Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tanpa Islam manusia hilang arah

Posted by epondok di Oktober 26, 2014


CIKGU SIDEK BABA

 

ISLAM adalah agama yang mendukung ciri-ciri kesejagatan. Ia bukan monopoli bangsa Arab atau bangsa-bangsa tertentu. Risalah alamiahnya (rahmatan lil ‘alamin) menjadi asas penting bagi seluruh umat.

Sistem kepercayaannya kepada satu Tuhan iaitu ALLAH menjadi landasan yang membentuk sikap kesatuan kepada diri manusia. Manusia dan alam tidak terjadi dengan sendiri. Ia adalah dicipta. Manusia tidak boleh melakukan penciptaan dari tidak ada kepada ada. Manusia hanya boleh melakukan rekaan dan gubahan daripada sumber yang sudah dicipta.

Al-Quran menjadi kitab rujukan umat Islam supaya mereka menerima pertunjuk daripada Pencipta terutama terhadap perkara-perkara yang ghaib. Al-Quran tidak saja mementingkan sistem kepercayaan yang betul (aqidah tauhid) tetapi juga sistem ibadah yang luas cakupannya, pedoman hukum (syariah) yang sifatnya memandu dan sistem akhlak yang menjadi pedoman dalam amalan.

Al-Quran itu diturunkan kepada seorang Nabi bernama Muhammad untuk disampaikan kepada umat manusia. Nabi Muhammad SAW menjadikan dirinya berperibadi al-Quran (khulq al-Quran) supaya terbina Sunnah dan Qudwah untuk menjadi sumber teladan dan ikutan.

Tanpa watak teladan dan sumber ikutan manusia akan kehilangan arah  kehidupan.

Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan kerana sifat zaman sedemikian. Tetapi perubahan dan kemajuan seharusnya berlaku dalam kerangka yang lebih manusiawi. Kerangka manusiawi mementingkan ilmu dan maklumat tetapi dalam masa sama ilmu yang benar dan bermanfaat dijadikan rujukan dan maklumat yang benar dijadikan pedoman.

Islam tidak menolak faktor sains dan teknologi. Dalam Islam, sains dan teknologi selamanya alat. Nilai guna teknologi dalam bentuk perisian harus mampu membangunkan akal-budi insan. Nilai guna teknologi harus berupaya menyejahterakan kehidupan manusia.

Teknologi tinggi (high-tech) adalah suatu keperluan tetapi sentuhan keinsanan (high-touch) menjadi suatu keutamaan. Salah guna kemajuan teknologi memberi akibat tetapi beretika dalam menggunakan teknologi membawa manfaat.

Islam tidak menentang kebebasan yang sifatnya manusiawi bukannya haiwani. Justeru hak asasi manusia harus mampu meningkatkan kualiti manusiawi supaya kualiti ilmu meningkat dan kualiti akhlak juga meningkat sama.

Islam menyarankan kemajuan ekonomi tanpa riba’. Sistem ekonomi yang berasaskan pertumbuhan (growth) semata-mata boleh mengukuhkan faham kapitalisme dan monopoli serta menatijahkan eksploitasi terjadi. Islam mempedomankan pertumbuhan ekonomi yang patuh-syariah supaya agihan seimbang terjadi dan kesejahteraan hidup terjelma.

Arah hidup yang dibawa oleh Islam selari dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Islam mengaturkan hubungan menegak (vertical relation) dengan Pencipta dan juga hubungan merentas (horizontal relation) dengan manusia dan sistem. Darinya menjadikan kehidupan manusia terpedoman. Hari ini terlihat kita gelagat manusia yang kehilangan arah. Ada yang percaya hidup itu bermakna meraikan nafsu-nafsi semahu-mahunya tanpa batasan.

Ada juga faktor kebendaan dan faham individualisme sebagai yang terbaik dan ia diukur sebagai status kejayaan. Akhirnya yang kaya menjadi lebih kaya dan yang tidak berada menjadi papa kedana. Islam mengaturkan keseimbangan dalam binaan watak dan pemanfaatan sumber. Watak yang berilmu dan beretika tinggi menjadi tujuan dan pemanfaatan sumber yang dipedoman dengan amanah dan adil, bakal menghasilkan masyarakat dan sistem yang lebih manusiawi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: