Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2014

Hijrah kesinambungan dakwah

Posted by epondok di Oktober 31, 2014

Oleh Zamanuddin Jusoh

Peristiwa hijrah menyingkap perjuangan penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dengan kebatilan. Kebenaran yang memerlukan keyakinan terhadap agama Allah SWT.

Ia juga diibaratkan jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Dua tahap ini sudah cukup untuk mengajar kita bahawa setiap kejayaan akan didahului dengan ujian maha hebat serta daya saing yang mantap.×

Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi SAW dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan keimanan.
Hijrah pada zaman Nabi SAW bukanlah semudah disangka. Ia berlaku akibat ancaman daripada kaum Musyrikin yang menentang dakwah Baginda dan mengancam nyawa orang yang mengikut ajaran Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Bumi Allah sangat luas

Peristiwa hijrah juga memberi gambaran kepada umat Islam bahawa bumi Allah SWT sangat luas untuk mereka hidup dengan baik dan mengecapi apa yang disediakan oleh Allah SWT untuk mereka yang beriman.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “(Ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah az-Zumar, ayat 10)×

Perjalanan yang penuh dengan cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman daripada kaum kafir Quraisy, tetapi ia adalah strategi Baginda SAW untuk melahirkan keberkesanan dalam dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam.

Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan. Baginda SAW sanggup meninggalkan tanah air sendiri semata-mata untuk penyebaran dakwah Islamiah.

Jelaslah bahawa hikmah dan kebijaksanaan adalah keperluan utama dalam dakwah. Tanpa keperluan ini, kita akan melihat kegagalan ramai pendakwah melaksanakan pendekatan mereka dengan masyarakat. Benarlah kata-kata ulama: “Hikmah dan kebijaksanaan itu mestilah direbut walaupun daripada golongan musuh kamu sendiri.”

Lemahnya usaha musuh untuk hancurkan Islam

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau, mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah al-Anfaal, ayat 30)×

Pertahanan yang mantap sejak ribuan tahun ini bukti Islam adalah agama yang sebenar untuk dianuti dan relevan sepanjang zaman. Cuma kelemahan umat Islam menyesuaikan dalam masyarakat telah membantutkan perkembangan Islam.

Akibatnya, Islam dilihat sebagai agama yang kolot dan ketinggalan zaman. Justeru, tugas sebenar umat Islam adalah menghilangkan keraguan dalam jiwa dan masyarakat terhadap agama mereka sendiri. Isu dan permasalahan baharu mestilah dinyahkan daripada kehidupan masyarakat.

Mereka yang berilmu dan berpengalaman hendaklah menjadi rujukan supaya dapat membantu masyarakat dalam pembangunan umat. Usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh adalah tonggak kepada kejayaan peristiwa hijrah dan ia bukanlah satu kerehatan seperti anggapan sesetengah pihak.

Hijrah adalah kesinambungan perjuangan dakwah demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam menghayati roh hijrah untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam yang telah lama hilang.

Mereka mestilah memahatkan suatu kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islamlah agama yang paling hebat. Sifat segan silu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam bagi menzahirkan keindahan dan keagungan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu bersifat lemah dan bersedih hati padahal kamulah orang yang paling tinggi jika sekiranya kamu beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)

Penghayatan sebenar peristiwa hijrah adalah meninggalkan segala perkara merugikan agama dan umat serta melakukan ketaatan maksimum kepada Allah SWT. Sabda Baginda SAW: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Riwayat Abu Daud)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Martabat takwim Hijrah

Posted by epondok di Oktober 27, 2014

Oleh Mohd Fadly Samsudin

JIKA ditanya tarikh bulan Islam, ramai yang menjawab tergagap-gagap. Jika tahu pun, kemungkinan hari itu jatuh pada hari kebesaran Islam seperti Aidilfitri (1 Syawal), Aidiladha (10 Zulhijjah), Maulidur Rasul (12 Rabiulawal) dan Awal Muharam (1 Muharam).

Kita terpaksa mengakui ramai lebih tahu kalendar masihi berbanding bulan Islam disebabkan terlalu mengagung-agungkan bulan terbabit berbanding bulan Islam.

Justeru, amat sesuai tarikh hari ini (1 Muharam 1436 hijrah) iaitu tahun baru dalam kalendar Islam kita meningkatkan kesedaran serta penghayatan terhadap taqwim hijrah.

Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorang pun mahu mahu terus berada dalam kepayahan.

Sempena kehadiran bulan Muharam, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w, bermula dari kota Makkah ke Madinah.

Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam.

Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.

Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: “…(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Surah al-Hasyr ayat 8).

Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Makkah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, meminum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.

Justeru, Rasulullah s.a.w melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia (sir) dan terbuka.

Maka bermula penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai bentuk penindasan serta perpecahan di antara penduduk Makkah. Kebangkitan Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.

Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka turut mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat.

Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah.

Apabila umat Islam memiliki kesungguhan untuk mengubah diri mereka, Allah pasti memberikan pertolongan terhadap hamba-Nya. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad ayat 7).

Penghijrahan Rasulullah s.a.w itu akhirnya membuahkan hasil apabila mengubah segala pengalaman lampau seperti permusuhan, kejahilan serta kemunduran kepada penyatuan persaudaraan, masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi serta rancak dengan limpahan kemajuan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan, orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr ayat 9).

Namun, di sebalik kesukaran berhijrah, ia memberi pengajaran mendalam kepada umat Islam. Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad s.a.w adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Baginda seterusnya mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam. Nama Yathrib ditukar kepada Madinah al-Munawwarah yang bermaksud bandar yang bercahaya serta memeterai piagam Madinah.

Nabi Muhammad s.a.w menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkukuhkan tahap keselamatan negara.

Keadaan inilah yang dimanfaatkan Rasulullah s.a.w. dan sahabat r.a. mengerah usaha menyeru manusia kepada Islam sehingga akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia.

Saidina Umar r.a mengungkapkan kata yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.”

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata tahun hijrah dipilih tahun permulaan Islam berdasarkan strategi serta perancangan hebat peristiwa itu.

“Kenapa tidak dipilih hari kebesaran Islam lain sebagai tahun permulaan hijrah? Ini disebabkan peristiwa hijrah lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam Makkah yang sanggup menggadai nyawa, meninggalkan segala harta benda untuk mencari keredaan Allah.

“Kemudian peristiwa hijrah ini menarik bukan kerana ia sarat dengan sejarahnya tetapi dengan ‘pelancaran’ strategi yang bijak serta terancang,” katanya.

Katanya, umat Islam jangan menjadikan peristiwa hijrah ini satu catatan sejarah saja tanpa mengambil inti patinya.

“Peristiwa hijrah ini membuktikan Nabi Muhammad sanggup bersama-sama berkorban mengharungi kepayahan.

“Jika diikutkan statusnya sebagai kekasih Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w boleh membuat ‘permintaan khas’ bagi melakukan tugas sukar itu dengan mudah. Ini dibuktikan dalam peristiwa Israk bagaimana Nabi Muhammad naik ke langit dengan menunggang binatang digelar Buraq,” katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu mempunyai simbolik terhadap kerjasama erat antara umat Islam dan bukan Islam.

“Ini dikaitkan dengan pembabitan Abdullah bin Arqat yang menjadi penunjuk jalan dalam perjalanan bertolak ke Madinah. Jalan yang dilalui pula bukan jalan biasa kerana Abdullah memang mahir selok belok laluan berkenaan bagi mengelak dihidu kafir Quraisy yang sentiasa meneliti pergerakan Nabi Muhammad s.a.w,” katanya.

Biarpun beribu bertahun lamanya peristiwa itu, ia tetap dikenang umat Islam sebagai bukti kejayaan.

Jangan bangga dengan nama Islam tetapi tidak menjiwai watak sebenar seorang Muslim sejati.

Jadikan roh kejayaan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun hijrah ini sebagai detik bermulanya ‘perjuangan’ yang tidak ada penghujungnya iaitu perubahan seluruh jiwa ke arah kebaikan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hijrah Pemangkin rapatkan sof umat Islam

Posted by epondok di Oktober 27, 2014

Kita kini berada dalam bulan Muharam tahun baru 1436 Hijrah. Umum mengetahui Maal Hijrah ialah antara peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Tarikh ini disambut setiap tahun bagi memperingati perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat demi menegakkan panji Islam sejak 1,436 tahun lalu.

Hijrah ditafsirkan sebagai perpindahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Madinah. Peristiwa besar ini berlaku pada tahun ke-13 Baginda dilantik menjadi Rasul. Pada hari ini kalimah ‘hijrah’ lebih merujuk kepada perubahan diri individu ke arah lebih bermakna.

Pelbagai program positif diadakan bagi membuka minda masyarakat Islam hari ini mengenai konsep hijrah yang sekali gus mengenang kembali peristiwa telah berlaku sehingga mendorong kepada penghijrahan Rasulullah SAW.

Hubungan ukhuwah

Sesungguhnya bagi setiap diri Muslim yang berhijrah, Allah SWT janjikan mereka peluang kebaikan dan beroleh keredaan yang berpanjangan diatas pengorbanan dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Islam agama wasatiyyah iaitu agama yang komprehensif dan pertengahan. Sentiasa relevan, tanpa sempadan, tidak melampaui had dan bersesuaian dengan jiwa manusia sepanjang masa walau dalam apa keadaan sekalipun.

Malah Allah SWT meletakkan umat Islam sebagai umat yang punya sifat wasatiyyah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang pertengahan (umat pilihan dan adil) supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Sejarah menyebut Islam mempunyai nilai toleransi yang tinggi dan memberi kebebasan kepada individu untuk beragama sejak dari awal tertegaknya agama Islam di muka bumi ini. Rasulullah SAW sendiri apabila berdakwah lebih banyak mengambil pendekatan sederhana dan tidak memaksa.

Baginda SAW memperlihatkan semangat toleransi beragama menerusi Piagam Madinah di mana orang Islam dan bukan Islam boleh saling memahami, bekerjasama serta hidup secara harmoni. Piagam Madinah telah digubal oleh Rasulullah SAW sendiri pada tahun pertama hijrah.

Perlembagaan Madinah jelas mempertahankan kebebasan beragama untuk semua, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti untuk mengamalkan pegangan serta budaya mereka.

Hijrah Rasulullah SAW dan sahabatnya pada masa itu bertujuan untuk menyelamatkan akidah, meluaskan medan dakwah dan membangunkan pemerintahan berteraskan tauhid kepada Allah SWT. Peristiwa hijrah ketika itu banyak mengajar erti ukhuwah dan kesatuan malah turut mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.

Sesungguhnya Rasulullah SAW memperlihatkan kepada kita bahawa umat Islam itu walau di manapun berada adalah bersaudara dan bukan bermusuh, apatah lagi jika hubungan ukhuwah sesama ahli keluarga yang memang saling memerlukan.

Rasulullah SAW yakin jika konsep persaudaraan mampu diwujudkan, maka segala urusan akan menjadi mudah dan teratur. Dalam sektor ekonomi juga perlu ada rasa persaudaraan supaya ekonomi Islam menjadi lebih utuh dan tidak dimonopoli oleh orang kafir semata-mata.

Umat Islam terdahulu walau setiap masa diasak dengan ujian dan halangan, tetap kuat dan teguh keimanannya kerana mereka yakin apa juga yang dilakukan adalah demi mencapai reda Allah SWT kerana kehidupan di dunia hanya sementara sebagai persinggahan sebelum sampai ke akhirat yang kekal.

Umat Islam hari ini pula sentiasa diuji dengan pelbagai fitnah dan masalah penyakit hati. Banyak penyakit hati menyerang umat Islam menyebabkan ikatan ukhuwah semakin rapuh dan tiada lagi rasa ‘kekitaan’ dalam diri.

Semakin tamak

Masing-masing tamak kerana memfokuskan kepada kejayaan individu dan mementingkan kepuasan hati sendiri, malah sentiasa berprasangka negatif terhadap satu sama lain, kerap berselisih faham di atas perkara remeh.

Kewujudan gajet canggih memudahkan lagi api perbalahan ‘merebak’ dengan pantas. Walaupun terkadang perkara itu hanya berkisarkan perbezaan mazhab, furu’ atau adat, ia boleh menimbulkan kebencian yang kekal di dalam hati.

Inilah masalah akhir zaman yang sedang kita lihat dan alami. Maka menjadi peranan semua pihak dalam menyedarkan ahli masyarakat supaya jangan terleka dan harus sentiasa ingat bahawa Muslim itu perlu sentiasa bersatu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tanpa Islam manusia hilang arah

Posted by epondok di Oktober 26, 2014

CIKGU SIDEK BABA

 

ISLAM adalah agama yang mendukung ciri-ciri kesejagatan. Ia bukan monopoli bangsa Arab atau bangsa-bangsa tertentu. Risalah alamiahnya (rahmatan lil ‘alamin) menjadi asas penting bagi seluruh umat.

Sistem kepercayaannya kepada satu Tuhan iaitu ALLAH menjadi landasan yang membentuk sikap kesatuan kepada diri manusia. Manusia dan alam tidak terjadi dengan sendiri. Ia adalah dicipta. Manusia tidak boleh melakukan penciptaan dari tidak ada kepada ada. Manusia hanya boleh melakukan rekaan dan gubahan daripada sumber yang sudah dicipta.

Al-Quran menjadi kitab rujukan umat Islam supaya mereka menerima pertunjuk daripada Pencipta terutama terhadap perkara-perkara yang ghaib. Al-Quran tidak saja mementingkan sistem kepercayaan yang betul (aqidah tauhid) tetapi juga sistem ibadah yang luas cakupannya, pedoman hukum (syariah) yang sifatnya memandu dan sistem akhlak yang menjadi pedoman dalam amalan.

Al-Quran itu diturunkan kepada seorang Nabi bernama Muhammad untuk disampaikan kepada umat manusia. Nabi Muhammad SAW menjadikan dirinya berperibadi al-Quran (khulq al-Quran) supaya terbina Sunnah dan Qudwah untuk menjadi sumber teladan dan ikutan.

Tanpa watak teladan dan sumber ikutan manusia akan kehilangan arah  kehidupan.

Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan kerana sifat zaman sedemikian. Tetapi perubahan dan kemajuan seharusnya berlaku dalam kerangka yang lebih manusiawi. Kerangka manusiawi mementingkan ilmu dan maklumat tetapi dalam masa sama ilmu yang benar dan bermanfaat dijadikan rujukan dan maklumat yang benar dijadikan pedoman.

Islam tidak menolak faktor sains dan teknologi. Dalam Islam, sains dan teknologi selamanya alat. Nilai guna teknologi dalam bentuk perisian harus mampu membangunkan akal-budi insan. Nilai guna teknologi harus berupaya menyejahterakan kehidupan manusia.

Teknologi tinggi (high-tech) adalah suatu keperluan tetapi sentuhan keinsanan (high-touch) menjadi suatu keutamaan. Salah guna kemajuan teknologi memberi akibat tetapi beretika dalam menggunakan teknologi membawa manfaat.

Islam tidak menentang kebebasan yang sifatnya manusiawi bukannya haiwani. Justeru hak asasi manusia harus mampu meningkatkan kualiti manusiawi supaya kualiti ilmu meningkat dan kualiti akhlak juga meningkat sama.

Islam menyarankan kemajuan ekonomi tanpa riba’. Sistem ekonomi yang berasaskan pertumbuhan (growth) semata-mata boleh mengukuhkan faham kapitalisme dan monopoli serta menatijahkan eksploitasi terjadi. Islam mempedomankan pertumbuhan ekonomi yang patuh-syariah supaya agihan seimbang terjadi dan kesejahteraan hidup terjelma.

Arah hidup yang dibawa oleh Islam selari dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Islam mengaturkan hubungan menegak (vertical relation) dengan Pencipta dan juga hubungan merentas (horizontal relation) dengan manusia dan sistem. Darinya menjadikan kehidupan manusia terpedoman. Hari ini terlihat kita gelagat manusia yang kehilangan arah. Ada yang percaya hidup itu bermakna meraikan nafsu-nafsi semahu-mahunya tanpa batasan.

Ada juga faktor kebendaan dan faham individualisme sebagai yang terbaik dan ia diukur sebagai status kejayaan. Akhirnya yang kaya menjadi lebih kaya dan yang tidak berada menjadi papa kedana. Islam mengaturkan keseimbangan dalam binaan watak dan pemanfaatan sumber. Watak yang berilmu dan beretika tinggi menjadi tujuan dan pemanfaatan sumber yang dipedoman dengan amanah dan adil, bakal menghasilkan masyarakat dan sistem yang lebih manusiawi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kewajipan hormati Ibubapa

Posted by epondok di Oktober 25, 2014

OLEH DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Alhamdulillah, pada artikel kali ini, isu menghormati ibu bapa sengaja penulis kemukakan untuk sama-sama kita memperbaiki dan mengislahkan diri dalam menyemarakkan lagi hubungan kekeluargaan terutama ibu bapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ahh!” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Hai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra’: 23-24)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Apabila Allah SWT memerintahkan supaya berbuat baik kepada ibu bapa, maka hal itu berpunca daripada sebab-sebab yang berikut:

1 Kedua-dua orang ibu bapalah yang telah melimpahkan belas kasihan kepada anaknya, malah telah bersusah payah untuk memberikan kebaikan kepadanya dan menghindarkannya daripada bahaya. Oleh sebab itu, hal itu wajib diberi imbalan dengan berbuat baik dan bersyukur kepada mereka.

2Anak merupakan peninggalan ibu bapa, sebagaimana diberitakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Fatimah adalah belahan jiwaku.”

3Kedua ibu bapa telah memberi kenikmatan kepada anak, ketika anak itu berada dalam keadaan lemah dan tidak berdaya walau sedikit pun. oleh sebab itu, hal itu wajib dibalas dengan rasa syukur, ketika mereka telah tua, sebagaimana dinyatakan oleh penyair Arab ketika menyebut-nyebut kenikmatan daripada-Nya disebabkan anaknya telah melayaninya dengan tidak senonoh, setelah dia tua.

Dinyatakan di dalam berita para salaf untuk menjelaskan maksud ayat ini, katanya: Seandainya jika ada perkataan yang lebih rendah daripada uf, atau cis dalam pengetahuan Tuhan, nescaya Dia akan mengharamkan manusia untuk menyebutkan kepada ibu bapanya.

Medan jihad

Islam sangat mengambil berat terhadap kerelaan kedua ibu bapa, maka dia telah mencegah seorang anak daripada melibatkan diri dalam berjihad atau pergi ke medan perang tanpa keizinan daripada kedua ibu bapa, sedangkan jihad pada jalan Allah SWT sangat tinggi martabatnya menurut pandangan Islam, tidak dapat disamakan dengan bangun malam bersolat di sepanjang malam ataupun berpuasa di siang harinya. Dinyatakan dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Amr bin al-`Ash, katanya yang bermaksud: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Allah SAW lalu memohon keizinan untuk keluar berjihad lalu Rasulullah SAW pun bertanya kepadanya: Adakah kedua ibu bapamu masih hidup? Jawab lelaki itu: Ya. Lalu Baginda SAW menjawab: Hendaklah kamu berjihad untuk kedua ibu bapamu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Iaitu jadikanlah medan jihadmu atau perjuanganmu dengan melakukan kebaikan kepada keduanya dan menjaga keduanya. Dalam suatu riwayat yang lain lagi berbunyi: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW berkata: Aku membai’ahmu untuk berhijrah dan berjihad, justeru aku inginkan pahalanya daripada Allah SWT! Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah kedua ibu-bapamu masih hidup? Lelaki itu menjawab: Ya, kedua ibu bapanya masih hidup lagi. Rasulullah SAW bersabda: Apakah benar kamu inginkan pahala daripada Allah SWT? Jawabnya: Benar. Rasulullah SAW bersabda: Kembalilah kepada keduanya dan berbuat baiklah dalam pergaulanmu dengan keduanya. (riwayat Muslim)

Dalam suatu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Aku datang kerana hendak membai’ahmu untuk berhijrah, dan aku telah tinggalkan kedua ibu bapaku dalam keadaan menangis. Nabi SAW bersabda kepadanya: Sekarang juga kembali kepadanya buatlah sesuatu untuk menjadikannya tertawa sebagaimana kamu telah membuat mereka menangis. (riwayat al-Bukhari)

Abu Said al-Khudri meriwayatkan seorang lelaki dari negeri Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah SAW lalu Baginda SAW bertanya: “Adakah kamu mempunyai keluarga di Yaman? Lelaki itu menjawab: Ada. Rasulullah SAW bertanya lagi: Apakah mereka mengizinkanmu datang ke mari? Jawabnya: Tidak. Lalu Rasulullah bersabda: Sekarang kembali dahulu kepadanya dan meminta izin keduanya. Kalau mereka memberi keizinan kepadamu, barulah boleh kamu berjihad. Jika tidak maka hendaklah kamu berbuat baik kepada mereka.” (riwayat Abu Daud)

Antara peraturan yang sangat dititikberatkan dalam Islam mengenai hal yang berkaitan berbuat baik kepada ibu bapa, ialah Islam melarang umatnya menderhaka kepada kedua ibu bapa sekalipun mereka masih musyrik atau kafir, tidak mahu beriman kepada Allah SWT.

Bahkan sekalipun mereka terus menentang Islam dan sangat kuat berpegang kepada kepercayaan kufurnya itu, sentiasa mencuba dan melakukan apa sahaja untuk menarik anaknya daripada Islam serta menabur fitnah dalam agamanya.

Semoga pencerahan seperti ini menjadikan kita benar-benar memuliakan ibu bapa selaras dengan anjuran Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Amalan membawa ke syurga

Posted by epondok di Oktober 22, 2014

DARIPADA Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansori r.a: Bahawasanya seorang lelaki berkata, Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga. Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian:

Hubungan silaturahim adalah satu cara yang membolehkan seorang masuk syurga.

Hubungan silaturahim adalah sebahagian daripada amalan yang dituntut oleh Islam.

Silaturahim adalah sama dengan amalan-amalan lain yang diperintah oleh Rasulullah melakukannya.

Memutuskan hubungan silaturahim menghalang seorang daripada masuk syurga.

Di antara sebab yang membawa seorang masuk syurga ialah ibadah-ibadah yang tersebut dalam hadisnya ini.

Harapan dan angan-angan semata-mata tidak boleh membawa seorang masuk syurga, malah perlu kepada melakukan amalan yang telah difardukan Allah SWT.

(Sumber: Kitab Riyadhus Salihin)

DARIPADA Anas r.a daripada Nabi SAW sabdanya: Sesiapa yang memelihara dua anak gadis sehingga baligh kedua-duanya nescaya dia datang bersama aku pada hari kiamat seperti ini sambil menunjukkan (merapatkan) dua jarinya. (riwayat: Muslim)

Huraian:

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis mestilah memelihara dan mendidik dengan sempurna sehinggalah dia dewasa (bersuami).

Balasan syurga adalah merupakan jaminan Allah SWT kepada setiap ibu bapa yang memelihara anak gadisnya dengan sempurna hingga dewasa.

Islam mengambil berat tentang penjagaan terhadap anak gadis.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kemurnian Islam dalam masyarakat majmuk

Posted by epondok di Oktober 21, 2014

Oleh Dr Siddiq Fadzil
Rahmah adalah kata kunci yang merumuskan segala objektif syariat (maqasid al-shariah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah (kepentingan) kemanusiaan. Bahagia atau celakanya hidup manusia, tergantung sepenuhnya pada rahmat Allah.

Menyedari hakikat itu, Muslim sentiasa mendambakan siraman rahmat Allah SWT pada setiap detik. Rasulullah SAW memberikan petunjuk bahawa cara meraih rahmat ialah dengan menebar belas kasih kepada warga alam.

Sabdanya: “Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya kamu akan dikasihani oleh Yang di langit. Ada seseorang berkata: Sesungguhnya kami mengasihani isteri-isteri dan anak-cucu kami. Sabda Rasulullah SAW: Bukan itu maksudku. Yang aku maksudkan adalah kasih yang menyeluruh.”

Rahmat bererti belas, kasih

Rahmat yang menyeluruh bererti belas dan kasih yang melimpah, bakti kemanusiaan sejagat, khidmat kebajikan yang meratai seluruh warga bumi Ilahi. Dengan keyakinan dan komitmen sedemikian itulah kita tampil di kancah dakwah pada era serba global dan plural.

Dalam kaitan inilah pula relevannya wacana mengenai cabaran aktualisasi rahmat sejagat, penterjemahan mesej rahmatan li al-alamin di tengah realiti kemajmukan dengan bertolak dari premis dasar keesaan Pencipta dan keragaman makhluk ciptaan-Nya.

Seluruh warga alam dengan segala kepelbagaiannya seharusnya berpeluang mengecap rahmat Ilahi melalui agama-Nya. Memang sebagai agama rahmah, Islam harus ditampilkan dengan wajah yang ramah. Sayangnya, agama rahmah yang ramah ini sering kali dicitrakan sebagai agama yang selalu ‘marah-marah’.

Kepelbagaian adalah sunnatullah dalam penciptaan makhluk. Rempuhan globalisasi yang dijiwai hegemoni Amerika tidak akan mampu merubah kenyataan bahawa manusia tetap berbeza-beza warna, agama, budaya dan bahasa.

Justeru, perbezaan dan kepelbagaian harus diterima seadanya dengan sikap positif serta optimistik bahawa fenomena kemanusiaan yang berbangsa mengandungi hikmah ketuhanan yang tersirat supaya mereka saling kenal.

Prinsip dasarnya adalah menerima kehadiran orang lain dengan segala kelainannya, semangat toleransi demi matlamat kolektif hidup bersama, berdampingan secara damai dan harmonis. Hakikat inilah yang membawa kita ke persoalan kemajmukan atau yang dipakai hari ini istilah pluralisme.

Ternyata kemajmukan adalah fakta dan kenyataan yang selamanya diterima serta diakui oleh Islam. Kemajmukan atau kepelbagaian dalam perspektif Islam bukan sekadar hak kemanusiaan yang boleh diterima dan ditolak, bukan juga sekadar budi bicara yang boleh diberi atau dinafi.

Tetapi ia adalah fitrah, undang-undang dan aturan Ilahi yang tidak berubah serta tidak mungkin berubah. Namun, tidak bererti perpecahan kerana semua tetap terpadu dalam wadah kesatuan. Hakikat inilah yang tepat dikatakan oleh Dr Muhammad Imarah, perbezaan dan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan).

Kepelbagaian makhluk dalam bingkai kesatuan Pencipta, kepelbagaian bangsa dan suku dalam bingkai kesatuan kemanusiaan, kepelbagaian syariat dalam bingkai kesatuan agama, kepelbagaian hukum dan fatwa dalam bingkai kesatuan syariat, kepelbagaian mazhab dan parti dalam bingkai kesatuan umat.

Kemajmukan dalam kehidupan manusia

Islam menerima kemajmukan dalam pelbagai ranah kehidupan manusia, agama, budaya, politik, perundangan dan lain-lainnya. Islam menerima, menghargai dan menghormati manusia dalam segala kepelbagaiannya, bangsanya, bahasanya, agamanya dan budayanya.

Berbeza agama bukan alasan untuk bermusuhan. Justeru, seluruh umat manusia yang berbeza agama itu tetap terangkai dalam warga besar kesatuan keinsanan.

Bagi kita, memuliakan manusia atas sifat kemanusiaannya tanpa mengira agamanya adalah suatu tuntutan keagamaan, bahagian daripada kewajipan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi.

Mendengar ada suara yang menyebut itu adalah jenazah Yahudi. Rasulullah SAW spontan menjawab, bukankah ia satu jiwa manusia?

Demikianlah, setiap jiwa manusia Muslim atau bukan Muslim memiliki martabat kemuliaan yang harus dihormati. Selain itu ada pula catatan daripada Ibn Hazm mengenai kematian ibu kepada al-Harith ibn Abi Rabiah, seorang beragama Kristian, jenazahnya dihantar ke perkuburan oleh sahabat Rasulullah SAW.

Setiap Muslim berkeyakinan bahawa kehendak Allah SWT tidak dapat dihalang seperti mana ia juga berkeyakinan segala kehendak-Nya mengandungi hikmah kebaikan, sama ada manusia tahu atau tidak. Oleh itu, Muslim tidak harus berfikir untuk memaksa manusia semuanya menjadi Muslim.

Kemajmukan dalam Islam terbina atas kesedaran orang Muslim tidak dituntut untuk menentukan nasib orang bukan Muslim kerana tidak Islam. Itu adalah urusan Tuhan yang akan diputuskan nanti pada hari perhitungan. Yang dituntut daripada orang Islam adalah sikap istiqamah dengan agamanya sendiri, di samping memberikan layanan adil terhadap orang lain yang tidak seagama.

Dengan demikian orang Islam tidak mengalami sebarang dilema dalam melaksanakan keadilan dan melakukan kebaikan terhadap bukan Islam. Urusan kita adalah melaksanakan perintah Allah SWT memberikan keadilan, bersikap ramah dan berakhlak mulia terhadap semua termasuk yang bukan-Islam.

Tentang kezaliman

Urusan kita adalah menentang kezaliman, tanpa mengira siapa pelakunya, termasuk kezaliman yang dilakukan oleh orang Islam terhadap bukan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 8)

Sebagai umat yang bertamadun dan berbudaya, semua pihak seharusnya memiliki kepekaan tinggi terhadap nilai kesopanan dan kesusilaan. Umat Islam khususnya harus dapat menghayati kehalusan bahasa al-Quran terutama dalam sapaan terhadap orang bukan Islam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah Sesi 1 di Pondok Tunjung, Kota Bharu

Posted by epondok di Oktober 18, 2014

Istimewa Musim Cuti Sekolah/IPT

Sesi Pertama

Tarikh : 1-10 Disember 2014

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki dan perempuan berumur 11 – 24 tahun (terhad 100 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah sah daftar melalui email atau sms)

a. Sesi pertama : 1 Disember 2014 (Isnin) jam 2.30 – 3.15 ptg

 

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Pengajian Fardhu ain
  • Program berkumpulan
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban
  • Sukan

Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (wajib jubah dan tudung labuh bagi perempuan) & pakaian solat (wajib jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / Tuan Hj Mohamad Daud 0199815656 / Us Nasharudin 0199859887

Facebook : epondok

Blog : epondok.wordpress.com

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Sunnah Nabi s.a.w yang diabaikan

Posted by epondok di Oktober 17, 2014

SUNNAH adalah segala sesuatu yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW berkaitan percakapan, perbuatan mahupun senyap diamnya (persetujuan) oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia juga bererti sesuatu yang pelakunya mendapat ganjaran pahala dan tidak berdosa bagi yang meninggalkannya.

Di antara perbuatan sunah yang jarang dilakukan kaum muslimin adalah sebagai berikut.

1 Mendahulukan kaki kanan ketika memakai selipar

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu memakai sandal/selipar, maka dahulukanlah kaki kanan dan jika melepaskannya dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya, maka hendaklah memakai kedua-duanya atau tidak memakai kedua-duanya sama sekali. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatlah difahamkan memakai kasut/sepatu juga atau lain-lainnya hendaklah dimulakan dengan yang sebelah kanan, kerana ada keberkatannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu makan, maka hendaklah ia makan dengan tangan kanannya, hendaklah ia minum dengan tangan kanannya, hendaklah ia mengambil dengan tangan kanannya dan hendaklah ia memberi dengan tangan kanannya.” (riwayat al-Hasan bin Sufiyan)

Daripada keterangan hadis-hadis yang lain, Nabi SAW telah mengamal dan membuktikan disiplin lebih luas iaitu meliputi kaki kanan, lambung kanan dan sebelah kanan. Nabi SAW memulakan langkahnya dengan kaki kanan dan melangkah kaki kiri apabila memasuki tandas dan melangkah kaki kiri apabila keluarnya. Baginda mendahulukan kaki tangan sebelah kanan apabila bersuci untuk wuduk dan menyisir rambut atau memakai kasut dan seumpamanya. Solat juga diakhiri dengan memulakan salam ke sebelah kanan. Displin didahulukan kanan adalah lambang gerak-geri para mukmin dalam semua aktiviti harian mereka yang mulia.

2 Menjaga dan memelihara wuduk

DIRIWAYATKAN daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Istiqamahlah (konsistenlah) kamu semua (dalam menjalankan perintah Allah) dan kamu tidak akan pernah dapat menghitung pahala yang akan Allah berikan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik perbuatan adalah solat, dan tidak ada yang selalu memelihara wuduknya kecuali seorang mukmin.” (riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

3 Bersiwak (menggosok gigi dengan kayu siwak)

DIRIWAYATKAN daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siwak dapat membersihkan mulut dan saranan untuk mendapatkan reda Allah.” (riwayat Ahmad dan an-Nasa’i)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: Andai kata tidak memberatkan umatku necaya aku memerintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali hendak solat. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Bersiwak disunahkan setiap saat, lebih-lebih lagi ketika hendak berwuduk, bersolat, membaca al-Quran, ketika mulut berbau, pagi ataupun petang, ketika bangun daripada tidur dan hendak memasuki rumah. Bersiwak merupakan perbuatan sunnah yang hampir tidak pernah dilakukan oleh kebanyakan orang kecuali yang mendapat rahmat daripada Allah SWT dan mendapatkan pahala yang sangat besar dan mulia.

4 Solat istikharah

DIRIWAYATKAN daripada Jabir r.a. bahawa ia berkata: Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita tatacara solat istikharah untuk segala urusan, sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah al-Quran kepada kami. (riwayat Bukhari)

Oleh itu, lakukanlah solat ini dan berdoalah dengan doa yang sudah lazim diketahui dalam solat istikharah.

5 Berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW berkumur-kumur dan menghisap/menghirup air ke hidung secara bersamaan daripada satu ceduk air dan itu dilakukan sebanyak tiga kali (ketika berwuduk). (riwayat Bukhari dan Muslim)

6 Berwuduk sebelum tidur dan tidur dengan posisi miring ke kanan

DIRIWAYATKAN daripada Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah seperti hendak solat, kemudian tidurlah dengan posisi miring ke kanan dan bacalah: “Ya Allah, aku pasrahkan jiwa ragaku kepada-Mu, aku serahkan semua urusanku kepada-Mu, aku lindungkan punggungku kepada-Mu, kerana sayang sekali gus takut kepada-Mu, tiada tempat berlindung mencari keselamatan daripada (murka-Mu) kecuali kepada-Mu, aku beriman dengan kitab yang Engkau turunkan dan dengan nabi yang Engkau utus.” Jika kamu meninggal, maka kamu meninggal dalam keadaan fitrah. Dan usahakanlah doa ini sebagai akhir perkataan kamu. (riwayat Bukhari dan Muslim)

7 Sujud syukur ketika mendapat nikmat atau terhindar daripada bencana

SUJUD ini hanya sekali dan tidak terikat oleh waktu. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a. ia berkata: “Jika Rasulullah SAW mendapatkan sesuatu yang menyenangkan atau disampaikan khabar gembira, maka Baginda langsung sujud dalam rasa bersyukur kepada Allah.” (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

8 Berlumba-lumba untuk mengumandangkan azan, bersegera menuju solat, serta berusaha untuk mendapat saf pertama

DIRIWAYATKAn daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Andai kata umat manusia mengetahui pahala di sebalik azan dan berdiri pada saf pertama kemudian mereka tidak mendapatkan bahagian kecuali harus mengadakan undian terlebih dahulu nescaya mereka membuat undian itu. Andai kata mereka mengetahui pahala bergegas menuju masjid untuk melakukan solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.

Andai kata mereka mengetahui pahala solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, nescaya mereka datang meskipun dengan merangkak. (riwayat Bukhari dan Muslim)

9 Berdoa ketika memakai pakaian baharu

DIRIWAYATKAN daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia berkata: “Rasulullah SAW jika mengenakan pakaian baharu, maka Baginda menamakan pakaian itu dengan namanya, baju, serban, selendang ataupun jubah, kemudian Baginda membaca: “Ya Allah, hanya milik-Mu semua pujian itu, Engkau telah memberiku pakaian, maka aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuannya dibuat dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuannya dibuat.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

10 Mengucap salam kepada semua orang Islam

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Amru r.a. ia menceritakan: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa ciri keislaman seseorang yang paling baik? Rasulullah SAW menjawab: Kamu memberikan makanan (kepada orang yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang tidak kamu kenal. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa ia menuturkan: Rasulullah SAW berjalan melalui kumpulan kanak-kanak, lalu Baginda mengucapkan salam kepada mereka semua. (riwayat Muslim)

Ibnu Rajab menuturkan: “Orang yang beramal sesuai ajaran Rasulullah SAW, meskipun amal itu sangat kecil, maka itu akan lebih baik daripada orang yang beramal tidak sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW walaupun dia sangat bersungguh-sungguh.

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mengikuti sunnah Rasul-Mu dan mengikuti jejaknya. Ya Allah, kumpulkan kami dan kedua orang tua kami dan kaum muslimin semuanya ke dalam syurga-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Rabbal Alamin.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hidup tenang jika reda hadapi ujian

Posted by epondok di Oktober 16, 2014

Oleh Maslina Alias
Setiap manusia akan menghadapi mati, sama ada bersedia atau tidak, kita akan dipanggil menghadap Ilahi apabila tiba waktunya. Apa yang didambakan setiap manusia ialah apabila tiba ajalnya nanti, Allah SWT memanggilnya dengan panggilan ‘wahai jiwa yang tenang’.

Manusia terlalu inginkan ketenangan sehinggakan sanggup memburu kekayaan dan kemasyhuran yang disangkakan boleh memberi ketenangan. Ketenangan tidak boleh dianggap sebagai aksesori persekitaran, justeru, kekayaan bukanlah kayu pengukur kepada ketenangan.

Malah, seseorang itu mungkin tidak memiliki kekayaan, tetapi beliau memiliki ketenangan yang luar biasa. Begitulah permulaan bicara topik ‘Radhiah, Mardhiah’ oleh Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, dalam program Usrah Nurani yang bersiaran jam 1.15 petang Jumaat di IKIMfm.

Beliau bersama dua ahli usrah, Pengarah Radio IKIMfm, Dr Nik Roskiman Abdul Samad dan wartawan TV3, Helmi Yusuf, mengajak pendengar bermuhasabah saat datangnya ajal kita dan Allah SWT memanggil dengan panggilan ‘wahai jiwa yang tenang’.
Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, mengupas tajuk ‘Radhiah, Mardhiah’ dalam Program Usrah Nurani mengajak pendengar bermuhasabah saat datangnya ajal.
Kunci ketenangan

Zul Ramli memetik kata-kata Imam Ghazali, manusia akan mati mengikut cara bagaimana dia hidup. Oleh itu katanya, jika kita mahukan saat mati itu mendapat ketenangan, maka kehidupan kita di dunia juga perlu mendapat ketenangan.

Setiap manusia perlu memasang niat dan berazam memulakan kehidupan yang baru dan bangkit menjalani kehidupan dengan penuh ketenangan dan anak kunci ketenangan ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda kepada Allah dan Allah reda kepadamu.” (Surah al-Fajr, ayat 28)

Menjawab persoalan Helmi mengenai seorang ibu yang pernah mengatakan bahawa kelahiran anak boleh menyebabkannya jatuh bankrap dan berputus asa dengan kehidupannya, Zul Ramli berkata, manusia dikurniakan keupayaan untuk memilih menerima atau menolak kesusahan yang datang.

Menerima bermaksud kita reda dengan apa yang telah berlaku kepada diri dan menolak bermaksud tidak reda serta menyalahkan takdir yang ditentukan kepada kita. Perkara pertama yang perlu diterima oleh setiap orang Islam ialah kita adalah hamba Allah SWT, kepada-Nya kita menyembah dan memohon pertolongan.

Helmi mengaitkan reda dengan tanggungjawab sebagai hamba kepada Pencipta dan memuliakan Nabi SAW serta tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa. Sesungguhnya reda Allah SWT itu terletak kepada reda kedua-dua ibu bapa.

Selain itu, sebagai manusia kita juga bertanggungjawab untuk menyumbang terhadap agama dan masyarakat. Hamka pernah mengatakan, ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja’.

Apabila kita mula menyoal diri mengenai tanggungjawab kita, Allah SWT akan mencampakkan ketenangan dalam diri kita.

Kupasan mengenai reda, meredai

Dr Nik Roskiman mengupas lanjut mengenai dua komponen penting iaitu reda dan meredai dengan memetik kata-kata Hasan Al Basri, ‘Sekiranya kita ingin mengetahui kedudukan kita di sisi Allah SWT, maka lihatlah kedudukan Allah SWT di sisi kita.’

Katanya, bagaimana kita meletakkan Allah SWT dalam kehidupan seharian, sama ada kita mengutamakan Allah SWT dalam setiap perkara yang dilakukan ataupun tidak. Itulah petanda kita dekat atau jauh daripada reda Allah SWT.

Dalam konteks yang sama, Dr Nik Roskiman mengatakan reda itu bagaimana kita menerima qada dan qadar yang ditentukan Allah SWT kepada hambanya. Nabi SAW sentiasa memanjatkan syukur kepada Allah SWT sama ada dikurniakan kebaikan, kebahagiaan atau ditimpa musibah dan ujian.

Kita perlu yakin apa sahaja yang Allah SWT timpakan sama ada baik atau buruk adalah untuk kebaikan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Saat ujian datang, mungkin susah bagi kita untuk menghadapinya, menjadi seorang yang reda iaitu tenang menerima ujian. Apabila ujian datang kepada seseorang yang tidak mempunyai latihan, sudah pasti ia akan memusnahkan dirinya.

Zul Ramli mengajak ahli usrah dan pendengar bersama melatih diri menghadapi ujian. Beliau mengambil contoh pemain bola yang akan bertanding hanya selama 90 minit yang tidak pernah berhenti membuat latihan.

Tidak boleh elak ujian

Manusia tidak boleh lari daripada ujian. Setiap orang inginkan kebahagiaan, namun tidak semua dapat mengecapinya. Tidak ada seorang manusia yang inginkan ujian, tetapi setiap orang akan mendapat ujian.

Zul Ramli merujuk reda sebagai buah dan manusia sudah pasti tidak dapat membaiki buah, tetapi manusia boleh membaiki akarnya. Untuk mendapatkan buah yang manis kita tidak boleh menyuntik gula padanya, tetapi perlu membajai akarnya.

Reda dalam Islam adalah akhlak dan kita perlu kembali kepada perkara utama iaitu mengenal Allah SWT dan persoalan akhirat. Manusia boleh menerima ujian apabila kenal dengan Allah SWT dan membawa akhirat ke dalam diri. Itulah yang dikatakan sebagai latihan untuk menghadapi ujian.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »