Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for November 2014

Kerja kejar populariti, pujian hanya sia-sia

Posted by epondok di November 30, 2014

Oleh Nik Hasnah Ismail
Cici-ciri Mukmin yang bertakwa mesti ikhlas meningkatkan amal ibadah:
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Bayyinah, ayat 7-8 bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.

Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka juga reda kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya”.

Sesungguhnya seseorang yang digelar sebagai Mukmin adalah orang yang benar-benar memahami tuntutan sebagai insan kamil yang berperanan sebagai khalifah Allah dengan iman dan takwa yang tinggi kepada Allah SWT. Orang Islam yang disebut sebagai Mukmin itu bukan sekadar menganut agama Islam, tetapi Mukmin dalam erti kata mengamalkan suruhan Allah SWT sehingga menjadikannya penghuni syurga Allah yang tertinggi.

Menerusi ayat suci al-Quran, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta).” (Surah al-Mukminun, ayat 1-5).

Ciri-ciri Mukmin sebenar

Orang yang mempunyai ciri-ciri Mukmin yang sebenar adalah orang yang mempunyai perwatakan akhirat dan kehidupannya di dunia ini digunakan dengan sebaik mungkin kerana setiap amalan dan perbuatan dunia juga cermin akhirat.

Seorang Mukmin harus benar-benar ikhlas dan selalu meningkatkan amal ibadahnya kepada Allah serta berusaha melipatgandakan ketaatan kepada Allah kerana tidak ada yang paling bahagia dalam hidup ini apabila kehidupan kita mendapat keredaan-Nya.

Terdapat tiga golongan manusia yang berwatak akhirat, tetapi mereka adalah ahli neraka.

Mereka ini seperti yang dinukilkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda mafhumnya terdapat tiga golongan ‘alim’, tetapi tempat mereka dalam neraka. Mereka adalah golongan pertama iaitu orang yang mati di jalan Allah. Ketika dia dimasukkan ke dalam neraka, dia berkata, “Ya Allah bukankah aku dulu berjihad di jalan-Mu? Aku membela agama-Mu, aku berperang dan mati dalam membela agama-Mu.” Maka kata Allah SWT “Engkau dusta. Engkau berperang supaya dianggap berani. Supaya dianggap sebagai pahlawan.”

Justeru, berhati-hatilah apabila kita tidak ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Setiap perbuatan yang kita lakukan untuk tujuan mendapat sanjungan Allah, walaupun kita sanggup berjihad mengorbankan nyawa dan harta, jika dilakukan dengan niat untuk mendapat pujian dan penghargaan.

Allah tidak memandangnya sebagai amal pahala untuk menaikkan darjat kita, sebaliknya walaupun kita dianggap sebagai syahid tetapi Allah menempatkan kita di neraka-Nya.

Perbuatan suka cari populariti

Berhati-hatilah terhadap akibat daripada perbuatan yang suka mencari populariti, pujian dan dambaan dan kebanggaan di hadapan orang lain.

Golongan kedua adalah orang penghafal al Quran. Golongan yang disebut sebagai ahli agama atau ahli ibadah. Mereka ini adalah golongan awal yang dimasukkan ke neraka pada hari kiamat. Kata orang ini kepada Allah SWT “Ya Allah bukankah aku dulu belajar agama supaya aku dapat mengajarkan agama di jalan-Mu?”. Maka jawab Allah SWT “Engkau dusta. Engkau belajar agama supaya dianggap pintar dan bijak. Engkau belajar agama supaya dirimu dianggap alim. Engkau belajar agama supaya dihormati orang lain.”

Ibrah daripada golongan ini memberi pengajaran kepada kita, bahawa sungguhpun mereka yang menuntut ilmu Allah ini adalah golongan mulia yang mendapat kedudukan tertinggi di sisi Allah, tetapi jika mereka mempelajari ilmu Allah untuk menunjuk-nunjuk, bagi tujuan mendapat kehormatan, pangkat dan kedudukan duniawi, hakikatnya golongan seperti ini amat tercela di sisi Allah.

Orang-orang yang belajar agama tapi niatnya bukan kerana Allah SWT, sebaliknya untuk dibangga-bangga dan membuatkannya menjadi sombong, golongan ini juga adalah golongan yang terawal dihumban ke neraka.

Kemudian golongan ketiga adalah orang yang banyak sekali hartanya, tetapi oleh sebab itu jugalah mereka dimasukkan ke dalam neraka. Katanya “Ya Allah, bukankah aku telah bersedekah di jalan-Mu, berkongsi rezeki seperti anjuran-Mu?.” Maka jawab Allah SWT “Engkau dusta. Engkau memberi supaya dianggap dermawan. Engkau memberi supaya dianggap orang kaya. Engkau memberi supaya dianggap orang yang paling baik kepada orang lain.”

Golongan hartawan yang gemar bersedekah dan menghabiskan hartanya di jalan Allah, tetapi dilakukannya untuk mendapat ganjaran duniawi seperti pujian, penghargaan, pembalasan dan dihormati tidak dikira oleh Allah amal perbuatannya untuk membawanya ke syurga sebaliknya golongan sebegini tempatnya adalah di neraka.

Justeru kita diingatkan agar berhati-hati dengan amal ibadah kita yang dilihat satu perbuatan yang mulia, dilakukan untuk agama, tetapi kerana sifat riak dan dilakukan bukan kerana Allah, maka perbuatan itu dianggap sebagai sia-sia.

Oleh demikian, mari sama-sama kita bermuhasabah diri cukupkah kita menjadi seorang Mukmin dengan amalan seperti berjihad, menginfakkan harta, menuntut ilmu, tetapi itu semua tidak menjadikan kita sebagai Mukmin berjaya kerana ibadah kita itu tidak memberi apa-apa kualiti kepada diri kita dan mendapat keredaan Allah dunia dan akhirat.

Melalui ayat suci al-Quran Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11 Allah menukilkan mengenai kriteria golongan Mukmin yang berjaya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki (budak belian yang didapati dari tahanan perang dengan orang kafir); maka sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa. Barang siapa mencari yang di balik itu (zina, homoseksual dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”.

Sanggup korban nyawa, harta

Ciri-ciri Mukmin yang baik ialah mereka yang menyelamatkan sekalian orang-orang Islam daripada lidahnya dan tangannya dan menjadi Mukmin yang sanggup berkorban nyawa dan harta demi menegakkan agama Allah SWT.

Sifat Mukmin yang lain ialah meninggalkan perkara yang sia-sia atau perkara batil yakni termasuk syirik kepada Allah SWT. Selain itu menunaikan zakat iaitu bertujuan untuk menyucikan dirinya daripada perkara riak dan keji. Mukmin yang beriman ini juga selalu memperbaiki dirinya dari segi solat, memperbanyakkan amalan sedekah, memelihara silaturahim dan banyak lagi sifat mahmudah yang akan menjadikannya Mukmin yang benar-benar kamil.

Mukmin yang terbaik adalah mereka yang menjaga solat iaitu dengan sentiasa sembahyang pada awal waktu sebagaimana Ibn Masu’d berkata: “Aku bertanya Rasulullah mengenai apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?”. Maka Rasulullah SAW menyatakan “Solat pada awal waktu , berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di medan peperangan. Qatadah berkata , menjaga solat bermaksud menjaga waktunya, rukuknya dan sujudnya. Apabila seseorang Mukmin itu bersifat dengan akhlak mahmudah, maka Allah akan mewariskan mereka syurga Firdaus.

Demikian seorang Muslim itu tidak boleh hanya merasa berpuas hati dengan menjadi seorang Islam yang beribadah secara biasa-biasa saja, sebaliknya menjadi insan yang selalu memperbaharui dirinya dengan amalan ibadah secara luar biasa agar mendapat kejayaan dunia akhirat dan seterusnya menjadi ahli syurga Firdaus.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Konsep ibadah tunjang agama

Posted by epondok di November 29, 2014

Oleh Norhayati Paradi

Betapa pentingnya menegakkan keindahan Islam dan menghindar salah tanggap mengenai kemurnian agama Allah SWT dalam Islam Itu Indah.

Keindahan pada diri, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya terletak pada keindahan Islam. Oleh itu pentingnya menegakkan keindahan Islam dan menghindar salah tanggap mengenai kemurnian agama Allah SWT ini.

Realiti semasa, Islam banyak disalah tafsir dan disalah faham bukan sekadar daripada orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri. Sebab itu Islamophobia bukan hanya berlaku pada orang bukan Islam, malah turut membabitkan umat Islam yang tidak memahami Islam.

Akibatnya, ketidakfahaman itu memberi kesan kepada perlakuan seterusnya memberi impak kepada keadaan hidup umat Islam hari ini. Apabila berlaku salah faham, maka akan terjadi salah amal kerana kedua-duanya saling berkait antara ilmu dan amal.

Ilmu itu adalah imam, manakala amal itu adalah makmumnya. Jika pemimpin tersalah, maka besar kebarangkalian pengikut di belakang juga turut tersasar. Sebab itu jika berlaku salah faham, ini akan melahirkan salah amal dan salah perjuangan.

Sesungguhnya misi Islam sebagai rahmat dan penyelamat bukan sahaja kepada umat Islam, tapi yang belum beragama Islam.

Jelas di nyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Justeru, apabila Islam itu lemah, tidak kelihatan gagah dan hebatnya, maka yang rugi bukan sekadar umat Islam tetapi dunia seluruhnya akan kerugian, gelap serta malap.

Manusia cenderung mempercayai mata berbanding telinga

Hari ini, kegagahan dan keindahan Islam sudah tidak terserlah lagi dalam bentuk amalinya dan yang tinggal hanya teori, ilmu serta ilmiah semata, sedangkan manusia cenderung mempercayai mata berbanding telinga. Jika kita hanya mendengar mengenai keindahan Islam tetapi tidak dapat dizahirkan untuk tatapan dalam bentuk amalan, sikap serta tindakan, maka orang tidak akan mempercayai wujud indah dalam Islam.

Terlalu banyak perkara yang disalah tanggap dan disalahertikan mengenai Islam. Contohnya, konsep kesederhanaan, jihad, toleransi, keadilan dan sebagainya. Setelah diperhalusi, pokok utama kepada permasalahan ini adalah berkaitan konsep ibadah yang sepatutnya diperlihatkan sebagai tunjang agama.

Ibadah adalah teras dan asas yang menjadi tanggungjawab kita sepanjang hayat untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tugas sepenuh masa, bukannya kerja sambilan, malah menuntut kita untuk kerja lebih masa demi membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan.

Apabila kita bertindak selaras dengan tujuan hidup, barulah kita mampu memperoleh kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan hidup.

Ibadah terbahagi kepada tiga iaitu ibadah asas, sunat dan umum. Ibadah asas berkaitan terus dengan keyakinan dan kepercayaan iaitu rukun iman serta amalan yang dilakukan iaitu rukun Islam.

Manakala ibadah sunat adalah amalan untuk melengkapkan kekurangan dalam ibadah asas dan mengakrabkan diri serta mendapatkan kasih sayang Allah SWT. Ia juga sebagai jalan untuk mendapatkan bantuan daripada Allah SWT.

Persepsi ibadah sunat hanya untuk yang sudah lanjut usia diharap dapat dimansuhkan sama sekali dalam daftar minda kita. Sesungguhnya ibadah waktu tua kita hanyalah momentum atau pacuan yang berterusan sahaja daripada ibadah kita lakukan ketika usia muda.

Jika kita tidak melakukan ibadah sunat di usia muda, dikhuatiri ketika tua segala kudrat dan usaha sudah tiada. Maknanya, jika usia muda berat beribadah, apabila tua tentu tiada kudrat.

Ibadah umum membabitkan profesion dan keseluruhan aktiviti kehidupan. Metaforanya, umpama pohon ibadah yang akar tunjangnya adalah ibadah asas (Rukun Iman), manakala batangnya Rukun Islam, ranting serta dahan adalah fardhu kifayah (ibadah umum) yang luas ruang lingkupnya.

Daun-daunnya adalah ibadah sunat di mana letaknya proses fotosintesis untuk menjana makanan bagi pohon itu yang melambangkan ibadah sunat bukanlah amalan picisan kerana tanpa daun pokok itu akan mati atas sebab ketiadaan sumber makanannya.

Pohon yang lengkap dengan akar tunjang, batang, dahan besar dan kecil, ranting juga daun, pastinya mengundang harapan ia akan berbuah. Buah yang terbit daripada pohon ibadah terbahagi kepada dua iaitu akhlak dan budi pekerti.

Ada dalam kalangan umat Islam hanya menumpukan soal daun sahaja, dan ada pula hanya tertumpu pada dahan semata, fardu kifayah dipinggirkan. Oleh sebab itu, jika diteliti pohon ibadah yang sedang dibina umat Islam hari ini belum lagi menjadi pohon yang begitu subur, kukuh akarnya, merimbun daunnya dan jauh lagi untuk menghasilkan buahnya.

Belum bisa memayungi orang lain

Umat Islam masih belum bisa memayungi atau memberi teduhan dan rahmat kepada orang lain. Paling kurang pun untuk unggas-unggas sudi hinggap di dahan dan rantingnya. Buahnya dapat dinikmati oleh musafir yang lalu memberi manfaat kepada sesiapa sahaja.

Pohon ibadah yang buah akhlaknya memikat untuk disantap bagi merasa nikmat pemberian tuhan berupa iman. Dahannya yang kukuh mampu memberi tumpang dari segi ekonomi, kemajuan dan peradabannya. Ironinya, pohon Islam hari ini belum lagi sampai ke tahap pohon idaman itu.

Analogi Imam Hassan al-Banna, “Baling batu pada pohon yang begitu rendang dan lebat buahnya, dia tidak akan membalas dengan kayu atau suatu yang buruk tetapi balasannya adalah buah yang digugurkan.”

Itulah yang diharapkan daripada umat Islam apabila sudah kukuh dan teguh ibadahnya, musuh serta kezaliman yang datang tidak menjejaskannya malah boleh memberi kebaikan walaupun mendapat kejahatan daripada orang lain.

Pada hari ini, jika pohon umat Islam dibaling, maka akan berguguran ranting malahan dahan yang sudah reput dan rapuh. Pohon itu tidak nampak indah dan cantiknya di mata umat Islam apatah lagi di mata dunia yang sememangnya tidak mengerti.

Sesungguhnya dengan akhlak kita membina budi pada tamadun kerohanian yang tinggi. Jika kita menegakkan pohon ibadah, kita tidak akan lagi dengar tohmahan kita mundur dan tidak berjaya kerana asyik dalam beribadah. Realitinya, kita tidak maju kerana kita tidak beribadah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sekuriti makanan dari sudut Islam

Posted by epondok di November 27, 2014

Tulisan Norkumala Awang

Dalam Islam juga, perbahasan mengenai makanan begitu meluas merangkumi soal sekuriti makanan atau jaminan bekalan makanan, pemakanan seimbang dan juga soal keselamatan dan kebersihan.

Hanya barangkali isu-isu sebegini kurang menjadi fokus masyarakat lantaran lebih tertumpu kepada isu halal dan haram. Walau bagaimanapun, sekuriti makanan adalah aspek yang tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi bagi masyarakat pengguna kerana kesannya kepada kehidupan semasa amat signifikan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), sekuriti makanan ditakrifkan sebagai akses bagi penduduk terhadap makanan yang mencukupi untuk kehidupan sihat dan aktif. Selain itu, makanan perlu selamat bagi memenuhi keperluan dan pemilihan makanan manusia. Walau bagaimanapun, dalam Islam, elemen halal dan tayyib tidak boleh dipinggirkan. Justeru, penekanan syariah terhadap unsur halal dan tayyib makanan juga perlu diambil kira dalam definisi sekuriti makanan menerusi konteks Islam.

Malahan aspek kuasa untuk mendapatkan makanan daripada pendapatan yang diperoleh serta penglibatan masyarakat dalam aktiviti sekuriti makanan seperti menyalurkan bantuan makanan dan menjadi pengeluar makanan perlu dititikbe­ratkan khususnya umat Islam.

Maka, ia adalah tanggungjawab pemerintah sesebuah negara untuk memenuhi keperluan asas masyarakat khususnya aspek makanan. Secara tuntasnya, men­jadi amanah penting bagi pemimpin negara untuk memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan menggubal dasar atau polisi agar krisis ini dapat dielakkan.

Sejarah membuktikan ba­gai­mana kebijaksanaan Nabi Yusuf mentadbir urus bekalan makanan sebelum dan selama tempoh mu­sim kemelesetan yang melanda Mesir sedangkan seluruh negara yang berdekatan dengannya me­ngalami krisis sekuriti makanan yang kritikal. Islam sebenarnya menyediakan wahana yang jelas untuk menjamin sekuriti makanan melalui meka­nisme agihan yang unggul.

Konsep pelaksanaan dalam merealisasikan mekanisme itu memerlukan kebijaksanaan pen­tadbir untuk meningkatkan keber­kesanannya. Ini kerana janji Allah kepada hamba-Nya amat be­nar, bertepatan dengan firman-Nya dalam surah Quraisy ayat 4 yang bermaksud; “Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan dari ketakutan.”

Kekurangan bekalan makanan boleh menyebabkan kr­isis makanan. Kebanyakan ne­ga­ra termasuk negara Islam berhadapan dengan isu getir ini. Ini kerana krisis itu akan dan te­lah melibatkan makanan ruji populasi di dunia ini. Antara kesannya boleh menyebabkan harga makanan naik.

Ketidakupayaan men­dapatkan ma­kanan sama ada dalam jangka masa panjang atau sebaliknya berkait rapat dengan pendapatan individu atau isi rumah. Ini bermakna kemiskinan menyebabkan seseorang itu kurang upaya untuk membeli makanan seimbang dari segi zatnya, kebersihan dan keselamatannya. Justeru, ia juga akan memberi kesan kepada kualiti kehidupan masyarakat khususnya umat Islam.

Ketiadaan sekuriti makanan juga boleh mengakibatkan kebuluran. Ada­kalanya ia disebabkan harga makanan tidak stabil. Faktor tidak mampu membeli makanan akan menjejaskan pembangunan ekonomi, sosial, dan politik negara.

Oleh itu, penting sekali pe­ran­cangan ke arah sekuriti makanan men­jadi agenda utama negara. Pe­ranan proaktif dalam dimensi lebih luas perlu digembleng khu­susnya daripada pe­merintah dan pelbagai pihak termasuk pengguna dengan tidak me­ming­girkan nilai dan ajaran Islam dalam sekuriti makanan.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Membaca tingkat darjat ilmu

Posted by epondok di November 25, 2014

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

Terhasilnya ilmu itu kerana pembacaan yang meluas. Semuanya bermula dengan pantas, dengan mengambil iktibar atas peristiwa wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’. Kerana kuasa Iqra dalam surah al-Alaq bagi ayat 1 hingga 5, umat Islam terkesan dengan menguasai dunia, menikmati akhirat.

Bacaan wahyu pertama

Maksud beberapa ayat awal daripada surah Al-Alaq – “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, Yang mengajar manusia dengan pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui…”.

Ini adalah wahyu pertama yang disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Di dalam wahyu pertama itu, terkandung soal membaca, pena dan tulisan. Tidak akan wujud kepesatan perkembangan universiti dan kelahiran graduan atas dasar apa yang terkandung dalam wahyu yang pertama itu.

Bacaan yang diperintah Malaikat Jibril supaya Rasulullah membacanya bukan sebarang bacaan, tetapi bacalah dengan menyebut nama Allah SWT. Wahyu sulung yang menyuruh agar Nabi membacanya menunjukkan pembinaan manusia yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah berasaskan ilmu pengetahuan melalui jalan pembacaan.

Hasilnya, berjuta jilid kitab-kitab Islam dalam pelbagai bidang ilmu yang merujuk maklumatnya kepada al-Quran adalah satu mukjizat yang sangat menakjubkan. Sekali gus apa yang kita pelajari asasnya adalah tulisan dan bacaan.

Kesan pembacaan yang dihasilkan pula menerusi pena dan tulisan, lebih berpengaruh dari suara yang didengar kerana bacaan mewujudkankan satu interaksi atau komunikasi antara pembaca dan bahan yang dibaca, lain halnya dengan suara yang hanya didengar, tidak semestinya wujud secara fizikal bahan yang didengar. Oleh itu, bacalah bukan sekadar hanya didengar atau disimpan semata-mata tanpa dibaca.

Cendekiawan jadi rujukan

Dalam tafsiran al-Quran berkait surah al-Alaq ini, pembacaan yang disuruh dengan menyebut nama Allah dengan sendiri menentukan matlamat dan hala tuju pembacaan. Apabila ilmu dikuasai melalui pembacaan, maka sesiapa yang tidak membaca seolah-olah pintu ilmunya tertutup. Sebab itu, dalam kalangan ilmuwan ramai menyarankan masyarakat menjadikan kelompok cendekiawan sebagai tempat merujuk.

Melalui pena seperti mana yang disebut, ilmu dan makrifat boleh disebarluaskan, dengannya pintu ilmu dan pengetahuan boleh dibuka. Inilah pena yang meninggalkan hasilnya dan mencelikkan mata generasi demi generasi. Inilah pena yang mengajar manusia apa yang tidak diketahui lalu dipelajari, dikaji dan diteliti oleh generasi umat yang datang silih berganti.

Lihat pula antara tokoh dan sarjana Islam yang boleh diteladani hasil kuasa Iqra ini, Imam Bukhari seorang pakar hadis dengan mengumpul lebih 600,000 hadis. Beliau menekuni, meneliti, menapis hadis yang benar-benar sahih selama 16 tahun sehingga terhasilnya kitab Sahih Bukhari mengandungi 7,124 hadis. Semuanya kerana bacaan, mata pena dan tulisan demi umat Islam sejagat.

Tidak terkecuali Imam As-Suyuti, seorang tokoh ulama Mesir yang hidup sekitar 849 H hingga 911 H. Beliau digelarkan Amirul Mukminin kerana ketinggian darjat keilmuannya dan pernah berkata: “Sesungguhnya aku seorang yang diberikan sifat cintakan ilmu dan kajian, sama ada kecil atau besar”. Semuanya itu atas sifat beliau yang kuat membaca dan bertalaqi (menadah kitab).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

MAJLIS ILMU BERSAMA HABIB UMAR & SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI DI KELANTAN

Posted by epondok di November 25, 2014

MAJLIS ILMU BERSAMA HABIB UMAR & SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI Tarikh : Khamis 27 November 2014 (Malam Jumaat) Masa : Lepas Maghrib Tempat : Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu Semua muslimin/mat dijemput hadir beramai-ramai

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Ubah persepsi kemuliaan boleh dibeli

Posted by epondok di November 24, 2014

Oleh Siti Rohani Surani
Kita masih berada dalam penghujung bulan Muharam. Muharam bermaksud bulan yang ada penghormatan, bulan yang ada pengharaman di dalamnya.

Mari kita renungi apa yang dinukilkan oleh Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud, “bulan-bulan yang dihormati: sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam empat bulan itu, dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa”.

Muharam jika diikutkan memang tiada apa yang istimewa seperti Zulhijah di mana ia adalah bulan umat Islam menunaikan haji. Kenapa ia dinamakan bulan haram? Ada empat bulan mengikut kalendar Islam yang dikategorikan sebagai bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
Haram pembunuhan

Al-Qadhi Abu Ya’la menyebut bahawa dinamakan “bulan haram” kerana dua makna, pertama kerana pada bulan tersebut diharamkan pembunuhan. Orang Jahiliyah pun meyakini akan perkara ini dan mereka akan mengelak berbunuhan pada bulan ini.

Kedua, kerana pada bulan haram ini ia membawa maksud bulan suci kerana pada bulan ini bulan untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT sehingga para salafus soleh diriwayatkan sangat suka untuk melakukan ibadah puasa pada bulan haram. Sufyan Ats-Thauri seorang Tabi’e pernah menyebut, “pada bulan-bulan haram, aku sangat gemar berpuasa”.

Saidina Abdullah ibnu ‘Abbas RA pula pernah mengatakan, “Allah mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram, dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar, dan amalan soleh yang dilakukan akan mendapatkan pahala yang lebih banyak”.

Di sini kita boleh fahami bahawa walaupun bulan tersebut mungkin tiada apa-apa yang istimewa (seperti Ramadan (puasa) dan Zulhijah (haji) Allah memuliakan Muharam, maka manusia juga memuliakannya.

Apabila Allah memuliakan sesuatu bulan, maka bulan itu menjadi mulia; apabila Allah memuliakan seseorang, maka orang itu menjadi mulia.

Mulianya ibu bapa, guru dan ulama adalah kerana Allah SWT memuliakannya, maka kita perlu memuliakannya walaupun mungkin ada antara mereka yang kurang beradab, sombong dan sebagainya. Jadi Allah telah menetapkan siapa yang harus kita muliakan.

Susah untuk hormat orang

Namun, hari ini sukar untuk kita memuliakan orang lain. Kita hanya mudah untuk memuliakan orang apabila orang itu berbuat baik terhadap kita. Kalau seseorang itu tidak berbuat baik, maka memang kita akan merasakan susah untuk merasa hormat dan memuliakannya.

Amat malang hari ini apabila kemuliaan dan penghormatan seakan sudah boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika kita kaya dan berpangkat, maka orang akan mudah dan selalu merasa hormat dan melayan kita dengan mulia sekali.

Kita akan dilayan bagai seorang ‘raja’ jika kaya dan berpangkat. Dunia hari ini seakan tiada penghormatan yang boleh kita dapat secara percuma, tanpa ada kemuliaan dunia. Persepsi ini sepatutnya diubah kerana kemuliaan hakiki sebenarnya terletak di sisi Allah SWT, bukan bersifat duniawi atau manusiawi.

Kemuliaan dari segi logik

Kemuliaan yang dilihat hari ini lebih meletakkan pada penilaian manusiawi dan berdasarkan logika semata. Dalam Islam tidak semua hal menggunakan logika akal, ada ketikanya perkara tertentu sukar diterima akal lantaran itu Saidina Ali pernah mengungkapkan “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf itu lebih utama daripada menyapu di atas khuf, tetapi Baginda SAW menyapu di atas khuf”.

Begitu juga misalnya kemuliaan al-Quran bukan kerana al-Quran itu kerana dari segi akalnya al-Quran itu hanyalah lembaran kertas saja. Tetapi kemuliaan kerana ada ayat Allah didalamnya.

Maka Al-Quran itu, perlu dimuliakan walaupun ia hanya umpama sebuah `buku’ bukannya orang. Tetapi kerana Allah menyuruh untuk memuliakan al-Quran, maka kita perlu memuliakannya.

Sebagai kesimpulannya, kita perlu memahami bahawa sesuatu kemuliaan hakiki itu bukan terletak pada penilaian manusia tetapi penilaian di sisi Allah SWT.

Apabila Allah SWT memuliakan bulan, orang atau sesuatu maka menjadi kewajipan kepada kita semua untuk turut memuliakannya. Ada ketikanya kita mungkin tidak memahami kenapa Allah memuliakan sesuatu atau seseorang, namun menjadi kewajipan kepada kita untuk turut memuliakannya

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Transgender Perlu rawatan serius

Posted by epondok di November 23, 2014

Kes lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kini semakin berleluasa. Malah tanpa segan silu, golongan ini mengaku mereka LGBT.

Baru-baru ini hak transgender menjadi perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat. Ramai yang beranggapan transgender atau identiti gender dikaitkan dengan sifat fizikal seseorang yang dapat dicam melalui organ kelaminnya.

Pun begitu, terdapat sekumpulan minoriti yang mempunyai identiti gender yang tidak serasi dengan sifat fizikal kelaminnya.

Golongan ini sebenarnya telah lama wujud dan berada hampir di seluruh dunia. Istilah yang tepat untuk merujuk kepada mereka ialah ‘transgender’.

Adakah golongan ini sebenarnya mempunyai masalah mental atau terlalu mengikut kehendak naluri mereka sendiri?

Menurut Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim

Motivational

& Counselling Consultancy (HMCC), dari segi psikologi, transgender dikaitkan dengan kecelaruan identiti.“Fizikal mereka lelaki tetapi perasaan dan keinginan mereka lebih bersifat kewanitaan. Mereka suka berpakaian wanita dan melakukan kerja-kerja yang wanita selalu buat. Keinginan seksual mereka pula lebih kepada lelaki. Dalam pada itu, Islam mengiktiraf gender khusus secara alamiah yang disebut sebagai ‘khunsa’ yang dari bahasa Arabnya bermaksud ‘lembut’.

“Tetapi dalam konteks ini istilah berkenaan ditafsir lebih meluas sebagaimana yang tercatit dalam Kamus Dewan, pondan ialah lelaki yang memiliki sifat perempuan atau sebaliknya (perempuan yg memiliki sifat lelaki),” katanya.

Tambah Hushim, individu yang terlibat dan mengamalkan budaya songsang ini ialah manusia yang sakit jiwa. Ini kerana fizikalnya berbeza dengan keinginan sebenar dirinya.

Menurut Hushim, pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang mengalami masalah identiti gender.

“Berdasarkan kes yang saya kendalikan, kebanyakan masalah ini bermula pada usia kanak-kanak lagi. Dalam kes-kes tertentu, ibu bapa sendiri tidak menyedari masalah ini termasuk didikan mereka yang menyebabkan anak-anak lelaki cenderung kepada sifat wanita. Misalnya, ibu bapa yang inginkan anak wanita, akan menyarungkan anak lelaki mereka dengan pakaian wanita.

“Kemudian berlaku perubahan seksual diperingkat remaja hinggalah ke alam dewasa termasuk memakan pil hormon dan bergaul dengan rakan-rakan lain yang mempunyai masalah transgender seperti mereka. Kebiasaannya perubahan jantina daripada lelaki kepada wanita sama ada luaran atau pembedahan alat kemaluan mereka berlaku di alam dewasa. Pada peringkat ini, mereka mungkin ada duit dan berjumpa pula dengan rakan-rakan sejenis,” ujarnya.

Sebagai kaunselor, Hushim akan memberikan kaunseling diikuti pemulihan. Katanya, ramai klien yang mempunyai masalah transgender berjumpa dengannya untuk berubah sama ada kerana tuntutan kerjaya atau timbulnya rasa insaf. Kebanyakan akan berasa insaf pada usia matang iaitu 40-an.

Pun begitu, transgender sukar diselesaikan apabila seseorang itu sudah merubah fungsi seksual mereka. Ada kes kaunseling yang akan mengambil tempoh dua hingga tiga tahun untuk diselesaikan. Apabila berlaku perubahan fizikal seperti payu dara membesar, golongan ini akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Misalnya, ada pesakit Hushim sendiri yang mahu menunaikan umrah mengalami masalah kerana mereka tidak boleh berpakaian seperti lelaki kerana susuk tubuh masih kelihatan seperti wanita.

“Sebagai umat Islam, saya juga akan menerapkan aspek kaunseling Islam. Mengubah jantina tetap salah di sisi Islam. Amalan dilaknat ini berlaku kerana tabiat. Mereka yang terjebak seronok dengan kenikmatan luar tabie. Sebab itu Allah melarang dan dalam al-Quran menjelaskan apabila seseorang sudah terjebak, gay dan biseksual ini umpama ketagih dadah.

“Dari segi ilmu kaunseling memang benar orang yang terlibat dengan budaya LGBT ialah orang sakit. Mereka sebenarnya sakit jiwa walau dikurnia mental yang bijak.

“Namun, tidak semua mereka yang transgender terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti pelacuran. Ada yang terdiri daripada golongan profesional. Pada siang hari, mereka mungkin mempunyai pekerjaan tetap dan malam mereka bertukar menjadi wanita. Ada pula yang bekerja dalam bidang kreatif seperti mak andam, jurusolek dan sebagainya,” katanya.

Tambah Hushim, kerajaan perlu meletakkan masalah ini sebagai keutamaan kerana selain memporak-peranda sistem kekeluargaan, masalah ini juga mengancam kedudukan Islam.

Ini bukan sahaja melibatkan proses pemulihan, Hushim turut merangka langkah penyuburan dan pencegahan.

“Bagi saya kerajaan kena buat satu modul bagi menghalang LGBT habis-habisan di peringkat awal sejak sekolah rendah lagi. Selain itu, yang paling bahaya peringkat sekolah menengah sebab mereka ini akan pergi ke universiti. Di universiti sudah ramai. Saya cakap terus-terang, di universiti sudah ramai golongan ini.

“Satu langkah yang konsisten perlu dilakukan semua pihak seperti yang kita buat khusus untuk pemulihan dan pencegahan dadah,” katanya.

Nasihat Hushim kepada golongan transgender yang ingin berubah, berjumpalah dengan kaunselor atau pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kini sedang giat mencegah dan membantu golongan ini. Tambahnya, kehidupan transgender di sisi Islam tetap berdosa kerana melawan hukum Allah. Pun begitu, Hushim menyarankan masyarakat tidak menyisihkan golongan ini lebih-lebih lagi mereka yang mahu berubah.

– See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/perlukan-rawatan-psikologi-1.25219#sthash.vAVAqeAU.dpuf

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tangani kes buli secara berkesan

Posted by epondok di November 22, 2014

Oleh NOOR MOHAMAD 
SHAKIL HAMEED

PENDEDAHAN beberapa video yang memaparkan kejadian buli di asrama pelajar menunjukkan budaya membuli di sekolah masih wujud di negara kita. Ironinya ini bukan kali pertama kita menonton video seumpama itu.

Sebelum ini pun pihak media telah mendedahkan kejadian seperti ini dan pihak berkuasa telah pun mengambil beberapa tindakan tegas namun hakikatnya perbuatan ini masih berterusan. Malah kes terbaru yang didedahkan memperlihatkan betapa perbuatan buli ini semakin serius dan membimbangkan.

Tindakan pelajar senior yang menyepak, menerajang, menumbuk dan membelasah cukup-cukup pelajar junior tanpa rasa kasihan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Rata-rata semua pihak yang menonton video buli yang tersebar dalam media sosial ini cukup geram dan marah dengan sikap dan perbuatan pelajar senior terbabit.

Mangsa diperlakukan sebagai hamba dan tidak dilepaskan walaupun merayu simpati. Tidak keterlaluan untuk kita melabelkan kumpulan pelajar senior ini memiliki sikap kebinatangan yang cukup melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan. Justeru semua pihak menuntut agar pihak berkuasa menyiasat segera dan mengenalpasti semua pelaku buli terbabit seterusnya dibawa ke pengadilan.

Hal ini penting kerana kita tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan gila, ganas dan kejam seperti ini. Cuba kita bayangkan apa perasaan ibu bapa pelajar terbabit tatkala menonton video yang menyayat hati tentang kejadian yang menimpa anak mereka. Bagaimana pula dengan emosi dan mental mangsa itu sendiri?

Kita khuatir mangsa yang sedang menanggung malu dan juga kesakitan ini tidak mampu berfikir secara waras dan rasional serta sedang berhadapan dengan tekanan jiwa yang hebat. Akibatnya mangsa boleh bertindak di luar pemikiran yang rasional sekali gus menghancurkan masa depan malah boleh membahayakan nyawa sendiri.

Realitinya perbuatan buli bukanlah perkara baharu. Ia berlaku di semua peringkat baik di sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat universiti dan kolej. Bezanya ialah sejauh mana ia membabitkan penderaan mental, fizikal dan didedahkan kepada umum. Ini kerana mangsa jarang tampil untuk membuat laporan kerana malu mahupun takut. Ini menyebabkan perbuatan ini masih berterusan dan tidak mampu dikekang. Ditambah pula dengan sikap pihak sekolah yang mahu menyembunyikan kes buli dari pengetahuan umum.

Oleh kerana kejadian buli semakin merisaukan adalah wajar pihak sekolah terutamanya sekolah asrama mengambil langkah proaktif untuk membendung gejala dan budaya negatif seperti ini. Dalam konteks ini kita sedar baik warden asrama mahupun pihak pengurusan sekolah tidak mampu untuk memantau setiap tingkah laku mahupun gerak geri pelajar mereka sepanjang masa apatah lagi ia berlaku dalam bilik secara senyap dan sembunyi. Justeru tidak wajar kita menyalahkan pihak warden dan sekolah sepenuhnya.

Namun pihak asrama perlu memainkan peranan yang berkesan bagi membendung kes seperti ini. Kebiasaannya pihak sekolah terutamanya warden kenal sikap dan tingkah laku para pelajar mereka kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan pelajar. Justeru pihak warden wajar menggunakan kelebihan ini untuk memastikan kejadian buli tidak berlaku di asrama mereka.

Di samping itu, penerangan dan peringatan kepada pelajar tentang hukuman yang boleh dikenakan terhadap individu yang terlibat atau melakukan buli perlu menyeluruh dan diingatkan secara kerap terutamanya ketika pengambilan mahupun kemasukan pelajar baru.

Hukuman sedia ada juga perlu dinilai semula supaya pelajar nakal seperti ini akan takut untuk membuli junior mereka serta menjadi pengajaran dan pedoman kepada semua pelajar. Hal ini penting kerana ibu bapa sudah mula bimbang mengenangkan nasib anak-anak mereka di asrama.

Jangan terkejut andai satu hari nanti semua ibu bapa bertindak mengeluarkan anak-anak mereka dari asrama ataupun tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke asrama kerana bimbang tentang tahap keselamatan anak mereka.

Pihak sekolah juga tidak boleh menyembunyikan kejadian buli kerana ia tidak membantu membendung budaya buli ini. Tidak perlu berasa malu untuk mendedahkan kejadian buli kerana sudah tentu ia berlaku di luar kawalan mereka. Kita pun sedia maklum bahawa tidak mungkin pihak sekolah boleh memantau 24 jam sehari.

Berdasarkan beberapa video buli yang kita tonton baru-baru ini memperlihatkan betapa pelajar yang membuli ini sedikit pun tidak rasa kasihan mahupun dapat mengawal diri mereka. Mereka bertindak seperti orang gila yang kena rasuk.

Perkara ini wajar dikaji secara mendalam. Apakah pemikiran dan emosi mereka tidak stabil dan jenis yang suka memberontak dan membalas dendam? Jika benar maka mereka sedang mengalami masalah mental yang cukup berat. Justeru mereka sebenarnya perlu dibantu dengan segera sebelum bertindak lebih teruk di luar batasan dan kawalan kita.

Pendekatan mencegah perlu diutamakan dari melakukan pembetulan mahupun hukuman kerana hukuman tidak akan menyelesaikan masalah buli ini dari berterusan.

Semoga kejadian buli seperti ini membuka mata semua pihak supaya tidak cepat melatah sebaliknya di samping mengambil tindakan ke atas pembuli yang terbabit, wajar juga mengkaji punca kejadian buli serta menghulurkan bantuan sewajarnya kepada para pembuli ini yang sebenarnya sedang ‘sakit’ secara mental, perasaan dan emosi. Mangsa pula perlu diberikan kaunseling dengan segera untuk memulihkan semangat dan motivasi mereka.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

2 Syirik boleh sebabkan kufur

Posted by epondok di November 21, 2014

Oleh Nik Hasnah Ismail
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Barangkali kita telah terselamat daripada melakukan perkara membawa kepada syirik secara terangan seperti menyembah berhala, tokong atau apa sahaja yang menyamakannya dengan Allah SWT. Tetapi adakah dengan tidak menyekutukan Allah SWT secara terang itu kita tidak melakukan syirik kepada-Nya?

Perbuatan syirik bermaksud sesuatu perbuatan yang menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain sama ada makhluk bernyawa atau sebaliknya menyamai bagi Allah SWT.

Sekutu Allah perbuatan syirik
Menyekutukan Allah SWT jelas dianggap sebagai suatu perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama, apatah lagi perbuatan sesetengah orang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Lebih parah apabila golongan itu wujud dalam masyarakat kerana boleh merosakkan akidah umat Islam.

Menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi menjelaskan, syirik bermakna menduakan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Syirik secara terang disebut sebagai syirik jali manakala syirik secara tersembunyi adalah syirik khafi.

Bagaimanapun, kedua-dua jenis syirik ini mengundang bahaya yang besar kepada kita kerana takut apa juga amal ibadah dilakukan kepada Allah SWT secara bersungguh-sungguh, menjadi kawah kosong yang kering kontang tanpa apa-apa hasil.

Penegasan salahnya perbuatan syirik dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap perbuatan dan tindak tanduk supaya kita tidak dibelenggu perbuatan adat dan kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar sehingga boleh membawa kepada dosa besar yang akhirnya menjerumuskan kita ke neraka.

Galak cari ilmu

Sebab itulah kita dianjurkan untuk mencari ilmu agama yang kukuh dan belajar dengan mereka yang arif supaya ilmu agama boleh menjadi benteng atau pendinding daripada ancaman perbuatan merosakkan akidah terhadap Allah SWT.

Menurut Sharizan, syirik terbahagi kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu menerusi iktikad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah SWT.

Kedua, menerusi perbuatan serta amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib, mempercayai sesuatu objek mempunyai keramat tertentu juga membawa kepada unsur syirik.

Bahkan ahli agama berpendapat perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan yang boleh menjurus kepada syirik.

Ketiga, menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.

Syirik khafi pula, kita harus lebih berhati-hati kerana dibimbangi tanpa disedari kita tergolong dalam melakukan perbuatan syirik seperti perbuatan riak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadahnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Amal ibadah kita kepada Allah SWT hendaklah dilakukan secara ikhlas dengan bersungguh-sungguh meyakini keesaan-Nya. Amalan kita bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Perbuatan bertujuan menunjuk-nunjuk sama ada secara sengaja atau tidak, amat dimurkai Allah SWT, malah Rasulullah SAW menegur perbuatan itu kerana boleh membawa kepada perbuatan yang merosakkan hati manusia.

Allah SWT menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, ayat 65)

Bina kesedaran, tambah pengetahuan

Mari kita bersama membina kesedaran melalui ilmu dan sentiasa menambah pengetahuan supaya tidak terjerumus dengan perbuatan bukan sekadar sia-sia tetapi membawa kepada dosa. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan supaya tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan.

Adalah merugikan ibadah kita lakukan secara bersungguh-sungguh atau sedekah jariah yang sekian banyak, jika amalan itu bersulam perbuatan riak yang menjurus kepada syirik kerana telah banyak disebut dalam hadis dan al-Quran bahawa amalan syirik hanya membawa kepada kebinasaan serta kerugian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Menangani fahaman Liberal yang merosakkan aqidah

Posted by epondok di November 19, 2014

Rokiah Ismail

MUTAKHIR ini umat Islam berhadapan dengan cabaran getir, bukan sahaja daripada ekstremis agama lain tetapi juga musuh dalam kalangan orang Islam sendiri. Kemunculan fahaman pluralisme dan liberalisme dalam Islam walaupun hakikatnya dicetuskan oleh bukan Islam, ia dimarakkan dan disebar luaskan oleh munafik melalui hujah yang mengikut hukum logik serta prinsip-prinsip kebebasan yang bertentangan dengan Islam. Tujuannya untuk memberikan persepsi buruk kerana kelihatan hukum dalam Islam menafikan kebebasan, kejam, tidak adil dan sebagainya.

Golongan ini merencanakan siri serangan kepada Islam secara perlahan dengan cara menyokong promosi seks bebas atas alasan hak asasi, kelab homoseks, kelab lesbian, mempromosi anti-poligami dan turut mempersoalkan sama ada poligami patut terus dibenarkan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam.

Selain itu mereka juga giat merangka agenda mempromosi anti-hudud, membantah Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap pengharaman yoga, menyokong dan mempromosi hak wanita menjadi imam dalam sembahyang seperti yang dilakukan oleh Aminah Wadud dari Amerika Syarikat dan mempromosi pengedaran kondom kepada remaja di atas alasan bagi mengelakkan penularan HIV/AIDS tetapi tidak menekan kehidupan beragama.

Lebih berani, mereka juga pernah mencadangkan kes perceraian dalam kalangan Islam dibicarakan di mahkamah sivil, dan bukannya di mahkamah syariah, mempertahankan hak wanita Islam yang murtad atas nama hak asasi manusia dan membantah pengharaman program Seksualiti Merdeka yang mengajak masyarakat mengiktiraf seks songsang dalam kalangan homoseks dan lesbian dalam negara ini.

Kelompok ini mengelirukan orang awam apabila dengan sengaja mencampur adukkan antara keunggulan Islam dengan kegagalan pelaksanaan hukum-hukum Islam oleh sesetengah pihak berkuasa dan birokrat agama. Kegagalan sesetengah birokrat ini sengaja dilihat sebagai kelemahan hukum Islam terutama dalam isu-isu keluarga Islam, diskriminasi gender dan kebebasan hak individu mengikut acuan Barat.

Kelemahan perlaksanaan inilah yang menjadi pemangkin kepada meluasnya pengaruh “musang berbulu ayam” ini. Ada pihak berkuasa dan birokrat agama terlalu birokratik, mengikut “buku” dan tidak menyediakan ruang budi bicara untuk menangani kes-kes yang sepatutnya memerlukan sentuhan insani.

Hakikatnya, kejahatan orang Islam yang menentang agama ini telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Sirah membuktikan terdapat seorang sahabat iaitu Hudzaifah al-Yamani yang menyimpan senarai orang munafik di Madinah pada waktu itu, berpandukan apa yang diberitahu Rasulullah kepadanya.

Kelebihan Hudzaifah sebagai ‘Pemegang rahsia Rasulullah’ ini menyenangkan urusan penapisan berita, sebagaimana pesan Allah dalam Surah Al-Hujurat, Ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Pelbagai makar dirancang oleh golongan sebegini zaman demi zaman, hasta demi hasta untuk melemahkan umat Islam melalui strategi ghuzwatul fikr atau serangan pemikiran.

Sejak dulu juga kegiatan mereka sukar untuk dibenteras kerana zahirnya kelihatan Islam.

Kita mungkin sukar untuk terpengaruh dengan hujah bukan Islam mengenai hukum Islam. Tetapi akan menjadi sebaliknya kalau dihujahkan oleh orang Islam sendiri, apa lagi dengan ketokohan (walaupun bukan dalam pengajian Islam) yang berjaya membina personaliti dan keterampilan kononnya mewakili orang Islam.

Penyumbang

Golongan ini juga mendapat sokongan sesetengah pihak dalam Islam yang sememangnya mencari ruang kelonggaran yang melampau dalam kehidupan beragama misalnya menerusi program Seksualiti Merdeka atau menyanggah kod etika pakaian menurut Islam.

Langkah mereka lebih panjang berbanding pihak berkuasa agama apabila membina jaringan antarabangsa dengan banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sealiran.

Liberalis agama ini dilihat mewakili negara dalam bab Islam di negara ini di forum-forum antarabangsa. Walaupun tidak diberi kuasa untuk mewakili negara ini dalam hal ehwal Islam tetapi dunia hanya kenal mereka, apa lagi ideologinya sama dengan aliran liberalis musuh Islam di dunia.

Kelemahan sistem perlaksanaan hukum Islam merupakan antara faktor penyumbang kepada peningkatan pengaruh dan kedudukan kukuh golongan ini. Jumud dan lalai dalam menambah baik sistem perlaksanaan hukum Islam membuatkan Islam kelihatan tidak sesuai dengan zaman.

Sebagai contoh, pelaksanaan undang-undang syariah terutama dalam hal ehwal keluarga Islam dilihat lebih memihak kepada lelaki dan menindas wanita. Ini disebabkan sesetengah birokrat agama kita terlalu birokratik hingga hilang nilai keinsanan. Kepada wanita yang menjadi mangsa kerenah birokrasi, tentu sahaja mereka menerima dengan tangan terbuka bantuan yang dihulurkan oleh NGO yang ‘bertenggek’ di atas nama Islam.

Padahal sepatutnya peranan itu dilakukan oleh pihak berkuasa agama. Kita tidak boleh menyalahkan individu yang menerima bantuan daripada pihak yang menjadi musuh Islam.

Dalam keadaan terdesak, rasa dianiaya oleh suami dan birokrat agama, tentulah kalau ada simpati dan bantuan yang dihulurkan akan diterima tanpa banyak soal jawab.

Hakikatnya, musuh Islam daripada kalangan munafik ini bukanlah kuat, namun kelemahan birokrat agama menjadikan golongan ini nampak lebih berperikemanusiaan.

Hujah-hujah bernas dari sudut logik akal yang dijadikan umpan kepada umat yang agak jauh dari landasan agama ini mampu meraih sokongan mereka yang hilang jati diri agama. Apatah lagi kemampuan menyamar dengan memakai jubah agama, mereka terus menyesatkan golongan yang hampir sesat.

Justeru itu, berpandukan sirah ini, umat Islam perlulah bijaksana menaakul situasi semasa, supaya tidak ditipu musuh nyata dan sembunyi melalui perancangan rapi. Zaman ini, kita seharusnya menjadi lebih berwaspada, kerana pada zaman nabi pun golongan ini sudah melampau.

Apatah lagi pada dunia sekarang dalam zaman teknologi dan langit terbuka yang menyebabkan begitu ramai “Abdullah bin Ubay” berkeliaran mengintai lompang kelemahan penganut Islam dan penguasa negara. Faktor yang menyebabkan meletusnya Perang Bani Mustaliq yang berlaku dalam Sya’ban tahun keenam Hijrah perlulah dijadikan iktibar

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »