat tidak mesti dihadiri sekurang-kurangnya oleh empat orang dari kalangan orang-orang yang beriman sebagai qias dengan empat orang saksi dalam kes zina. Dan pendapat Ibnu Zaid ini adalah selaras dan sama dengan pendapat Imam Malik dan Imam Syafie.

Akhirnya dengan terlaksana hukuman sebat tercapailah kebaikan dan kepentingan umum (orang ramai) kerana Islam memandang kebaikan dan muslahat orang ramai itu lebih utama dari maslahat perseorangan dan dengan itu juga terhindarlah kerosakan , keruntuhan moral dan sebagainya dan seterusnya tercapailah kemuliaan dan kebahagian serta sentiasa mendapat Inayah, rahmat dan pertolongan Allah.

Amin.Sekian

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Didik anak bermusafir

Posted by epondok di Mac 21, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Setiap kali musim cuti sekolah, ramai ibu bapa yang turut bercuti. Tujuannya untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Maklumlah ramai anak-anak yang sekolah di asrama, jadi masa cuti beginilah antara waktu yang ditunggu-tunggu untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.
Antara program yang selalu diatur adalah bercuti di luar daerah sama ada ke pulau, menikmati keindahan pantai atau juga ke luar negara. Untuk itu, ibu bapa diharap tidak melepaskan peluang ini untuk mendidik anak-anak bagaimana bermusafir.
Islam adalah agama yang indah lagi sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia. Untuk itu, kita diajar supaya solat musafir sebelum bercuti atau bertugas di luar daerah. Pelaksanaan solat dua rakaat ini amat mudah dan tidak sampai pun lima minit.
Selesai solat, berdoalah memohon keselamatan sama ada bagi yang bermusafir atau keluarga yang ditinggalkan. Antara doanya adalah seperti berikut: “Ya Allah, Engkaulah pemandu semasa di dalam musafir, dan Engkaulah pengawal terhadap keluarga, hartaku, anak-pinakku, dan sahabat-handai, peliharalah akan daku dan mereka daripada sebarang malapetaka dan wabak penyakit.”
Setiap insan yang ingin melakukan perjalanan atau bermusafir dengan tujuan yang baik dan dituntut oleh Islam seperti bermusafir kerana menuntut ilmu, melaksanakan sesuatu urusan keagamaan seperti mengerjakan umrah atau haji, menziarahi keluarga, kenalan atau mencari rezeki yang halal untuk memenuhi keperluan keluarganya, mereka tergolong dalam orang yang menempuh perjalanan yang diredai Allah.

Apabila di dalam kenderaan pula, jangan lupa membaca doa menaiki kenderaan. Adalah digalakkan supaya tugas membaca doa ini digilir-gilirkan antara ibu bapa dan anak-anak. Ini secara tidak langsung dapat melatih mereka membudayakan berdoa apabila menaiki kenderaan.
Lebih mudah lagi, bolehlah dibeli pelekat kenderaan yang memaparkan doa tersebut supaya anak-anak kita yang masih kecil iaitu di peringkat tadika pun boleh dilatih membacanya. Antara doa yang sunat dibaca adalah seperti berikut: Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah yang telah menjinakkan (memudahkan) bagi kami kenderaan ini, padahal sebelumnya kami takkan mampu menguasainya dan sungguh kami nanti akan pulang kembali kepada Tuhan kami. (al-Zukhruf: 13-14)
Insya-Allah, perjalanan itu akan dicatat sebagai ibadah di sisi-Nya. Ini juga adalah bentuk kepasrahan kita kepada Allah Sang Pencipta. Kita berharap untuk selamat. Namun kita juga harus bersiap kalau berlaku apa-apa dalam perjalanan. Paling utama, yakinlah, ada Yang Maha Melindungi.
Dalam keseronokan bercuti atau melancong, jangan diabai solat fardu lima waktu. Bagi yang bermusafir, mereka diberi keringanan (rukhsah) untuk solat jamak dan qasar. Jamak ertinya himpun iaitu menghimpunkan solat Zuhur dan Asar; Maghrib dan Isyak. Adapun, qasar bermaksud pendek iaitu memendekkan solat empat rakaat kepada hanya dua rakaat.
Antara dalil mengharuskan perbuatan ini adalah hadis Rasulullah SAW daripada Anas yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW ingin menjamakkan dua solat semasa bermusafir, baginda akan mengakhirkan/melambatkan Zuhur sehingga masuk waktu Asar, kemudian baginda menjamakkan kedua-duanya.” (Riwayat Muslim)
Keterangan mengenai qasar solat pula berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu. (al-Nisa’: 101)
Justeru, marilah kita mengamalkannya mudah-mudah­an perjalanan atau musafir kita bukan sahaja yang bermanfaat dan dipenuhi keseronokan tetapi juga dicatat sebagai ibadah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Akhirat lebih baik

Posted by epondok di Mac 19, 2015

DUNIA ini dapat diibaratkan seperti ladang. Ia digunakan untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan diperoleh di akhirat kelak. Hasil yang akan diperoleh itu adalah bergantung kepada apa yang telah diusahakan oleh seseorang.

Andainya amalan yang diusahakan itu baik maka baiklah hasilnya. Sebaliknya, jika amalan itu jahat maka buruklah hasil yang akan diperolehnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah (debu yang halus) nescaya dilihat-Nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah (debu yang halus) nescaya dilihat-Nya. (al-Zilzal: 7-8)

Menyedari hakikat ini maka setiap langkah, gerak geri dan tingkah laku kita di dunia ini adalah dalam pengetahuan Allah SWT. Segala amalan manusia semuanya akan direkodkan ke dalam diari dan diari itu akan dibentangkan di akhirat kelak.

Allah SWT telah menugaskan dua orang malaikat iaitu malaikat Raqib dan Atid untuk mencatatkan segala rekod ke dalam diari tersebut tentang segala kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh setiap individu.

Ahli tasawuf pula menganggap dunia ini seperti bangkai dan manusia itu seperti anjing. Sebab itulah manusia lebih sukakan kepada dunia lebih daripada akhirat. Al-Quran juga ada menerangkan yang dunia ini adalah permainan dan kelalaian.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti. Oleh kerana itu tidakkah kamu mahu berfikir. (al-An’am: 32)

Kesenangan hakiki

Ayat di atas menerangkan bahawa sesiapa yang mementingkan kebahagiaan, kemewahan dan kesenangan dunia, bukanlah bermakna ia mendapat kesenangan yang hakiki kerana dunia ini hanyalah sementara. Dunia ini diibaratkan sebagai permainan dan melalaikan. Permainan itu akan tamat apabila sampai masanya.

Kesenangan dan kemewahan dalam erti kata yang sebenarnya ialah kesenangan dan kemewahan di akhirat. Ini kerana hidup di akhirat adalah kekal selama-lamanya. Firman Allah SWT: Dan sebutlah (ingatlah) nama Tuhan mu serta sembahyang. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia, pada hal akhirat lebih baik dan lebih kekal. (al-A’la: 15-17)

Dalam ayat di atas, Allah SWT telah mengingatkan supaya manusia sentiasa ingat kepada-Nya dengan menunaikan sembahyang. Ingat kepada Allah bermakna menunaikan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Namun, kebanyakan manusia lebih cenderung kepada penghidupan dunia. Mungkin ini adalah disebabkan dorongan syaitan dan hawa nafsu kerana syaitan itu sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia di muka bumi ini, pada hal mereka sudah berkali-kali diberi peringatan bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.

Islam bukan melarang manusia mencari kemewahan dan kesenangan di dunia ini. Tetapi kemewahan itu biarlah sekadar memadai untuk menunaikan tanggungjawab dan kewajipan yang membawa kepada kebahagiaan hidup di akhirat.

Islam tidak menyuruh umatnya mencari kekayaan dan kemewahan yang berlebih-lebihan sehingga membawa kepada kita lupa akan akhirat. Firman Allah bermaksud: Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagian mu dari di dunia. (al-Qasas: 77)

Di sini Allah SWT menyuruh manusia supaya mencari atau beramal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Di samping itu Allah juga menegaskan bahawa dunia ini tidak boleh dilupakan langsung. Cuma di antara dunia dan akhirat, Allah menguatkan supaya akhirat itu lebih diutamakan daripada dunia.

Bagaimanakah pula halnya mereka yang lebih mementingkan dunia daripada akhirat? Firman Allah bermaksud: Mereka itu orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan. (al-Baqarah: 86)

Inilah balasan orang-orang yang sanggup meninggalkan akhirat dan mengutamakan dunia. Mereka itu akan mendapat seksaan di akhirat kelak. Sesungguhnya, dunia ini bagi orang-orang Islam dapat diumpamakan seperti penjara. Maksudnya, orang-orang Islam di dunia ini adalah dalam kawalan – tidak boleh berbuat sekehendak hati dan bertindak dengan sewenang-wenangnya.

Islam telah menentukan pelbagai hukum yang termaktub di dalam Al Quran untuk menjadi panduan kepada umat Islam dalam menjalankan segala aktiviti. Dalam hukum-hukum itu terdapat suruhan dan larangan. Mereka yang ingin mencapai kebahagiaan di akhirat, mahu tidak mahu terpaksalah mematuhi segala hukum-hukum yang telah ditetapkan.

Amal ibadat

Berlainan pula halnya dengan orang-orang kafir. Bagi mereka dunia ini diumpamakan seperti syurga. Mereka bebas untuk melakukan apa saja. Tidak ada larangan bagi mereka. Halal dan haram sama sahaja. Tetapi mereka ini tidak terlepas daripada seksaan Allah di akhirat kelak.

Sesungguhnya, untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan baik di dunia mahupun di akhirat, kita disuruh melakukan segala kebaikan dan mencegah segala larangan. Kita juga digalakkan membuat amal ibadat lebih banyak daripada membuat urusan keduniaan.

Keadaan ini jelas daripada kata-kata hukama yang bermaksud, “Berbuatlah pekerjaan dunia mu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan buatlah amalan akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

Maksudnya, pekerjaan dunia itu boleh dibuat dengan bertempoh atau tidak bersunguh-sungguh. Jika sekiranya pekerjaan itu tidak dibuat pada hari ini, ia boleh dibuat pada hari esok atau hari seterusnya kerana masa untuknya masih panjang lagi.

Tetapi beramal untuk akhirat hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana andainya amalan atau pekerjaan itu tidak dapat disiapkan pada hari ini, maka seolah-olah ia tidak akan mendapat suatu kejayaan kerana esok tidak ada baginya. Inilah perbandingan di antara dunia dengan akhirat.

Lantaran itu, utamakanlah amalan akhirat berbanding dengan kerja dunia supaya segala kesenangan dan kemewahan yang Allah sediakan di akhirat nanti dapat dinikmati dengan penuh keikhlasan dan dari hati yang suci murni. Sesungguhnya, akhirat adalah tempat kita kembali dan kekal buat selama-lamanya.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »