Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kasih ibu bawa ke syurga

Posted by epondok di Oktober 5, 2014


TANGAN yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Itulah pepatah yang menggambarkan peranan seorang ibu sehingga boleh mempengaruhi kehidupan di dunia. Seorang ibu yang mendidik anaknya akan menghasilkan anak yang gah di mata dunia sehingga boleh mencorakkan dunia. Peranan ini adalah amat imperatif dalam membentuk keamanan dan juga keharmonian dunia.

Walaupun ibu mempunyai peranan yang besar namun peranan ibu ini sering dipinggirkan. Bukan sahaja peranan ibu dilupakan malah ibu itu sendiri ada kalanya juga langsung tidak dihiraukan oleh anak-anaknya sendiri. Segala jasa dan pengorbanan ibu begitu mudah dinafikan sehinggakan ada ibu yang berendam air mata mengenangkan anak-anaknya di perantauan.

Benarlah kata orang tua-tua, seorang ibu boleh melahirkan dan membesarkan 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu lagi dapat menjaga seorang ibu. Ironi ini memang jelas kerana anak-anak atas kesibukan kerja, tidak ‘mampu’ menjaga si ibu tua lagi.

Pelbagai alasan diberikan bagi mengelak daripada tanggungjawab ini. Walau setinggi manapun jawatan si anak itu, beliau masih tetap anak si ibu. Meskipun anak tersebut telah bergelar seorang peguam, doktor, ustaz, jurutera dan sebagainya tanggungjawabnya sebagai anak tidak pernah luput.

Lazimnya, apa yang berlaku ialah kesibukan bekerja menggoyah institusi keluarga serta ikatan kasih sayang antara ibu dan anak-anaknya. Mempertahankan institusi keluarga ini amatlah penting kerana ia mempunyai impak yang besar kepada pembangunan negara itu sendiri. Jika punah institusi keluarga maka akan hancur juga masa depan negara.

Untuk itu, Islam telah menggariskan tanggungjawab anak dengan begitu menyeluruh. Sejak dari awal lagi anak ditegah daripada mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua-dua ibu bapa mereka.

Penggunaan kata-kata yang mulia juga dituntut dari mulut si anak kepada kedua-dua orang tuanya. Menengking, mengherdik apatah lagi mendera kedua-dua orang tua adalah berdosa besar di sisi Allah SWT.

Di alam al-Quran ayat 23-24 surah al-Isra yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah memerintahkan kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali telah tua, maka janganlah kamu berkata kepada mereka Oh dan janganlah kamu menengking mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia, Dan hendaklah kamu merendah menghinakan diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayang dan doakanlah, Wahai Tuhanku cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Ibu dan bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak-anak, terutamanya apabila ibu atau bapa tersebut tidak berupaya lagi menyara hidup mereka sendiri. Begitu juga ibu atau bapa yang sakit memerlukan perhatian daripada anak-anak mereka.

Sebenarnya waktu inilah peluang diberikan oleh Allah SWT kepada anak-anak bagi membalas jasa kedua-dua orang tua dengan memberikan khidmat melayan dan membantu mereka di saat-saat getir ini. Malah kehadiran anak-anak di sisi ibu bapa yang sedang sakit sahajapun telah cukup memberi penawar dan semangat ibu bapa untuk meneruskan kehidupannya.

Di dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuan) dan tempoh menceraikan susu ialah selama dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah) kepada Akulah juga tempat kembali(untuk menerima balasan).

Budaya sesetengah golongan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua pula bukanlah norma di dalam masyarakat Melayu Islam. Ia begitu asing dan tidak boleh diserapkan di dalam budaya kita. Biar apapun alasan yang diberikan, tempat ibu bapa khususnya yang telah uzur adalah di sisi anak anak mereka.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: