Tidak salah jika ditukar sedikit rutin sambutan iaitu bukannya kedua ibu bapa yang membelikan hadiah tetapi si anak pula yang memberikan hadiah sebagai menghargai penat lelah si ibu melahir dan membesarkan mereka.

Ibu yang mengandung dan melahirkan anaknya diibaratkan nyawanya seperti di hujung tanduk atau hanya bergantung kepada sehelai rambut kerana ujian yang dihadapinya terlalu besar dan tidak mampu ditanggung oleh mana-mana lelaki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita yang meninggal kerana mengandung adalah syahid (orang yang mati syahid). – riwayat oleh Malik, Ahmad, Abu Daud dan disahkan oleh Albani.

Ibu dan bapa tidak memerlukan hadiah yang besar-besar dan berharga mahal, mungkin cukup bagi anaknya itu untuk memanjakan kedua-dua mereka pada hari keramat itu, contohnya seperti segala kerja rumah termasuk memasak, membasuh pakaian dan mengemas rumah, disempurnakan oleh si anak.

Ibu bapa pula dibenarkan untuk berehat sambil ‘bersila panggung’ tanpa melakukan sebarang kerja, cukup sekadar memantau dan mengkritik seperti apa yang sering dilakukan oleh para juri dalam rancangan realiti televisyen.

Cadangan ini langsung tidak berniat untuk mendera anak-anak tetapi lebih kepada usaha transformasi ke arah lebih baik, tidak mahukah ibu bapa untuk memiliki anak-anak soleh atau sekurang-kurangnya lebih baik daripada sebelumnya.

Doa anak-anak soleh adalah aset terpenting, sama ada disedari atau tidak. Ia merupakan salah satu daripada tiga talian hayat kepada ibu bapa selepas mengadap Pencipta di alam barzakh.

Ibu bapa sekurang-kurangnya mampu menghela nafas kelegaan sekiranya semasa berada di dunia mempunyai bekalan sedekah jariah dan ilmu bermanfaat. Namun sekiranya kedua-duanya itu sekadar ‘cukup makan’ pada masa inilah perlunya doa anak soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” – hadis riwayat Muslim.

Namun perlu diingatkan bahawa anak soleh bukannya terjadi dengan sendiri, sama seperti pokok balak dalam hutan tebal yang tidak memerlukan siraman air daripada manusia untuk hidup subur, tetapi sebaliknya modal insan ini perlu ditarbiah, dididik dan ditadbir urus sebaik mungkin.

Mungkin terkesan dengan hadis berkenaan, pada masa ini seperti menjadi aliran baharu kepada ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz, sekolah agama dan pondok bagi melahirkan kumpulan anak soleh, sekali gus mampu mendoakan mereka dan menjadi penampung kepada amalan yang dikhuatiri masih belum mencukupi semasa di alam barzakh kelak.

Situasi yang berlaku itu mungkin juga kerana ibu bapa mahu mengucapkan penghargaan kepada orang tua mereka yang berjaya mendidik mereka menjadi anak soleh dan seterusnya mahukan nikmat itu diwarisi pula oleh penyambung warisan mereka.

Walau bagaimanapun, jangan pula keadaan sebaliknya yang berlaku iaitu hanya mengharapkan anak-anak sahaja menjadi soleh tetapi tidak pula ibu bapa mereka berusaha untuk berjalan seiring dengan anak-anak mereka.

Perubahan dua hala amat penting, amat tidak elok sekiranya pemandangan ini berlaku iaitu semasa menghantar anak-anak ke sekolah agama, si bapa berseluar pendek yang dilengkapi dengan aksesori rantai leher dan subang di telinga manakala si ibu pula berpakaian ketat tidak menutup aurat.

Semua pihak perlu berlaku adil – anak dan ibu bapa. Wujudnya ibu bapa di muka bumi ini adalah kerana dilahir dan dibesarkan oleh orang tua mereka ini, malah ada juga sesetengah daripadanya telah meninggal dunia, juga amat memerlukan doa dan amal soleh daripada anak-anak mereka iaitu kita.

Amat tidak adil, kita mengharapkan anak-anak mendoakan kita tetapi pada masa sama tidak pula kita mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita. Wajarkah sekiranya perkara seperti ini dibiarkan terjadi?.

Sebenarnya bukan sahaja anak soleh mampu memberi talian hayat kepada ibu bapa mereka, malah ibu bapa yang soleh juga mampu berbuat demikian. Buktinya jelas terkandung dalam Surah al-Kahfi: 82, mengenai pengkisahan pengembaraan Nabi Musa dan Nabi Khaidir apabila Allah menyelamatkan harta anak-anak yatim yang tertanam di sebalik dinding rumah mereka yang hampir runtuh.

“Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada harta terpendam kepunyaan mereka; dan bapa mereka adalah seorang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka dewasa dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Dan aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang kamu tidak bersabar atasnya”.

Ingatan juga untuk diri penulis, jangan sesekali putuskan kitaran ini. Sekiranya amalan kita, iaitu ibu bapa tidak mencapai status yang sepatutnya maka masih belum terlambat untuk belajar.

Terlalu sibuk, sudah berusia bukannya alasan terbaik, ini kerana selagi Allah masih meminjamkan nyawa kepada kita, maka selama itulah peluang untuk berubah ke arah lebih baik masih terbuka, langsung tiada tarikh tutup