Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kemurnian Islam dalam masyarakat majmuk

Posted by epondok di Oktober 21, 2014


Oleh Dr Siddiq Fadzil
Rahmah adalah kata kunci yang merumuskan segala objektif syariat (maqasid al-shariah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah (kepentingan) kemanusiaan. Bahagia atau celakanya hidup manusia, tergantung sepenuhnya pada rahmat Allah.

Menyedari hakikat itu, Muslim sentiasa mendambakan siraman rahmat Allah SWT pada setiap detik. Rasulullah SAW memberikan petunjuk bahawa cara meraih rahmat ialah dengan menebar belas kasih kepada warga alam.

Sabdanya: “Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya kamu akan dikasihani oleh Yang di langit. Ada seseorang berkata: Sesungguhnya kami mengasihani isteri-isteri dan anak-cucu kami. Sabda Rasulullah SAW: Bukan itu maksudku. Yang aku maksudkan adalah kasih yang menyeluruh.”

Rahmat bererti belas, kasih

Rahmat yang menyeluruh bererti belas dan kasih yang melimpah, bakti kemanusiaan sejagat, khidmat kebajikan yang meratai seluruh warga bumi Ilahi. Dengan keyakinan dan komitmen sedemikian itulah kita tampil di kancah dakwah pada era serba global dan plural.

Dalam kaitan inilah pula relevannya wacana mengenai cabaran aktualisasi rahmat sejagat, penterjemahan mesej rahmatan li al-alamin di tengah realiti kemajmukan dengan bertolak dari premis dasar keesaan Pencipta dan keragaman makhluk ciptaan-Nya.

Seluruh warga alam dengan segala kepelbagaiannya seharusnya berpeluang mengecap rahmat Ilahi melalui agama-Nya. Memang sebagai agama rahmah, Islam harus ditampilkan dengan wajah yang ramah. Sayangnya, agama rahmah yang ramah ini sering kali dicitrakan sebagai agama yang selalu ‘marah-marah’.

Kepelbagaian adalah sunnatullah dalam penciptaan makhluk. Rempuhan globalisasi yang dijiwai hegemoni Amerika tidak akan mampu merubah kenyataan bahawa manusia tetap berbeza-beza warna, agama, budaya dan bahasa.

Justeru, perbezaan dan kepelbagaian harus diterima seadanya dengan sikap positif serta optimistik bahawa fenomena kemanusiaan yang berbangsa mengandungi hikmah ketuhanan yang tersirat supaya mereka saling kenal.

Prinsip dasarnya adalah menerima kehadiran orang lain dengan segala kelainannya, semangat toleransi demi matlamat kolektif hidup bersama, berdampingan secara damai dan harmonis. Hakikat inilah yang membawa kita ke persoalan kemajmukan atau yang dipakai hari ini istilah pluralisme.

Ternyata kemajmukan adalah fakta dan kenyataan yang selamanya diterima serta diakui oleh Islam. Kemajmukan atau kepelbagaian dalam perspektif Islam bukan sekadar hak kemanusiaan yang boleh diterima dan ditolak, bukan juga sekadar budi bicara yang boleh diberi atau dinafi.

Tetapi ia adalah fitrah, undang-undang dan aturan Ilahi yang tidak berubah serta tidak mungkin berubah. Namun, tidak bererti perpecahan kerana semua tetap terpadu dalam wadah kesatuan. Hakikat inilah yang tepat dikatakan oleh Dr Muhammad Imarah, perbezaan dan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan).

Kepelbagaian makhluk dalam bingkai kesatuan Pencipta, kepelbagaian bangsa dan suku dalam bingkai kesatuan kemanusiaan, kepelbagaian syariat dalam bingkai kesatuan agama, kepelbagaian hukum dan fatwa dalam bingkai kesatuan syariat, kepelbagaian mazhab dan parti dalam bingkai kesatuan umat.

Kemajmukan dalam kehidupan manusia

Islam menerima kemajmukan dalam pelbagai ranah kehidupan manusia, agama, budaya, politik, perundangan dan lain-lainnya. Islam menerima, menghargai dan menghormati manusia dalam segala kepelbagaiannya, bangsanya, bahasanya, agamanya dan budayanya.

Berbeza agama bukan alasan untuk bermusuhan. Justeru, seluruh umat manusia yang berbeza agama itu tetap terangkai dalam warga besar kesatuan keinsanan.

Bagi kita, memuliakan manusia atas sifat kemanusiaannya tanpa mengira agamanya adalah suatu tuntutan keagamaan, bahagian daripada kewajipan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi.

Mendengar ada suara yang menyebut itu adalah jenazah Yahudi. Rasulullah SAW spontan menjawab, bukankah ia satu jiwa manusia?

Demikianlah, setiap jiwa manusia Muslim atau bukan Muslim memiliki martabat kemuliaan yang harus dihormati. Selain itu ada pula catatan daripada Ibn Hazm mengenai kematian ibu kepada al-Harith ibn Abi Rabiah, seorang beragama Kristian, jenazahnya dihantar ke perkuburan oleh sahabat Rasulullah SAW.

Setiap Muslim berkeyakinan bahawa kehendak Allah SWT tidak dapat dihalang seperti mana ia juga berkeyakinan segala kehendak-Nya mengandungi hikmah kebaikan, sama ada manusia tahu atau tidak. Oleh itu, Muslim tidak harus berfikir untuk memaksa manusia semuanya menjadi Muslim.

Kemajmukan dalam Islam terbina atas kesedaran orang Muslim tidak dituntut untuk menentukan nasib orang bukan Muslim kerana tidak Islam. Itu adalah urusan Tuhan yang akan diputuskan nanti pada hari perhitungan. Yang dituntut daripada orang Islam adalah sikap istiqamah dengan agamanya sendiri, di samping memberikan layanan adil terhadap orang lain yang tidak seagama.

Dengan demikian orang Islam tidak mengalami sebarang dilema dalam melaksanakan keadilan dan melakukan kebaikan terhadap bukan Islam. Urusan kita adalah melaksanakan perintah Allah SWT memberikan keadilan, bersikap ramah dan berakhlak mulia terhadap semua termasuk yang bukan-Islam.

Tentang kezaliman

Urusan kita adalah menentang kezaliman, tanpa mengira siapa pelakunya, termasuk kezaliman yang dilakukan oleh orang Islam terhadap bukan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 8)

Sebagai umat yang bertamadun dan berbudaya, semua pihak seharusnya memiliki kepekaan tinggi terhadap nilai kesopanan dan kesusilaan. Umat Islam khususnya harus dapat menghayati kehalusan bahasa al-Quran terutama dalam sapaan terhadap orang bukan Islam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: