Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Selalu bersyukur, jauhi kufur

Posted by epondok di Januari 24, 2015


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Sejak kecil lagi, saya percaya kebanyakan daripada kita diajar mengenai wujudnya syurga dan neraka pada hari akhirat kelak. Melalui pembelajaran agama, ajaran ustaz, pembacaan buku agama dan al-Quran sendiri, kita digambarkan betapa indahnya syurga dan betapa dahsyatnya neraka.
Mempercayai kewujudan sesuatu yang tidak pernah kita lihat dengan mata kasar seperti syurga dan neraka adalah termasuk dalam persoalan keimanan bagi setiap umat Islam.
Setiap umat Islam diwajibkan untuk beriman dan mempercayai wujudnya syurga dan neraka seperti mana dalam maksud Surah Al-Baqarah, ayat 3: “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
Namun secara realitinya, walaupun kita mempercayai wujudnya syurga sebagai balasan bagi manusia yang beramal soleh ketika hidup di dunia dan neraka bagi mereka yang tegar melakukan maksiat dan kemungkaran di atas muka bumi tanpa bertaubat, masih ramai sebenarnya tersasar dari landasan syariat.
Terutama kita yang hidup pada akhir zaman ini, betapa mudahnya untuk terpesong dari landasan syariat kerana godaan dunia yang nampak indah, tetapi sebenarnya menjerumuskan kita ke lembah neraka, Na’uzubillah.
Namun, tidak kurang juga ada pelbagai persepsi salah mengenai syurga dan neraka. Saya membawa contoh yang banyak berlaku dalam masyarakat kita sejak dulu hingga kini, iaitu kekayaan boleh menjerumuskan manusia ke neraka.
Saya pasti setiap daripada kita ada keinginan, walaupun mungkin sedikit, untuk memiliki banyak wang. Walaupun wang tidak boleh membeli segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang untuk dibeli.
Pasti kita pernah mendengar: “Buat apa nak kaya? Tak payah kaya, nanti lupa diri, sombong.”
Begitu juga kenyataan yang menakutkan kita bahawa orang kaya selalunya akan dihisab paling akhir kerana hartanya yang banyak.
Ya, saya tidak nafikan ada betulnya kedua-dua kenyataan di atas. Kekayaan boleh menyebabkan manusia lupa diri, sombong, bongkak dan macam-macam lagi. Kekayaan juga menyebabkan Qarun yang bertakwa menjadi lupa diri hingga menjerumuskannya ke lembah neraka Allah.
Kekayaan juga boleh menyebabkan kita ‘lambat’ dihisab oleh Allah pada hari akhirat. Lebih banyak harta, pasti lebih lama sesi ‘audit’nya, bukan? Jika difikir secara logik, pasti nanti di dalam neraka, penghuninya adalah orang kaya yang lupa diri, sombong dan bongkak.
Namun, ada hadis Rasulullah SAW yang menyatakan sebaliknya. Hadis ini seperti menyanggah apa yang selama ini kita percaya, iaitu menjadi miskin lebih mudah untuk ke syurga.
Hadis Rasulullah daripada hadis Hajjaj bin Farafisah daripada Yazid al-Ruqashy daripada Anas bin Malik ra yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kefakiran itu hampir mengundang kekufuran.”
Menurut Ali al-Qary dalam al-Mirqaat, hadis itu sangat lemah. Namun begitu, kesahihannya boleh dikaitkan dengan sifat hati yang miskin yang membawa kepada kebimbangan dan kerisauan (anxiety), yang mana ia seterusnya boleh membawa kepada sifat tidak reda pada takdir Allah dan protes atas (cara) pembahagian rezeki.
Kemiskinan sebenarnya boleh mengundang banyak lagi perkara negatif dalam diri kita yang akhirnya boleh menyebabkan kekufuran, contohnya apabila miskin dan dibebani hutang yang banyak. Sampai satu masa, apabila tersepit, manusia mudah memikirkan cara senang untuk mendapatkan wang.
Ini termasuk mencuri, merompak dan meminjam along bagi mencari jalan penyelesaian untuk kemelut hutang yang dihadapi.
Begitu juga apabila hidup dalam serba kekurangan, tidak mustahil nanti syaitan akan berbisik ke hati manusia dengan menimbulkan keraguan mengenai keadilan Allah. “Mengapa orang lain kaya, aku hidup susah dan merempat. Mengapa Allah tidak adil kepada aku.”
Kita pasti pernah mendengar bagaimana gerakan Free Mason aktif mencari Muslim yang miskin dan terhimpit dek kemiskinan untuk mereka berikan bantuan. Pasti bantuan yang bukan ikhlas diberi, tetapi penuh de­ngan agenda ‘udang di sebalik batu’.
Dengan kemiskinan, kita mungkin ada pilihan untuk membuat amal kebajikan dan ibadah yang terhad. Tidak mungkin dengan kemiskinan, kita boleh membawa ibu bapa kita menunaikan umrah dan haji. Tidak mungkin juga kita dapat membelikan apa yang diidamkan dalam hidup mereka selama ini.
Kita juga mungkin dapat memberi sumbangan kewangan yang terhad kepada orang lain yang memerlukan seperti mangsa banjir di pantai timur atau saudara se-Islam kita yang ditindas di Syria dan Palestin.
Kekayaan, jika disertai dengan keimanan serta praktikal agama Islam yang sempurna, pasti memberi kita pelbagai nilai lebih baik dalam hidup, selain tambah nilai kepada hidup orang lain.
Bukankah Abu Bakar As-Siddiq dan Abdul Rahman bin Auf orang yang sangat kaya dan mereka tergolong dalam 10 orang yang dijanjikan syurga ketika masih hidup di dunia?
Hakikatnya, segala-galanya terletak kepada diri sendiri. Kita yang hidup di dunia diberi pilihan untuk miskin atau kaya. Islam menyediakan jalan dan syariat untuk menjadi panduan kita. Kita juga sebenarnya memilih sendiri untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur atau kufur.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: