Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Khasiat daun serai kayu rawat darah tinggi

Posted by epondok di September 30, 2014


Oleh Mona Ahmad

Serbuk daun serai kayu. – Foto Fathil Asri

Pengambilan ulam daun serai kayu

Menyedari perkara ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, Kelantan mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan terhadap pengambilan ulam daun serai kayu atau daun salam dalam kalangan penduduk tempatan yang dikatakan mampu menurunkan kadar darah tinggi.

Daun serai kayu atau di sesetengah tempat di negara ini dikenali sebagai daun salam, samak kelat, daun bay dan daun beriani, banyak digunakan dalam masakan di seluruh dunia kerana keistimewaannya membangkitkan aroma dalam juadah.

Jika di Indonesia ia lebih dikenali sebagai meselengan, ubat serai, gowok, manting dan kastolam, manakala istilah sainsnya pula Syzygium polyanthum.

Di Eropah dan kawasan negara Mediterranean, daun serai kayu ini lazimnya dikeringkan dan digunakan sebagai penambah perisa kepada masakan terutama dalam sos, sup, stew dan masakan berunsurkan makanan laut, sayur serta daging.

Tidak ketinggalan, dalam masakan Arab, India dan Pakistan. Antaranya, digunakan untuk menambah keenakan rasa dalam masakan nasi beriani dan bahan dalam garam masala (rempah ratus).

Di Kelantan dan Terengganu, daun serai kayu ini banyak digunakan dalam masakan seperti laksam dan dijadikan ulam untuk dimakan bercicahkan budu.

Rupa-rupanya, di sebalik keenakannya sebagai perisa tambahan kepada masakan, daun ini mempunyai seribu satu rahsia dari sudut kesihatan terutama dalam rawatan penyakit tekanan darah tinggi.

Rahsia keunikan dan kehebatan daun yang pokoknya mudah ditanam di kawasan tropika, berjaya dibongkar kumpulan penyelidik berkenaan yang diketuai Pensyarah Kanan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, universiti itu, Dr Wan Amir Nizam Wan Ahmad dalam penyelidikannya yang sudah masuk tahun keempat.

“Daun serai kayu atau salam sudah lama digunakan penduduk Kelantan yang menghidap darah tinggi untuk menurunkan tekanan darah mereka.

“Kami tertarik untuk mengkaji dengan lebih mendalam khasiat daun ini selepas melihat corak tekanan darah tinggi beberapa pesakit yang dirujuk di klinik kami semakin normal dan mereka hanya perlu mengambil ubat darah tinggi dengan kadar dos kecil.

“Selepas diselidik, rupa-rupanya mereka mengamalkan makan daun salam sebagai ulam harian mereka,” katanya kepada BH, baru-baru ini.
Belum ada kajian

Justeru, kumpulannya menjalankan penyelidikan secara saintifik selepas mendapati belum ada lagi kajian terhadap daun itu dilakukan bagi menentukan keberkesanannya dalam bidang perubatan.

Kajian saintifik yang dijalankan terhadap dua spesies tikus, Wistar Kyoto (WKY) dan Spontaneously Hypertensive (SHR) mendapati ekstrak daun serai kayu mampu menurunkan tahap tekanan darah haiwan itu.

“Kita menggunakan dua kaedah iaitu menyuntik cecair dari ekstrak daun serai kayu ke salur darah kedua jenis tikus berkenaan dan memberi makan ekstrak daun itu selama sebulan.

“Hasilnya, sebaik cecair ekstrak daun salam disuntik dalam saluran darah, tahap tekanan darah tikus SHR yang sememangnya secara genetik mempunyai darah tinggi menurun sehingga 30 peratus, manakala tikus WKY yang juga tikus berdarah normal, tahap tekanan darahnya tetap normal,” katanya.

Terbukti bantu turunkan darah tinggi

Menerusi kaedah kedua, katanya, pihaknya menggunakan cara memberi makan ekstrak daun salam kepada kedua jenis tikus itu selama sebulan dan mendapati ia turut membantu menurunkan darah tinggi.

Lebih menakjubkan, ia tidak langsung menurunkan darah tikus WKY yang berdarah normal.

“Tujuan menggunakan kaedah kedua adalah bagi meniru kesan pesakit darah tinggi yang makan ulam daun salam setiap hari. Daripada kajian ini, kita dapati daun salam tidak memudaratkan mereka yang mempunyai tekanan darah normal kerana pengambilannya tidak menurunkan darah,” katanya.

Kajian itu juga mendapati daun serai kayu mengandungi asid galik (gallic), asid oleik, asid linoleik dan seselin, yang berfungsi menurunkan tekanan darah.

“Kita juga menjalankan kajian toksikologi dan hasil penyelidikan mendapati bahan aktif dalam daun itu tiada kesan berbahaya jika diambil melebihi dos dicadangkan,” katanya.

Ketika ini, pihaknya bercadang menjalankan kajian lanjut bagi mengasingkan bahan aktif dalam daun salam itu dan bercadang untuk mempatenkan hasil kajian seperti peringkat kajian terhadap manusia dijalankan tidak lama lagi.

“Kita berharap dapat menghasilkan produk suplemen bagi membantu golongan penghidap darah tinggi. Ia boleh menghasilkan ubat daripada serai kayu dengan formulasi yang betul bagi penghidap penyakit darah tinggi,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: