Ia dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firmannya dalam surah Saad, ayat 29 yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Walaupun diakui sebagai sumber rujukan terunggul, masih ramai umat Islam yang tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan seharian mereka dan banyak juga yang tidak memahami segala apa yang telah dibaca.

Ini terbukti apabila satu kajian tidak rasmi yang dibuat oleh seorang guru di sebuah sekolah bandar pada 2013 menghasilkan satu perangkaan yang cukup membimbangkan. Ini berikutan 75 peratus daripada keseluruhan pelajar Islam di sekolah tersebut didapati langsung tidak menjadikan pem­bacaan al-Quran sebagai amalan harian mereka.

Daripada jumlah itu pula, 57 peratus remaja tidak tahu langsung membaca al-Quran dan 30 peratus menyatakan mereka tidak memiliki naskhah kitab suci itu di rumah masing-masing. Walaupun bancian itu dibuat secara tidak rasmi, sebagai pembaca kita sendiri boleh merasakan kajian itu adalah sesuatu yang tidak jauh lari daripada realiti kehidupan seharian sekarang.

Ramai daripada kita tidak menjadikan amalan membaca al-Quran dan tafsirannya sebagai rutin harian dengan pelbagai alasan terma­suk kerana sibuk bekerja dan mengurus anak-anak.

Fenomena itu adalah sesuatu yang menakutkan kerana umat Islam kini diserang daripada segenap penjuru, bukan sahaja oleh musuh Islam malah oleh Muslim berfahaman liberal yang tidak segan silu mengeluarkan pelbagai ‘fatwa songsang’ sehingga menyebabkan umat Islam yang kurang asas agama terpengaruh.

Sehubungan itu, kita menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Jumaat lalu agar semua program anjuran istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat al-Quran beserta maksudnya.

“Ini adalah sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan apresiasi ummah begitu juga sebagai usaha untuk menangani sebarang salah faham masyarakat umum terhadap al-Quran.

“Ayat yang di­pilih tidak perlu panjang tetapi ayat-ayat tersebut hendaklah terdiri daripada ayat-ayat yang ada kaitan dengan sesuatu acara yang dianjurkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan majlis pengurniaan watikah kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan 21 ahli majlis di Kompleks Islam Ipoh.

Di samping itu, Sultan Nazrin bertitah, ramai ummah membaca surah Yasin; dijadikan amalan dibaca pada setiap malam Jumaat, di majlis tahlil, di sisi insan berke­adaan nazak, di tanah perkuburan dengan memohon ganjaran daripada bacaannya dihadiahkan kepada roh mereka yang telah berada di alam barzakh dan ketika ummah memohon agar Allah memakbulkan sesuatu hajat.

“Namun, inti pati utama yang terkandung di dalam surah Yasin amat sedikit difahami, jauh daripada dihayati apatah lagi untuk diyakini akan rahsia dan muslihat kalam Ilahi. Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca, ayat-ayat al-Quran tidak sekadar untuk dihafal. Kandungan al-Quran wajib difahami, wajib dikaji, wajib diselami; diterokai khazanah ilmu yang tersirat di sebalik yang tersurat hingga ummah menemui mutiara berharga yang terkandung di dasar kitab.

“Lalu dijadikan pakaian ummah ketika menyempurnakan tugas dan tanggungjawab terutama dalam memenuhi amanah mengurus tadbir negara dan menjalankan urus niaga,” titah Sultan Nazrin.

Jelas baginda, daripada 6,238 ayat al-Quran, 228 daripadanya menyentuh perkara-perkara awam berkaitan ekonomi, undang-undang dan susun atur sosial yang wajib dijadikan rujukan oleh setiap umat Islam agar roh Islam dapat dijelmakan dalam atur urusan dunia.

“Umat Islam wajib didampingkan dan masyarakat umum wajib difahamkan dengan kandungan al-Quran. Minat mempelajari dan minat mengkaji al-Quran perlu dihidupkan di hati setiap ummah sehingga terbentuknya rasa kasih dan rasa cinta kepada al-Quran dan terbinanya budaya mempelajari al-Quran sepanjang hayat,” titah baginda.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad yang mengulas titah Sultan Nazrin itu menyeru Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain agar mencontohi langkah yang dilaksanakan oleh pihak istana dan kerajaan Perak.

“Setakat ini saya dapati tiada arahan rasmi supaya amalan ini dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain, jadi sudah sampai masanya ia dibuat selaras dengan pelancaran model Indeks Syariah Malaysia baru-baru ini.

“Kita menyambut baik pelancaran indeks ini yang bertujuan memastikan lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial memenuhi objektif syariah. Lebih baik jika ia turut diiringi dengan usaha mewajibkan bacaan al-Quran dalam setiap majlis,” ujar­nya.

Beliau berkata, jika amalan itu dijadikan satu arahan rasmi ia sudah tentu akan dapat menaikkan imej Malaysia sebagai negara yang memartabatkan Islam kerana di negara-negara Asia Barat sendiri amalan berkenaan tidak dilaksanakan secara menyeluruh.

“Setakat yang saya tahu, di negara-negara Arab bacaan al-Quran ketika permulaan majlis dibuat atas inisiatif ketua-ketua jabatan atau agensi kerajaan sahaja dan tiada arahan rasmi daripada pemerintah negara,” katanya.

Tambah beliau, selain terjemahan ayat al-Quran secara literal ke bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, adalah lebih baik ia disertai ‘tazkirah’ ringkas bagi menghurai ayat-ayat yang telah dibaca berkenaan.

“Ini adalah amalan yang paling baik bagi membolehkan para hadirin lebih memahami maksud ayat yang telah dibacakan ini terutama yang berkaitan dengan isu semasa atau secara khusus menyentuh mengenai tujuan majlis diadakan,” ujar beliau.