Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Meraih keredaan Allah

Posted by epondok di Oktober 4, 2014


SEGALA puji bagi Allah SWT dan selawat serta salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. Begitu juga kepada keluarga dan sahabat Baginda SAW dan yang mengikut jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Dalam artikel kali ini, penulis mengemukakan tafsir daripada surah al-Baqarah ayat 207 yang berkaitan dengan meraih keredaan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya. (al-Baqarah: 207)

Terdapat beberapa riwayat mengenai sebab nuzul ayat ini yang sesuai dengan pentafsiran ayat yang akhir ini:

Ibnu Kathir di dalam tafsirnya berkata: Ibnu Abbas r.a, Anas, Said bin al-Musayyab, Abu Uthman al-Nahdi, Ikrimah dan beberapa orang yang lain berkata: “Ayat ini turun mengenai Suhayb Ibnu Sinan al-Rumi. Ceritanya begini: Setelah dia memeluk Islam di Mekah dan mahu berhijrah ke Madinah, maka orang-orang Quraish telah menahannya daripada berhijrah ke Madinah dengan membawa harta kekayaannya.

Andainya dia sanggup mengorbankan harta kekayaannya barulah dapat dia berhijrah. Lalu dia membebaskan dirinya daripada mereka dan memberikan semua harta kekayaannya kepada mereka, kerana peristiwa inilah turunnya ayat ini. Kedatangannya disambut oleh Umar bin al-Khattab dengan satu rombongannya hingga ke perbatasan al-Harrat dan di sana mereka berkata kepadanya: Beruntunglah perniagaan awak. Lalu dia pun berkata: Kamu juga beruntung dan semoga Allah SWT tidak merugikan perniagaan kamu, tetapi apa ceritanya?

Lalu mereka pun memberitahu bahawa Allah SWT telah menurunkan mengenai peristiwa ayat ini. Menurut satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah berkata kepada Suhaib: Beruntunglah perniagaan Suhaib. Ujar Ibnu Mardawayh telah diceritakan oleh Muhammad bin Ibrahim, kami telah diceritakan oleh Muhammad bin Abdullah bin Mardwayh, kami telah diceritakan oleh Sulaiman bin Daud, kami telah diceritakan oleh Ja’far bin Sulaiman al-Dhabbi, kami telah diceritakan oleh Auf daripada Abu Uthman al-Nahdi daripada Suhaib katanya: Sewaktu aku hendak berpindah dari Mekah ke Madinah untuk bersama Nabi SAW kaum Quraisy telah berkata kepadaku: Wahai Suhaib? Dahulu kamu datang kepada kami tanpa sebarang harta dan kini bagaimana kamu hendak keluar (dari sini) dengan membawa harta?

Ini tidak mungkin sama sekali berlaku. Lalu aku berkata kepada mereka: Bagaimana jika aku serahkan semua harta kekayaanku, adakah kamu akan melepaskan aku (keluar dari sini)? Jawab mereka: Ya. Lalu aku menyerahkan semua harta kekayaanku kepada mereka dan mereka pun membebaskanku, kemudian aku keluar dari Mekah dan akhirnya sampai ke Madinah. Apabila cerita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: Untunglah Suhaib! Untunglah Suhaib!

Gugur syahid

Kemudian ada pula yang mengatakan ditujukan kepada Zubair bin al-Awam dan al-Miqdad bin al-Aswad yang berani mengorbankan diri, memasuki kawasan musuh dalam keadaan berdua sahaja untuk mengambil mayat Khubaib bin Adiy al-Ansari yang telah disalib hidup-hidup oleh orang kafir Mekah di Tan’im.

Mereka telah berjaya mengambil mayat Khubaib yang disalib selama 40 hari di sebatang kayu. Meskipun telah begitu lama, didapatinya masih segar tidak busuk, bekas lukanya berlumuran darah berwarna merah tetapi baunya harum bagaikan kasturi.

Ada juga yang mengatakan ditujukan kepada perwira-perwira Islam, yang telah menjual dirinya dengan mengorbankan nyawa melawan musuh, untuk memperoleh keredaan Allah SWT. Allah SWT dengan sifat-Nya yang Pengasih, akan mengurniakan nikmat-Nya yang kekal di akhirat, sebagai balasan amanah hamba-hamba-Nya. Inilah pendapat al-Hasan dan Ibnu Zaid.

Diturunkan berkenaan dengan amar makruf dan nahi mungkar. Inilah makna ucapan Umar dan Ali bin Abi Talib. Diturunkan kepada Muhajirin dan Ansar yang berperang bagi menegakkan agama Allah SWT. Inilah pendapat Qatadah.

Sayid Qutub berkata: “Sama ada ayat ini turun kerana peristiwa ini atau sesuai dengan peristiwa ini, namun skopnya lebih jauh daripada sesuatu daripada satu peristiwa tertentu dan orang yang tertentu sahaja. Ia melukiskan satu gambaran jiwa dan menggariskan sifat-sifat satu contoh insan yang tertentu yang dapat dilihat contoh-contoh yang sama dengannya daripada kalangan umat manusia di sana sini.”

Lukisan pertama dengan tepat menggambarkan sifat-sifat setiap munafik yang berpura-pura, pintar berbicara tetapi berhati kejam, bertabiat jahat, bermusuh ketat dan mempunyai fitrah yang rosak.

Lukisan yang kedua dengan tepat menggambarkan sifat-sifat setiap mukmin yang mempunyai keimanan yang tulus kepada Allah SWT dan memandang rendah kepada segala harta dan kesenangan hidup di dunia.

Kedua-duanya dilukiskan oleh pena Ilahi yang Maha Kreatif dengan gambaran yang penuh sejarah.

Ia meletakkan dua contoh ini di hadapan mata manusia supaya mereka dapat meneliti mukjizat al-Quran dan mukjizat penciptaan manusia dengan sifat-sifat perbezaan yang begitu jauh yang wujud di antara insan yang munafik dengan insan yang beriman.

Ia juga supaya mereka dapat mempelajari watak kedua-dua insan itu agar mereka tidak tertipu dengan kata-kata bersalut madu, sifat berpura-pura yang menarik, seterusnya supaya mereka berusaha mencari hikmah yang sebenar di sebalik kata-kata yang berbunga, nada-nada palsu, sikap bermuka-muka, pura-pura dan hiasan alat-alat solek.

Di samping itu, kita turut mempelajari daripada kedua-dua contoh insan itu bagaimana hendak mengenal nilai-nilai di dalam kaca keimanan. Semoga Allah menjadikan kita sentiasa mendapat keredaan-Nya. Amin

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: