Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hidup tenang jika reda hadapi ujian

Posted by epondok di Oktober 16, 2014


Oleh Maslina Alias
Setiap manusia akan menghadapi mati, sama ada bersedia atau tidak, kita akan dipanggil menghadap Ilahi apabila tiba waktunya. Apa yang didambakan setiap manusia ialah apabila tiba ajalnya nanti, Allah SWT memanggilnya dengan panggilan ‘wahai jiwa yang tenang’.

Manusia terlalu inginkan ketenangan sehinggakan sanggup memburu kekayaan dan kemasyhuran yang disangkakan boleh memberi ketenangan. Ketenangan tidak boleh dianggap sebagai aksesori persekitaran, justeru, kekayaan bukanlah kayu pengukur kepada ketenangan.

Malah, seseorang itu mungkin tidak memiliki kekayaan, tetapi beliau memiliki ketenangan yang luar biasa. Begitulah permulaan bicara topik ‘Radhiah, Mardhiah’ oleh Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, dalam program Usrah Nurani yang bersiaran jam 1.15 petang Jumaat di IKIMfm.

Beliau bersama dua ahli usrah, Pengarah Radio IKIMfm, Dr Nik Roskiman Abdul Samad dan wartawan TV3, Helmi Yusuf, mengajak pendengar bermuhasabah saat datangnya ajal kita dan Allah SWT memanggil dengan panggilan ‘wahai jiwa yang tenang’.
Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, mengupas tajuk ‘Radhiah, Mardhiah’ dalam Program Usrah Nurani mengajak pendengar bermuhasabah saat datangnya ajal.
Kunci ketenangan

Zul Ramli memetik kata-kata Imam Ghazali, manusia akan mati mengikut cara bagaimana dia hidup. Oleh itu katanya, jika kita mahukan saat mati itu mendapat ketenangan, maka kehidupan kita di dunia juga perlu mendapat ketenangan.

Setiap manusia perlu memasang niat dan berazam memulakan kehidupan yang baru dan bangkit menjalani kehidupan dengan penuh ketenangan dan anak kunci ketenangan ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda kepada Allah dan Allah reda kepadamu.” (Surah al-Fajr, ayat 28)

Menjawab persoalan Helmi mengenai seorang ibu yang pernah mengatakan bahawa kelahiran anak boleh menyebabkannya jatuh bankrap dan berputus asa dengan kehidupannya, Zul Ramli berkata, manusia dikurniakan keupayaan untuk memilih menerima atau menolak kesusahan yang datang.

Menerima bermaksud kita reda dengan apa yang telah berlaku kepada diri dan menolak bermaksud tidak reda serta menyalahkan takdir yang ditentukan kepada kita. Perkara pertama yang perlu diterima oleh setiap orang Islam ialah kita adalah hamba Allah SWT, kepada-Nya kita menyembah dan memohon pertolongan.

Helmi mengaitkan reda dengan tanggungjawab sebagai hamba kepada Pencipta dan memuliakan Nabi SAW serta tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa. Sesungguhnya reda Allah SWT itu terletak kepada reda kedua-dua ibu bapa.

Selain itu, sebagai manusia kita juga bertanggungjawab untuk menyumbang terhadap agama dan masyarakat. Hamka pernah mengatakan, ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja’.

Apabila kita mula menyoal diri mengenai tanggungjawab kita, Allah SWT akan mencampakkan ketenangan dalam diri kita.

Kupasan mengenai reda, meredai

Dr Nik Roskiman mengupas lanjut mengenai dua komponen penting iaitu reda dan meredai dengan memetik kata-kata Hasan Al Basri, ‘Sekiranya kita ingin mengetahui kedudukan kita di sisi Allah SWT, maka lihatlah kedudukan Allah SWT di sisi kita.’

Katanya, bagaimana kita meletakkan Allah SWT dalam kehidupan seharian, sama ada kita mengutamakan Allah SWT dalam setiap perkara yang dilakukan ataupun tidak. Itulah petanda kita dekat atau jauh daripada reda Allah SWT.

Dalam konteks yang sama, Dr Nik Roskiman mengatakan reda itu bagaimana kita menerima qada dan qadar yang ditentukan Allah SWT kepada hambanya. Nabi SAW sentiasa memanjatkan syukur kepada Allah SWT sama ada dikurniakan kebaikan, kebahagiaan atau ditimpa musibah dan ujian.

Kita perlu yakin apa sahaja yang Allah SWT timpakan sama ada baik atau buruk adalah untuk kebaikan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Saat ujian datang, mungkin susah bagi kita untuk menghadapinya, menjadi seorang yang reda iaitu tenang menerima ujian. Apabila ujian datang kepada seseorang yang tidak mempunyai latihan, sudah pasti ia akan memusnahkan dirinya.

Zul Ramli mengajak ahli usrah dan pendengar bersama melatih diri menghadapi ujian. Beliau mengambil contoh pemain bola yang akan bertanding hanya selama 90 minit yang tidak pernah berhenti membuat latihan.

Tidak boleh elak ujian

Manusia tidak boleh lari daripada ujian. Setiap orang inginkan kebahagiaan, namun tidak semua dapat mengecapinya. Tidak ada seorang manusia yang inginkan ujian, tetapi setiap orang akan mendapat ujian.

Zul Ramli merujuk reda sebagai buah dan manusia sudah pasti tidak dapat membaiki buah, tetapi manusia boleh membaiki akarnya. Untuk mendapatkan buah yang manis kita tidak boleh menyuntik gula padanya, tetapi perlu membajai akarnya.

Reda dalam Islam adalah akhlak dan kita perlu kembali kepada perkara utama iaitu mengenal Allah SWT dan persoalan akhirat. Manusia boleh menerima ujian apabila kenal dengan Allah SWT dan membawa akhirat ke dalam diri. Itulah yang dikatakan sebagai latihan untuk menghadapi ujian.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: