Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pembelajaran etika didik generasi muda berakhlak

Posted by epondok di Januari 14, 2015


Wan Mohd Hirwani Wan Husain

Pendedahan video aksi gadis bertudung memeluk artis popular KPop dari Korea Selatan amat menggemparkan dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Pada saat negara dirundung kesedihan dengan isu banjir di Pantai Timur dan nahas kapal terbang QZ8501 AirAsia Indonesia, video berkenaan menggambarkan bagaimana tingkah laku generasi muda masa kini yang semakin ‘bernanah’ dalam masyarakat.

Video itu turut menerangkan bahawa institusi pendidikan dan keluarga perlu memainkan peranan bagi membendung perlakuan tidak sopan yang membabitkan pergaulan lelaki dan wanita. Nilai murni masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adat dan kesantunan tinggi telah tercemar dengan pendedahan video berkenaan. Ini bukan nilai murni yang baik dan patut dicontohi generasi muda.

Etika dan nilai murni milik generasi muda masa kini kian pudar selaras dengan perkembangan teknologi yang dikecapi. Penggunaan media sosial telah digunakan sebagai platform oleh generasi muda bagi mengkritik, menempelak dan meluahkan perasaan atas segala aspek yang dirasakan tidak adil pada perspektif mereka.
Ini menyebabkan nilai murni dan sopan santun masyarakat Malaysia semakin lama semakin terhakis. Etika berasal daripada perkataan ‘ethos’ (Greek) yang didefinisikan sebagai keperibadian dan akhlak, merangkumi aspek prinsip dan kelakuan individu mengenai kepercayaan antara betul dan salah. Etika juga merangkumi tingkah laku seseorang yang menggambarkan sesebuah masyarakat. Dari perspektif Islam, etika amat penting kerana Islam menggariskan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, tawaduk dan wasatiyyah dengan berlandaskan kepada al-Quran dan hadis.

Etika dan nilai murni yang baik amat penting kepada diri seseorang individu kerana ia berupaya membantu memberi sumbangan kepada masyarakat dan juga negara.

Elak masalah sosial lebih serius

Banyak kes rasuah pada masa kini adalah dalam kalangan eksekutif muda yang mahukan kesenangan dengan cepat tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan berkenaan.

Sekiranya ini dibiarkan maka adalah tidak mustahil pada suatu masa nanti kejatuhan nilai murni dan sosial menjadi semakin serius di Malaysia. Permasalahan ini perlu dibendung sejak di sekolah rendah lagi dengan memperkenalkan subjek yang berkaitan dengan etika dan nilai murni. Pengenalan subjek ini dapat membantu mendidik pelajar sejak di sekolah rendah dan pada masa sama dapat mengurangkan sikap prejudis dan iri hati generasi muda.

Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) menunjukkan sebanyak 31 peratus pelajar sekolah sanggup menerima rasuah seandainya ada kuasa dan peluang melakukannya. Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian kerana tidak mustahil jumlah peratusan tersebut akan meningkat pada masa hadapan.

Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya sememangnya mempunyai etika dan nilai murni masing-masing. Oleh itu, adalah menjadi keperluan setiap pelajar sekolah rendah memahami dan menghormati etika dan nilai murni yang diterapkan dalam masyarakat masing-masing.

Penghayatan etika dan nilai murni dalam pelbagai agama dan masyarakat membolehkan generasi muda pada masa akan datang lebih bertamadun dan berketrampilan. Ini secara tidak langsung akan bertindak sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara serta dapat merealisasikan wawasan negara maju dari sudut material dan rohani

Saranan yang perlu diberi perhatian iaitu adalah menjadi keperluan untuk sekolah rendah memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam seminggu bagi proses pengajaran dan pembelajaran berkaitan etika dan nilai murni.

Tumpu aspek perpaduan

Seterusnya, pembangunan modul etika dan nilai murni yang dibangunkan perlu memberikan tumpuan khusus kepada aspek perpaduan, hormat menghormati, bekerjasama yang mempunyai kualiti daya saing tinggi bagi membolehkan generasi pelajar hari ini mampu berdepan perubahan pada masa hadapan.

Penilaian terhadap subjek juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memenuhi objektif pengajaran dan membolehkan penilaian pelajar dapat dilakukan dengan lebih baik serta berkesan.

Malaysia juga boleh mengaplikasi konsep pendidikan negara Jepun dengan menerapkan pengajaran dan pembelajaran etika sejak di sekolah rendah. Berdasarkan kepada pepatah Melayu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ maka adalah amat tepat jika pelajar sekolah rendah digunakan sebagai medium mengubah etika masyarakat yang kian hancur masa kini.

Keseluruhannya, pengajaran dan pembelajaran etika amat signifikan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahukan generasi muda lebih bertanggungjawab, amanah dan adil dalam menjalankan tugas.

Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan dan universiti serta badan penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih terancang. Hasilnya diharapkan dapat menghasilkan generasi muda lebih berilmu dan berakhlak mulia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: