Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ubah persepsi kemuliaan boleh dibeli

Posted by epondok di November 24, 2014


Oleh Siti Rohani Surani
Kita masih berada dalam penghujung bulan Muharam. Muharam bermaksud bulan yang ada penghormatan, bulan yang ada pengharaman di dalamnya.

Mari kita renungi apa yang dinukilkan oleh Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud, “bulan-bulan yang dihormati: sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam empat bulan itu, dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa”.

Muharam jika diikutkan memang tiada apa yang istimewa seperti Zulhijah di mana ia adalah bulan umat Islam menunaikan haji. Kenapa ia dinamakan bulan haram? Ada empat bulan mengikut kalendar Islam yang dikategorikan sebagai bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
Haram pembunuhan

Al-Qadhi Abu Ya’la menyebut bahawa dinamakan “bulan haram” kerana dua makna, pertama kerana pada bulan tersebut diharamkan pembunuhan. Orang Jahiliyah pun meyakini akan perkara ini dan mereka akan mengelak berbunuhan pada bulan ini.

Kedua, kerana pada bulan haram ini ia membawa maksud bulan suci kerana pada bulan ini bulan untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT sehingga para salafus soleh diriwayatkan sangat suka untuk melakukan ibadah puasa pada bulan haram. Sufyan Ats-Thauri seorang Tabi’e pernah menyebut, “pada bulan-bulan haram, aku sangat gemar berpuasa”.

Saidina Abdullah ibnu ‘Abbas RA pula pernah mengatakan, “Allah mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram, dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar, dan amalan soleh yang dilakukan akan mendapatkan pahala yang lebih banyak”.

Di sini kita boleh fahami bahawa walaupun bulan tersebut mungkin tiada apa-apa yang istimewa (seperti Ramadan (puasa) dan Zulhijah (haji) Allah memuliakan Muharam, maka manusia juga memuliakannya.

Apabila Allah memuliakan sesuatu bulan, maka bulan itu menjadi mulia; apabila Allah memuliakan seseorang, maka orang itu menjadi mulia.

Mulianya ibu bapa, guru dan ulama adalah kerana Allah SWT memuliakannya, maka kita perlu memuliakannya walaupun mungkin ada antara mereka yang kurang beradab, sombong dan sebagainya. Jadi Allah telah menetapkan siapa yang harus kita muliakan.

Susah untuk hormat orang

Namun, hari ini sukar untuk kita memuliakan orang lain. Kita hanya mudah untuk memuliakan orang apabila orang itu berbuat baik terhadap kita. Kalau seseorang itu tidak berbuat baik, maka memang kita akan merasakan susah untuk merasa hormat dan memuliakannya.

Amat malang hari ini apabila kemuliaan dan penghormatan seakan sudah boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika kita kaya dan berpangkat, maka orang akan mudah dan selalu merasa hormat dan melayan kita dengan mulia sekali.

Kita akan dilayan bagai seorang ‘raja’ jika kaya dan berpangkat. Dunia hari ini seakan tiada penghormatan yang boleh kita dapat secara percuma, tanpa ada kemuliaan dunia. Persepsi ini sepatutnya diubah kerana kemuliaan hakiki sebenarnya terletak di sisi Allah SWT, bukan bersifat duniawi atau manusiawi.

Kemuliaan dari segi logik

Kemuliaan yang dilihat hari ini lebih meletakkan pada penilaian manusiawi dan berdasarkan logika semata. Dalam Islam tidak semua hal menggunakan logika akal, ada ketikanya perkara tertentu sukar diterima akal lantaran itu Saidina Ali pernah mengungkapkan “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf itu lebih utama daripada menyapu di atas khuf, tetapi Baginda SAW menyapu di atas khuf”.

Begitu juga misalnya kemuliaan al-Quran bukan kerana al-Quran itu kerana dari segi akalnya al-Quran itu hanyalah lembaran kertas saja. Tetapi kemuliaan kerana ada ayat Allah didalamnya.

Maka Al-Quran itu, perlu dimuliakan walaupun ia hanya umpama sebuah `buku’ bukannya orang. Tetapi kerana Allah menyuruh untuk memuliakan al-Quran, maka kita perlu memuliakannya.

Sebagai kesimpulannya, kita perlu memahami bahawa sesuatu kemuliaan hakiki itu bukan terletak pada penilaian manusia tetapi penilaian di sisi Allah SWT.

Apabila Allah SWT memuliakan bulan, orang atau sesuatu maka menjadi kewajipan kepada kita semua untuk turut memuliakannya. Ada ketikanya kita mungkin tidak memahami kenapa Allah memuliakan sesuatu atau seseorang, namun menjadi kewajipan kepada kita untuk turut memuliakannya

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: