Amalan ini bukan sahaja dapat memperkukuh ekonomi Islam malah dapat membantu fakir miskin serta mereka yang kurang bernasib baik. Bagaimanapun, sedekah dan pemberian hadiah itu mestilah dilakukan mengikut saluran yang betul.

Tetapi berhati-hati dengan pemberian hadiah yang boleh menjurus kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sedekah diberi kepada orang tertentu seperti fakir miskin. Ia digalakkan pada bila-bila masa dan hukumnya sunat. Manakala, hadiah diberi kepada sesiapa sahaja dan dilakukan pada masa dan sebab tertentu, hukumnya harus.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimat yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan adalah sedekah. (riwayat al-Bukhari)

Sifat suka bersedekah ini menghindarkan sifat tamak dan lokek dalam kalangan umat Islam. Selain itu, Islam juga menggalakkan umatnya saling membantu di antara satu sama lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersedekah pahalanya 10, memberi hutang (tanpa bunga) pahalanya 18, menghubungkan diri dengan kawan-kawan pahalanya 20 dan silaturahim (dengan keluarga) pahalanya 24.” (riwayat al-Hakim)

Galakan memberi sedekah adalah sebagai tanda bersyukur atas pelbagai nikmat yang Allah kurniakan. Amalan suka bersedekah adalah satu amalan yang mulia dan terpuji. Bersedekah telah menjadi satu ciri amalan orang mulia terutamanya para nabi dan rasul serta orang soleh sejak zaman berzaman.

Kerana Allah

 

Jelaslah, bersedekah membawa banyak pahala terutama di bulan Ramadan. Bersedekah juga dapat mendidik hati ke arah ketakwaan kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan-Nya. Dalam hal bersedekah ini umat Islam digalakkan bersedekah sewaktu sihat dan dalam keadaan yang senang.

Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis di mana seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Sedekah yang bagaimana yang paling besar pahalanya?” Nabi SAW menjawab: Saat kamu bersedekah hendaklah kamu sihat dan dalam keadaan senang dan saat kamu takut melarat tetapi mengharap kaya. Jangan ditunda sehingga roh mu di tenggorok baru kamu berkata untuk si polan sekian dan untuk si polan sekian. (riwayat al-Bukhari)

Justeru, bersedekahlah kerana Allah akan menambah serta melipatgandakan rezeki yang kita miliki apabila bersedekah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tangan yang di atas (memberi sedekah) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima sedekah). (riwayat al-Bukhari)

Imam Al-Ghazali pernah menyatakan, dahulukan teman mu daripada diri mu sendiri dalam masalah duniawi atau paling tidak hendaklah bersedia memberikan bantuan (sedekah) material kepada teman mu yang memerlukannya. Bantulah dengan sekuat tenaga, teman mu yang sedang memerlukan sebelum ia meminta bantuan.

AMALAN bersedekah ini bukan hanya terbatas kepada wang ringgit malah ia meliputi makanan seperti kuih-muih dan juga hidangan makanan kepada orang ramai yang pahalanya sangat besar di sisi Allah SWT.

Menurut Muhammad bin Abdullah Al-Mashri, Imam Syafie adalah orang yang sangat dermawan. Sementara menurut Amr bin Sawad Al-Sirji, Imam Syafie orang yang gemar menderma daripada apa pun yang dimilikinya. Dia pernah berkata: “Aku pernah mengalami kegagalan, tak memiliki suatu apa pun, sehingga aku harus menjual semua perhiasan milik isteriku dan puteri kesayanganku.”

Muhammad Al-Sijistani mengatakan: “Imam Syafie pernah tidak memiliki suatu apa pun kerana sifat dermawannya.”

Dalam hal ini, Imam Syafie pernah berkata; “Jika kamu tidak boleh bersikap dermawan, maka ingatlah bahawa hari-harimu yang telah berlalu tak akan kembali. Bukankah tanganmu boleh mengepal dan membuka? Apa yang boleh kau harapkan ketika kau sendiri, tatkala bumi mencengkam dirimu dengan kuku besinya? Saat itulah, tentu, engkau berharap untuk dapat kembali ke dunia, pada hal hari-hari itu tak akan pernah kembali.

Pelbagai jenis sedekah boleh dilakukan. Antaranya memberikan senyuman kepada saudara, melakukan amar makruf nahi mungkar, menyelesaikan masalah orang lain, membuang perkara yang menghalang di jalanan, sedekah wang dan harta serta khidmat nasihat yang baik.

Sesungguhnya, bersedekah dan memberi hadiah serta menderma daripada harta dan wang yang lebih adalah sifat yang sangat mulia dalam kalangan umat Islam. Lakukanlah dengan penuh tawaduk dan ikhlas bagi mendapatkan balasan setimpal di akhirat nanti.

 

Kelebihan bersedekah

Di dunia

Mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Memperoleh balasan baik.

Sentiasa disukai oleh manusia kerana menggembirakan hati penerimanya.

Rezekinya akan bertambah.

Terhindar daripada mendapat bala bencana.

Di akhirat

Mendapat naungan daripada panas terik di padang mahsyar.

Sebagai pelindung daripada panas api neraka.