Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Belanjawan berkat daripada pemimpin amanah

Posted by epondok di Oktober 11, 2014


Oleh ABD RAZAK MUTHALIB

 

PEMIMPIN yang tidak berasa susah tidak mampu mengerti apa itu hakikat kesusahan. Melihat tidak sama dengan merasai. Apatah lagi jika pemimpin itu kehidupannya semenjak lahir disajikan dengan seribu satu kemewahan.

Tinggal di kediaman indah, memakai pakaian mahal, menikmati pelbagai juadah, menaiki pula kenderaan mewah. Pendek kata, keperitan dan kesusahan tidak sempat untuk singgah dalam kehidupannya.

Sebahagian pemimpin pula bukan tidak pernah mengalami saat susah dalam hidupnya. Namun, selepas dilantik menjadi pemimpin, gaya hidupnya berubah daripada susah menjadi mewah.

Mungkin kerana apabila menjadi orang atasan, nampak banyak peluang mengaut kekayaan yang tidak dilihat oleh orang bawahan.

Khalifah Umar ikat perut

Umar bin al-Khattab. Satu nama yang tidak perlu lagi dipBelanjawan berkat daripada pemimpin amanahertikaikan ketokohannya. Pemimpin bertakwa, amanah lagi adil.
Pada tahun 17 dan 18 Hijrah, Madinah dilanda kemarau teruk. Kehidupan rakyat menjadi susah.

Bekalan makanan berkurangan di pasar. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan pada tahun berkenaan Umar bin al-Khattab tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging sehingga rakyat dapat memakannya.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar menolak untuk makan.

Umar berkata: “Engkau menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Inilah yang dikatakan leading by example. Pemimpin bukan hanya pandai bercakap, keluarkan kenyataan itu dan ini, tetapi dialah yang menjadi orang pertama menunjukkan contoh.

Bukan hanya pandai nasihatkan rakyat supaya berjimat cermat, tetapi dia sendiri berbelanja bagai tak ingat. Lebih parah lagi, jika yang dibelanjakan itu adalah harta negara. Hasil keringat rakyat dihabiskan untuk kesenangan keluarga dan kaum kerabat.

Pemimpin mewah, rakyat susah

Umar bin al-Khattab terkenal dengan ketegasan beliau dalam menguruskan harta negara. Termasuk menyemak pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Gabenor pada era pemerintahannya diminta untuk membuat deklarasi harta dan akan dipantau dari masa ke semasa.

Jika ada penambahan, Umar RA akan mengambil separuh untuk Baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar RA mengambil semuanya. Dalam masa yang sama, Umar juga sering membuat lawatan mengejut ke rumah pegawainya untuk memastikan tidak ada penambahan harta yang dikaut secara tidak sah. (Lihat: Al-Baladhuri, Ahmad bin Yahya, Futuh al-Buldan, ms 220-221 & Ibn Syabbah, Tarikh al-Madinah, 3/837)

Pernah satu peristiwa berlaku antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Sa’ad bin Abi Waqqas  bertugas sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Sa’ad membina pagar di sekeliling kediamannya sehingga rakyat mengelarkannya Istana Sa’ad.

Rumah Sa’ad berhampiran dengan sebuah pasar. Jadi, tujuan pagar dibina dikatakan bagi mengurangkan bunyi terlalu bising dari pasar tersebut. Membina pagar kediaman adalah sesuatu yang janggal pada zaman tersebut, melainkan mereka yang terlalu kaya.

Apabila berita ini sampai kepada Umar al-Khattab, beliau berasakan pagar itu mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Lalu, Umar segera mengutuskan Muhammad bin Maslamah untuk memusnahkan pagar tersebut. (Lihat: Al-Baladhuri, Ahmad bin Yahya, Futuh al-Buldan, ms 77)

Rakyat di bawah pemerintahan khalifah Umar al-Khattab ketika itu benar-benar merasai “rakyat didahulukan”. Umar tidak mahu gabenor dan pegawainya mengamalkan cara hidup mewah sedangkan rakyat jelata ada yang sengsara menanggung keperitan kos sara hidup.

Tidak ada ruang untuk gebenor dan pegawainya mempertikaikan Umar kerana beliau sendiri terlebih dahulu menunjukkan contoh yang sama.

Keperibadian Isteri pemimpin

Dalam peristiwa lain, berlaku antara Umar al-Khattab dan Mujasha’ bin Mas’ud. Umar melantik beliau untuk melaksanakan beberapa tugasan rasmi. Kemudiannya, Umar mendapat laporan isteri Mujasha’ yang bernama al-Khudayra membeli perabot baru dan hiasan  dinding.

Menerima laporan itu, Umar tahu yang barangan itu dibeli menggunakan harta syubhah akibat jawatan Mujasha’. Umar terus menulis sepucuk surat kepada Mujasha’ supaya mengoyakkan hiasan dinding tersebut.

Selepas menerima surat Umar, Mujasha’ terus mengarahkan isterinya supaya keluar rumah dan meminta orang ramai yang ada ketika itu membantu untuk mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya. (Lihat: Ibn Syabbah, Tarikh al-Madinah, 3/837)

Pemimpin khianat tidak selamat

Apatah lagi jika kesenangan dan kemewahan yang dikecapi pemimpin dan keluarga adalah dengan cara menyalahgunakan harta awam. Pengkhianatan amanah ini tidak dapat dipadamkan dengan sekali dua menghadiri program keagamaan, majlis selawat, qasidah dan sebagainya.

Amanah tetap amanah. Khianat tetap khianat. Dalam hadis yang  diriwayatkan Bukhari dan Muslim, menyebutkan seorang berjihad bersama Rasulullah SAW telah mati dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau syahid di medan perang.

Namun Rasulullah SAW menyebut: “Tidak! Sesungguhnya selendang daripada harta rampasan perang yang dia ambil pada hari peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka yang marak ke atasnya”.

Teladanilah kisah dan lihatlah dengan mata hati, seorang yang mati berjuang bersama Rasulullah SAW tetap dihukum kerana mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sekadar sehelai selendang, bagaimana pula jika ratusan juta harta awam?! ALLAH….ALLAH.

Rindu keadilan khalifah

Kita rindukan era pemerintahan Umar al-Khattab dan khulafa’ al-Rasyidin. Pemimpin hasil didikan Rasulullah SAW. Mereka tinggalkan contoh teladan buat pemimpin hari ini. Pemimpin ditaati dan disayangi kerana amanah dan keadilannya. Bukan kerana gaya hidup mewah dan kekayaannya.

Umar bin al-Khattab pernah membahagikan pakaian kepada rakyatnya. Kemudian beliau naik ke atas mimbar dan berucap: “Wahai manusia dengarlah!” Lantas Salman al-Farisi bangun dan berkata: “Kami tidak mahu dengar”.

Lalu Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abdullah.

Kata Umar: “Aku menyerumu dengan nama ALLAH, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan kepadaku?”. Jawabnya: Ya! Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55)

Berkatnya Urus Harta Negara

Belanjawan negara berkait rapat dengan soal menguruskan harta negara. Belanjawan akan berasa keadilannya jika diuruskan orang yang adil. Keadilan akan terserlah daripada pemimpin yang amanah.

Pemimpin amanah berasa takut untuk melanggari perintah ALLAH dan Rasulullah SAW. Rakyat mengharapkan harta negara diuruskan dengan adil. Harta negara dapat dikecapi bersama kerana disitu adanya bahagia.

Amirul Mukminin ‘Umar pernah menulis surat kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari RA, antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka.

Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan”. (Musannaf Abi Syaibah, 8/147)

Akhirat nanti, tidak kira pemimpin atau rakyat jelata, semunya berhadapan seorang diri bertemu ALLAH bagi menjawab apa dilakukan di dunia.

Mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan harta negara, sudah pasti lebih banyak perbicaraannya. Pemimpin amanah balasannya Jannah, pemimpin khianat dilaknat.

Umar bin al-Khattab berpesan kepada gabenornya iaitu Abu Musa al-Asy’ari dengan berkata: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang daripada orang ramai, melainkan ALLAH menjadikan engkau paling berat menanggung beban antara mereka.”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: