Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Diplomasi Rasulullah s.a.w angkat martabat Islam

Posted by epondok di Januari 25, 2015


Zamanuddin Jusoh

Tindakan majalah Charlie Hebdo di Perancis yang menerbitkan kartun wajah Nabi Muhammad mendapat bantahan umat Islam seluruh dunia. – Foto hiasan AFP

Dunia Islam sedang bergelut dengan penghinaan dan cacian daripada musuh melalui pelbagai cara sama ada kita sedari ataupun tidak. Penghinaan dibuat melalui penulisan, lukisan serta program hiburan yang membabitkan umat Islam sendiri tanpa disedari.

Keadaan ini jelas menunjukkan serangan datang dari segenap sudut bagi melemah dan menjatuhkan Islam dan umatnya kerana Islam adalah agama yang dapat diterima segenap lapisan masyarakat.

Penghijrahan kepada Islam amatlah ketara khususnya dalam kalangan penduduk Eropah dan keadaan ini membimbangkan pihak musuh. Mereka gagal melawan dengan hujah kebenaran Islam. Maka, jalan terbaik bagi mereka adalah mencipta permusuhan sesama umat Islam atau membuat perkara yang dapat melonjakkan semangat Muslim sehingga mereka dianggap pengganas dan berbahaya.
Inilah hasil sikap iri hati mereka sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya bermaksud: “Sebahagian besar ahli kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran selepas kamu beriman kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, selepas nyata bagi mereka kebenaran…” (Surah al Baqarah, ayat 109)

Provokasi terhadap Islam

Isu lakaran wajah Baginda SAW yang menjadi tajuk utama dada akhbar dan viral pada hari ini di samping penghinaan berterusan mengundang provokasi terhadap masyarakat Islam. Inilah contoh yang paling ketara berkaitan usaha musuh sehingga ada umat Islam hilang pertimbangan akibat kecintaan mereka terhadap Nabi SAW.

Tidak dinafikan setiap individu normal tentu melenting apabila ayah, isteri atau anak yang sangat dicintainya dihina serta dicaci orang lain. Begitu juga penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi Muhammad SAW. Kita mesti sedar ada umat Islam yang mewarisi sikap keras.

Sahabat Rasulullah iaitu Saidina Umar al-Khattab terkenal dengan sifat kerasnya sebelum memeluk Islam. Saidina Abu Bakar pula terkenal dengan sifat lembutnya.

Kedua-dua sikap ini adalah anugerah Allah SWT bagi memastikan agar kesinambungan Islam pada masa hadapan.

Perkara ini jelas apabila Rasulullah SAW pernah berdoa supaya seorang daripada gangster Makkah sama ada Umar atau Abu Jahal untuk menerima hidayah. Akhirnya Umar mendapat jalan itu dan kedudukan Islam semakin terjamin daripada gangguan kafir Quraisy.

Abdullah Mas’ud berkata: “Pengislaman Umar adalah kejayaan besar kepada kaum Muslimin, perpindahannya menguatkan kami dan perlantikannya sebagai khalifah adalah keberkatan bagi kami.”

Demikianlah kronologi bagaimana Allah SWT mengatur susun agar Islam menjadi terkenal sehingga ramai masyarakat dunia ingin mengetahui lebih dekat mengenai Islam.

Prinsip yang dibawa Baginda SAW dapat memberi bimbingan untuk umat manusia mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Baginda SAW seorang yang berfikiran positif. Setiap urusannya bermatlamat dan berwawasan. Baginda mengelak tindak-tanduk negatif yang akan menghalang proses kejayaan seperti benci, dengki, bongkak dan tamak.

Saidatina Aishah menceritakan: “Apabila Nabi SAW terpaksa memilih antara dua pilihan Baginda memilih pilihan lebih mudah.” (Riwayat Bukhari)

Memilih jalan yang mudah bermaksud anda perlu mengkaji masalah dengan rasional dan baik serta memilih yang paling bijak serta menyenangkan urusan. Setiap individu yang bermula dengan natijah begini cepat mencapai matlamat hidupnya.

Rasulullah terima perubahan

Segala tindakan dilakukan Baginda SAW menjurus kepada perkembangan Islam sesuai dengan pertumbuhan Islam. Baginda menerima perubahan dan pembaharuan demi memartabatkan Islam sebagaimana yang dilakukan peristiwa hijrah.

Ketika tekanan terhadap Islam sampai kepada kemuncaknya, Allah SWT masih menganjurkan umat Islam melakukan kebaikan melalui ayat al-Quran yang bermaksud: “Kamu akan menyaksikan musuh menjadi kawanmu.” (Surah Fussilat, ayat 34). Menunjukkan bahawa, melakukan kebaikan dengan luhur dan ikhlas terhadap orang yang mengkhianati kita dapat menundukkan keegoan mereka.

Contoh terunggul sifat kemanusiaan Nabi SAW jelas sewaktu menawan kembali kota Makkah. Baginda tidak menumpahkan darah walaupun dilayan dengan buruk suatu ketika dulu. Semua musuh yang ditawan diberi pengampunan termasuk isteri Abu Sufyaan, Hindun.

Baginda SAW tidak mengadakan atau memanjangkan konfrontasi seperti perjanjian damai Hudaibiyyah. Sejak itu, konfrontasi hanya ditangani dengan perbincangan serta pertukaran maklumat mengenai perbezaan ideologi. Dalam masa dua tahun, Islam muncul unggul lantaran ideologinya yang tiada tolok banding.

Kesimpulannya, kunci kejayaan prinsip hidup Nabi Muhammad SAW diiktiraf pengkaji sejarah sebagai tiada tolok bandingnya dan adalah bijak jika kita sebagai umat Islam mencontohi kebijaksanaan Baginda SAW.

Maka, umat Islam perlu melihat permasalahan dalam bentuk yang lebih dinamik dan positif. Sifat dengki adalah faktor utama permusuhan terhadap Islam dan umatnya. Firman Allah SWT bermaksud: “Pada dalam diri kamulah utusan daripada Allah yang memiliki budi pekerti yang indah untuk setiap orang yang harapan mereka terletak pada Allah dan hari kemudian…” (Surah Al-Ahzab ayat 21).

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: