Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Zikir didik hati ke arah kebaikan

Posted by epondok di November 18, 2014


Oleh Nik Hasnah Ismail
DARIPADA Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh Tuhanmu, bahkan lebih baik daripada menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang?

Jawab mereka: “Mahu, wahai Rasulullah”. Sabda Baginda: “Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.” (Riwayat Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah)

Zikirullah dilafazkan melalui lisan iaitu Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar adalah amalan yang akan membawa kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Zikir melalui penglihatan

Bagaimanapun, dalam mengupas mengenai tajuk Lihat, Fikir dan Zikir, Shahrizan mengajak umat Islam mengubah dimensi berzikir supaya kelaziman kita berzikir melalui lidah memberi lebih penghayatan apabila kita juga berzikir melalui penglihatan.

Zikir melalui penglihatan bermakna pada saat kita melihat apa sahaja ciptaan Allah SWT di bumi ini, ia akan menghadirkan kita akan kebesaran-Nya dan membawa kita untuk menyeru kekuasaan serta memuji indahnya ciptaan Allah SWT.

Melihat alam daripada pandangan mata kasar tidak akan membawa hati kita untuk dekat dengan Allah SWT melainkan setiap satu ciptaan itu dilihat dengan pandangan mata hati yang benar-benar tulus ikhlas kerana anugerah ciptaan Allah SWT amat luar biasa serta tidak mampu dihitung oleh manusia.

Barangkali sebelum ini kita hanya sekadar melihat alam tanpa menghayati hikmah penciptaannya sehingga kita jarang merasai nikmat kurniaan Allah SWT, jauh sekali untuk melafazkan rasa syukur dan berzikir kepada-Nya.

Namun, dengan kesedaran yang hadir melalui penghayatan terhadap ciptaan Allah SWT membuat kita lebih menghargai anugerah yang sekian banyak itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah mereka tidak memandang unta, bagaimana telah dijadikan. Dan kepada langit, bagaimana dia telah diangkat. Dan kepada gunung-gunung, bagaimana dia telah dipancangkan. Dan kepada bumi, bagaimana dia telah dihamparkan.” (Surah al-Ghathiyyah, ayat 17-20)

Allah SWT menukilkan, penciptaan binatang seperti unta yang mempunyai kelebihan dan setiap ciptaan Allah SWT itu amat unik serta luar biasa. Jika merenungnya secara mendalam, kita akan terkesima kerana agungnya kuasa Allah SWT mencipta unta yang kisahnya dinukilkan dalam al-Quran.

Zikir mata hayati ciptaan Allah

Zikir melalui mata mengajak kita terus menghayati ciptaan Allah SWT supaya terus menjadi manusia yang sentiasa reda dan taat kepada perintah-Nya. Malah, menyebut dan memuji Allah SWT pada saat berada dalam kesulitan boleh meleraikan kekusutan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Sifat Allah SWT yang Maha Pemurah dan memiliki segala kehebatan umpama senjata bagi mengubat hati-hati manusia yang tidak tenteram. Amalan zikir bukan sekadar ibadah, tetapi juga membersihkan dan menyucikan jiwa, mendekatkan diri kepada penciptanya, membuka hijab rohani, seterusnya mencapai makrifat terhadap-Nya.

Zikir mendidik hati manusia untuk selalu mencari kebaikan kerana mengingati Allah SWT akan menutup pintu syaitan yang selalu mendorong manusia berbuat maksiat dan kejahatan. Hakikatnya, setiap kejadian yang Allah SWT ciptakan adalah untuk kita berfikir dan mengambil iktibar betapa kerdilnya kita di sisi-Nya.

Oleh itu, sebagai hamba yang mencari reda Allah SWT, wajib bagi kita bertindak dan mengambil pendekatan yang membolehkan kita berada selalu dengan-Nya. Berzikir melalui pandangan hati yang tajam menjadikan satu bentuk hiburan kepada hati yang sedang resah.

Apabila kita memuji nama Allah SWT akan mendatangkan kebahagiaan kepada hati kerana perbuatan itu tidak lain mendatangkan kemuliaan kepada diri sendiri.

Daripada Abu Sa’id al-Khudzri, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah sekelompok orang duduk dan berzikir kepada Allah, melainkan mereka akan di kelilingi malaikat, mendapatkan limpahan rahmat, diberikan ketenangan hati, dan Allah pun akan memuji mereka pada orang yang ada di dekat-Nya.” (Riwayat Muslim)

Makhluk yang paling mulia dan bertakwa kepada Allah SWT adalah insan yang lisannya selalu basah dengan zikrullah kerana, orang yang dekat dengan zikrullah melalui lisan dan merasa kekuasaan Allah SWT melalui penciptaan alam ini adalah orang yang sangat beruntung.

Hatinya selalu tunduk dengan perintah Allah SWT dan merasa takut terhadap kemungkaran berlaku. Inilah yang disebut sebagai hati-hati yang ditatang oleh Allah SWT.

Bermunajat sepertiga malam

Bagaimana untuk kita benar-benar fokus dan menghayati adalah dengan memilih persekitaran yang baik seperti mana yang dianjurkan dan diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk berzikir dan bermunajat pada waktu sepertiga malam.

Amalan dalam keadaan sunyi dan tenang memberi ruang kepada kita untuk benar-benar menikmati amalan zikrullah dan ibadah yang lain.

Rasulullah SAW juga pernah menggambarkan perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah SWT seperti orang yang hidup, sementara orang yang tidak berzikir sebagai orang yang mati. Hadis Baginda: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir, adalah seumpama orang yang hidup dan mati.”” (HR.” (Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW juga mengumpamakan rumah orang yang berzikir adalah rumah manusia hidup, dan rumah yang tidak berzikir seperti rumah orang mati. Justeru, bagi menghidupkan hati-hati supaya tidak mati atau mudah rapuh, mari kita perbanyakkan berzikir dan mengingati Allah SWT.

Seorang Mukmin yang sentiasa mengajak orang lain untuk kembali kepada Allah SWT akan selalu menghidupkan dirinya dan orang lain dengan memuji serta menyebut nama Allah SWT.

Oleh itu, pandanglah dunia ini dengan renungan mata hati supaya kita selalu dapat manfaatkan hidup dengan perkara yang mendekatkan diri dengan-Nya, seterusnya mendapat reda Allah SWT dunia dan akhirat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: