Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2015

Bekerja sara keluarga tugas mulia

Posted by epondok di Februari 28, 2015

Oleh Norhayati Paradi

Modal paling berharga untuk mencari kemuliaan di akhirat ialah bekerja mencari rezeki untuk menyara keluarga. Ikuti kupasan mengenainya oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam Islam Itu Indah.

Tanda cinta pada akhirat adalah menjadikan dunia sebagai alat dan jalan. Caranya, menjadikan setiap yang ditempuh sebagai sumber pahala.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam Islam Itu Indah yang bersiaran jam 10.15 pagi di IKIMfm, berkata cara paling mudah untuk meraih pahala daripada setiap tenaga dan masa yang dilalui adalah menerusi pekerjaan. Kerja sebagai amanah, tanggungjawab seorang khalifah kepada Pentadbir seluruh alam.
Jadikan modal di dunia sebagai sebesar-besar keuntungan di akhirat menggunakan kerja dilaksanakan dengan hati. Isu curi tulang menular dalam kalangan kakitangan awam menerusi aktiviti makan dan membeli-belah pada waktu bekerja semakin galak diperkatakan kebelakangan ini.

Persoalannya, adakah umat Islam hari ini sudah tidak mementingkan kerja atau memandang remeh dan enteng pekerjaannya? Pada yang endah tak endah terhadap kerja diamanahkan mungkin sudah tiba masa untuk memikirkan mengenai pahala boleh diperoleh menerusi pekerjaan.

Promosi ini akan memberi gambaran tingginya nilai profesion di sisi Islam sehingga melihat pekerjaan mengikut pandangan yang ditetapkan oleh Allah SWT bukannya pandangan sendiri.

Bina kekuatan untuk bekerja

Bagi mengelakkan cuai dan culas dalam melaksanakan tugasan selain memberi persepsi lebih tepat mengenai kerja, Pahrol menggariskan beberapa perkara untuk membina kekuatan serta anjakan paradigma. Kerja adalah ibadah dan sangat berkaitan dengan tujuan hidup, justeru kerja membawa kepada ketaatan kepada Allah SWT.

Jelaslah kerja itu ada nilai pahala dan jika tersilap langkah dalam pelaksanaannya akan bertukar menjadi dosa. Maka wujudlah nilaian syurga dan neraka pada pekerjaan. Jika kerja dikaitkan syurga akan wujud tanggapan kerja itu penting.

Meskipun kerja dilakukan di dunia tetapi impaknya berkekalan di akhirat. Jika syurga dan neraka menjadi ukuran, maka akan termansuh pandangan remeh terhadap sesuatu pekerjaan.

Selain itu, kerja dan profesion yang dijawat adalah satu tanggungjawab khalifah yang berkait tujuan hidup manusia sebagai wakil ditugaskan Allah SWT mengurus tadbir dunia ini dengan agama. Sebagai khalifah, semestinya tugas untuk memberi kebaikan kepada orang dan makhluk lain.

Kerja adalah landasan untuk melunaskan tanggungjawab sebagai khalifah. Memetik sabda Rasulullah SAW dalam menghayati kerja sebagai cara menyumbang kebaikan: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia.”

Sesungguhnya cara untuk mendapatkan kebaikan adalah dengan memberi kebaikan terlebih dahulu. Kebaikan dan manfaat ini boleh direalisasikan menerusi pekerjaan dilakukan.

Sesungguhnya setiap manusia yang lahir ke dunia telah berjanji dengan Allah SWT di alam roh untuk memikul amanah yang diingatkan berkali-kali menerusi bacaan doa iftitah ketika menunaikan solat. Berjanji untuk amanah menerusi kerja sebagai bukti pelaksanaan amanah itu.

Amanah itu berat kerana berkait dengan iman. Jika berlaku pecah amanah atau khianat dalam tugasan, bukan hanya melanggar etika kerja dan aku janji dengan majikan, malah lebih daripada itu telah melanggar aku janji kepada Allah SWT.

Secara tidak langsung, ia memberi kesan terhadap iman kerana salah satu ciri orang munafik adalah khianat atau curang apabila diberi amanah. Ternyata elemen gaji, surat amaran dan surat tunjuk sebab bukan fokus utama pelaksanaan kerja tetapi elemen amanah itu jauh lebih penting.

Sumber raih cinta Tuhan

Kerja juga penting sebagai sumber memperoleh kecintaan daripada Allah SWT. Hiraki cinta tertinggi yang mesti diraih dan digapai semestinya cinta kepada Allah SWT. Apabila wujud cinta kepada Allah SWT, secara automatik segala-galanya akan menjadi milik kita.

Tetapi sebaliknya, segala-galanya dimiliki tanpa cinta Allah SWT akan hilang. Bagi meraih cinta Allah SWT dengan pekerjaan hendaklah kerja dibuat seelok-eloknya bagi menepati sabda Rasulullah SAW: “Bahawa Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” (Riwayat Baihaqi)

Ada tiga tangan yang dicium oleh Rasulullah SAW iaitu tangan pertama adalah tangan Sa’ad bin Mua’adz. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, ketika pulang dari perang Tabuk’, Rasulullah SAW bertemu Sa’ad bin Mua’adz Al Anshari lalu berjabat tangan. Rasulullah SAW melihat tangan Sa’ad bin Mua’adz yang kulitnya kehitam-hitaman dan melepuh seperti terpanggang, Kemudian Rasulullah bertanya: Apa yang terjadi dengan tanganmu? Sa’ad menjawab: Wahai Rasulullah, aku menggunakan tanganku untuk mengolah tanah dengan cangkul, untuk menafkah keluargaku dengan halal sehingga tanganku tebal dan kasar. Rasulullah SAW pun mencium tangan Sa’ad bin Mua’adz Al Anshari sebagai penghormatan seraya berkata: Tangan ini tidak akan disentuh api neraka.”

Rasulullah SAW mencium tangan Mu’adz bin Jabal r.a yang kasar dan tebal juga disebabkan bekerja untuk menyara keluarga. Tangan itu sangat dicintai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Terakhir adalah tangan puteri Baginda, Saidatina Fathimah az-Zahra. Tangannya juga kasar dan keras tetapi Baginda dengan penuh perhatian mencium tangan puterinya kerana tangan itu digunakan untuk bekerja keras menggiling gandum menyiapkan makanan bagi kedua-dua puteranya serta suami.

Dalam meraih cinta Allah SWT melalui kerja, kita boleh mengamalkan beberapa doa antaranya doa Nabi Ibrahim: “Ya Allah aku pinta cintaMu. Aku pinta cinta orang yang mencintai-Mu dan aku pinta cinta kepada sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu.”

Akhir sekali, lakukan kerja untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. Terdapat dosa yang akan di ampunkan jika kita minta ampun, ada dosa yang akan di ampunkan oleh Allah SWT apabila bertaubat. Ada dosa yang diampunkan tanpa minta ampun mahupun bertaubat iaitu dosa kecil letih bekerja, waktu petang dosanya akan diampunkan.

Usah biarkan gaji yang kecil membawa bersama pahala yang kecil, biar bergaji kecil asalkan pahala besar di sisi Allah SWT. Usah jadikan diri dungu, terjun ke dalam jurang kebinasaan yang dimasuki oleh orang atasan yang tidak punya rasa tanggungjawab pada dirinya sendiri apatah lagi orang lain.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Amalan sunnah ketika hadapi kematian

Posted by epondok di Februari 27, 2015

KEMATIAN merupakan fitrah buat semua makhluk yang bernyawa. Tiada siapa yang akan kekal hidup selama-lamanya melainkan Allah SWT semata-mata. Ia merupakan rahsia yang telah tertulis sejak di dalam rahim lagi yang mana tiada sesiapapun mengetahui bila dan bagaimana kematiannya.

Apabila kematian itu tiba, tiada siapa mampu menangguhkannya atau mengelak daripadanya. Ia merupakan nasihat dan peringatan terbaik buat kita yang masih hidup agar sentiasa bersedia dengan amal soleh sebelum maut menjemput tiba.

Rasulullah SAW meninggalkan banyak panduan buat umatnya untuk menghadapi keadaan ini. Berikut dikongsikan buat semua beberapa sunnah yang penting buat pelajaran dan amalan kita semua apabila berdepan dengan situasi kematian.

1. Mengucapkan istirja’ iaitu kalimah Innalillahi wainna ilahi raji’uun yang bermaksud sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami akan kembali. Hendaklah diingat bahawa kalimah ini bukanlah diucapkan semata-mata apabila menghadapi kematian tetapi apa jua musibah yang menimpa baik kemalangan, kecurian, hatta musibah yang kecil sekalipun.

2. Mendoakan kebaikan buat jenazah sebagaimana yang telah disebutkan di dalam banyak hadis. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah bahawa Nabi berkata: Apabila kalian menghadiri orang yang sakit atau jenazah maka ucapkanlah kebaikan kerana sesungguhnya malaikat akan mengaminkan apa yang dia ucapkan. (riwayat Muslim)

3. Bersabar dan tidak meratapi jenazah. Ini merupakan tuntutan yang diseru oleh Islam kerana perbuatan meratap merupakan adat jahiliah yang dilarang syarak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bukanlah termasuk daripada golongan kami sesiapa yang menampar-nampar pipi, mengoyakkan baju dan menyeru dengan seruan jahiliah (meratap). (riwayat al-Bukhari)

Fitrah manusia

Perasaan sedih adalah fitrah manusia apabila berlakunya kematian orang yang tersayang. Menangis tidaklah dilarang kerana ia sesuai fitrah manusia namun hendaklah tidak melampaui batas sehingga meratap.

Rasulullah SAW juga pernah menangis apabila anak lelakinya meninggal dunia lalu beliau berkata: “Tidak mengapa (menangis), yang aku larang ialah menangis dengan suara meratap sambil mencakar muka, merobek baju dan meratap seperti suara ratapan syaitan.” (riwayat al-Tirmizi)

4. Menyegerakan proses pengebumian jenazah termasuk sunnah yang diperintahkan oleh Rasulullah S.AW. Ia termasuk hak para jenazah yang perlu ditunaikan seberapa segera mungkin dan perbuatan melambat-lambatkan pengebumian jenazah tidaklah dianjurkan di sisi syarak.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Percepatkanlah membawa jenazah (ke kuburan) kerana jika jenazah itu orang soleh, maka kalian telah mempercepatkan kebaikan buatnya dan jika tidak (bukan orang yang soleh) maka kalian telah melepaskan keburukannya daripada bahu-bahu kalian. (riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika jenazah itu dibawa oleh orang ramai di atas bahu-bahu mereka dan jenazah itu termasuk orang yang soleh maka dia akan berkata: Segerakanlah kalian (membawaku ke kuburanku). Dan jika dia bukan daripada kalangan orang yang soleh maka dia akan berkata: Celaka, ke mana mereka hendak membawaku! Suara jenazah itu didengari oleh semua makhluk kecuali manusia. Seandainya ada manusia yang mendengarnya nescaya dia akan jatuh pengsan. (riwayat al-Bukhari)

5. Ikut solat jenazah dan mengirinya ke kubur jika mampu. Ini merupakan sunnah yang sangat dituntut buat para lelaki Muslim kerana besarnya pahala dan ganjaran yang dikurniakan Allah SWT di dalamnya. Bahkan ia termasuk hak seorang Muslim yang perlu ditunaikan, bukan sebaliknya meremehkannya.

Pahala satu qirath

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menyembahyangkan jenazah maka baginya pahala satu qirath dan sesiapa yang menghantarnya sehingga jenazah itu diletakkan dalam kubur maka baginya pahala dua qirath. Dalam riwayat lain disebutkan tentang ukuran qirath itu iaitu sebesar Gunung Uhud. (riwayat Muslim)

Ibnu Umar pernah meluahkan penyesalannya kerana mengabaikan sunnah ini hingga beliau menggenggam tanah dan melemparkannya lalu berkata: Sesungguhnya kita telah mensia-siakan qirath yang banyak. (riwayat Muslim)

Demikianlah beberapa sunnah-sunnah yang boleh kita sama-sama amalkan apabila berdepan situasi ini.

Tidak sewajarnya kematian seorang Muslim menjadi bahan gurauan dan ejekan. Bahkan ia sepatutnya menjadi nasihat terbaik buat kita yang masih hidup.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Generasi muda sumber kekuatan ummah

Posted by epondok di Februari 25, 2015

Dr Burhanuddin Jalal

Generasi muda adalah kelompok besar dalam masyarakat. Di negara di sebelah Timur, belia adalah 70 peratus daripada jumlah penduduk sementara di negara Barat jumlah generasi muda hanyalah 30 peratus.

Berdasarkan aspek itu, generasi muda di sebelah timur mempunyai peluang membina tamadun dalam abad akan datang kerana kita mempunyai sumber tenaga manusia yang lebih besar. Namun, generasi muda Barat yang hanya 30 peratus itu mempunyai kesungguhan dan kemampuan lebih besar.

Kemajuan, kehancuran sesebuah bangsa

Kita perlu sedar generasi muda mempunyai banyak kelebihan untuk digerakkan bagi membina umat dan negara. Masa depan sesuatu umat bergantung kepada generasi mudanya. Pakar psikologi meramalkan kemajuan dan kehancuran sesebuah bangsa dapat dilihat melalui generasi mudanya.
Pakar sosiologi telah melakukan penyelidikan di universiti serta pusat pengajian tinggi berkaitan kecenderungan, minat dan tujuan hidup generasi muda. Hasil kajian itu dibentangkan serta dibincangkan.

Sebenarnya kajian pakar sosiologi ini telah dilakukan sejak 1,400 tahun lalu di Sepanyol (Andalusia) yang berada dalam pemerintahan Islam selama 800 tahun dan kemudian jatuh ke tangan Portugal.

Tentera Portugal tidak terus menyerang Andalusia sebelum mengetahui apakah kelemahan rakyatnya. Portugal telah menghantar pengintip ke Andalusia untuk mengawasi pergerakan dan kegiatan generasi muda, kemudian hasil pemerhatian serta penyelidikan dihantar ke Portugal untuk dianalisis.

Pengintip atau perisik Portugal mendapati pada satu peringkat, generasi muda Andalusia sibuk dengan ilmu pengetahuan dan pengajian. Mereka dapati belia saling berlawanan siapakah yang lebih hebat menghafaz hadis dan ilmu agama.

Meneliti kepada keadaan itu, perisik Portugal tidak menyerang Andalusia, tetapi beberapa tahun kemudian, mereka kembali dan mendapati generasi muda di sana sibuk dengan kesusasteraan. Kemudian didapati generasi muda Andalusia tidak memanfaatkan masa lapang mereka dengan kegiatan tidak berfaedah dan tidak lagi cintakan ilmu.

Mereka telah bertemu dengan generasi muda yang lemah. Berdasarkan keadaan itu perisik Portugal berasakan itulah masa yang tepat untuk menyerang Andalusia. Akhirnya, Andalus yang dikuasai pemerintahan Islam selama 800 tahun jatuh ke tangan Portugal dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Ternyata faktor generasi muda menjadi salah satu punca kekalahan itu dan ia menepati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kepada orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu; dan tiadalah Kami menganiaya mereka (dengan pengharaman itu), tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Surah an-Nahl, ayat 118)

Generasi muda jadi sasaran

Jelaslah kepada kita mengapa generasi muda menjadi sasaran. Oleh itu, sesuatu tindakan perlu dilakukan untuk menyelamatkan generasi muda.

Sesungguhnya kita telah banyak mengalami kerugian dan kehilangan dalam kehidupan ini. Namun segala kerugian dan kehilangan itu bukanlah disebabkan oleh generasi muda semata-mata, tetapi banyak faktor lain yang turut menyumbang.

Selain itu kita juga perlu mengakui banyak lagi nilai positif yang ada pada generasi muda yang boleh dimanfaatkan. Justeru, tenaga serta jumlah mereka yang ramai boleh dijadikan sumber kekuatan kepada ummah untuk lebih membangun.

Pada masa sama, kita perlu memastikan generasi muda tidak leka dan terpengaruh dengan anasir yang melalaikan mereka daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai kumpulan yang memiliki kemampuan memajukan bangsa serta negara.

Tidak dinafikan banyak kaedah digunakan untuk menjadikan generasi muda tersasar daripada landasan sebenar. Pihak berkaitan perlu memainkan peranan proaktif dengan memberi kesedaran terhadap ancaman perlu dielakkan supaya tidak terjebak dalam kegiatan negatif yang hanya merugikan.

Sebaliknya, andai golongan itu diketengahkan untuk menunjukkan kemampuan masing-masing, mereka boleh menghasilkan keajaiban kerana tenaga serta pemikiran generasi muda sangat kreatif. Sewajarnya kelebihan ini dimanfaatkan untuk menghasilkan keputusan terbaik bagi ummah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Umat Islam yang terpelajar

Posted by epondok di Februari 24, 2015

DR SULAIMAN NOORDIN
BAHAGIAN ini membincangkan perkara berkaitan kedudukan ilmu dari segi Islam, sumbernya, hierarkinya, jenis dan hukumnya. Ia turut membincangkan dan menjelaskan konsep ‘ilmu sepadu’, konsep sekularisme (duniawi) serta teori menyesatkan pemikiran terdapat dalam ilmu Barat sekular moden.
KEDUDUKAN ILMU

Islam memerintahkan umatnya untuk mencari ilmu supaya menjadi terpelajar agar boleh mengambil tempat sewajarnya sebagai hamba ALLAH SWT di muka bumi ini. Rasulullah SAW bersabda: “Mencari ilmu itu adalah wajib untuk sekalian Muslim sama ada perempuan atau lelaki.”

Ilmu sangat diutamakan umat Islam sehingga terdapat lebih kurang 800 rujukan berkaitan ilmu dalam al-Quran. Malah ayat pertama yang turun kepada Rasululah SAW berbunyi: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan (Surah Al-’Alaq: 1)

Istilah ‘baca’ berkaitan langsung dengan cara mencari ilmu. Ia merujuk kepada buku, tulisan dan sebagainya. Ilmu yang terpenting adalah berkaitan dengan pembangunan insan (kepada agamanya), akidahnya, Tuhannya serta memahami hukum-hakam ALLAH.

Apabila seseorang itu beriman bahawa ALLAH itu Maha Esa, dia diperintah mencari ilmu dan beramal soleh. Ilmu di sini merujuk kepada ilmu fardu ain.
SUMBER ILMU (Epistemology of Knowledge)

Sumber ilmu Islam berbeza dari segi penekanan dan susunannya jika dibandingkan dengan sumber ilmu Barat sekular moden. Budaya Barat sekular tidak mengiktiraf adanya Tuhan, Rasul ALLAH, kitab suci ALLAH, malaikat, hari kiamat, hari pembalasan dan alam akhirat. Oleh itu sebagai perbandingan, sumber ilmu tersebut disenaraikan seperti dalam rajah di bawah:

Barat sekular mempunyai kekurangan yang besar kerana menafikan adanya ALLAH. Barat sekular tidak berpegang kepada sebarang nilai mutlak, malah semua nilai dianggap nisbi (relatif). Agama dianggap sebagai budaya yang dicipta manusia.

Sebenarnya bukan semua agama atau ideologi dicipta oleh manusia. Ada agama (dari langit) yang berasal daripada ALLAH yang suci daripada tambahan dan kekurangan.

(a) Ilmu daripada wahyu:

Ilmu daripada wahyu diistilahkan sebagai ilmu ‘tanzil’ (ilmu yang turun daripada langit). Definisi wahyu ialah ‘Kalam ALLAH yang diturunkan ke atas nabi atau rasul-Nya melalui malaikat Jibrail AS. Ia perlu disertai dengan mukjizat. Mukjizat adalah perkara yang luar biasa yang dikurniakan ALLAH kepada rasul-Nya untuk meyakinkan umat manusia risalah yang dibawa oleh mereka itu adalah daripada ALLAH.

Umpamanya antara mukjizat Nabi Musa AS ialah tongkatnya dapat menjadi ular besar menelan ‘ular-ular’ ahli sihir. Tokoh sihir pada masa itu mengiktiraf ular Nabi Musa adalah mukjizat, bukan sihir.

Nabi Isa AS pula boleh mencelikkan semula orang yang sudah buta dan menghidupkan orang yang sudah mati. Sedangkan pakar perubatan Mesir pada masa itu tidak mampu berbuat demikian.

Mukjizat berbeza daripada sihir atau silap mata kerana sihir adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh manusia biasa. Ia boleh dipersembahkan dan ditunjukkan kepada peminat seperti mana yang dilakukan oleh David Coperfield seorang ahli sihir yang terkenal di dunia.

Tetapi wahyu yang diterima Rasulullah SAW diturunkan secara tiba-tiba dalam masa kecemasan atau keperluan, untuk menjawab soalan sahabat atau orang yang bertanya bagi tujuan menyelesaikan sesuatu masalah.

Waktu wahyu turun tidak boleh ditentukan sebelumnya tetapi ia adalah mengikut kehendak ALLAH bukan rasul-Nya. Wahyu membawa syariat, perundangan, sejarah manusia awal, berita berkenaan alam ghaib dan nilai akhlak yang mulia.

Ilmu sihir tidak membawa ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Kalau ia mempunyai manfaat hanya bersifat sementara bagi seseorang individu atau sekumpulan manusia yang bertujuan untuk menyesatkan mereka. Ilmu sihir datang daripada jin atau Iblis.

Manakala wahyu terkandung dalam buku suci seperti:
– Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud AS (David).
-Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS (Moses).
-Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS (Jesus).
-Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Semua Nabi ALLAH menyeru kepada Tauhid iaitu ALLAH adalah tunggal, Maha Esa dan Dia adalah tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia. (Surah Al-Ikhlas: 1-4)

Sifat ALLAH seperti inilah yang dikatakan Tauhid yang tulen yang tidak menyerupakan ALLAH dengan makhluknya. Setiap buku suci ALLAH membenarkan Tauhid. Islam mengiktiraf kerasulan semua nabi berkenaan. Mereka dianggap mempunyai martabat yang tinggi di sisi ALLAH. Nabi SAW sebagai Rasul ALLAH yang terakhir membawa agama yang tersempurna iaitu mengandungi perundangan dan cara hidup yang tersempurna.

Bagi membuktikan kebenaran Nabi SAW sebagai Rasul yang terakhir, Baginda SAW diberi al-Quran sebagai mukjizat yang unggul. Ajaran al-Quran tidak bertentangan dengan logik malah selaras dengan fitrah, akal dan sains serta membawa nilai sejagat yang adil dan boleh diterima oleh semua bangsa di setiap zaman dan tempat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Konsep 7M lahir generasi al-Quran

Posted by epondok di Februari 23, 2015

Oleh Maslina Alias

Generasi 7M adalah generasi yang memiliki ciri-ciri generasi al-Quran. Dalam melahirkan generasi al-Quran, pendidikan perlu menyeluruh sama ada bagi membina masyarakat, keluarga, anak serta individu yang memiliki tujuh ‘M’.

Pertama ialah mempelajari iaitu merujuk kepada kehendak untuk belajar al-Quran sebagai gudang ilmu yang perlu diterokai. Jika perkara utama itu tidak ada dalam diri seseorang, maka amat sukar untuk membentuk seseorang itu menuju kejayaan sebagai generasi al-Quran.

Kedua ialah membaca al-Quran. Membaca bukan sahaja merujuk kepada membaca sahaja tetapi juga bermaksud mendengar bacaan al-Quran dibaca oleh orang lain, seperti mana Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Mas’ud untuk memperdengarkan bacaan al-Quran kepada Baginda.

Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda kepadaku: “Bacakanlah al-Quran untukku. Aku berkata: Wahai Rasulullah, saya membacakan al-Quran untuk tuan? Pada hal kepada tuanlah al-Quran diturunkan. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku ingin mendengar al-Quran dibaca oleh orang lain. Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat 41. Kemudian Baginda bersabda: Cukuplah sampai di sini. Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW sepatutnya dijadikan iktibar kepada umat Islam, generasi sebeginilah yang perlu dibentuk bagi memimpin masa hadapan. Generasi mempunyai hati yang cair dan lebur apabila mendengar bacaan al-Quran, yang dibaca sendiri atau mendengar orang lain membacakannya.

Membaca al-Quran boleh dijadikan sebagai aktiviti atau rutin harian setiap institusi keluarga, mudah-mudahan ia memberi rahmat kepada seluruh ahli keluarga di samping dapat melembutkan hati yang keras.

Ketiga ialah mengajar al-Quran mengikut kadar ilmu yang ada dalam diri. Seseorang individu boleh mendapat kebahagiaan dengan mengajar, sama ada mengajar ilmu berkaitan bacaan al-Quran atau ilmu lain seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya.

Ustazah Norhafizah Musa dalam program Usrati mengambil contoh seorang guru sains yang hendak menceritakan mengenai kejadian manusia sepatutnya mengaitkannya dengan keindahan kejadian diceritakan dalam al-Quran untuk menarik minat pelajar sekali gus merasa lebih dekat dengan al-Quran itu sendiri.

‘M’ yang keempat ialah menghafaz ayat al-Quran, sama ada keseluruhan ayat, sebahagian daripadanya atau memberi motivasi dan galakan kepada anak untuk menghafaz al-Quran. Mereka adalah golongan yang menjaga akhlak, amanah kepada Allah SWT dan berdisiplin.

Sheikh Zainuddin Al-Malbari menulis satu syair yang menggambarkan pakej atau ciri-ciri orang menghafaz al-Quran. Qari dan hafiz haruslah berperangai dengan perangai yang baik dan diredai seperti zuhud terhadap kemewahan dunia, tidak menaruh perhatian kepada harta atau gilakan dunia.

Juga orangnya murah hati, dermawan, berakhlak mulia dan wajah berseri-seri. Seorang yang santun, penyabar, menghindari pekerjaan yang menghinakan dan sentiasa memperindahkan dirinya. Menjauhi tempat tertawa dan tidak bercanda berlebihan.

Takut pada ujub, riak, hasad, merendahkan orang lain, takbur dan sentiasa berhati-hati. Mempergunakan zikir, doa, tasbih dan tahlil yang jelas sumbernya. Selalu ingat kepada Allah SWT di saat sepi, ramai dan menyandarkan segala urusan kepada Allah SWT. Demikianlah sebahagian adab pembaca dan penghafaz al-Quran yang harus disempurnakan.

Kelima ialah merenung atau mentadabbur sementara yang keenam ialah mengamalkan. Generasi al-Quran sudah pastinya tidak akan wujud jika hanya menumpukan kepada belajar, membaca dan menghafaz, tanpa mengamalkan al-Quran.

Ketujuh, adalah mendaulatkan al-Quran yang mengandungi hukum-hakam dan syariat yang telah Allah SWT tentukan sebagai panduan hidup manusia. Generasi al-Quran sudah pasti akan menjadikan segala perintah Allah SWT dalam al-Quran sebagai perjuangan hidup dan mati mereka.

Ibu bapa perlu menjadikan 7M sebagai panduan mendidik dan menjadikan diri serta anak sebati dengan al-Quran, bermula daripada mempelajari sehinggalah mengamalkan isi kandungan al-Quran. Jangan menjadikan al-Quran rujukan apabila menghadapi kesulitan, kesusahan atau atas sebab yang memaksa.

Mohonlah kepada Allah SWT supaya menghadirkan kegembiraan dan kebahagiaan dalam hati kita untuk membaca, mengajar, belajar, mengamal ataupun memperjuangkan al-Quran. Jadikanlah saat berurusan dengan al-Quran saat yang menggembirakan supaya sentiasa ada rasa untuk berdampingan dengan al-Quran.

Sematkan rasa bahagia bertuah dalam diri bahawa Allah SWT telah memilih lidah kita untuk membaca, mata untuk menatap ayat Allah SWT, telinga untuk menadah dan mendengar ilmu mengenai al-Quran. Merasa diri tenang dan gembira dapat melaksanakan sesuatu amalan berkaitan dengan al-Quran.

Memahami konsep 7M atau generasi al-Quran, menjadikan ibu bapa lebih mengetahui cara terbaik untuk mendidik anak memiliki kualiti 7M supaya dapat menjadi benteng kepada mereka menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Agama bukan untuk dipersendakan

Posted by epondok di Februari 22, 2015

Oleh DR MOHD SANI BADRONI

 

SATANIC Verses oleh Salman Rushdie. Lukisan kartun Rasulullah di akhbar Jyllands-Posten. Penampilan gambar olok-olok Nabi di majalah Charlie Hebdo. Pembakaran al-Quran oleh Christian Dove World Outreach Centre dan filem Innocence of Muslim.

Individu dan institusi di atas bukan sahaja tidak percaya kepada Nabi Muhammad SAW, malah berang dan lebih jauh dari itu mencemuh segala ajaran suci agama.

Sungguh bagi mereka yang ragu untuk beriman, agama dan kebenaran merupakan olok-olokan sahaja. Rukun agama dipandang ringan, Tuhan dicemuh, Nabi diseloroh, pengikutnya diperolok.

Golongan skeptis bukan sekadar mengejek Baginda, bahkan mencurah fitnah terhadap kebenaran agama. ALLAH merakamkan dalam al-Quran, “mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan para rasul-Ku sebagai sasaran olok-olok” (18:106), dan dalam surah lain, “apabila mereka melihat sesuatu tanda kebesaran ALLAH, mereka menjadikannya bahan penghinaan.” (37:14)

Golongan skeptis dan sinis menggelar kebenaran agama dengan gelaran mengejek. Laman sesawang Christian Dove World Outreach Centre menuduh “Islam adalah ajaran Iblis yang ganas lagi menindas.”

Akhbar Denmark Jyllands-Posten memperkartunkan Nabi sebagai teroris, dengan gambar yang memperolokkan Baginda memakai serban berbentuk bom dengan fius yang sedang marak.

Satanic Verses memanggil Nabi sebagai ahli sulap, tukang sihir dan rasul palsu; dan turut menghina para isterinya dengan memakaikan nama mereka kepada wanita jalang. Para Sahabat dicerca sebagai “bangsat dari Farsi”.

Filem Innocence of Muslims menggambarkan Nabi sebagai “tolol, kaki perempuan, homoseks dan pendera kanak-kanak” sementara orang-orang Islam dipaparkan “pembunuh kejam, pelahap harta yang bertekad membunuh wanita dan kanak-kanak.”

Sikap dan pemikiran mereka sama dalam sejarah yang dirakam ALLAH: “Dan sungguh sebelum kamu pun telah diperolok-olokkan beberapa rasul – namun orang-orang yang mencemuhkan mereka akhirnya kalah kepada olok-olokan mereka sendiri” (6:10; juga 21:41).

Dalam ayat yang lain: “(Azab) yang lebih buruk akibatnya menimpa orang-orang yang mengerjakan kejahatan, yang mendustakan ayat-ayat ALLAH dan selalu memperolok-oloknya” (30:10).

Ayat-ayat tersebut memberi amaran balas balik: acap kali kejahatan itu menjadi punca kemusnahan dirinya sendiri. Lambat-laun, mereka yang memperolok menyisihkan agama mendapati kejahatan yang mereka lakukan berbalik tanpa dapat disekat pada dirinya sendiri.

Pertama, oleh kerana ejekan terhadap agama ALLAH mencerminkan kelekaan mementingkan nafsu dan kepentingan sempit kebendaan, kehidupan mereka sesudah mati mengalami bencana jangka panjang.

Keduanya, di peringkat sosial, sekiranya pemikiran sedemikian secara berterusan menjadi sikap ramai orang dalam masyarakat yang serba permisif, ia akan menghancurkan susunan akhlak bermasyarakat, kebahagiaan duniawi, kesaksamaan ekonomi, keseimbangan sosial, bahkan kesihatan fizikal.

Sikap mementingkan kehidupan yang fana, memandang enteng terhadap kebenaran agama, tanpa disedari akan menjadi punca kelalaian sekularis terhadap amaran ALLAH dan nasib terakhir dalam kehidupan (al-akhirah). Kebenaran itu akhirnya lebih abadi dari sekalian ejekan. “Sungguh Kami memeliharamu dari (kejahatan) orang-orang yang memperolokkan (kamu)” (15:95).

Islam menggalakkan agar dialog inter-ideologi dikendali dengan bijak dan terampil, tanpa sebarang cercaan yang makin memburukkan keadaan. “Janganlah kamu memaki sembahan yang mereka puja selain ALLAH, kerana nanti mereka akan memaki ALLAH dengan melampaui batas dan aniaya dengan jahil” (6:108), orang Islam diharamkan memaki sembahan kudus orang bukan Islam, lantas melukakan perasaan, membangkitkan kemarahan dan mencetus permusuhan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bahaya fahaman Pluralisme

Posted by epondok di Februari 21, 2015

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

PADA prinsipnya harus dapat dibezakan antara pluraliti dan pluralisme. Pluraliti adalah suatu keadaan dalam masyarakatnya terdapat banyak ras, suku, etnik, bangsa, bahasa dan agama.

Ini adalah suatu kenyataan masyarakat  hasil atau natijah daripada proses-proses sosiologis, biologis, dan historis yang telah berjalan selama ini.

Sementara pluralisme adalah fahaman menempatkan keragaman sebagai nilai paling tinggi dalam masyarakat. Pluralisme agama adalah suatu fahaman  menyatakan, bahawa semua agama adalah sama.

Dalil yang menunjukkan bahawa Islam mengakui pluraliti adalah firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang-orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang paling bertakwa di sisi ALLAH.” (Al-Hujurat : 13).

Ayat ini menerangkan bahawa Islam mengakui kewujudan dan keragaman suku dan bangsa serta identiti agama selain Islam (pluraliti), namun sama sekali tidak mengakui kebenaran agama tersebut (pluralisme).

ALLAH juga berfirman yang bermaksud: “Mereka menyembah selain ALLAH tanpa keterangan yang diturunkan ALLAH. Mereka tidak memiliki ilmu dan tidaklah orang-orang zalim itu mempunyai pembela (penolong).” (Al-Hajj:71).
Dalam ayat lain, ALLAH menegaskan dengan firman  bermaksud : “Sesungguhnya agama yang diredai di sisi ALLAH hanyalah Islam.” (Ali-Imran:19).

ALLAH pun menolak siapa sahaja yang menganut agama selain Islam (Ali-Imran:85), menolak kebenaran semua agama selain Islam, Yahudi dan Nasrani ataupun agama-agama lainnya (At-Taubah:30-31), serta memandang mereka sebagai orang-orang kafir (Al-Ma’idah:72). Jadi Islam mengakui adanya pluraliti, namun tidak mengakui pluralisme justeru bercanggah dengan prinsip akidah Islam.

Antara pemimpin Islam dan pemimpin pluralisme, perbezaannya kepimpinan dalam Islam merupakan jabatan yang berfungsi untuk mentadbir pengurusan rakyat. Seorang pemimpin Islam adalah pengurus bagi urusan rakyatnya mengikut peraturan-peraturan ALLAH.

Sebaliknya jika khianat atau menyeleweng dalam mengurus urusan rakyat dengan peraturan kufur, maka pemimpin itu tidak layak dipilih dan tidak wajib ditaati.

Pemimpin Muslimin yang bertakwa tidak mungkin mengadaptasi pemahaman bukan berasal dari syariat Islam seperti pluralisme.

Di negara Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW ketika itu, komposisi masyarakat Madinah yang diakui dalam Piagam Madinah terdiri daripada beberapa kelompok komuniti. Namun semua kelompok itu tunduk kepada sistem dan hukum Islam, sekalipun mereka masih memegang keyakinan masing-masing dan tidak menganut Islam.

Jika ada  mengatakan bahawa Piagam Madinah mengakui pluralisme adalah suatu kesalahan dan kekeliruan.

Pemimpin Islam (khalifah) akan memperlakukan Muslim dan bukan Muslim sama sebagai warganegara. Secara khusus malah yang wajib bagi Muslim, tidak wajib bagi bukan Muslim seperti membayar zakat.

Dalam kehidupan publik, warga bukan Muslim mendapat perlakuan sama dengan Muslim, seperti kedua-duanya berhak mendapat perlindungan keamanan, pendidikan dan layanan kesihatan percuma.

Jika seorang Muslim tidak boleh dicederakan jiwa dan kehormatannya serta diambil hartanya tanpa hak, maka begitu juga bukan Muslim.

Itulah wujud keadilan yang diberikan oleh Islam. Dengan pemimpin dan sistem seperti itulah, Islam telah terbukti berhasil mempersatukan bangsa-bangsa Arab dengan bangsa lain dalam satu ikatan kukuh, dan mampu membangun tamadun dan peradaban yang hasilnya dirasakan oleh seluruh warganegara, bahkan negara lain.

Jelaslah bahawa pluralisme adalah ideologi berbahaya yang bukan berasal dari Islam. Matlamat akhir dari konsep pluralisme agama sangat mudah dibaca, iaitu agar umat Islam hancur akidahnya, sehingga hegemoni kapitalisme kufar atas dunia Islam semakin membawa kemudaratan keseluruhannya kerana Barat sangat memahami bahawa akidah Islam adalah rahsia atau kunci vitaliti dan kebangkitan umat Islam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tangisan keramat

Posted by epondok di Februari 20, 2015

Buat mereka yang kenal erti jihad dan ganjaran mentaati Nabi SAW

TANGISAN berkualiti ialah tidak dibuat-buat tetapi terbit dari TANGISAN berkualiti ialah tidak dibuat-buat tetapi terbit dari hati yang murni diselaputi iman yang tebal. – Gambar hiasan

SIFAT manusia boleh berbeza kerana “stor iman” mereka. Manusia yang penuh iman di dada akan menangis di kala pengisian iman tak mampu ditambah. Itulah perihalnya para sahabat Nabi yang dikenal sebagai “orang yang keseduan menangis.”

Mereka pulang dengan kesedihan yang amat sangat seraya menangis kerana gagal bersama Rasulullah SAW ke medan Tabuk. Bukan Rasulullah SAW tidak mahu membawa mereka, tetapi keadaan sangat tidak mengizinkan.

Inilah tangisan manusia yang kenal erti jihad dan ganjaran mentaati Rasulullah SAW. Impaknya sungguh dahsyat, “Tangisan keramat” mereka menjadi pujian berkekalan dibaca oleh semua manusia melalui al-Quran sehingga kiamat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah). (al-Taubah: 91-92)

Siapakah manusia mulia yang menangis dalam ayat ini? Menurut para ulama mereka digelar sebagai al-bakka’in iaitu orang yang sangat kuat menangis kerana sedih tidak dapat memenuhi seruan Allah SWT.

Mereka terhalang kerana keperluan musafir dan jihad yang bakal menempuh perjalanan sejauh 600km tidak lengkap. Tambahan pula tiada kenderaan kosong yang boleh membawa mereka. Mereka adalah sekumpulan (tujuh orang sahabat nabi yang bergegas menyahut seruan jihad ke Tabuk pada tahun ke 9 Hijri (Tafsir Ibnu Kathir, Sirah Ibnu Hisyam, al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah).

Bukan sekali Allah SWT memuji tangisan hamba-Nya dalam al-Quran. Allah SWT pernah memuji pendeta Nasrani yang berdamping dengan al-Najasyi kerana mereka menangis keseduan mendengar al-Quran dibacakan kepada mereka.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 83 hingga 84 yang bermaksud: Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui kitab mereka) daripada kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh.

Inilah kisah tangisan yang berkualiti dalam al-Quran. Tangisan ini tidak dibuat-buat tetapi terbit dari hati yang murni halus diselaputi iman yang tebal. Hati yang “sensitif iman” sebegini diperoleh daripada siraman ilmu dan mujahadah melawan nafsu yang berpanjangan.

Jika ia pernah dimiliki oleh manusia pilihan yang lain, ia juga mampu kita miliki kerana kita dan mereka sama-sama manusia yang memiliki potensi yang sama. Marilah kita sama-sama menambah dan menghayati ilmu agar hati kita juga mudah menangis kerana Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Martabatkan bacaan al-Quran

Posted by epondok di Februari 19, 2015

Oleh nizam yatim

PEMAHAMAN umat Islam yang jelas terhadap inti pati ajaran al-Quran adalah amat penting kerana ia merupakan petunjuk terunggul yang harus dijadikan panduan sepanjang masa.

Ia dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firmannya dalam surah Saad, ayat 29 yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Walaupun diakui sebagai sumber rujukan terunggul, masih ramai umat Islam yang tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan seharian mereka dan banyak juga yang tidak memahami segala apa yang telah dibaca.

Ini terbukti apabila satu kajian tidak rasmi yang dibuat oleh seorang guru di sebuah sekolah bandar pada 2013 menghasilkan satu perangkaan yang cukup membimbangkan. Ini berikutan 75 peratus daripada keseluruhan pelajar Islam di sekolah tersebut didapati langsung tidak menjadikan pem­bacaan al-Quran sebagai amalan harian mereka.

Daripada jumlah itu pula, 57 peratus remaja tidak tahu langsung membaca al-Quran dan 30 peratus menyatakan mereka tidak memiliki naskhah kitab suci itu di rumah masing-masing. Walaupun bancian itu dibuat secara tidak rasmi, sebagai pembaca kita sendiri boleh merasakan kajian itu adalah sesuatu yang tidak jauh lari daripada realiti kehidupan seharian sekarang.

Ramai daripada kita tidak menjadikan amalan membaca al-Quran dan tafsirannya sebagai rutin harian dengan pelbagai alasan terma­suk kerana sibuk bekerja dan mengurus anak-anak.

Fenomena itu adalah sesuatu yang menakutkan kerana umat Islam kini diserang daripada segenap penjuru, bukan sahaja oleh musuh Islam malah oleh Muslim berfahaman liberal yang tidak segan silu mengeluarkan pelbagai ‘fatwa songsang’ sehingga menyebabkan umat Islam yang kurang asas agama terpengaruh.

Sehubungan itu, kita menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Jumaat lalu agar semua program anjuran istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat al-Quran beserta maksudnya.

“Ini adalah sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan apresiasi ummah begitu juga sebagai usaha untuk menangani sebarang salah faham masyarakat umum terhadap al-Quran.

“Ayat yang di­pilih tidak perlu panjang tetapi ayat-ayat tersebut hendaklah terdiri daripada ayat-ayat yang ada kaitan dengan sesuatu acara yang dianjurkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan majlis pengurniaan watikah kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan 21 ahli majlis di Kompleks Islam Ipoh.

Di samping itu, Sultan Nazrin bertitah, ramai ummah membaca surah Yasin; dijadikan amalan dibaca pada setiap malam Jumaat, di majlis tahlil, di sisi insan berke­adaan nazak, di tanah perkuburan dengan memohon ganjaran daripada bacaannya dihadiahkan kepada roh mereka yang telah berada di alam barzakh dan ketika ummah memohon agar Allah memakbulkan sesuatu hajat.

“Namun, inti pati utama yang terkandung di dalam surah Yasin amat sedikit difahami, jauh daripada dihayati apatah lagi untuk diyakini akan rahsia dan muslihat kalam Ilahi. Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca, ayat-ayat al-Quran tidak sekadar untuk dihafal. Kandungan al-Quran wajib difahami, wajib dikaji, wajib diselami; diterokai khazanah ilmu yang tersirat di sebalik yang tersurat hingga ummah menemui mutiara berharga yang terkandung di dasar kitab.

“Lalu dijadikan pakaian ummah ketika menyempurnakan tugas dan tanggungjawab terutama dalam memenuhi amanah mengurus tadbir negara dan menjalankan urus niaga,” titah Sultan Nazrin.

Jelas baginda, daripada 6,238 ayat al-Quran, 228 daripadanya menyentuh perkara-perkara awam berkaitan ekonomi, undang-undang dan susun atur sosial yang wajib dijadikan rujukan oleh setiap umat Islam agar roh Islam dapat dijelmakan dalam atur urusan dunia.

“Umat Islam wajib didampingkan dan masyarakat umum wajib difahamkan dengan kandungan al-Quran. Minat mempelajari dan minat mengkaji al-Quran perlu dihidupkan di hati setiap ummah sehingga terbentuknya rasa kasih dan rasa cinta kepada al-Quran dan terbinanya budaya mempelajari al-Quran sepanjang hayat,” titah baginda.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad yang mengulas titah Sultan Nazrin itu menyeru Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain agar mencontohi langkah yang dilaksanakan oleh pihak istana dan kerajaan Perak.

“Setakat ini saya dapati tiada arahan rasmi supaya amalan ini dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain, jadi sudah sampai masanya ia dibuat selaras dengan pelancaran model Indeks Syariah Malaysia baru-baru ini.

“Kita menyambut baik pelancaran indeks ini yang bertujuan memastikan lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial memenuhi objektif syariah. Lebih baik jika ia turut diiringi dengan usaha mewajibkan bacaan al-Quran dalam setiap majlis,” ujar­nya.

Beliau berkata, jika amalan itu dijadikan satu arahan rasmi ia sudah tentu akan dapat menaikkan imej Malaysia sebagai negara yang memartabatkan Islam kerana di negara-negara Asia Barat sendiri amalan berkenaan tidak dilaksanakan secara menyeluruh.

“Setakat yang saya tahu, di negara-negara Arab bacaan al-Quran ketika permulaan majlis dibuat atas inisiatif ketua-ketua jabatan atau agensi kerajaan sahaja dan tiada arahan rasmi daripada pemerintah negara,” katanya.

Tambah beliau, selain terjemahan ayat al-Quran secara literal ke bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, adalah lebih baik ia disertai ‘tazkirah’ ringkas bagi menghurai ayat-ayat yang telah dibaca berkenaan.

“Ini adalah amalan yang paling baik bagi membolehkan para hadirin lebih memahami maksud ayat yang telah dibacakan ini terutama yang berkaitan dengan isu semasa atau secara khusus menyentuh mengenai tujuan majlis diadakan,” ujar beliau.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hidup berpandu al-Quran

Posted by epondok di Februari 18, 2015

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Al-Quran yang diwah­yukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah mukjizat paling agung. Ia menjadi panduan utama umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Tidak akan sesat atau terpesong seseorang itu selagi mana dia berpegang kepada kitab suci ini dan juga sunnah Baginda SAW.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku tinggalkan kamu dua perkara selagi mana kamu berpegang teguh de­ngannya pasti kamu tidak akan sesat selama-lamanya iatu kitab Allah dan sunnahku. (riwayat Muslim)

Berbekal jaminan insan paling mulia yang juga kekasih Allah, maka amat tepat titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 13 Februari lalu supaya sebarang acara dianjurkan oleh istana dan kerajaan negeri seboleh-bolehnya dimulakan dengan bacaan petikan ayat al-Quran dalam situasi yang sesuai, dilengkapi dengan maksudnya.

Titah itu amat dialu-alukan dan bertepatan dengan usaha menjadikan al-Quran sebagai panduan dan juga amalan dalam kehidupan seharian. Malah, titah oleh Sultan Nazrin itu amat bermakna kerana baginda adalah ketua bagi agama Islam di negeri Perak.

Orang Islam sudah maklum bahawa al-Quran terdiri daripada 114 surah (86 surah Makkiyah, 28 surah Madaniyah), dengan jumlah ayat seluruhnya adalah 6,236 ayat (4,613 ayat Makkiyah dan 1,623 ayat Madaniyah). Isi ajaran yang tercantum dalam al-Quran sesungguhnya meliputi tiga fasa iaitu:

* Cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya),

* Peraturan masa kini (tatkala al-Quran diturunkan) dan

* Peraturan untuk masa hadapan (sejak masa Rasulullah SAW, masa kini dan seterusnya hari kiamat).

Secara keseluruhannya, al-Quran berisikan peraturan hukum berkaitan dengan isu akidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hukum dan sebagainya.

Besarlah harapan agar usaha digerakkan ke aras merealisasikan titah tersebut ke arah melahirkan masyarakat yang berkualiti. Sete­rusnya menjadikan negeri dan negara yang makmur dan mendapat pengampunan sebagai mana kerajaan Saba’ di bawah kepemimpinan Ratu Balqis dalam zaman Nabi Sulaiman.

Di dalam kitab sejarah Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, dijelaskan ketinggian tamadun Saba’ ini mempunyai beberapa keistimewaan jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun Arab lain. Antara keistimewaan tamadun itu adalah aspek ketakwaan kepada Allah SWT dan akidah yang tulen.

Maka dengan sebab inilah Saba’ disifatkan sebagai negara yang makmur dan negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Ini dirakam menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)

Usaha memperdengarkan bacaan al-Quran dalam majlis-majlis di Perak adalah usaha murni yang boleh memupuk kepada membudayakan kitab suci itu dalam hidup kita. Kehebatan al-Quran sudah terbukti dalam mendidik jiwa manusia menjadi insan berakhlak dan bertakwa.

Ini telah terbukti apabila kita merujuk kepada kisah yang membawa kepada pengislaman Saidina Umar al-Khattab. Beliau dikenali sebagai seorang yang amat keras penentangannya terhadap Islam semasa zaman jahiliah. Tetapi hati keras yang dimiliki oleh beliau ‘cair’ apabila mendengar dan membaca ayat Allah dalam surah Taha ayat 1 hingga 5.

Mendengarkan kalam-kalam Allah itu menyebabkan sendi Saidina Umar lemah dan bergetar kerana terpegun dengan kehebatan ayat-ayat tersebut. Akhirnya beliau memeluk Islam dan menjadi pendokong Islam yang hebat serta insan yang paling hebat dalam mempertahankan dakwah Rasulullah SAW.

Memulakan majlis dengan bacaan al-Quran dapat memberi ketenangan dan melembutkan hati mereka yang mendengarnya. Apabila jiwa tenang, maka mudahlah menerima pesanan-pesanan kebaikan dan seterusnya diamalkan. Hati yang lembut akan mudah tersentuh dengan saranan melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah.

Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram. (ar-Ra’d: 28)

Di dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja menjadi ibadah dan mendapat pahala serta rahmat Allah tetapi mendengarkan bacaannya pun begitu juga. Tentang pahala orang yang mendengar bacaan al-Quran telah dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikan lah tenang, agar kamu mendapat rahmat…(al-A’raaf: 204)

Mendengar bacaan al-Quran de­ngan tenang juga dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengar bacaan al-Quran dengan baik. Demikian besarnya mukjizat kitab suci ini, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarkannya.

Malah semakin kerap kita membaca dan mendengarnya, semakin terpikat kita kepada al-Quran. Apabila al-Quran dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mende­ngarnya dan bertambah imannya.

Keadaan orang mukmin apabila mendengar bacaan al-Quran digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, ha­nyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allahlah mereka bertawakal.(al-Anfaal: 2)

Antara hikmah yang terdapat dalam al-Quran adalah sebagai kitab hidayah.

* Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Alif laam miin. Kitab (al-Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (al-Baqarah: 1-2)

* Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya al-Quran Ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu’min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar… (al-Isra’: 9)

Oleh itu al-Quran memberi petunjuk kepada orang yang baik dan orang yang sesat. Al-Quran memberi petunjuk kepada jalan yang betul dan jalan Allah yang lurus dan memimpin manusia kepada keredaan Khaliq, kemenangan memperoleh syurga dan pembebasan dari api neraka.

Al-Quran ialah kitab Allah yang kekal dan mukjizatnya bertahan sehingga hari kiamat. Memadailah Allah mewakilkan diri-Nya dengan menjamin bahawa al-Quran tidak akan berubah dan berpinda atau diseleweng dan ditokok tambah. Ia di­nyatakan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)

Justeru al-Quran memberi petunjuk kepada individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya ke arah jalan yang betul. Ia juga memimpin bahtera manusia ke perairan yang aman dan daratan yang selamat

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »