Dalam Islam juga, perbahasan mengenai makanan begitu meluas merangkumi soal sekuriti makanan atau jaminan bekalan makanan, pemakanan seimbang dan juga soal keselamatan dan kebersihan.

Hanya barangkali isu-isu sebegini kurang menjadi fokus masyarakat lantaran lebih tertumpu kepada isu halal dan haram. Walau bagaimanapun, sekuriti makanan adalah aspek yang tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi bagi masyarakat pengguna kerana kesannya kepada kehidupan semasa amat signifikan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), sekuriti makanan ditakrifkan sebagai akses bagi penduduk terhadap makanan yang mencukupi untuk kehidupan sihat dan aktif. Selain itu, makanan perlu selamat bagi memenuhi keperluan dan pemilihan makanan manusia. Walau bagaimanapun, dalam Islam, elemen halal dan tayyib tidak boleh dipinggirkan. Justeru, penekanan syariah terhadap unsur halal dan tayyib makanan juga perlu diambil kira dalam definisi sekuriti makanan menerusi konteks Islam.

Malahan aspek kuasa untuk mendapatkan makanan daripada pendapatan yang diperoleh serta penglibatan masyarakat dalam aktiviti sekuriti makanan seperti menyalurkan bantuan makanan dan menjadi pengeluar makanan perlu dititikbe­ratkan khususnya umat Islam.

Maka, ia adalah tanggungjawab pemerintah sesebuah negara untuk memenuhi keperluan asas masyarakat khususnya aspek makanan. Secara tuntasnya, men­jadi amanah penting bagi pemimpin negara untuk memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan menggubal dasar atau polisi agar krisis ini dapat dielakkan.

Sejarah membuktikan ba­gai­mana kebijaksanaan Nabi Yusuf mentadbir urus bekalan makanan sebelum dan selama tempoh mu­sim kemelesetan yang melanda Mesir sedangkan seluruh negara yang berdekatan dengannya me­ngalami krisis sekuriti makanan yang kritikal. Islam sebenarnya menyediakan wahana yang jelas untuk menjamin sekuriti makanan melalui meka­nisme agihan yang unggul.

Konsep pelaksanaan dalam merealisasikan mekanisme itu memerlukan kebijaksanaan pen­tadbir untuk meningkatkan keber­kesanannya. Ini kerana janji Allah kepada hamba-Nya amat be­nar, bertepatan dengan firman-Nya dalam surah Quraisy ayat 4 yang bermaksud; “Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan dari ketakutan.”

Kekurangan bekalan makanan boleh menyebabkan kr­isis makanan. Kebanyakan ne­ga­ra termasuk negara Islam berhadapan dengan isu getir ini. Ini kerana krisis itu akan dan te­lah melibatkan makanan ruji populasi di dunia ini. Antara kesannya boleh menyebabkan harga makanan naik.

Ketidakupayaan men­dapatkan ma­kanan sama ada dalam jangka masa panjang atau sebaliknya berkait rapat dengan pendapatan individu atau isi rumah. Ini bermakna kemiskinan menyebabkan seseorang itu kurang upaya untuk membeli makanan seimbang dari segi zatnya, kebersihan dan keselamatannya. Justeru, ia juga akan memberi kesan kepada kualiti kehidupan masyarakat khususnya umat Islam.

Ketiadaan sekuriti makanan juga boleh mengakibatkan kebuluran. Ada­kalanya ia disebabkan harga makanan tidak stabil. Faktor tidak mampu membeli makanan akan menjejaskan pembangunan ekonomi, sosial, dan politik negara.

Oleh itu, penting sekali pe­ran­cangan ke arah sekuriti makanan men­jadi agenda utama negara. Pe­ranan proaktif dalam dimensi lebih luas perlu digembleng khu­susnya daripada pe­merintah dan pelbagai pihak termasuk pengguna dengan tidak me­ming­girkan nilai dan ajaran Islam dalam sekuriti makanan.