Selepas baginda wafat, Khalifah Umar bin Khattab mengutus beliau ke Palestin untuk mengajarkan al-Quran. Ubadah terus tinggal di negeri tersebut hingga wafat pada 34 Hijrah. Waktu itu usia beliau telah mencapai 72 tahun.

Menelusuri sejarah hidup sahabat Nabi yang mulia ini memberi banyak pengajaran yang sangat penting. Salah satunya ialah kepentingan berdisiplin dalam menjaga diri daripada dosa dan maksiat.

Walaupun usia Ubadah sudah lanjut, namun beliau tidak pernah berasa aman daripada tipu daya hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Beliau berkata: “Tidakkah kamu melihat bahawa aku tidak mampu berdiri melainkan didokong. Aku hanya memakan makanan yang telah dilembutkan. Dan kemaluanku telah lama mati.

“Namun begitu, aku tetap tidak ingin berkhalwat dengan wanita yang tidak halal bagiku walaupun dibayar seisi dunia sekalipun.”

Ubadah melanjutkan: “Itu kerana aku bimbang suatu saat syaitan akan datang lalu menggerakkannya kembali.” (Siyar A’lam al-Nubala)

Jiwa muslim

Demikianlah jiwa Muslim yang selalu waspada. Seorang Muslim tidak boleh berasa aman daripada tipu daya syaitan. Walaupun sudah tua dan tidak bertenaga, ataupun telah banyak beribadah dan mengumpul pahala. Selagi nyawa masih berada di dalam tubuh, syaitan tidak akan berhenti menyesatkan manusia.

Merenungi keadaan diri kita, sepatutnya kita berasa lebih bimbang daripada Ubadah bin al-Samit.

Itu kerana Ubadah seorang ahli Badar yang telah diampuni dosanya oleh Allah SWT. Beliau sangat soleh dan jasanya kepada Islam sangat banyak.

Sementara kita belum cukup mengumpulkan bekalan akhirat. Kita pun masih suka menurutkan hawa nafsu. Justeru, jangan sesekali kita berani menghampiri maksiat, apa lagi berasa diri mustahil terjatuh ke dalam dosa.

Pintu syahwat

Salah satu pintu maksiat yang selalu digunakan syaitan ialah pintu syahwat. Ramai manusia yang tewas di pintu ini. Tidak kira usia, darjat ataupun status. Bahkan seorang tokoh agama sekalipun terkadang tewas apabila diuji menerusi pintu ini.

Tidak hairan apabila Allah SWT bukan hanya melarang kita daripada zina. Akan tetapi menyuruh kita untuk menjauhkan diri daripada zina. Maknanya, kita dituntut untuk menutup setiap peluang dan kesempatan yang membawa kepada perilaku zina seperti berkhalwat, sembang antara laki-laki dan perempuan tanpa hajat, berlebih dalam gurauan dan lain sebagainya.

Allah berfirman yang bermaksud: Janganlah engkau mendekati zina. Sesungguhnya zina ialah dosa yang sangat keji dan jalan yang sangat buruk. (al-Isra’: 32)

Pada masa yang sama, kita disuruh untuk menjaga kesopanan dalam pergaulan, pemakaian dan perkataan. Kita juga disuruh untuk menundukkan pandangan. Rasulullah SAW menjamin syurga bagi sesiapa yang mampu mengawal hawa nafsunya.

Baginda bersabda: Siapa yang menjaga apa yang berada di antara kedua pahanya (iaitu kemaluan) dan kedua rahangnya (iaitu lidah), maka aku menjamin syurga baginya. (riwayat al-Bukhari)

Galakan ini berlaku untuk semua orang tanpa mengira usia dan jantina. Siapapun kita, berapa pun usia kita,apapun profesion kita, jangan pernah berasa aman daripada tipu daya syaitan.

Siapa yang waspada, ia akan selamat. Siapa yang lalai, ia akan terkandas. Wallahua’lam