Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bencana uji iman, rapatkan ukhuwah

Posted by epondok di Januari 2, 2015


Oleh Dr Nurhidayah Hashim

Membantu mangsa banjir amalan mulia merapatkan silaturahim. – Gambar hiasan
Negara kita menutup tirai tahun 2014 dengan pelbagai kisah sedih dan ujian yang hebat melanda penduduk serta negara. Ini termasuklah banjir besar yang melanda beberapa negeri yang menyebabkan kesengsaraan serta kerugian tidak mampu digambarkan.

Dilaporkan ribuan rumah rosak, dihanyutkan dalam banjir besar ini. Ada rumah yang hanya tinggal tangga sahaja, malah ada yang terus lenyap meninggalkan tapak sebagai sejarah. Ini tidak termasuk jumlah kenderaan yang rosak dan hilang dalam kejadian itu.

Manusia tidak mampu lawan takdir
Kejadian banjir besar ini adalah satu tanda kebesaran Pencipta yang berkuasa mutlak terhadap segala yang ada di alam ini. Ia membuka mata hati kita merenung penciptaan alam dan tunduk mengaku bahawa manusia tidak mampu melawan apa-apa bencana alam yang ditakdirkan berlaku.

Namun, kita tidak pula diminta hanya duduk berserah tetapi perlu berusaha mencari jalan terbaik menangani bencana alam yang menimpa.

Kejadian itu juga membuka mata kita semua untuk melihat hikmah dari sudut berbeza. Apabila melihat ramai insan menjadi mangsa, kehilangan tempat tinggal dan harta, tinggal sehelai sepinggang, ia memberi ruang untuk kita membantu dan memberi bantuan yang termampu.

Memberi kepada orang yang memerlukan adalah satu tuntutan agama. Apabila mendapat tahu ada insan berada dalam situasi sangat memerlukan bantuan, ketika itu menjadi kewajipan kita untuk membantu.

Membantu mangsa banjir boleh menjadi sebahagian cara merapatkan hubungan keluarga. Babitkan anak untuk mengumpulkan dana, pakaian, makanan dan membungkusnya untuk mangsa banjir boleh menimbulkan sikap prihatin di hati mereka.

Usaha kumpul dana bantu mangsa banjir

Media melaporkan pelbagai pihak, termasuk individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid dan surau telah menjalankan kutipan derma, mencari dana membeli pelbagai keperluan. Ribuan ringgit yang dikutip menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jiwa murni mengasihani sesama insan.

Ia adalah sikap terpuji dan patut diteruskan sepanjang masa. Pada masa sama, kita perlu memberi kata-kata semangat kepada mangsa banjir yang ditemui. Pujuk mereka dengan kata-kata positif supaya lebih tabah menghadapi ujian, sabar atas kehilangan yang berlaku. Ia juga satu sedekah.

Sesungguhnya ujian yang datang, walau bagaimana berat, adalah ketentuan Allah SWT untuk melihat bagaimana reaksi hamba-Nya, adakah mereka lebih dekat kepada-Nya atau lebih jauh. Keimanan, keyakinan, tawakal dan kesabaran yang kuat sangat diperlukan dalam menghadapi ujian getir ini.

Orang yang jauh daripada Allah SWT akan menyalahkan-Nya atas ujian ini, memarahi takdir yang menimpa dan mengandaikan pelbagai sangkaan buruk kepada Penciptanya. Sedangkan orang yang menjadi lebih dekat dengan Allah SWT melihat musibah sebagai bukti kekuasaan Allah SWT.

Bersangka baik berdepan bencana

Ia juga mungkin menjadi kifarat terhadap segala dosa serta kesalahan yang akan menyebabkan dia mendapat ganjaran besar di akhirat kelak. Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun, kita hendaklah sentiasa berbaik sangka kepada Allah SWT.

Harus yakin bahawa semua ujian untuk menguji keimanan seperti dimaksudkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah kalian mengira bahawa kalian akan masuk ke dalam syurga, sedangkan belum datang kepada kalian (ujian) sebagaimana yang berlaku kepada orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang bersamanya: Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Melihat kepada apa yang berlaku, semoga kita mengambil iktibar dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT baik dalam bermuhasabah diri serta menghulurkan bantuan kepada saudara yang memerlukan pertolongan kita.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: