Suatu hari, Basyir berniat memberikan sebahagian hartanya kepada Nu’man. Untuk mengelak pertengkaran berlaku di masa hadapan, isteri beliau meminta agar pemberian itu disaksikan oleh Rasulullah SAW. Basyir menyetujui pandangan ini.

Apabila berjumpa Rasulullah SAW, baginda bertanya kepada Basyir: “Adakah engkau memiliki anak-anak selain anak ini?”

Basyir menjawab: “Ya.”

Baginda bertanya lagi: “Adakah semua anak-anakmu engkau diberikan pemberian seperti mana anak ini?”

Basyir menjawab: “Tidak.”

Baginda lalu bersabda: “Takutlah kepada Allah SWT dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.”

Basyir lalu membatalkan pemberian tersebut. (riwayat al-Bukhari)

Dalam rumah tangga, ibu bapa ialah pemimpin. Sikap mereka menentukan corak dan hala tuju semua anggota keluarga. Keluarga yang berjaya ialah keluarga yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Salah satu nilai-nilai Islam yang mesti menjadi amalan ialah keadilan. Setiap anggota keluarga mesti mendapatkan perlakuan dan layanan yang adil di dalam rumah. Tiada istilah “anak emas” ataupun “anak kesayangan” dalam rumah tersebut.

Sebaliknya, setiap orang memiliki hak dan tanggungjawab yang sama yang disesuaikan dengan kemampuan mereka. Semua anak mesti disayangi, dilayani, dipenuhi keperluannya, didengar keluhannya dan diperlakukan seperti adik-beradiknya yang lain.

Terlepas pandang

Dek kesibukan melakukan aktiviti seharian, ibu bapa terkadang terlepas pandang perasaan anak-anak mereka. Tanpa sedar kita mengamalkan sikap pilih kasih sehingga mengguris hati sebahagian anak-anak kita. Kita terlalu memberi perhatian kepada seorang anak, lalu terkesan kurang memperhatikan anak yang lain.

Kerana sikap ini, sebahagian anak merasa tidak disayangi. Ada juga yang merasa dirinya disisihkan atau diperlakukan secara tidak adil. Dan pastinya sikap ini akan melukai hati mereka.

Kita mungkin tidak sedar, namun anak-anak merasa. Kita sering berkata bahawa kita tidak mengamalkan sikap pilih kasih. Namun tindakan kita tidak mencerminkan ucapan tersebut.

Justeru, ibu bapa mesti lebih peka dalam perkara ini. sebarkanlah perhatian dan kasih sayang secara sama rata. Jangan tunjukkan sikap pilih kasih dalam keluarga.

Semua anak berhak untuk disayangi walaupun ia nakal atau tidak patuh arahan. Malah boleh jadi, sikap nakal itu sebenarnya merupakan protes atas sikap pilih kasih kita selama ini.

Ingatlah, Islam sangat menekankan keadilan dalam keluarga. Kezaliman tetap suatu kezaliman walaupun dilakukan oleh ibu bapa kepada anak mereka sendiri. Justeru, baginda mengingatkan: “Takutlah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.” Wallahua’lam.