Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bersaing jadi umat terbaik dunia

Posted by epondok di Januari 7, 2015


Oleh Mohd Shauki Abd Majid

Islam memandang bahawa pembangunan harus dimulai dengan perubahan individu yang disusuli dengan perubahan institusi. Tugas membangun dalam Islam adalah tugas yang mulia, bahkan melebihi tugas keagamaan yang bersifat ritual.

Umat Islam diperkenalkan oleh al-Quran sebagai ‘ummatan wasathan’ (umat pertengahan) yang tidak larut dalam spiritualisme, tetapi tidak juga hanyut dalam alam materialisme. Seseorang Muslim perlu memenuhi keperluannya dan mewarnai kehidupannya bukan mengikut cara ala malaikat, tidak juga ala binatang.

Agama dibawa Nabi dan isinya digambarkan dalam kitab suci adalah serangkaian tuntutan Tuhan untuk pembinaan dan pembangunan manusia serta dunianya.
Allah swt berfirman: “Kitab suci adalah petunjuk Tuhan untuk memberikan jalan keluar bagi masalah yang dihadapi manusia.” (Surah Al-Baqarah ayat 213).

Anggapan bertentangan

Sering kali ada anggapan yang bertentangan antara agama dengan ilmu pengetahuan atau perkembangan sains dan teknologi. Agama dikatakan menjadi penghalang terhadap perkembangan ilmu dan teknologi.

Pada waktu yang sama, muncul pula anggapan bahawa ilmu dan teknologi menjadi ancaman terhadap agama. Anggapan seperti itu juga pernah berkembang di Barat sehingga tercetus peperangan ilmu dan agama yang tidak berkesudahan. Saintis tersohor abad ke-20, Einstein pernah berkata, ilmu tanpa agama adalah buta dan agama tanpa ilmu adalah pincang.

Kita harus memaknakan ajaran Islam dengan makna yang proaktif dan progresif, tidak hanya pasif dan pasrah (meskipun kita tetap percaya pada takdir dan qada Allah.) Takdir hendaknya difahami ketika usaha kita ternyata tidak berhasil. Kemudian baru kita dibolehkan bertawakal, kalau sudah berikhtiar seperti yang terkandung dalam hadis: “Ikatlah unta itu jangan dilepas begitu saja, baru kamu boleh bertawakal.”

Banyak sekali terjadi bahawa kehidupan umat Islam dilandasi ajaran Islam yang pemaknaannya sudah tidak tepat lagi. Bukan sedikit pemaknaan ajaran Islam itu sangat pasif dan menjadikan pasif pula dalam kehidupan, bahkan juga amat banyak menjadi penghalang terhadap kemajuan. Seolah-olah ia hanya berorientasi kepada kehidupan akhirat saja dan tidak ada kaitan dengan keduniaan.

Kita percaya ajaran Islam adalah terbaik dan sempurna. Yang menjadi masalah adalah pemahaman serta penyalahtafsiran umat sendiri dalam mempraktikkan ajaran itu di muka bumi ini. Bermakna ada pemisahan antara ajaran dan praktik amalan umat Islam. Allah swt juga berfirman: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf (kebaikan) dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”. (Surah Ali- Imran ayat 110 ).

Ayat ini seharusnya membangkitkan kesedaran umat Islam untuk maju dan berdaya saing agar menjadi umat terbaik di dunia. Kemajuan di dunia tidak dapat dicapai tanpa usaha dan perjuangan yang kental serta berkualiti.

Wujud teladan terpuji

Ertinya, umat Islam akan menjadi umat terbaik di atas muka bumi jika mampu mewujudkan teladan terpuji dan penghindaran kemungkaran dengan landasan iman kepada Allah. Oleh kerana itu, ketiga-tiga hal (iman, amar makruf dan nahi mungkar) itu menjadi syarat untuk melahirkan umat yang terbaik.

Sedangkan istilah makruf sebenarnya mencakupi masalah keduniaan seperti sistem pendidikan, ekonomi, sosiobudaya, hukum, politik dan teknologi. Itu semua bukan hanya di atas kertas tulisan mengenai ajaran Islam, bukan pula dihafal dalam musabaqah membaca al-Quran, namun harus diwujudkan oleh umatnya di muka bumi ini.

Memang wajah dunia harus berubah. Pengetahuan dan daya kreatif yang dianugerahkan Allah kepada manusia membawa makhluk ini dapat menciptakan hal baharu yang belum dikenali sebelumnya, baik di darat, laut mahupun udara. Pengetahuan dan daya kreatif itu tidak dimiliki malaikat dan itu antara lain menjadikan mereka tidak wajar menyandang fungsi kekhalifahan yang di sandang manusia.

Oleh kerana itu, seandainya malaikat yang ditugaskan menjadi khalifah maka sudah tentu alam ini akan menjadi statik dan tidak berubah atau terpelihara.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: