Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hijrah kesinambungan dakwah

Posted by epondok di Oktober 31, 2014


Oleh Zamanuddin Jusoh

Peristiwa hijrah menyingkap perjuangan penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dengan kebatilan. Kebenaran yang memerlukan keyakinan terhadap agama Allah SWT.

Ia juga diibaratkan jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Dua tahap ini sudah cukup untuk mengajar kita bahawa setiap kejayaan akan didahului dengan ujian maha hebat serta daya saing yang mantap.×

Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi SAW dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan keimanan.
Hijrah pada zaman Nabi SAW bukanlah semudah disangka. Ia berlaku akibat ancaman daripada kaum Musyrikin yang menentang dakwah Baginda dan mengancam nyawa orang yang mengikut ajaran Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Bumi Allah sangat luas

Peristiwa hijrah juga memberi gambaran kepada umat Islam bahawa bumi Allah SWT sangat luas untuk mereka hidup dengan baik dan mengecapi apa yang disediakan oleh Allah SWT untuk mereka yang beriman.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “(Ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah az-Zumar, ayat 10)×

Perjalanan yang penuh dengan cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman daripada kaum kafir Quraisy, tetapi ia adalah strategi Baginda SAW untuk melahirkan keberkesanan dalam dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam.

Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan. Baginda SAW sanggup meninggalkan tanah air sendiri semata-mata untuk penyebaran dakwah Islamiah.

Jelaslah bahawa hikmah dan kebijaksanaan adalah keperluan utama dalam dakwah. Tanpa keperluan ini, kita akan melihat kegagalan ramai pendakwah melaksanakan pendekatan mereka dengan masyarakat. Benarlah kata-kata ulama: “Hikmah dan kebijaksanaan itu mestilah direbut walaupun daripada golongan musuh kamu sendiri.”

Lemahnya usaha musuh untuk hancurkan Islam

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau, mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah al-Anfaal, ayat 30)×

Pertahanan yang mantap sejak ribuan tahun ini bukti Islam adalah agama yang sebenar untuk dianuti dan relevan sepanjang zaman. Cuma kelemahan umat Islam menyesuaikan dalam masyarakat telah membantutkan perkembangan Islam.

Akibatnya, Islam dilihat sebagai agama yang kolot dan ketinggalan zaman. Justeru, tugas sebenar umat Islam adalah menghilangkan keraguan dalam jiwa dan masyarakat terhadap agama mereka sendiri. Isu dan permasalahan baharu mestilah dinyahkan daripada kehidupan masyarakat.

Mereka yang berilmu dan berpengalaman hendaklah menjadi rujukan supaya dapat membantu masyarakat dalam pembangunan umat. Usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh adalah tonggak kepada kejayaan peristiwa hijrah dan ia bukanlah satu kerehatan seperti anggapan sesetengah pihak.

Hijrah adalah kesinambungan perjuangan dakwah demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam menghayati roh hijrah untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam yang telah lama hilang.

Mereka mestilah memahatkan suatu kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islamlah agama yang paling hebat. Sifat segan silu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam bagi menzahirkan keindahan dan keagungan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu bersifat lemah dan bersedih hati padahal kamulah orang yang paling tinggi jika sekiranya kamu beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)

Penghayatan sebenar peristiwa hijrah adalah meninggalkan segala perkara merugikan agama dan umat serta melakukan ketaatan maksimum kepada Allah SWT. Sabda Baginda SAW: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Riwayat Abu Daud)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: