Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Musibah orang lain, ujian bagi kita

Posted by epondok di Januari 12, 2015


Oleh Maslina Alias

Malaikat maut pada saat mencabut nyawa Nabi Nuh telah bertanya kepada Baginda: “Bagaimana kamu dapati dengan umur yang begitu panjang? Nabi Nuh menjawab: Umpama sebuah rumah yang aku masuk melalui pintu depan dan keluar melalui pintu belakang.”

Nabi Nuh yang dikurniakan Allah SWT umur panjang iaitu lebih seribu tahun menggambarkan bahawa betapa masa yang dilalui itu berjalan dengan begitu pantas. Itulah mula bicara Ustazah Norhafizah Musa pada program Usrati minggu lalu.

Beliau membicarakan mengenai topik ‘Sentiasa Untung’ yang dikaitkan dengan tiga sikap manusia iaitu sentiasa membaca, merujuk dan beramal dengan kitab Allah (Al-Quran). Kedua, mereka yang menjaga dan memelihara solat lima waktu dan ketiga, yang menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT.

Mengambil iktibar musibah banjir yang berlaku, Norhafizah memfokuskan perbincangan kepada keuntungan yang diperoleh mereka yang menafkahkan sebahagian harta ke jalan Allah SWT.

Perniagaan tidak alami kerugian

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka daripada limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepada-Nya).” (Surah Faatir, ayat 29)

Semasa Allah SWT menguji hamba-Nya, Allah SWT memerintahkan malaikat untuk melihat bagaimana keadaan hamba yang diuji itu. Apabila malaikat memberitahu hamba yang diuji itu reda, maka untuknya juga keredaan Allah. Jika sebaliknya pula, hamba yang diuji itu tidak reda dan berkeluh kesah, maka begitu jugalah daripada Allah SWT kepada hamba itu.

Ujian atau musibah yang berlaku kepada orang lain sebenarnya ujian kepada diri kita. Bagaimanakah cara kita melihat ujian yang menimpa orang lain. Adakah dengan hanya memandang dengan simpati atau menghulurkan bantuan kepada mereka?

Keuntungan bukan dinilai dari aspek harta

Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak supaya mereka mengerti keuntungan bukan dinilai dari aspek harta tetapi manusia boleh menjadi beruntung dengan berkongsi harta diperoleh bersama golongan kurang berkemampuan atau mereka yang berdepan ujian. Anak perlu dididik untuk berasa simpati dan empati.

Norhafizah memberi contoh mudah iaitu ibu bapa boleh mendidik anak bermula dari sekolah dengan berkongsi makanan atau membeli makanan untuk meraikan kawan yang kurang berkemampuan. Seterusnya, anak perlu ditanam sikap sentiasa bersederhana dan merasa cukup dalam kehidupan.

Ibu bapa adalah orang paling rapat dengan anak dan mereka sepatutnya menunjukkan teladan supaya mudah mendidik anak hidup dalam kesederhanaan. Kesederhanaan mendidik hati untuk mudah menafkahkan sebahagian rezeki kepada yang memerlukan.

Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT untuk mendidik nafsu supaya berasa cukup dan syukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada kita.

Allah SWT Maha Mengetahui setiap ujian atau musibah yang diberikan kepada hamba-Nya kerana mereka mampu menerimanya. Allah SWT tidak akan sekali-sekali memberikan ujian kepada hamba-Nya untuk memudaratkan mereka, melainkan adalah untuk memberi kekuatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Setiap ujian atau musibah yang melanda untuk mendidik kita supaya reda kepada Allah SWT. Hati perlu dididik sentiasa mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT dengan apa yang telah ditakdirkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)

Jaminan diberi jalan keluar

Alangkah ruginya mereka yang diuji Allah SWT, tetapi meninggalkan solat lima waktu. Malah merintih dan mengeluh dengan musibah yang melanda. Allah SWT telah berjanji dalam al-Quran jika hamba-Nya yang diuji itu reda dan sentiasa mengingati Allah SWT, maka akan diberi mereka jalan keluar.

Allah SWT memberi jaminan kepada hamba-Nya yang yakin dan bertakwa walau dalam apa keadaan sekalipun, sama ada dalam keadaan gembira mahupun susah.

Keredaan terhadap Allah SWT akan hilang jika hati kita diselubungi rasa syak, keraguan dan kebimbangan terhadap ujian serta musibah yang melanda. Segala tindak tanduk kita dalam kehidupan menunjukkan sama ada kita yakin atau tidak dengan ayat Allah SWT.

Keyakinan terhadap Allah SWT adalah jalan keluar bagi segala-segalanya, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Advertisements

Satu Respons to “Musibah orang lain, ujian bagi kita”

  1. Reblogged this on Istighfaar.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: