Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kerja kejar populariti, pujian hanya sia-sia

Posted by epondok di November 30, 2014


Oleh Nik Hasnah Ismail
Cici-ciri Mukmin yang bertakwa mesti ikhlas meningkatkan amal ibadah:
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Bayyinah, ayat 7-8 bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.

Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka juga reda kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya”.

Sesungguhnya seseorang yang digelar sebagai Mukmin adalah orang yang benar-benar memahami tuntutan sebagai insan kamil yang berperanan sebagai khalifah Allah dengan iman dan takwa yang tinggi kepada Allah SWT. Orang Islam yang disebut sebagai Mukmin itu bukan sekadar menganut agama Islam, tetapi Mukmin dalam erti kata mengamalkan suruhan Allah SWT sehingga menjadikannya penghuni syurga Allah yang tertinggi.

Menerusi ayat suci al-Quran, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta).” (Surah al-Mukminun, ayat 1-5).

Ciri-ciri Mukmin sebenar

Orang yang mempunyai ciri-ciri Mukmin yang sebenar adalah orang yang mempunyai perwatakan akhirat dan kehidupannya di dunia ini digunakan dengan sebaik mungkin kerana setiap amalan dan perbuatan dunia juga cermin akhirat.

Seorang Mukmin harus benar-benar ikhlas dan selalu meningkatkan amal ibadahnya kepada Allah serta berusaha melipatgandakan ketaatan kepada Allah kerana tidak ada yang paling bahagia dalam hidup ini apabila kehidupan kita mendapat keredaan-Nya.

Terdapat tiga golongan manusia yang berwatak akhirat, tetapi mereka adalah ahli neraka.

Mereka ini seperti yang dinukilkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda mafhumnya terdapat tiga golongan ‘alim’, tetapi tempat mereka dalam neraka. Mereka adalah golongan pertama iaitu orang yang mati di jalan Allah. Ketika dia dimasukkan ke dalam neraka, dia berkata, “Ya Allah bukankah aku dulu berjihad di jalan-Mu? Aku membela agama-Mu, aku berperang dan mati dalam membela agama-Mu.” Maka kata Allah SWT “Engkau dusta. Engkau berperang supaya dianggap berani. Supaya dianggap sebagai pahlawan.”

Justeru, berhati-hatilah apabila kita tidak ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Setiap perbuatan yang kita lakukan untuk tujuan mendapat sanjungan Allah, walaupun kita sanggup berjihad mengorbankan nyawa dan harta, jika dilakukan dengan niat untuk mendapat pujian dan penghargaan.

Allah tidak memandangnya sebagai amal pahala untuk menaikkan darjat kita, sebaliknya walaupun kita dianggap sebagai syahid tetapi Allah menempatkan kita di neraka-Nya.

Perbuatan suka cari populariti

Berhati-hatilah terhadap akibat daripada perbuatan yang suka mencari populariti, pujian dan dambaan dan kebanggaan di hadapan orang lain.

Golongan kedua adalah orang penghafal al Quran. Golongan yang disebut sebagai ahli agama atau ahli ibadah. Mereka ini adalah golongan awal yang dimasukkan ke neraka pada hari kiamat. Kata orang ini kepada Allah SWT “Ya Allah bukankah aku dulu belajar agama supaya aku dapat mengajarkan agama di jalan-Mu?”. Maka jawab Allah SWT “Engkau dusta. Engkau belajar agama supaya dianggap pintar dan bijak. Engkau belajar agama supaya dirimu dianggap alim. Engkau belajar agama supaya dihormati orang lain.”

Ibrah daripada golongan ini memberi pengajaran kepada kita, bahawa sungguhpun mereka yang menuntut ilmu Allah ini adalah golongan mulia yang mendapat kedudukan tertinggi di sisi Allah, tetapi jika mereka mempelajari ilmu Allah untuk menunjuk-nunjuk, bagi tujuan mendapat kehormatan, pangkat dan kedudukan duniawi, hakikatnya golongan seperti ini amat tercela di sisi Allah.

Orang-orang yang belajar agama tapi niatnya bukan kerana Allah SWT, sebaliknya untuk dibangga-bangga dan membuatkannya menjadi sombong, golongan ini juga adalah golongan yang terawal dihumban ke neraka.

Kemudian golongan ketiga adalah orang yang banyak sekali hartanya, tetapi oleh sebab itu jugalah mereka dimasukkan ke dalam neraka. Katanya “Ya Allah, bukankah aku telah bersedekah di jalan-Mu, berkongsi rezeki seperti anjuran-Mu?.” Maka jawab Allah SWT “Engkau dusta. Engkau memberi supaya dianggap dermawan. Engkau memberi supaya dianggap orang kaya. Engkau memberi supaya dianggap orang yang paling baik kepada orang lain.”

Golongan hartawan yang gemar bersedekah dan menghabiskan hartanya di jalan Allah, tetapi dilakukannya untuk mendapat ganjaran duniawi seperti pujian, penghargaan, pembalasan dan dihormati tidak dikira oleh Allah amal perbuatannya untuk membawanya ke syurga sebaliknya golongan sebegini tempatnya adalah di neraka.

Justeru kita diingatkan agar berhati-hati dengan amal ibadah kita yang dilihat satu perbuatan yang mulia, dilakukan untuk agama, tetapi kerana sifat riak dan dilakukan bukan kerana Allah, maka perbuatan itu dianggap sebagai sia-sia.

Oleh demikian, mari sama-sama kita bermuhasabah diri cukupkah kita menjadi seorang Mukmin dengan amalan seperti berjihad, menginfakkan harta, menuntut ilmu, tetapi itu semua tidak menjadikan kita sebagai Mukmin berjaya kerana ibadah kita itu tidak memberi apa-apa kualiti kepada diri kita dan mendapat keredaan Allah dunia dan akhirat.

Melalui ayat suci al-Quran Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11 Allah menukilkan mengenai kriteria golongan Mukmin yang berjaya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki (budak belian yang didapati dari tahanan perang dengan orang kafir); maka sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa. Barang siapa mencari yang di balik itu (zina, homoseksual dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”.

Sanggup korban nyawa, harta

Ciri-ciri Mukmin yang baik ialah mereka yang menyelamatkan sekalian orang-orang Islam daripada lidahnya dan tangannya dan menjadi Mukmin yang sanggup berkorban nyawa dan harta demi menegakkan agama Allah SWT.

Sifat Mukmin yang lain ialah meninggalkan perkara yang sia-sia atau perkara batil yakni termasuk syirik kepada Allah SWT. Selain itu menunaikan zakat iaitu bertujuan untuk menyucikan dirinya daripada perkara riak dan keji. Mukmin yang beriman ini juga selalu memperbaiki dirinya dari segi solat, memperbanyakkan amalan sedekah, memelihara silaturahim dan banyak lagi sifat mahmudah yang akan menjadikannya Mukmin yang benar-benar kamil.

Mukmin yang terbaik adalah mereka yang menjaga solat iaitu dengan sentiasa sembahyang pada awal waktu sebagaimana Ibn Masu’d berkata: “Aku bertanya Rasulullah mengenai apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?”. Maka Rasulullah SAW menyatakan “Solat pada awal waktu , berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di medan peperangan. Qatadah berkata , menjaga solat bermaksud menjaga waktunya, rukuknya dan sujudnya. Apabila seseorang Mukmin itu bersifat dengan akhlak mahmudah, maka Allah akan mewariskan mereka syurga Firdaus.

Demikian seorang Muslim itu tidak boleh hanya merasa berpuas hati dengan menjadi seorang Islam yang beribadah secara biasa-biasa saja, sebaliknya menjadi insan yang selalu memperbaharui dirinya dengan amalan ibadah secara luar biasa agar mendapat kejayaan dunia akhirat dan seterusnya menjadi ahli syurga Firdaus.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: