Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jadikan nikmat dunia modal raih untung akhirat

Posted by epondok di Disember 5, 2014


Oleh Norhayati Paradi

Imam Fudhail bin Iyadh pernah berkata, “Seandainya dunia itu daripada emas yang mudah rosak dan akhirat itu daripada tembikar yang diawet dan tahan lama, nescaya yang terbaik untuk dipilih adalah tembikar yang kekal daripada emas yang sirna atau cepat rosak.

Lebih malang jika seseorang memilih tembikar yang cepat rosak daripada emas yang kekal dan tahan lama”. Itu adalah tamsilan perbandingan antara dunia dan akhirat oleh wali Allah Imam Fudhail
Percaya kepada hari akhirat menjadi pasak dalam diri Mukmin dan diumpamakan seperti emas; bukan hanya disebabkan ia lebih bernilai, tetapi tahan lama. Sedangkan dunia ini umpama tembikar yang kurang nilai dan tidak tahan lama.

Bagi yang bijak pastinya emas menjadi pilihan berbanding tembikar yang nilai dan hayatnya nak diramal pun sukar. Hingga sekiranya, tembikar itu tahan lama berbanding emas yang cepat rosak, maka tembikar yang tahan lama itulah yang sewajarnya menjadi pilihan. Maka jelaslah akhirat itu ada keduadua elemen penting itu iaitu nilai yang tinggi dan keabadiannya.

Kekeruhan sifat dunia

Ibnu A’taillah Al-Sakandari mengatakan dalam kehidupan di dunia ini pasti ada kekeruhan iaitu jika sihat pasti ada sakit, yang berjaya pasti ada gagal dan kekecewaan. Itulah sifat dunia yang pasti ada kekeruhan dan kesan sampingan.

Di akhirat semua jernih belaka, tiada kesedihan walaupun kesan sampingan yang memudaratkan dan sebagainya. “Dunia itu sebagai gunung atau penghalang; seseorang dapat menuju Allah sekiranya dia dapat melepasi satu halangan yang bernama dunia,” itu kata Imam Al-Ghazali seperti yang telah ditegaskan dalam al-Quran, Allah berfirman mafhum -Nya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit saja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”. (Surah An-Nisaa’ ayat 77).

Itu dunia yang hanya sekelumit berbanding akhirat. Hanya yang menjadi persoalan, apakah jika kita memilih akhirat maka dunia kita pinggirkan? Jawapannya tidak. Ustaz Pahrol menjelaskan, mencintai akhirat bukan bererti kita meminggirkan dunia kerana dunia itu sebagai modal untuk mendapat keuntungan akhirat. Justeru, dunia yang diumpamakan tembikar ini bukan untuk dibuang tetapi untuk dijadikan modal membeli emas buat keperluan hari akhirat.

Untuk itu maksimumkan penggunaan modal dunia ini bagi raih keuntungan sebanyak-banyaknya di akhirat nanti. Dunia ini tanaman untuk hari akhirat seperti yang dinukil Imam As-syafie. Mana mungkin kita mampu memetik hasil buah yang manis dan ranum di akhirat sekiranya pohon yang ditanam di dunia ini adalah pohon yang tidak subur.

Cemerlang dunia, cemerlang akhirat

Sesungguhnya kecemerlangan di akhirat bermula dengan kecemerlangan di dunia ini lagi seperti yang disebutkan oleh para hukama, “akhirat itu adalah tujuan dengan dunia sebagai jalan.” Jadi, mana mungkin sampai tujuan jika tidak meniti pada jalannya.

Dunia ini adalah alat dan akhirat sebagai matlamat dan dunia ini hanyalah jambatan kerana tiada orang yang akan mengorbankan jambatan kerana tanpa jambatan kita tidak akan menyeberang, akan terputus hubungan. Jadi, hubungan kita untuk pergi ke hari akhirat ialah dengan melalui dunia. Cuma seteguh manapun jambatan, ia tidak akan pernah menjadi penyebab untuk membina rumah di jambatan itu, ia hanyalah laluan dan tempat persinggahan si musafir sematamata.

Sebab itu dalam kehidupan orang Mukmin, nikmat dunia itu perlu ditukar kepada rahmat di akhirat. Proses menukar nikmat kepada rahmat memerlukan kebijaksanaan mengatur mekanisme dan kaedahnya. Segala apa yang dimiliki di dunia tukarkan kepada yang lebih berharga untuk akhirat.

Contohnya, harta yang digunakan ke jalan Allah dengan zakat, hibbah, sedekah, wakaf di jalan Allah dan sebagainya, maka harta itu telah menjadi simpanan di hari akhirat. Jika dikurnia nikmat kuasa, diguna dengan penuh amanah dan keadilan dalam memberi kasih sayang kepada yang di pimpin.

Rupa yang cantik juga nikmat rezeki yang datang dari Allah dan jika disenangi oleh yang lain secara tidak langsung rupa yang cantik itu digunakan bagi menarik orang lain datang dan hampir kepada Allah juga menjadi bekal di alam akhirat. Mendapat anak itu juga nikmat, tetapi mendapat anak yang soleh dan solehah yang mendoakan serta dapat diraih manfaat di akhirat itu juga berupa rahmat.

Pakaian juga nikmat, tetapi jika diguna untuk menutup aurat secara langsung ia bertukar menjadi rahmat. Oleh itu, tukarlah nikmat kepada rahmat dalam diari kehidupan kita. Syukuri bukan sekadar nikmat tetapi juga untuk rahmat yang bakal di kita dapat. Sesungguhnya jambatan penting untuk menyeberang tetapi perlu diingat bekalan juga penting sepanjang menempuh pemusafiran kerana tidak ada siapa yang akan berumah di atas jambatan. Moga kita dapat memahaminya bukan sekadar sebagai teks tetapi konteks dan isi kandungan.

Bangkai anak kambing cacat

Daripada Jabir, bahawasanya Rasulullah SAW menjumpai seekor bangkai anak kambing yang cacat telinganya lalu Baginda mengangkat dengan memegang keduadua telinga bangkai itu lantas bersabda: “Siapakah di antara kalian yang ingin membeli bangkai ini harga satu dirham? Kemudian para sahabat pun menjawab, “Kami sama sekali tidak menginginkannya, apa yang dapat kami lakukan dengan bangkai itu? Lantas Rasulullah SAW kembali bertanya, “Apa kalian mahu bila bangkai ini menjadi milik kalian?” Para sahabat kembali menjawab, “Demi Allah, seandainya bangkai ini hidup pun kami tidak berminat, sebab ia cacat apa lagi sudah menjadi bangkai.” Kemudian Rasulullah SAW seraya berkata “Demi Allah, sungguh dunia itu lebih hina di mata Allah daripada bangkai ini di mata kalian.” (Riwayat Muslim).

Antara lain juga Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Dunia ini terkutuk, dan terkutuk pula segala isinya. Kecuali yang digunakan untuk apa yang diredhai oleh Allah SWT.” Moga ini menjadi motivasi bagi kita untuk menjadikan setiap yang kita ada di atas muka bumi ini digunakan ke arah keredaan Allah. Moga umat Islam hari ini terhindar daripada rabun jauh dengan tidak nampak akhirat tapi hanya melihat yang dekat iaitu dunia semata-mata atau rabun dekat yang hanya melihat akhirat sehingga tidak sedar bahawa dunia ini adalah jambatan untuk ke sana.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: