Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Islam mengimbangi duniawi, ukhrawi

Posted by epondok di September 20, 2014


Sidek Baba

KEHIDUPAN manusia tidak sekadar mencari sumber benda seperti kekayaan dan kesenangan yang sifatnya duniawi. Tujuan kehidupan itu sendiri lebih mulia dari apa yang biasa difahami.

Lahirnya agama, amalan etika dan nilai bagi manusia harus terpedoman. Manusia tidaklah seperti haiwan memikirkan tentang makan dan minum dan melampiaskan syahwatnya kerana ia adalah suatu proses tabii.

Manusia diberikan akal dan hati supaya amalan terpedoman. Sebab itu aspek dalaman manusia iaitu hati perlu dibangunkan supaya hati yang hidup dengan nilai-nilai baik dan murni bakal memurnikan amalan dan tingkah-laku.

Ia disebut sebagai aspek spiritualiti atau rohaniah. Manusia tidak akan hidup tanpa roh. Roh adalah suatu upaya yang tidak nampak dan wujud dalam diri manusia supaya akal yang diberi menyebabkan manusia berfikir, hati yang ada menyebabkan terbina niat dan resam yang baik dan daya yang ada melakukan amal baik.

Kekuatan hati memberi pedoman dan perimbangan dalam melakukan sesuatu. Limpah rezeki, rahmat dan nikmat yang dikurniakan Tuhan harus disyukuri dengan memanfaatkannya untuk seluruh umat manusia.

Tetapi kalau sumber itu berada di tangan orang yang tamak dan rakus ia bakal merosakkan sistem kehidupan manusia itu sendiri. Bayangkan sumber yang dikuasai menjadi asas kepada muamalah atau perniagaan, yang difikirkan oleh pemiliknya ialah keuntungan yang berganda. Tabiat ini bakal mewujudkan penindasan dan eksploitasi dan menyebabkan keresahan terjadi.

Bayangkan kekuatan spiritual dipandu oleh pendekatan syariah di mana riba atau eksploitasi tidak dibenarkan dalam jual-beli, pengguna bakal mendapat faedah daripadanya dan penjual walaupun mendapat sedikit keuntungan tetapi juga menerima barakah.

Islam tidak menolak benda kerana ia kurniaan ALLAH. Tetapi Islam tidak menganjurkan faham kebendaan kerana ia boleh menyebabkan sifat tamak dan riak berada dalam hati.

Bayangkan spiritualiti yang baik menjadi sumber amalan setiap daripada kita, kesannya adalah baik untuk orang lain kerana ia menjadi asas terhadap binaan masyarakat yang sejahtera. Tidakkah sejahtera itu menjadi perkara pokok dalam Islam.

Sebab itu dalam Islam diajar ilmu tentang aqidah supaya hati manusia terurus dalam ubudiyahnya dengan ALLAH. Islam juga menawarkan syariah dan fiqah kepada pemeluknya supaya jalan mengurus diri dan sistem terpandu dan terpedoman. Islam juga mementingkan ilmu supaya diri dan sistem dapat diurus dengan baik.

Islam juga menjadikan akhlak sebagai perkara utama supaya contoh teladan dalam pemikiran dan amalan berjalan seiring.

Sering kedapatan dalam kalangan orang Islam spiritualitinya relatif tinggi dengan amalan tahajud dan qiamnya, gambaran luaran menutup auratnya tetapi produktiviti amaliahnya relatif rendah kerana tidak terlihat Islam itu pada watak dan peribadinya.

Terdapat juga dalam kalangan pemikir Islam pada ilmunya adalah baik tetapi dia sendiri tidak mengamalkan dalam syariah dan fikah dan menyebabkan orang lain keliru. Ia suka disanjung oleh anak muridnya sebagai pemikir tersohor tetapi tidak pada amalan dan perbuatan yang ditampilkan.

Oleh itu sangat perlu orang Islam baik pengikut, pemimpin dan pemikirnya dapat memberikan keseimbangan antara kekuatan spiritualiti dan pembangunan diri supaya contoh teladan yang ada bakal menjadi sumber ikutan. Rasulullah SAW adalah sebaik-baik teladan yang ada pada umat manusia. Baginda seorang pendakwah tulen dan mengamalkan apa yang dikata dan didakwahkannya sebagai teladan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: