Terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk memilih jalannya sendiri walaupun jalan tersebut melanggar batasan moral masyarakat. Laungan menyahjenayahkan perlanggaran moral tidak berhenti tetapi menjadi agenda yang lebih besar sejak kebelakangan ini.

Golongan ini melihat undang-undang semata-mata daripada kaca mata Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu, menentang penggunaan undang-undang bagi memaksa mengikuti nilai-nilai yang tertentu.

Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan yang layak menghukum mereka. Ia merupakan pekerjaan Tuhan dan manusia tidak harus mencampuri urusan tersebut. Isu dosa adalah isu antara seorang hamba dengan Tuhannya dan kerajaan tidak harus campur tangan, ujar golongan ini.

Oleh itu, undang-undang dikatakan tidak boleh menghalang perbuatan bersekedudukan antara lelaki dan wanita, berzina ataupun melakukan maksiat. Ia merupakan hak individu itu sendiri dan tidak boleh dipertikaikan. Di manakah konsep amar maaruf nahi mungkar?

Sejak itu kawalan moral masyarakat telah begitu longgar kerana tentangan yang diberikan terhadap undang-undang kawalan moral. Natijahnya, kita dapat lihat saban hari muda-mudi sudah tidak segan silu melakukan maksiat walaupun di khalayak umum.

Sering hujah yang dikeluarkan ialah kerajaan tidak boleh mengintip perlakuan salah masyarakat. Kisah Saidina Umar sering didamba sebagai outoriti ini. Namun sebenarnya golongan ini tidak pernah membaca Undang-Undang Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah yang digubal bagi menjamin hak peribadi rakyat.

Yang lebih membimbangkan gejala pembuangan bayi begitu menjadi-jadi dewasa ini. Ia bukan berlaku sekali sahaja tetapi tidak putus-putus diulangi.

Tanpa naluri kemanusiaan bayi yang dilahirkan dan baru sahaja melihat dunia telah dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa yang dilakukan oleh ibu bapa bayi itu.

Bayi yang tidak berdosa itu menjadi mangsa dan hak mereka untuk hidup di dunia telah dihakis oleh ibu bapa yang tidak berperi kemanusiaan itu. Mungkin di dunia ini mereka boleh terlepas daripada hukuman kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesannya, namun sudah pasti di akhirat kelak perbuatan mereka ini akan dibalas dengan azab seksaan-Nya.

Keruntuhan moral

Gejala membunuh bayi ini begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang begitu perlu dipertahankan. Sudah tidak ada perasaan malu lagi berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang di kalangan masyarakat.

Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja di parti dan disko tanpa segan silu, meminum arak dan berpelukan sudah menjadi norma di sesetengah tempat.

Malah orang yang menegur pula dikatakan sebagai ketinggalan zaman, ekstrem dan fanatik agama. Sebarang tindakan yang diambil dianggap sebagai melanggar hak asasi dan privasi seseorang. Walaupun salah satu Rukun Negara adalah Kesopanan dan kesusilaan, namun permasalahan moral ini seringkali diketepikan dalam konteks Rukun Negara ini juga. Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, dan apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan.

Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.

Jika diteliti dengan mendalam gejala pembuangan bayi ini ia merupakan isyarat jelas daripada Allah kepada orang yang menentang agama-Nya. Musibah yang melanda negara ini perlu difikirkan dengan fikiran yang terbuka dan penuh keinsafan.

Petanda ini seharusnya kita akur dan bertindak segera sebelum negara menjadi hancur musnah dengan muda-mudi yang tidak keruan dan menyimpang daripada ajaran agama.

Sudah terbukti akibat daripada melonggarkan kawalan moral ini telah mengakibatkan gejala-gejala yang begitu menyedihkan saban hari berlaku. Yang peliknya pula di mana perginya pejuang-pejuang hak asasi apabila bayi yang tidak berdosa itu dibunuh, dibakar, mayatnya dijinjing anjing dan sebagainya?

Sepatutnya mereka perlu menggarap formula yang berkesan bagi menangani gejala yang berleluasa ini dengan segera. Namun apa yang berlaku ialah sehingga hari ini jalan penyelesaian gagal dicari bagi menangani gejala sosial ini.

Pada pendapat saya, jalan penyelesaiannya memang telah lama wujud cuma ia sengaja dipinggirkan. Kembalilah kepada agama Islam bagi menemui jalan penyelesaian. Kawalan moral perlu diperketatkan bagi membanteras gejala sosial dan dengan sendirinya akan melahirkan generasi yang mantap berteraskan kepada al-Quran dan sunnah, seterusnya dapat memacu pembangunan negara dengan kualiti tersebut.

Saya hairan kenapa masih ramai yang tidak melihat Islam sebagai jalan penyelesaiannya walaupun telah dibuktikan dalam banyak keadaan pendekatan Islam merupakan jalan terbaik dalam menyelesaikan banyak isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang semakin meruncing akhir-akhir ini.

Sementara masa masih lagi menyebelahi kita. Oleh itu, kita harus segera bertindak menyelesaikan kemelut sosial ini mengikut lunas-lunas Islam. Apabila sudah terlambat nanti sudah tidak ada gunanya mencari penyelesaian tersebut.

Bahang masalah sosial ini amat dirasai ketika ini, penyelesaian yang dicari hendaklah bukan bersifat sementara sahaja tetapi kekal bagi membentuk generasi gemilang dan mempunyai daya bersaing di peringkat global.