Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Dibelenggu hutang

Posted by epondok di Oktober 7, 2014


KAJIAN menunjukkan secara umumnya, pada masa kini, berhutang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Tanyalah pada sesiapa sahaja pasti mereka pernah berhutang. Sama ada hutang rumah, kereta atau perabot. Begitu pun, berhutang biarlah berpada dan mampu membayarnya kembali serta tidak membebankan.

Ada pandangan yang mengatakan, lebih baik tidur tanpa makan, daripada bangun esok pagi banyak hutang.

Islam menggalakkan supaya orang yang berhutang membayar hutang, supaya dapat hidup merdeka.

Sebaik-baiknya adalah orang yang paling baik membayar hutangnya. Elakkan diri daripada berhutang agar hidup lebih bebas dan tidak terikat dengan belenggu hutang dalam kehidupan.

Sebahagian besar penduduk di Lembah Klang terutama golongan muda terpaksa berhutang bagi membeli keperluan asas kerana pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menanggung kos sara hidup yang tinggi. Selain itu, kenaikan harga barang juga menyumbang kepada keinginan penduduk untuk berhutang.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 232 responden di sekitar Lembah Klang mendapati 41.9 peratus daripada mereka terpaksa berhutang bagi mendapatkan keperluan asas.

Responden juga didapati telah membeli secara ansuran barangan di kedai runcit berdekatan dengan tempat tinggal mereka, meminjam wang daripada kaum keluarga atau menggunakan kad kredit. Manakala 33.6 peratus lagi terpaksa bergantung pada penggunaan kad kredit untuk membeli-belah barangan keperluan isi rumah dan mengisi minyak kenderaan.

Kajian itu, merupakan antara 67 kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Kepenggunaan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea) di Bangi, Selangor, tidak lama dulu.

Kajian turut mendapati, kenaikan harga barangan telah menyebabkan isi rumah terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang lebih tinggi terhadap makanan, pengangkutan dan pendidikan anak-anak. Peningkatan itu dilihat paling ketara berlaku dalam kategori makanan dan minuman.

Isi rumah juga tidak dapat mengurangkan kuantiti pembelian kerana ia merupakan barangan keperluan asas yang penting bagi menjamin kesejahteraan hidup. Berikutan peningkatan perbelanjaan bulanan isi rumah, ia telah menyebabkan lebihan pendapatan untuk tujuan tabungan menjadi berkurangan malah ada yang tiada berbaki.

Berikutan itu, 94.4 peratus responden mencadangkan supaya kerajaan bertindak dengan lebih agresif untuk mengawal harga barangan, khususnya keperluan asas bagi mengurangkan bebanan dan mengelakkan mereka berhutang. Barangan keperluan asas adalah seperti beras, sayur-sayuran, minyak masak, ikan dan ayam seharusnya dikawal harganya.

Pandangan Luqman Al-Hakim, berkaitan hutang: “Aku memindahkan batu dan membawa besi yang kuat, namun aku belum mendapatkan sesuatu yang lebih berat daripada hutang.” Begitulah beratnya bebanan hutang, terutama ketika hendak membayarnya. Nabi SAW bersabda: “Yang dinamakan kekayaan bukanlah banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa (hati).” (riwayat Abu Ya’la).

Bagi mengelakkan berhutang, hiduplah secara sederhana dan berbelanja secara berhemah. Amalan ini sangat penting dilakukan dalam kehidupan, khususnya berkaitan pembelian barangan makanan untuk seisi rumah. Elakkan daripada makan di luar yang tentunya lebih mahal berbanding dengan makan di rumah yang dimasak sendiri. Selain itu, kebersihannya lebih terjamin. Nabi SAW bersabda: “Apa yang sedikit tetapi mencukupi, lebih daripada yang banyak tetapi melalaikan.” (riwayat Abu Daud)

Kajian juga menunjukkan mereka yang berpendapatan RM1,000 ke bawah yang hidup di Lembah Klang menghadapi pelbagai hutang seperti hutang ansuran rumah, motosikal, makanan dan yuran persekolahan anak-anak. Bagaimanapun, kebanyakan mereka ini terus berusaha mencari pendapatan sampingan untuk menampung kehidupan keluarga. Selain itu, ramai juga yang berhutang kerana perbelanjaan perkahwinan yang mewah.

Perbelanjaan harian

Tambahan pula kenaikan harga barang dan keperluan yang lain seperti gula, tepung, beras, ikan, ayam dan sayur-sayuran menyumbang kepada perbelanjaan harian. Bagi keluarga yang ramai keadaan ini amat dirasakan. Perbelanjaan harian berkaitan makanan, pengangkutan iaitu tambang bas anak ke sekolah turut meningkat.

Justeru, bagi mengelakkan bebanan ini, ada di antara ketua keluarga tersebut berniaga secara kecil-kecilan sebagai menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat. Walaupun pendapatan tidak seberapa, ia sekurang-kurangnya dapat sedikit sebanyak mengurangkan bebanan hutang dan perbelanjaan harian.

Kajian juga menunjukkan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana di bandar-bandar terutama di Lembah Klang terpaksa berhutang bagi menampung kos perbelanjaan yang tinggi. Mereka hanya membelanjakan wang gaji untuk keperluan keluarga, khususnya berkaitan dengan perbelanjaan harian dan perbelanjaan dapur. Selebihnya untuk membeli barang-barang keperluan lain mereka berhutang dan membayarnya apabila cukup bulan. Nabi SAW bersabda: “Kesengsaraan yang paling sengsara ialah miskin di dunia dan seksa di akhirat.” (riwayat Ath Thabrani dan Asy Syihaab)

Ibarat laut

Tabiat berhutang melalui kad kredit juga menyumbang kepada muflis. Keadaan ini berlaku dalam kalangan remaja yang baharu bekerja. Hutang itu diibaratkan sebagai laut yang tidak terbatas. Nabi SAW pernah berpesan dalam sabdanya: “Sebaik-baik antara kamu adalah orang yang paling baik membayar hutangnya.”

Justeru, sedikitkan hutang supaya dapat hidup merdeka.

Mata pencarian dan hasil kerja melalui rezeki yang halal adalah sangat digalakkan dalam Islam. Rezeki yang sederhana dengan hidup yang berpada dapat mengelakkan diri daripada berhutang. Harta dan kekayaan daripada hasil yang diperoleh daripada hutang tidak membawa keberkatan dan kesenangan. Nabi SAW bersabda: “Mata pencarian yang paling afdal adalah berniaga dengan penuh kebajikan dan daripada usaha tangan sendiri.” (riwayat Al Bazzar dan Ahmad).

Tabiat berhutang wajarlah dielakkan.

Jika berhutang mestilah segera membayarnya. Apabila hutang ditangguhkan pembayarannya akan bertambah banyak dan sukar untuk membayarnya. Elakkan berhutang menggunakan kad kredit atau daripada pihak-pihak yang tidak berlesen yang akan menyebabkan kesusahan dalam hidup.

Beli barang hanya mengikut keperluan bukan kemahuan yang menyebabkan seseorang terlibat dengan hutang.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: