Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Mati pengorbanan kecil bagi pendakwah

Posted by epondok di Januari 29, 2015


Oleh Syafiq Zulakifli

Sepanjang dua minggu lalu, kita telah berkongsi kisah kaum Yasin yang diseru tiga rasul untuk beriman kepada Allah SWT. Kemudian, seorang pemuda yang dikatakan Habib An-Najar datang dari hujung bandar juga menyeru kaum Yasin menerima keimanan kepada Allah SWT serta mengikut perintah-Nya.

Kisah itu dilanjutkan perbincangan melalui rancangan Ibrah minggu lalu oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman yang bersiaran jam 5.15 petang, setiap Isnin di IKIMfm.

Sikap proaktif berdakwah ditunjukkan pemuda yang datang dari hujung bandar itu menggunakan pendekatan pendidikan melalui kenyataan dan cara berpidato secara langsung. Walaupun demikian, seruan dan ajakan untuk beriman tidak dihiraukan oleh kaum Yasin itu.

Kekejaman kaum Yasin

Meneruskan perbincangan, satu lagi babak dalam surah Yasin menceritakan saat dakwah yang ditolak itu diganti dengan kekejaman oleh kaum Yasin. Namun, Allah SWT memperincikan dalam firman-Nya bagaimana seorang lelaki yang diseksa digantikan syurga sebagai tempat yang kekal baginya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam syurga. Ia berkata: Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui.” (Surah Yasin, ayat 26)

Selepas usaha dakwah Habib An-Najar tidak dihiraukan kaum Yasin, beliau menerima detik yang sangat dahsyat apabila dibelasah habis-habisan. Ibn Kathir berkata, lelaki itu dipukul beramai-ramai sehingga terkeluar isi perut dan tulang belakang juga terkeluar tetapi lelaki itu tetap setia beriman kepada Allah SWT.

Kita masih lagi ingat peristiwa Bilal bin Rabah, juga Sumaiyah yang menjadi teladan utama bagaimana mereka diperintah mengkufurkan Allah SWT. Walau bagaimanapun, keimanan kepada Allah SWT dibuktikan sehingga ke akhir hayat.

Ibn Qatadah berkata, Habib An-Najar terus berdoa kepada Allah SWT supaya keimanannya tetap kekal dan diberikan hidayah kepada kaum Yasin. Begitulah yang berlaku kepada Habib An-Najar sepanjang 70 tahun hidup tidak beriman, tetapi pada penghujung hayat diberikan hidayah lalu mati dalam keadaan mentaati perintah Allah SWT.

Ukuran kemuliaan

Kemuliaan seseorang bukan diukur saat kehidupannya yang panjang tetapi lebih daripada itu, bagaimana pengakhiran hidupnya. Begitulah yang berlaku kepada Habib An-Najar, pemuda yang diceritakan sebahagian ulama dalam peristiwa itu.

Bagi mereka yang beriman kepada Allah SWT, merasakan urusan kematian adalah terlalu kecil bagi mereka. Buya Hamka berkata, bagi pejuang agama, mereka merasakan kematian adalah terlalu kecil tetapi selepas mati itulah kenikmatan dan keseronokan yang perlu dihadapi.

Justeru, bagaimana lelaki itu diseksa sebelum kematiannya adalah satu pelajaran penting bahawa kenikmatan yang ingin dicapai bukanlah kenikmatan dunia semata-mata tetapi menanti di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah SWT itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali-Imran, ayat 169)

Begitulah renungan terhadap kekejaman yang berlaku di bumi Palestin, Syria dan Yaman pada hari ini, menyaksikan syuhada sejak dari awal dipertontonkan syurga kepada mereka terlebih dahulu. Setiap mereka yang mati di jalan Allah SWT (syahid) akan merasakan kenikmatan tidak ternilai dalam kehidupan mereka.

Perjanjian Allah SWT kepada kaum Yasin yang ingkar dijelaskan dalam firman yang bermaksud: “Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya. (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta-merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.” (Surah Yasin, ayat 27-28)

Diri corakkan kehidupan

Kehidupan kita pada hari ini ditentukan oleh diri kita sendiri. Bagaimana kita mencorakkan perjalanan kehidupan dengan ingin berterusan mentaati perintah Allah SWT, berjuang di jalan-Nya atau mengingkarinya serta tidak melaksanakan kewajipan yang telah diamanahkan.

Peristiwa ini menggambarkan bahawa Allah SWT yang memberi hidayah kepada hamba yang diingini-Nya jika mereka benar-benar mahu mendapat keampunan dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: