Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Sentiasa bersabar hadapi musibah

Posted by epondok di Januari 9, 2015


Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Sudah menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman kepada Allah SWT, setiap rahmat, musibah, kejayaan, kegagalan, keuntungan dan kerugian datang daripada Allah SWT, yang Maha Mengetahui bila ia akan melimpah serta menimpa seseorang atau bangsa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah al-Taubah, ayat 51)

Ini bermakna kehidupan di dunia tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun akan terlepas daripadanya. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu dugaan serta ujian bagi menguji tahap ketakwaan di jiwa.

 

Musibah jadi renungan, muhasabah diri

Dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada orang yang sedia mendengar serta menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran.

Justeru, apa-apa musibah dan bencana yang menimpa, sewajarnya dijadikan renungan dan muhasabah diri.

Setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukan hingga mengundang bala bencana daripada Allah SWT. Dalam satu sudut lain pula, dugaan Allah SWT bagi menguji sejauh mana keimanan kepada-Nya.

Muslim yang berjaya ialah yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah SWT. Apa sahaja yang berlaku pada diri seseorang atau sesebuah bangsa adalah bertitik tolak daripada perilaku manusia sendiri.

Ini bermakna musibah yang melanda seseorang atau sesuatu bangsa sebenarnya satu peringatan keras daripada Allah SWT terhadap tingkah laku manusia sebelum ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Masing-masing Kami seksa kerana dosanya; di antara mereka ada yang Kami kirim kepadanya angin taufan (yang mengandungi pasir) dan di antara mereka ada diseksa oleh teriakan yang keras (terus mati) dan antara mereka ada yang Kami benamkankan ke dalam bumi, dan ada yang Kami tenggelamkan (dalam laut). Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Surah al-Ankabut, ayat 40)

Sabar hadapi musibah

Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim yang beriman supaya bersabar mendepani segala musibah dan malapetaka yang melanda. Janganlah pula merasa lemah semangat, berduka cita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir terhadap apa yang telah berlaku.

Bukankah Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya melalui sabdanya: “Hendaklah kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan kamu merasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan: kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini. Sebaliknya katakanlah: itu adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti akan terjadi. Sebenarnya perkataan ‘kalau’ itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan.” (Riwayat Bukhari)

Begitulah sifat Muslim yang sebenarnya apabila berhadapan dengan sebarang musibah dan bencana. Tambahan pula, manusia adalah makhluk yang serba lemah, daif, manakala segala musibah dan bencana pula semua telah ditetapkan Allah SWT sejak azali lagi di Luh Mahfuz.

Dengan keyakinan seumpama ini, setiap Muslim akan bertambah keimanan terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah yang Maha Agung. Ini bukan bermakna kita hanya pasrah dan menyerah bulat-bulat semasa berhadapan dengan musibah itu.

Berhadapan dengan keadaan yang sukar, amat wajar setiap Muslim memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, lebih bersimpati terhadap nasib mangsa yang ditimpa musibah dengan meringankan segala kesulitan dihadapinya di samping menyelami hikmah di sebalik musibah yang menimpa.

Dalam keadaan ini, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhkan dari segala malapetaka dan musibah. Sabda Rasulullah SAW: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu bala bencana dengan doa.” (Riwayat Tabrani)

Doa lindungi bencana

Bukankah doa senjata ampuh seorang Mukmin apabila berada pada saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah yang berlaku di luar jangkaan. Dalam hal ini, setiap Muslim seharusnya melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya dilindungi segala bencana.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terang-terangan) dan secara bersembunyi (dengan berkata): Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami daripada orang yang bersyukur.” (Surah al-An’am, ayat 63)

Begitulah wajah kehidupan manusia yang sewajarnya direnungi supaya dapat dijadikan teladan dan sempadan kepada umat Islam. Ringkasnya, kesemua malapetaka yang menimpa itu sepatutnya dijadikan bahan pengajaran dan iktibar untuk insaf serta kembali pada landasan yang lurus.

Di samping itu, Muslim juga disaran bertaubat kepada Allah SWT daripada sebarang kesilapan dan kecuaian sama ada tidak menunaikan sesuatu perintah Ilahi atau melanggar sesuatu larangan-Nya pada suatu ketika dahulu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum, ayat 41)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: