Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ekspresikan cinta kepada Nabi SAW

Posted by epondok di Oktober 12, 2014


Oleh USTAZ IDRIS SULAIMAN

 

APAKAH yang dimaksudkan dengan cinta? Ulama’ ketika hendak menjelaskan maksud cinta mengatakan cinta adalah istilah yang tidak dapat ditetapkan maksudnya secara tepat.

Ini kerana apa juga usaha untuk menetapkan maksudnya dengan batas tertentu, ia akan lebih menjauhkan maksudnya untuk kita fahami hakikat cinta. Maka cinta tidak dapat didefinisikan melainkan dengan perkataan cinta itu sendiri.

Adapun pendapat manusia mengenai cinta, ia tidak lebih daripada hal yang berkisar tentangnya; iaitu sebab-sebabnya, tuntutan dan syarat kepada cinta, tanda-tanda, hasil dan hukum hakam yang berkait dengannya.

Dalam agama, cinta adalah sebahagian ibadah. Ini kerana ibadah tidak lari daripada tiga perkara; 1. Ibadah anggota (perbuatan), 2. Ibadah ucapan, 3. Ibadah jiwa/hati. Cinta termasuk dalam kategori ketiga.

Cinta Menurut Agama

1. Cinta kepada ALLAH SWT.

Cinta kepada ALLAH SWT iaitu dengan menghambakan diri, mengagungkan serta membesarkan ALLAH. Jenis cinta ini menjadi asas iman kepada ALLAH.
Cintakan ALLAH menjadi dasar dalam mentauhidkan ALLAH dalam ibadah serta menjauhi perkara syirik.

Tidaklah orang musyrikin menyembah selain ALLAH, melainkan kerana bermula dengan cinta kepada selain ALLAH. Cinta dengan erti kata mereka condong kepada selain ALLAH, memperbesarkannya, serta memuliakan selain ALLAH. Ia bermula dengan cinta.

Cinta yang teragung dan tertinggi serta menjadi asas iman adalah cinta kepada ALLAH, yang hasilnya seseorang akan mengesakan ALLAH dalam seluruh amal ibadahnya.

2. Cinta kerana ALLAH.

Cinta kerana ALLAH iaitu cinta kepada selain ALLAH, dengan sebab dan tujuan kerana ALLAH. Misalnya mencintai tempat, masa, amalan atau individu kerana ALLAH. Sekiranya cinta itu kerana ALLAH, serta benar caranya, maka itu juga termasuk ibadah.

Cinta kepada Nabi Muhammad SAW termasuk dalam kategori ini. Namun ia mesti dikaitkan dengan cinta yang pertama, iaitu cinta secara ikhlas (kerana ALLAH) kerana hal itu adalah tuntutan daripada ALLAH.

Ini sebagaimana disebutkan dalam perintah ALLAH, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sekiranya kamu mencintai ALLAH, hendaklah kamu mengikut aku, nescaya ALLAH akan mencintai kamu” (Surah Ali Imran: 31). Ayat ini menjelaskan, orang yang cintakan ALLAH dituntut supaya ittiba’ (mengikuti sunnah) Nabi Muhammad SAW.

3. Cinta yang fitrah.

Cinta yang fitrah iaitu sepertimana cinta ibu kepada anak, cinta kepada makanan atau minuman tertentu, cinta kepada tempat. Ini termasuk dalam kategori cinta yang mubah (dibolehkan).

Tuntutan kepada cinta Nabi

Apabila kita mencintai Nabi Muhammad SAW, apakah ia cukup sekadar melafazkannya dengan lidah? Atau adakah kita perlu melakukan sesuatu seperti menganjurkan perayaan maulid, konsert untuk memuji Nabi Muhammad SAW? Apakah ini caranya?

Kecintaan kepada Nabi Muhammad  SAW hakikatnya menuntut kita supaya kita ‘ikut’ sunnah Baginda SAW. Ini sebagaimana disebut dalam firman ALLAH tadi.

Jika seseorang itu mendakwa cinta kepada Nabi Muhammad SAW tetapi amalannya bercanggah dengan apa yang Baginda SAW cintai, maka sebanyak mana dia mengingkari sunnah Nabi SAW sebanyak itulah cintanya kepada Nabi SAW akan berkurang atau tidak sempurna.

Masakan seseorang itu mencintai sedangkan dia tidak mengikuti orang yang dia cintai? Bagaimana kita cinta seseorang tetapi kita melakukan suatu yang bercanggah dengan kesukaannya? Sungguh kecintaan seperti ini adalah sia-sia sahaja.

Ini kerana ALLAH mensyaratkan: “Jika kamu cinta kepada ALLAH, hendaklah kamu mengikuti aku (sunnah Nabi Muhammad SAW), nescaya ALLAH akan mencintai kamu.” (Surah Ali Imran: 31)

Cinta kepada ALLAH menuntut supaya kita mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW, dan hasilnya “nescaya ALLAH akan mencintai kamu.”

Cinta yang berfaedah adalah cinta yang berbalas, bukan cinta yang bertepuk sebelah tangan. Kalau kita sahaja yang cinta, tetapi yang dicintai tidak mencintai kita, itu tidak ada faedahnya. Begitulah cinta yang benar kepada ALLAH; kita perlu mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW agar ALLAH mencintai kita.

Hakikatnya, yang perlu kita fokus adalah untuk meraih cinta ALLAH kepada kita, dengan memenuhi syarat yang ALLAH tetapkan. Sekadar dakwaan kita cinta kepada ALLAH tetapi ALLAH tidak cinta kita, itu perbuatan yang serugi-ruginya.

Pepatah Inggeris mengatakan Talk is cheap. Semua orang boleh mengaku cinta. Tetapi yang lebih susah adalah hendak membuktikan. Jadi bagaimana supaya ALLAH cinta kita? Kembali kepada ayat tadi; hendaklah kamu mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW. Fokus kita yang sepatutnya adalah ittiba’ (mengikuti sunnah) Nabi Muhammad SAW.

Apa itu sunnah

Imam Ahmad RHM. Dalam kitabnya Usul Al-Sunnah berkata, “Sunnah di sisi kami adalah apa yang telah ditinggalkan (diwariskan) oleh Rasulullah SAW.”
Sunnah Nabi Muhammad SAWa ada tiga bentuk;

1. Perkataan Nabi SAW
2. Perbuatan Nabi SAW
3. Iqrar (perakuan) Nabi SAW

Kita sudah maklum sunnah perkataan dan perbuatan. Namun sangat penting untuk dihayati adalah sunnah perakuan Nabi Muhammad SAW kerana ramai yang tidak memahaminya.

Perakuan Nabi Muhammad SAW bererti Baginda SAW tidak melakukan, dan tidak berkata apa-apa tentangnya. Sebaliknya Nabi Muhammad SAW membiarkan apa yang dilakukan pada zaman Baginda SAW atau diam terhadap perbuatan yang dilakukan oleh sahabat.

Perbuatan sahabat sunnah

Ramai salah faham dengan menganggap perbuatan sahabat tidak perlu diikut. Tetapi sebenarnya perbuatan sahabat secara kolektif pada zaman Nabi Muhammad SAW juga termasuk sunnah (sunnah iqrar) iaitu Baginda SAW mengetahui sahabat melakukannya dan Nabi SAW memperakuinya.

Ini kerana antara sifat Nabi Muhammad SAW adalah Baginda SAW tidak akan diam apabila melihat kesalahan dan tidak akan melambatkan teguran. Apabila melihat kesalahan, Baginda SAW akan terus menegur dan memperbetulkannya ketika itu juga kerana itu adalah tanggungjawab Baginda SAW.

Jadi apabila Baginda SAW mengetahui golongan sahabat melakukan sesuatu dan Baginda SAW tidak membantah, ini menjadi perakuan Nabi Muhmmad SAW terhadap hal tersebut. Maka perbuatan sahabat termasuk dalam sunnah walaupun ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sebagai contoh, sepanjang hidup Nabi Muhammad SAW bersama sahabat, tidak pernah menyambut hari lahir Baginda SAW. Perbuatan tidak menyambut itu diperakui oleh Baginda SAW. Nabi tidak pernah mengingkarinya kepada Abu Bakar kenapa dia tidak menyambut hari lahir Baginda SAW sedangkan Abu Bakar adalah sahabatpaling rapat dengan Baginda SAW.

Apabila perbuatan golongan sahabat itu diperakui oleh Nabi SAW, maka sunnahnya adalah supaya kita jangan juga melakukannya. Ini termasuk dalam sunnah tarkiyyah (sunnah yang menuntut supaya kita meninggalkan sesuatu) kerana Nabi SAW dan sahabat tidak melakukannya.

Apabila kita meninggalkan perbuatan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW dan sahabat, di situ kita telah mengikuti sunnah (beramal dengan sunnah al-tarkiyyah), dan hasilnya kita mendapat keredaan dan cinta ALLAH!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: