Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bahaya fahaman Pluralisme

Posted by epondok di Februari 21, 2015


Oleh IBRAHIM ABDULLAH

PADA prinsipnya harus dapat dibezakan antara pluraliti dan pluralisme. Pluraliti adalah suatu keadaan dalam masyarakatnya terdapat banyak ras, suku, etnik, bangsa, bahasa dan agama.

Ini adalah suatu kenyataan masyarakat  hasil atau natijah daripada proses-proses sosiologis, biologis, dan historis yang telah berjalan selama ini.

Sementara pluralisme adalah fahaman menempatkan keragaman sebagai nilai paling tinggi dalam masyarakat. Pluralisme agama adalah suatu fahaman  menyatakan, bahawa semua agama adalah sama.

Dalil yang menunjukkan bahawa Islam mengakui pluraliti adalah firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang-orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang paling bertakwa di sisi ALLAH.” (Al-Hujurat : 13).

Ayat ini menerangkan bahawa Islam mengakui kewujudan dan keragaman suku dan bangsa serta identiti agama selain Islam (pluraliti), namun sama sekali tidak mengakui kebenaran agama tersebut (pluralisme).

ALLAH juga berfirman yang bermaksud: “Mereka menyembah selain ALLAH tanpa keterangan yang diturunkan ALLAH. Mereka tidak memiliki ilmu dan tidaklah orang-orang zalim itu mempunyai pembela (penolong).” (Al-Hajj:71).
Dalam ayat lain, ALLAH menegaskan dengan firman  bermaksud : “Sesungguhnya agama yang diredai di sisi ALLAH hanyalah Islam.” (Ali-Imran:19).

ALLAH pun menolak siapa sahaja yang menganut agama selain Islam (Ali-Imran:85), menolak kebenaran semua agama selain Islam, Yahudi dan Nasrani ataupun agama-agama lainnya (At-Taubah:30-31), serta memandang mereka sebagai orang-orang kafir (Al-Ma’idah:72). Jadi Islam mengakui adanya pluraliti, namun tidak mengakui pluralisme justeru bercanggah dengan prinsip akidah Islam.

Antara pemimpin Islam dan pemimpin pluralisme, perbezaannya kepimpinan dalam Islam merupakan jabatan yang berfungsi untuk mentadbir pengurusan rakyat. Seorang pemimpin Islam adalah pengurus bagi urusan rakyatnya mengikut peraturan-peraturan ALLAH.

Sebaliknya jika khianat atau menyeleweng dalam mengurus urusan rakyat dengan peraturan kufur, maka pemimpin itu tidak layak dipilih dan tidak wajib ditaati.

Pemimpin Muslimin yang bertakwa tidak mungkin mengadaptasi pemahaman bukan berasal dari syariat Islam seperti pluralisme.

Di negara Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW ketika itu, komposisi masyarakat Madinah yang diakui dalam Piagam Madinah terdiri daripada beberapa kelompok komuniti. Namun semua kelompok itu tunduk kepada sistem dan hukum Islam, sekalipun mereka masih memegang keyakinan masing-masing dan tidak menganut Islam.

Jika ada  mengatakan bahawa Piagam Madinah mengakui pluralisme adalah suatu kesalahan dan kekeliruan.

Pemimpin Islam (khalifah) akan memperlakukan Muslim dan bukan Muslim sama sebagai warganegara. Secara khusus malah yang wajib bagi Muslim, tidak wajib bagi bukan Muslim seperti membayar zakat.

Dalam kehidupan publik, warga bukan Muslim mendapat perlakuan sama dengan Muslim, seperti kedua-duanya berhak mendapat perlindungan keamanan, pendidikan dan layanan kesihatan percuma.

Jika seorang Muslim tidak boleh dicederakan jiwa dan kehormatannya serta diambil hartanya tanpa hak, maka begitu juga bukan Muslim.

Itulah wujud keadilan yang diberikan oleh Islam. Dengan pemimpin dan sistem seperti itulah, Islam telah terbukti berhasil mempersatukan bangsa-bangsa Arab dengan bangsa lain dalam satu ikatan kukuh, dan mampu membangun tamadun dan peradaban yang hasilnya dirasakan oleh seluruh warganegara, bahkan negara lain.

Jelaslah bahawa pluralisme adalah ideologi berbahaya yang bukan berasal dari Islam. Matlamat akhir dari konsep pluralisme agama sangat mudah dibaca, iaitu agar umat Islam hancur akidahnya, sehingga hegemoni kapitalisme kufar atas dunia Islam semakin membawa kemudaratan keseluruhannya kerana Barat sangat memahami bahawa akidah Islam adalah rahsia atau kunci vitaliti dan kebangkitan umat Islam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: