Daripada keterangan ini maka kita pun mengetahui bahawa al-Quran itu mengandungi kisah-kisah yang menakjubkan yang merupakan kisah-kisah benar orang-orang terdahulu.

Sebahagian daripadanya adalah kisah-kisah para Nabi dan Rasul bersama-sama umat-umat mereka. Kisah-kisah yang penuh teladan atau iktibar sebagai pedoman dan panduan.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk serta rahmat bagi kaum yang beriman. (Yusuf: 111)

Kemudian dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (al-A’raaf: 176)

Dalam perumpamaan ada pelajaran dan tanda-tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. Jika mereka mahu memikirkan, mereka akan mengetahui. Dan apabila mereka telah mengetahui, mereka pun akan mengamalkannya.

Ada pelajaran bagi orang yang berbuat baik dan ada pula bagi yang berbuat keburukan. Sesiapa yang melakukan perbuatan seperti orang yang sebelumnya, dia akan mendapat yang semisal dengannya. Orang yang berbuat baik akan mendapat kemuliaan, manakala yang berbuat kejahatan akan mendapat kehinaan.

Di dalamnya juga ada pelajaran bahawa Allah memiliki sifat-sifat kesempurnaan dan hikmah yang agung serta Dia sahajalah yang berhak diibadahi tanpa ada sekutu bagi-Nya.

Kesan menakjubkan

Kisah, cerita, legenda, atau yang seumpamanya memang selalu memberikan kesan menakjubkan bagi hati para pendengarnya. Terkadang seseorang akan lebih mudah memahami sesuatu dengan disampaikan kepadanya contoh peristiwa atau cerita.

Bahkan sepertiga kandungan al-Quran itu terisi dengan kisah-kisah orang terdahulu sama ada yang soleh, mahupun yang derhaka. Ini tidak lain adalah kerana rentetan peristiwa tersebut mampu memberikan contoh nyata dan pelajaran berharga kepada para pendengarnya.

Karya tulis yang mengungkap kisah-kisah para Nabi dan orang-orang terdahulu memang banyak. Namun amat sedikit dari karya-karya tersebut yang benar-benar memuatkan hanya kisah-kisah yang sahih dan boleh diterima pakai. Iaitu kisah-kisah yang benar-benar diambil daripada wahyu baik al-Quran mahupun sunnah yang autentik.

Sebaliknya sangat banyak sekali buku-buku yang tersebar saat ini mengisahkan cerita-cerita para Nabi ini bersumberkan hanya daripada kisah-kisah mitos, khayalan, mimpi, riwayat-riwayat isra’iliyat, mahupun hadis-hadis yang palsu. Sehingga akhirnya masyarakat pun tertipu dan menganggap betul kisah yang pada hakikatnya adalah palsu dan tidak diketahui keabsahannya.

Kitab Qishahul Anbiyaa’ yang disusun oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir ini adalah sebuah kitab sejarah yang sangat mengagumkan. Beliau memaparkan ulasan sejarah daripada manusia pertama; Adam sampai ke Nabi Isa as. Manakala sirah atau kisah Nabi Muhammad SAW beliau susun dan siapkan dalam kitab tersendiri secara berasingan.

Dalam menulis kitab ini, Ibnu Katsir menggunakan method yang sah dan boleh dipercayai. Beliau berpedoman pada penjelasan yang tertera dalam al-Quran dan hadis-hadis mutawatir. Penulis tidak bersandar kepada hadis-hadis yang mauduk (palsu) dan hanya sesekali merujuk hadis-hadis yang dha’if sebagai dukungan atau sokongan tambahan, itu pun jarang sekali.

Sementara riwayat-riwayat isra’iliyyat (riwayat daripada ahli kitab), beliau tampilkan secara jujur dengan menyebutkan statusnya sebagai kisah-kisah yang bersumber daripada isra’iliyyat. Sehingga para pembaca pun menjadi tahu, mana kisah yang berasal daripada al-Quran dan hadis yang sahih dan mana pula kisah yang bersumber daripada riwayat isra’iliyyat.

Buku Kisah Para Nabi karya Ibnu Katsir ini mengajak kita semua untuk menyelami dan menghayati pelbagai peristiwa di masa lampau agar dapat dijadikan ibrah (pelajaran), pedoman dan pedoman hidup sehingga kita pun mampu memilih jalan hidup yang selamat iaitu dengan mengikuti jejak-jejak para Nabi dan orang soleh, sekali gus menjauhi jalan-jalan dan perlakuan buruk para umat terdahulu yang derhaka.