Pernah berlaku pertengkaran di antara Abdurahman bin Auf dan Talhah bin Ubaidillah. Pertengkaran tersebut membuat hubungan kedua-dua sahabat Nabi SAW itu menjadi renggang.

Suatu hari Talhah menderita sakit. Mendengar berita tersebut, Abdurahman tidak teragak-agak untuk datang dan menziarahinya.

Berkata Talhah: “Demi Allah, engkau lebih baik daripada diriku.”

Abdurahman berkata: “Janganlah engkau berkata seperti itu, wahai saudaraku.”

Talhah berkata: “Memang begitulah keadaannya, engkau lebih baik daripada diriku. Itu kerana jika engkau sakit, aku tidak menziarahimu.” (SiyarA’lam al-Nubala)

Hanya tiga hari

Dalam pergaulan antara manusia, pertengkaran tidak dapat dihindari. Pasti ada sahaja sesuatu perkara yang menyebabkan pertengkaran berlaku.

Jangankan antara dua orang sahabat, antara suami isteri yang saling mencintai sekalipun boleh berlaku pertengkaran.

Begitu pun, pertengkaran itu hendaklah tidak berlangsung lama. Jangan biarkan ia berlarutan sehingga melebihi tiga hari, apa lagi bertahun-tahun.

Dalam Islam, siapa yang lebih dulu melakukan inisiatif untuk berdamai, maka dia adalah orang yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW bersama: Tidak halal bagi seorang Muslim menjauhi saudaranya melebihi tiga malam. Apabila berjumpa, kedua-duanya saling berpaling muka. Yang terbaik antara kedua-duanya ialah orang yang paling mula mengucapkan salam. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam al-Nawawi: “Haram memutuskan hubungan antara sesama Muslim melebihi tiga hari secara nas hadis ini. Dan diharuskan dalam tiga hari mengikut kefahaman hadis ini. Sebab dibenarkan selama tiga hari ialah kerana jiwa manusia memiliki sifat marah. Justeru, dibenarkan selama tiga hari ini sehingga hilang sifat marah tersebut.”

Bukan mudah

Menziarahi orang yang memusuhi kita termasuk dalam kategori menyambung silaturahim yang terputus. Tindakan ini merupakan salah satu sikap yang sangat terpuji. Ia lebih terpuji berbanding menjaga silaturahim yang memang sedia terpelihara.

Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah orang yang menyambung silaturahim itu dia yang berbalas ziarah. Akan tetapi orang yang menyambung silaturahim ialah dia yang menyambung silaturahim kepada orang yang telah memutuskannya. (riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, perbuatan ini bukan mudah. Sikap sebegini hanya dapat dilakukan oleh orang yang telah berjaya menundukkan ego dan selalu mentarbiah hati agar bertindak selari dengan kehendak Ilahi.

Wallahua’lam.