Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ganti adat jadi ibadat

Posted by epondok di September 15, 2014


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
UMUM sedia mengetahui, untuk memperoleh pahala daripada Allah SWT memerlukan perbuatan amal ibadah. Oleh itu, bagi mendapat ganjaran tersebut pada setiap waktu perlulah melakukan pelbagai amalan baik secara berterusan.

Namun, kedengaran agak sukar untuk melakukan ibadah sepanjang hari kerana pastinya setiap individu terikat dengan tanggungjawab harian masing-masing. Bagaimanapun, bagi orang yang beriman pastinya mengimpikan tawaran tersebut sebagai bekalan dan persediaan untuk bertemu Allah SWT di akhirat kelak.

Mengulas perkara tersebut, pendakwah bebas, Ghazali Ibrahim berkata, hakikatnya tidak sukar dengan perlu melakukan ibadah berterusan, sebaliknya dengan hanya melafazkan nama Allah SWT ketika ingin melakukan sesuatu pekerjaan akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Beliau berkata, perkara yang selama ini dilakukan kerana adat iaitu untuk memenuhi tuntutan fitrah duniawi, boleh bertukar menjadi amal ibadat yang mendapat keberkatan daripada Allah SWT dengan kelebihan menyebut kalimah tersebut.

“Membaca kalimah Bismallah pada setiap kali di awal pekerjaan membezakan sesuatu perbuatan itu antara adat dan ibadat. Adat ialah perkara yang dilakukan berulang kali pada setiap hari seperti makan, mandi dan sebagainya.

“Perkara adat ini tidak mendatangkan apa-apa atau hanya sekadar memenuhi fitrah manusia jika tidak disertakan dengan membaca nama Allah SWT ketika ingin dilakukan. Namun, apabila dibacakan nama Allah SWT, setiap perbuatan ini akan menjadi ibadat.

Mendapat ganjaran pahala

“Dengan itu, sepanjang kita melakukan perkara itu akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan daripada Allah SWT selagi perbuatan itu tidak bertentangan atau menyalahi syarak,” katanya.

Selain menjadi lebih berkat dan dipelihara oleh Allah SWT, Ghazali berkata, kalimah Bismallah turut diceritakan mempunyai pelbagai kelebihan yang tidak disangka-sangka boleh berlaku seperti yang telah dialami oleh para Nabi dan ulama terdahulu.

“Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan kalimah Bismillah dalam kehidupannya. Sehingga diceritakan Rasulullah mengajarkan anaknya sebelum makan dengan membaca nama Allah. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang berada dekatmu. (riwayat Bukhari)

“Begitu juga azimat kalimah Bismillah yang digunakan oleh Nabi Nuh a.s untuk menggerakkan bahtera dan menghentikannya sepanjang pelayaran ketika banjir besar yang melanda dan menenggelamkan seluruh kaumnya,” jelasnya.

Bagaimanapun tegasnya, mengharapkan kelebihan daripada kalimah Bismillah bukanlah perkara yang perlu diutamakan, sebaliknya tuntutan kepada umat Islam sebagai tanda mengingati Allah SWT pada setiap waktu.

“Apabila melakukan sesuatu amalan, lazimnya kita selalu mengutamakan kepada kelebihan amalan tersebut. Perkara ini yang perlu diperbetulkan dalam mentaliti umat Islam. Amalan membaca Bismillah atau menyebut nama Allah SWT ini merupakan tuntutan sebagai umat Islam.

“Hakikatnya, ia adalah salah satu cabang ilmu Tauhid yang wajib menjadi pegangan umat Islam iaitu bersandarkan segala perbuatan hanya kepada Allah SWT.

“Ia bertepatan dengan makna kalimah Bismillah itu iaitu ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’ yang membezakan antara nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada orang Islam dan juga pemberian kepada orang kafir,” katanya.

Ghazali berkata, hikmah daripada membaca kalimah itu juga lazimnya dapat menghalang seseorang individu daripada melakukan maksiat atau menyalahi syarak.

“Secara mudahnya mengapa kita dituntut untuk memulakan setiap pekerjaan dengan membaca Bismillah ialah supaya kita hanya melakukan benda kebaikan. Mana ada orang yang ingin melakukan maksiat membaca kalimah di atas terlebih dahulu.

“Namun, tidak dinafikan terdapat banyak kejadian penyalahgunaan kalimah Bismillah seperti yang digunakan oleh bomoh untuk menarik kepercayaan pesakit bahawa dia tidak menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: