Islam menetapkan dengan jelas dimensi ibadat yang luas dan meliputi semua amalan baik dan berfaedah. Amalan atau kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada individu dan masyarakat dikira ibadat, sekiranya seseorang itu me­lakukannya dengan niat yang ikhlas dan jujur, tidak mencari nama serta sanjungan orang ramai.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia.” Baginda dikenali sebagai seorang dermawan dan baik hati, malah turut melibatkan diri dalam kebajikan serta memberi pertolongan kepada orang ramai.

Dalam konteks hari ini, sema­ngat setiakawan mampu mengge­rakkan dakwah seiring dengan amar makruf yang dijalankan secara khid­mat, amal bakti dengan teladan, saranan dan usaha lapangan yang nyata.

Nahi mungkar pula dilaksanakan dengan mesej yang jujur dan membina, dilengkapi data, fakta serta angka hasil penyelidikan. Kemudiannya disampaikan dalam bahasa dakwah lunak yang merangsang fikiran dan fitrah semula jadi manusia untuk membuka pintu hati mereka.

Pendakwah hendaklah mendekati dan memberi perhatian serta pertolongan kepada mereka yang berada dalam kesusahan termasuk anak yatim dan remaja yang terlibat de­ngan maksiat. Kita janganlah terlalu asyik dengan theoretical dialoque konsep keadilan sosial yang serba ideal tetapi perlu menterjemahkan kepada konsep ideal Islam melalui kerja-kerja kemasyarakatan.

Semangat setiakawan Nabi SAW menonjolkan Islam sebagai sebuah agama yang syumul, yang mampu mengeratkan hubungan pelbagai bangsa dan agama di negara kita, sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan semangat muhibah dan penyatuan nasional seperti berikut:

– Teladan yang baik – amat pen­ting dalam penyampaian dakwah. Imej Muslim mithali yang mempraktikkan ajaran Islam amat pen­ting untuk dihayati dan dipraktikkan oleh para pendakwah. Sejauh manakah akhlak menepati seperti digariskan oleh al-Quran dan sunah, akhlak dengan jiran, kawan sekerja, bersama-sama masyarakat dan sebagainya.

Kisah yang masyhur melibatkan Nabi SAW dan perempuan tua Yahudi. Perempuan itu sering meletakkan najis dan duri di hadapan rumah Baginda namun baginda sentiasa bersabar. Sehinggalah pada suatu hari Baginda mendapati tiada sebarang kotoran. Maka Nabi SAW mengetahui bahawa perempuan itu jatuh sakit, lalu Baginda menziarahinya.

Sikap Baginda yang sabar dan berbuat baik, mendorong perempuan itu memeluk Islam kerana terkesan dengan ketinggian budi pekerti Rasulullah.

– Memuliakan ‘bahasa’ mereka – dakwah menggunakan keperluan kumpulan sasar dan menjauhi daripada menyebut perkara yang tidak diingini oleh mereka, contohnya tidak sesuai membicarakan persoalan ‘halal haram makanan’ kepada masyarakat Orang Asli, ­minum minuman yang memabukkan mungkin tidak sesuai disebut dalam kalangan masyarakat berpendidikan Barat bukan Islam, tetapi jika memperkatakan permasalahan dadah dan AIDS, mungkin sesuai untuk dijadikan topik perbincangan bersama.

– Perkhidmatan sosial – digunakan sebagai satu cara berkesan untuk memenangi hati masyarakat. Tidak dibataskan pada kegiatan lisan dan tulisan sahaja tetapi dilakukan de­ngan teladan yang baik, gerak-geri yang mulia, aktiviti positif yang menarik perhatian dan minat golong­an sasar menerima agama Islam.

Apabila kita membuka pintu dakwah dengan seluas-luasnya, semua pihak seharusnya memainkan peranan mengikut keupayaan dan kepakaran masing-masing. Tidak semua anggota masyarakat berkemampuan untuk berdakwah dengan lisan atau tulisan. Bakat semula jadi dan potensi manusia adalah berbagai-bagai, justeru mereka yang berkemampuan dalam bidang tertentu se­perti khidmat sosial harus memainkan peranan masing-masing.

Kita hendaklah berusaha membuktikan kemampuan Islam menyelesaikan masalah umat Islam masa kini. Islam tidak sepatutnya kelihat­an indah dan mengagumkan di atas kertas yang ditulis oleh para sarjana atau diucapkan dengan indah dan menarik dalam syarahan serta ce­ramah sahaja.

Keunggulan dan kecantikan Islam diterjemahkan secara nyata dalam kehidupan manusia. Per­khidmatan sosial sebagai media dakwah tidak terbatas kepada bantuan kecemasan kepada mang­sa banjir, tanah runtuh dan kecelakaan lain, tetapi meliputi ke­perluan asas orang ramai seperti makanan, perumahan, pakaian, kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.

Inilah cerminan para da’i sebagai ikon masyarakat. Pendekatan dakwah melalui program turun ke lapangan dan mendekati secara langsung kumpulan sasar di peringkat akar umbi, sekali gus mampu menyelami denyut nadi permasalah­an dan membimbing masyarakat.

– Memuliakan manusia sejagat – Allah SWT memberi panduan kepada orang Islam supaya memberi bantuan dan perlindungan kepada penyembah berhala yang tersangat jauh perbezaannya dengan agama Islam, jika mereka memohon perlindungan kepada orang Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 6: ­“Dan jika seseorang di antara orang musyrikin itu me­minta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia, supaya ia sempat mendengar perkataan Allah, kemudian hantarkan ia ke tempat yang aman baginya.”

Berbeza agama bukan alasan untuk hidup bermusuhan. Setiap manusia yang berbeza agama mempunyai persamaan sebagai warga besar ummah manusia. Memuliakan manusia atas sifat kemanusiaan tanpa mengira agama, suatu tuntutan dalam beragama, selain sunah Rasulullah SAW. Al-Bukhari meriwa­yatkan Rasulullah SAW berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi.

Begitu juga setiap jiwa manusia memiliki unsur kemuliaan yang mesti dihormati sepanjang masa. Sirah nabi mencatatkan mengenai kematian ibu al-Harith Ibn Abi Rabiah yang beragama Kristian, jena­zahnya dihantar ke perkuburan oleh sahabat Rasulullah. Hakikatnya, seluruh umat manusia itu saling berhubung kait dan tidak selayaknya untuk dimusuhi, dibenci dan saling membunuh sebaliknya dihormati, dikasihi dan dibantu untuk kebaikan.

Beginilah cerminan setiakawan sejati dalam Islam sebagaimana yang dituntut. Golongan yang kuat menolong masyarakat yang lemah, golongan atasan yang kaya mengasihani masyarakat miskin dan wujudnya perasaan saling menghormati antara satu sama lain. Inilah wasatiyyah yang dibawa oleh Rasul junjung­an kita Muhammad SAW.