Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kesabaran senjata ampuh tegak kebenaran

Posted by epondok di Februari 16, 2015


Oleh Zamanuddin Jusoh

Naluri manusia amat suka kepada kekuatan, kekuasaan dan mereka sentiasa berusaha untuk mendapatkan kelebihan itu. Namun, kedua-dua kelebihan itu tidak dapat menentukan sesuatu kebenaran kerana ia adalah sesuatu yang sabit dan tetap daripada Allah SWT.

Oleh itu, kebenaran menjadi arah pedoman untuk kehidupan lantaran tautan yang kukuh dengan hidayah daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu dan jangan kamu termasuk daripada golongan mereka yang ragu-ragu.” (Surah al-Baqarah, ayat 147)

Ayat ini berkisar perbuatan mereka menyembunyikan kebenaran kerasulan Baginda SAW yang diterangkan dalam kitab terdahulu. Namun, menolak kebenaran menjadi kebiasaan kerana jiwa yang berpenyakit.
Justeru, kebenaran ada hubung kait dengan hubungan yang benar dengan Allah dan sesama manusia. Ini hal yang sangat penting untuk difahami. Maka, hikmah daripada setiap perintah Allah SWT tetapkan adalah mengukuhkan hubungan kita dengan-Nya dan sesama manusia.

Hubungan erat itu umpama hubungan yang terjalin antara roh dan jasad dan tidak dapat dipisahkan.

Kekuatan jiwa adalah kunci kepada kebenaran hakiki kerana asas kebenaran ialah kekuatan jiwa.

Namun, kekuatan itu sendiri berlainan pada setiap jiwa kerana manusia mempunyai pemikiran yang berlainan antara satu sama lain. Dengan kekuatan jiwa, seseorang dapat mengawal dirinya, mendominasi orang lain atau tidak dapat mengawal diri dan orang lain.

Kekuatan lawan nafsu amarah

Seorang mukmin dapat mengawal dirinya dan sentiasa istiqamah pada jalan Allah SWT. Dia juga dapat berhadapan dengan seruan kebatilan dengan jayanya. Padanya ada dua kekuatan iaitu kekuatan melawan nafsu amarah dalam jiwa dan kekuatan menentang kebatilan.

Tetapi orang kafir hanya mempunyai satu kekuatan sahaja iaitu hanya mampu mengawal diri dan tidak dapat menolak kebatilan yang datang hingga terjerumus ke kancah kebatilan.

Ada juga golongan yang tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mampu menghadapi kebatilan yang datang. Mereka ialah orang munafik yang hilang segala kekuatan dan pada masa sama terpaksa mengaku pada zahir kerana tidak sanggup berhadapan dengan kebenaran. Nauzubillah.

Kedua-dua jalan ini (kebenaran dan kebatilan) tidak akan bertemu buat selamanya kerana kedua-dua jalan ini tidak pernah sekata. Al-Quran telah memperjelaskan hal ini kerana al-Quran adalah pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Al-Quran juga dipanggil al-furqan yang membawa maksud pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Saidina Umar dipanggil al-faruq kerana memisahkan antara kebenaran dan kebatilan. Melalui kisah Umar, dapat disimpulkan kebenaran tidak pernah mengenal sesiapa dan ia adalah kekuatan pendokong kebenaran.

Apatah lagi beliau adalah seorang yang dikenali dan ditakuti ketika itu. Ini menjelaskan kebatilan akan luntur dan hilang setelah datangnya kekuatan melalui kebenaran itu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakanlah bahawa datangnya kebenaran yang akan melenyapkan kebatilan. Sesungguhnya yang batil itu pasti akan lenyap juga.” (Surah al-Israk, ayat 81)

Mereka yang bersama kebenaran tidak goyang dengan musuh yang ramai disebabkan kekuatan tadi. Baginda SAW sendiri bermula dengan sendirian sehingga menerima pelbagai tentangan. Akhirnya, kebenaran Islam dapat diterima peringkat demi peringkat sehingga hari kiamat.

Di samping keyakinan dan kekuatan, ketakwaan juga akan membantu dalam mencari kebenaran kerana ia adalah neraca bagi orang yang beriman.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika kamu sekalian bertakwa kepada Allah SWT, nescaya kamu akan diberi petunjuk kebenaran dan diampunkan dosa kamu.” (Surah al-Anfal, ayat 29)

Ayat ini mengaitkan keimanan dan ketakwaan sebagai jalan menuju kebenaran. Maka, berbahagialah bagi mereka yang mencari kebenaran melalui iman dan takwa, seterusnya mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Bagaimanapun, kebenaran dicari adalah sesuatu yang pahit dan akan sentiasa ditentang oleh kebatilan. Justeru, ketahanan diperlukan bagi melawan kebatilan dan kesabaran adalah senjata ampuh untuk berbuat demikian.

Pertahan kebenaran

Senjata ini dapat dilihat pada surah al-Asr yang menekankan wasiat kebenaran dan kesabaran. Di sini menunjukkan pentingnya manusia menerima kebenaran dan mempertahankan kebenaran dengan penuh kesabaran. Tetapi, kebatilan sunyi daripada sifat sabar dan akhirnya manusia menjurus ke arah kekerasan.

Keganasan akan berlaku setelah segala dalil dan hujah yang menjadi asas mencari kebenaran tidak lagi digunakan. Maka, bahasa kekerasan akan digunakan bagi menutup segala kebatilan. Kebenaran adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan walaupun sudah pasti kebatilan akan lenyap.

Kebenaran dan kebatilan tidak akan bersatu buat selamanya kerana perbezaan titik mula dan penghujungnya. Namun demikian, kedua-duanya akan terserlah walaupun mengambil masa yang panjang.

Pengetahuan mengenai yang hak dan batil juga dapat membentuk insan memiliki semangat juang kental serta lebih berani kerana kita semakin yakin dengan apa yang kita lakukan. Oleh itu, kita seharus mendalami sesuatu ilmu sebelum menyangkal atau membantah sesuatu perkara yang dianggap bertentang pandangan kita.

Jadi, untuk mengelakkan sesuatu salah faham, kita perlu menegakkan kebenaran dan menjauhi kebatilan.

Kita hendaklah meyakini bahawa kebenaran adalah kekuatan yang akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Islam adalah agama keamanan, bukan keganasan sebagaimana anggapan sesetengah pihak kerana ia agama kebenaran yang dibuktikan dengan hujah dan dalil yang jitu. Sebenarnya, kebatilan dan kekufuran yang mencetus keganasan kerana gagal dalam hujah serta dalil.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: