Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Umat Islam yang terpelajar

Posted by epondok di Februari 24, 2015


DR SULAIMAN NOORDIN
BAHAGIAN ini membincangkan perkara berkaitan kedudukan ilmu dari segi Islam, sumbernya, hierarkinya, jenis dan hukumnya. Ia turut membincangkan dan menjelaskan konsep ‘ilmu sepadu’, konsep sekularisme (duniawi) serta teori menyesatkan pemikiran terdapat dalam ilmu Barat sekular moden.
KEDUDUKAN ILMU

Islam memerintahkan umatnya untuk mencari ilmu supaya menjadi terpelajar agar boleh mengambil tempat sewajarnya sebagai hamba ALLAH SWT di muka bumi ini. Rasulullah SAW bersabda: “Mencari ilmu itu adalah wajib untuk sekalian Muslim sama ada perempuan atau lelaki.”

Ilmu sangat diutamakan umat Islam sehingga terdapat lebih kurang 800 rujukan berkaitan ilmu dalam al-Quran. Malah ayat pertama yang turun kepada Rasululah SAW berbunyi: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan (Surah Al-’Alaq: 1)

Istilah ‘baca’ berkaitan langsung dengan cara mencari ilmu. Ia merujuk kepada buku, tulisan dan sebagainya. Ilmu yang terpenting adalah berkaitan dengan pembangunan insan (kepada agamanya), akidahnya, Tuhannya serta memahami hukum-hakam ALLAH.

Apabila seseorang itu beriman bahawa ALLAH itu Maha Esa, dia diperintah mencari ilmu dan beramal soleh. Ilmu di sini merujuk kepada ilmu fardu ain.
SUMBER ILMU (Epistemology of Knowledge)

Sumber ilmu Islam berbeza dari segi penekanan dan susunannya jika dibandingkan dengan sumber ilmu Barat sekular moden. Budaya Barat sekular tidak mengiktiraf adanya Tuhan, Rasul ALLAH, kitab suci ALLAH, malaikat, hari kiamat, hari pembalasan dan alam akhirat. Oleh itu sebagai perbandingan, sumber ilmu tersebut disenaraikan seperti dalam rajah di bawah:

Barat sekular mempunyai kekurangan yang besar kerana menafikan adanya ALLAH. Barat sekular tidak berpegang kepada sebarang nilai mutlak, malah semua nilai dianggap nisbi (relatif). Agama dianggap sebagai budaya yang dicipta manusia.

Sebenarnya bukan semua agama atau ideologi dicipta oleh manusia. Ada agama (dari langit) yang berasal daripada ALLAH yang suci daripada tambahan dan kekurangan.

(a) Ilmu daripada wahyu:

Ilmu daripada wahyu diistilahkan sebagai ilmu ‘tanzil’ (ilmu yang turun daripada langit). Definisi wahyu ialah ‘Kalam ALLAH yang diturunkan ke atas nabi atau rasul-Nya melalui malaikat Jibrail AS. Ia perlu disertai dengan mukjizat. Mukjizat adalah perkara yang luar biasa yang dikurniakan ALLAH kepada rasul-Nya untuk meyakinkan umat manusia risalah yang dibawa oleh mereka itu adalah daripada ALLAH.

Umpamanya antara mukjizat Nabi Musa AS ialah tongkatnya dapat menjadi ular besar menelan ‘ular-ular’ ahli sihir. Tokoh sihir pada masa itu mengiktiraf ular Nabi Musa adalah mukjizat, bukan sihir.

Nabi Isa AS pula boleh mencelikkan semula orang yang sudah buta dan menghidupkan orang yang sudah mati. Sedangkan pakar perubatan Mesir pada masa itu tidak mampu berbuat demikian.

Mukjizat berbeza daripada sihir atau silap mata kerana sihir adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh manusia biasa. Ia boleh dipersembahkan dan ditunjukkan kepada peminat seperti mana yang dilakukan oleh David Coperfield seorang ahli sihir yang terkenal di dunia.

Tetapi wahyu yang diterima Rasulullah SAW diturunkan secara tiba-tiba dalam masa kecemasan atau keperluan, untuk menjawab soalan sahabat atau orang yang bertanya bagi tujuan menyelesaikan sesuatu masalah.

Waktu wahyu turun tidak boleh ditentukan sebelumnya tetapi ia adalah mengikut kehendak ALLAH bukan rasul-Nya. Wahyu membawa syariat, perundangan, sejarah manusia awal, berita berkenaan alam ghaib dan nilai akhlak yang mulia.

Ilmu sihir tidak membawa ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Kalau ia mempunyai manfaat hanya bersifat sementara bagi seseorang individu atau sekumpulan manusia yang bertujuan untuk menyesatkan mereka. Ilmu sihir datang daripada jin atau Iblis.

Manakala wahyu terkandung dalam buku suci seperti:
– Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud AS (David).
-Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS (Moses).
-Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS (Jesus).
-Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Semua Nabi ALLAH menyeru kepada Tauhid iaitu ALLAH adalah tunggal, Maha Esa dan Dia adalah tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia. (Surah Al-Ikhlas: 1-4)

Sifat ALLAH seperti inilah yang dikatakan Tauhid yang tulen yang tidak menyerupakan ALLAH dengan makhluknya. Setiap buku suci ALLAH membenarkan Tauhid. Islam mengiktiraf kerasulan semua nabi berkenaan. Mereka dianggap mempunyai martabat yang tinggi di sisi ALLAH. Nabi SAW sebagai Rasul ALLAH yang terakhir membawa agama yang tersempurna iaitu mengandungi perundangan dan cara hidup yang tersempurna.

Bagi membuktikan kebenaran Nabi SAW sebagai Rasul yang terakhir, Baginda SAW diberi al-Quran sebagai mukjizat yang unggul. Ajaran al-Quran tidak bertentangan dengan logik malah selaras dengan fitrah, akal dan sains serta membawa nilai sejagat yang adil dan boleh diterima oleh semua bangsa di setiap zaman dan tempat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: