Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Remeh jangan diperbesar, penting usah dipermudah

Posted by epondok di Januari 8, 2015


Oleh Nik Hasnah Ismail
Kepentingan mengutamakan perkara yang utama dijelaskan oleh Ustaz Sharizan Daud at-Turabi dalam Tarbiah
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-Ku, yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang yang mempunyai akal.” (Surah az-Zumar, ayat 17-18)

Melalui rancangan Tarbiah, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi menjelaskan kepentingan mengutamakan perkara yang utama berbanding perkara lain yang juga mempunyai keutamaannya dalam kita melaksanakan kehidupan di dunia.
Namun, sebagai seorang Muslim apa juga bentuk tindakan dan keputusan yang diambil, ia mestilah berpandukan kepada al-Quran serta hadis supaya kehidupan tidak tergelincir dari tangga keimanan kita terhadap Allah SWT.

Prof al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi melalui buku karangan beliau yang tersohor dan menjadi rujukan umat Islam iaitu kitab Fiqh al-Aulawiyat, menjelaskan segala hukum hakam, amal dan nilai dalam Islam terikat dengan Fiqh al-Aulawiyat yang didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain.

Tak wajar besarkan perkara kecil

Apa yang wajar didahulukan hendaklah diutamakan, manakala suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan. Perkara yang kecil tidak wajar dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan.

Dengan kata lain, tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan dan adil sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas mengenai neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Surah ar-Rahman, ayat 7-9)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisa, ayat 36)

Allah SWT menjelaskan kepada umat Islam supaya melaksanakan hak Allah SWT terhadap mereka sebagai suatu tuntutan paling utama. Ini bermakna, setiap Muslim wajib melaksanakan suruhan Allah SWT yang utama seperti solat.

Solat perkara utama, wajib dilaksana

Perintah Allah SWT berkaitan solat adalah perkara utama yang wajib dilaksanakan. Malah, amalan utama yang dihitung Allah SWT di akhirat nanti adalah solat, ibadah yang menjadi tunjang kepada penganut agama Islam.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Allah SWT juga memerintahkan umat Islam mengerjakan solat dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam.” (Surah Hud, ayat 114)

Solat lima waktu adalah kewajipan yang menjadi keutamaan kepada setiap umat Islam, malah melaksanakan solat di awal waktu menjadi tuntutan yang mesti dilaksanakan.

Selain itu, tuntutan yang turut menjadi keutamaan selepas memelihara hak Allah SWT, kita wajib mematuhi kedua-dua ibu bapa. Menjadi tanggungjawab setiap anak mentaati perintah kedua orang tua. Malah, seorang suami wajib mengutamakan ibunya terlebih dahulu berbanding isteri.

Seperti mana dikisahkan cerita yang masyhur iaitu kisah pemuda bernama al-Qomah yang sangat rajin beribadah. Tiba-tiba, dia jatuh sakit yang sangat teruk. Maka isterinya menyuruh orang memanggil Rasulullah SAW.

Baginda SAW bertanya kepada ibu al-Qomah, perkara sebenar yang terjadi sehingga anaknya berada dalam keadaan sedemikian rupa, lalu jawab ibunya, al-Qomah sangat rajin beribadah, solat, berpuasa dan bersedekah.

Bagaimanapun, ibunya sangat murka kepada anaknya itu kerana lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, malah menurut kata-kata isterinya sehingga dia menentang ibunya. Maka berkata Rasulullah SAW: “Murka kamu itu yang telah mengunci lidahnya dari menyebut kalimah Allah.”

Lalu Rasulullah SAW mengacah supaya al-Qomah itu dibakar dan ibunya sambil mengangkat kedua tangannya berkata: “Ya Rasulullah, aku persaksikan kepada Allah di langit dan engkau, ya Rasulullah dan mereka yang hadir di sini bahawa aku reda pada anakku al-Qomah.”

Selepas itu al-Qomah boleh menyebut kalimah Allah, sebelum menghembuskan nafas terakhir. Sesudah dikuburkan, berkata Nabi Muhammad SAW sambil berdiri dekat kubur: “Hai sahabat Muhajirin dan Ansar, sesiapa yang mengutamakan isterinya lebih daripada ibunya, maka dia adalah orang yang dilaknat oleh Allah SWT, dan tidak diterima daripadanya ibadat fardu dan sunatnya. Oleh itu, keutamaan seorang anak lelaki adalah menyantuni ibunya berbanding seorang isteri.”

Mulia buat baik kepada ibu bapa

Kemuliaan menyantuni hak ibu bapa disebut dalam sekian banyak hadis dan ayat suci al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan (ingatlah) kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Lukman, ayat 14)

Sharizan berkata, barangkali ramai dalam kalangan kita yang mahu bersedekah atau menghulurkan apa juga bentuk sumbangan kepada orang lain, tetapi tidak ramai yang sedar keutamaan untuk kita memberi sumbangan berkenaan.

Contohnya, kita bersedekah wang ringgit atau harta kepada mereka yang jauh di luar negara tetapi pada masa sama meminggirkan adik beradik, saudara mara serta anak yatim yang hampir kepada kita. Kebajikan yang dilakukan itu tidak mendatangkan nilai kerana tuntutan keutamaan itu tidak dilaksanakan.

Justeru, penting bagi kita mengetahui tuntutan manakah yang menjadi keutamaan supaya apa juga bentuk kebaikan dan kebajikan yang dilakukan, benar-benar dipandang serta mendapat penilaian tertinggi di sisi Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: