Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Akhlak baik pengaruhi neraca amal

Posted by epondok di Januari 6, 2015


Oleh Zamanuddin Jusoh
Manusia berlumba-lumba untuk memperbaiki penampilan diri. Ada yang lebih mementingkan perhiasan lahiriah dengan pakaian hebat, solekan mewah dan perhiasan emas permata, sehingga mengundang kekaguman orang yang melihatnya.

Bagaimanapun, tidak ramai berusaha untuk memperbaiki akhlak mereka dalam kehidupan. Bagi mereka yang mempunyai kesedaran agama, tentunya akan berusaha meningkatkan pahala melalui penambahbaikan terhadap akhlak kerana ia antara keutamaan dalam Islam.

Walaupun segala pujian diterima, ia akan segera mengembalikannya kepada Allah SWT kerana kepunyaan-Nya segala pujian dan hanya Dialah yang berhak untuk dipuji.

Mungkin ramai dalam kalangan kita kurang memperhatikan masalah akhlak. Pada sudut lain, kita mengutamakan tauhid yang memang perkara pokok dalam agama ini. Namun, pada sudut lain seperti masalah akhlak amat kurang diperhatikan.
Permasalahan akhlak hari ini

Segala permasalahan terjadi pada hari ini adalah disebabkan kebejatan yang berkaitan dengan permasalahan akhlak. Apa yang kita dapat diambil daripada semua perilaku sama ada daripada pihak atasan, artis, pekerja, orang tua, generasi muda, mahasiswa, pelajar atau rakyat biasa, pada umumnya adalah kerana kelemahan pada akhlak mereka.

Sebagai ulama menekankan unsur pengetahuan, dan ilmu berkaitan akhlak adalah pengenalan terhadap kemuliaan akhlak.

Ahli ilmu berpendapat bahawa ilmu akhlak adalah pengetahuan mengenai bagaimana jiwa manusia menterjemahkan suatu kriteria yang memuliakan seluruh tindakan yang dilakukan atas dasar keinginan individu.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa, suatu ketika Baginda SAW pernah ditanya mengenai kriteria orang yang paling ramai mendapat balasan syurga. Baginda SAW menjawab : “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” (Riwayat Tirmizi dan Imam Ahmad).

Tatkala Rasulullah SAW menasihati sahabatnya, Baginda SAW menggandingkan antara nasihat untuk bertakwa dengan nasihat untuk bergaul dan berakhlak yang baik kepada manusia seperti hadis daripada Abi Dzar, dia berkata bahawa Rasulullah bersabda : “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik nescaya kebaikan itu akan menutupi kejahatan dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak baik.” (Riwayat Tirmizi).

Ini menunjukkan bahawa ketakwaan yang sebenar mestilah disempurnakan dengan akhlak yang mulia.

Dalam timbangan (mizan) amal pada hari Kiamat tidak ada yang lebih berat daripada akhlak yang baik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “ Sesuatu yang paling berat dalam mizan (timbangan seorang hamba) adalah akhlak yang baik.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Dalam riwayat lain, Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu yang paling utama dalam mizan (timbangan) pada hari Kiamat adalah akhlak yang baik.” (Riwayat Ahmad).

Keadaan ini menunjukkan betapa akhlak yang baik itu dapat mempengaruhi neraca timbangan amalan kita walaupun di dunia kita mengenali orang yang berpengaruh.

Merekalah orang yang dikasihi Baginda SAW dan sentiasa dekat dengan Baginda SAW pada hari Kiamat. Dari Jabir a berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling saya kasihi dan yang paling dekat pada majlisku pada hari Kiamat ialah mereka yang terbaik budi pekertinya.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad).

Akhlak yang paling baik memiliki keutamaan yang tinggi kerana itu sudah semestinya setiap individu Muslim menjadikan akhlak yang baik sebagai contoh.

Perlu diingat bahawa ukuran akhlak yang baik atau buruk bukanlah diukur menurut selera individu dan bukan pula hitam putih akhlak itu menurut ukuran adat yang diciptakan oleh manusia kerana apa yang dianggap baik oleh adat tidak semestinya baik neraca timbangan syariat.

Oleh yang demikian, kita hendaklah melaksanakan akhlak mulia dalam kehidupan terutama dalam bidang pendidikan kerana ia adalah acuan membentuk generasi masa hadapan.

Bermula daripada mengingati Allah SWT sehinggalah ke peringkat doa dan usaha untuk menuju ke arah itu. Ini adalah kerana doa dan usaha adalah kunci segala kejayaan seperti gambaran dan perintah Allah SWT bermaksud: “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa api neraka.” (Surah al- Baqarah, ayat 201).

Tingkatan orang beriman

Umum mengetahui bahawa asas ajaran Islam ialah iman dan ihsan. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa ihsan adalah akhlak yang mulia. Begitu juga tingkatan orang yang beriman kepada Muslim, Mukmin dan Mukhsin yang mana kemuncak kepada tingkatan ini iaitu Mukhsin yang akan menyampaikan seseorang kepada akhlak yang mulia.

Ini adalah kerana orang Muhsinin akan sentiasa berasakan bahawa mereka sentiasa dilihat oleh Allah SWT walaupun mereka tidak dapat melihat Allah SWT. Zikir secara terang dan tersembunyi adalah latihan untuk mencapai tingkatan yang disebut seterusnya melahirkan akhlak yang baik dan salih yang disebut Muhsinin (orang yang baik-baik) atau hamba yang salih.

Kita juga dituntut menjadikan sabar dan solat berperanan sebagai pembantu untuk menjadikan kita semakin baik dan mencapai tahap salihin.

Firman Allah SWT bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman (Mukmin), jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al- Baqarah, ayat 153 )”.

Kekuatan dalam kukuhkan jiwa, hati

Jelas menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan tidak akan membuahkan hasil dalam masa yang singkat. Maka hasilnya, ialah kekuatan dalaman yang akan mengukuhkan jiwa dan hati.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal salih, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al -Baqarah, ayat 277 ).

Sabar adalah contoh dalam mengingati Allah SWT dalam memelihara hubungan dengan Allah dan manusia. Begitu juga solat dan zakat, yang mana semuanya berperanan dalam proses menjadi hamba yang salih.

Bagi memantapkan lagi jalan menuju kepada hamba yang salih seperti apa yang dikehendaki, maka Imam al-Ghazali mencatatkan empat sifat kesempurnaan bagi orang yang salih.

Antaranya memiliki iktikad benar yang tidak ada bidaah dalamnya (maksudnya mengikuti akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah). Keduanya bertaubat dengan taubat nasuha sehingga ia tidak akan kembali mengerjakan dosa yang pernah dilakukannya.

Ketiganya meminta halal daripada semua musuh makhluk sehingga mereka tidak akan dituntut pada hari kiamat nanti dan keempatnya mempelajari ilmu syariat untuk dapat menunaikan segala perintah Allah SWT dan juga mempelajari ilmu akhirat yang dapat menjamin keselamatan di akhirat nanti.

Kesimpulannya, akhlak mulia dapat menyelamatkan manusia pada hari kiamat. Namun, proses untuk sampai ke sana memerlukan panduan dan usaha berterusan.

Jalan dirintis mestilah dilalui satu persatu dan kejayaan pastinya milik mereka yang melalui pengabdian yang sebenar terhadap Allah SWT. Jalan sufi juga adalah antara jalan terbaik untuk sampai kepada akhlak mulia dan ia bukanlah suatu kesalahan mengikut sesetengah pihak. Panduan dan pelajaran mestilah seimbang agar kita sentiasa berada pada landasan yang betul.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: