Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jiwa, minda merdeka simbol kebebasan sebenar

Posted by epondok di Ogos 31, 2014


Oleh Zamanuddin Jusoh

Semua jiwa akan merasa tenang dan tenteram apabila bebas daripada sebarang bentuk penjajahan khususnya penjajahan ketenteraan terhadap sesebuah negara. Kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara.

Namun, pengertian kemerdekaan sangat luas, tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara daripada cengkaman kuasa asing semata-mata. Zaman jahiliah, sistem perhambaan begitu berleluasa di mana manusia menjadi bahan dagangan oleh golongan bangsawan dan status hamba mudah diperoleh.

“Berilah layanan yang baik kepada dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, orang perantauan dan hamba abdi kamu. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang angkuh dan membanggakan diri.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Mereka diculik, tawanan perang atau mangsa rompakan boleh dianggap sebagai hamba yang bebas dijual-beli. Maka lahirlah ramai masyarakat dan golongan hamba. Era purba di Rom mencatatkan sejarah hitam dalam pengurusan hamba abdi.

Kezaliman Rom pada era purba terhadap hamba sahaya mendapat perhatian Allah SWT sehingga Baginda SAW dikurniakan mandat untuk memiliki hamba seterusnya menyatakan kepada dunia bahawa sikap Islam terhadap seorang hamba tidak sama seperti yang dilakukan mereka yang kufur.

Pada peringkat awal Islam, kebenaran memiliki hamba adalah sebagai pelajaran bahawa Islam tidak pernah meletakkan kedudukan hamba pada tempat yang hina. Malah, Baginda SAW sendiri memiliki hamba bernama Siti Sarah dan memperoleh cahaya mata bernama Ibrahim.

Menunjukkan Islam meletakkan hamba pada kedudukan sama seperti sebuah keluarga. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berilah layanan yang baik kepada dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, orang perantauan dan hamba abdi kamu. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang angkuh dan membanggakan diri.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Kikis kezaliman

Sabda Rasulullah SAW: “Hamba abdi kamu adalah saudara kamu, sesiapa yang memiliki saudaranya maka hendaklah ia memberikannya makanan sama dengan makanan dimakan olehnya dan memberikannya pakaian sama dengan pakaian yang dipakai olehnya dan janganlah kamu bebankan dengan kerja di luar kesanggupan mereka, dan jika kamu menyuruh melakukan kerja yang berat maka hendaklah kamu membantu mereka.” (Riwayat Bukhari)

Islam mengambil alih sistem perhambaan yang zalim kepada sistem mengikis kezaliman terhadap sesama manusia. Seterusnya melenyapkan sistem perhambaan daripada kehidupan manusia.

Persamaan yang diletakkan Islam antara hamba dan majikan telah digambarkan oleh Baginda SAW dalam sabdanya: “Sesiapa yang membunuh hambanya akan dibalas bunuh oleh kami, sesiapa mencederakan hidung hambanya, dibalas cedera oleh kami dan sesiapa yang memotong kemaluan hambanya akan dibalas sepertinya oleh kami.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Hakikat yang perlu difahami ialah Islam tidak pernah mengiktiraf sistem perhambaan walau dalam apa bentuk sekalipun. Namun, apabila sesuatu perkara sebati dalam jiwa masyarakat, maka Islam menyusun atur tindakan praktikal untuk membebaskan hamba secara menyeluruh.

Islam menggunakan dua cara iaitu pembebasan secara sukarela oleh majikan dan memberikan hak kepada hamba dengan menebuskan kemerdekaan dirinya. Akhirnya, Islam memberi galakan supaya manusia membebaskan hamba dan Rasulullah SAW sendiri membebaskan semua hamba sahayanya.

Al-Quran menyatakan, sesetengah dosa itu boleh dibayar kifarat atau dihapuskan dengan membebaskan hamba. Firman Allah SWT bermaksud: “Siapa membunuh seseorang Islam yang lain secara tidak sengaja, maka hendaklah ia membebaskan seorang hamba dan membayar sejumlah wang sagu hati kepada keluarganya.” (Surah an-Nisa’, ayat 92)

Islam menganggap pembebasan hamba seolah-olah menghidupkan kembali satu jiwa yang terbunuh tanpa sengaja dan ia bukti Islam memandang perhambaan satu kematian di samping mengadakan jaminan lain terhadap keselamatan dan kesejahteraan seseorang hamba.

Begitulah nilai sebuah kebebasan di sisi Allah SWT. Apatah lagi jika kebebasan itu disandarkan kepada sebuah negara yang sekian lama dijajah dalam bentuk ekonomi dan ketenteraan. Rakyat Malaysia sekali lagi merasai nikmat ini dan merayakannya pada setiap tahun.

Sambutan Merdeka setiap 31 Ogos bagi menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan terhadap kemerdekaan negara. Kegembiraan itu dapat dikongsi seluruh rakyat Malaysia sebagai tindak balas patriotik terhadap tanah air tercinta.

Berfikir dengan bebas

Pejuang kemerdekaan dijulang bagi menyedarkan generasi baharu terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan. Umat yang bebas dan merdeka, dapat berfikir dengan bebas apa yang baik untuk diri, bangsa atau kepentingan umat seluruhnya.

Justeru, segala tindakan dilakukan mesti berpandukan petunjuk daripada Pencipta bagi merealisasikan kemerdekaan sebenar.

Islam datang untuk diterapkan secara menyeluruh, membebaskan manusia daripada kekufuran kepada akidah Islam, membebaskan manusia daripada sistem jahiliah kepada sistem Islam.

Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpanya, kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim menyedari cabaran utama umat Islam setelah mencapai kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.

Inilah langkah seterusnya bagi mengisi kemerdekaan dikecapi. Malaysia dalam mengorak langkah mencorakkan masa depan gemilang perlu peka kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan, media dan perundangan.

Sebagai negara yang matang dalam arus kemerdekaan, penjajahan teknologi tidak boleh dinafikan kerana ia datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz, disebabkan adanya globalisasi serta dunia tanpa sempadan. Ia kelihatan lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi serta sosial dunia.

Kuasa ekonomi hendaklah dibangunkan khususnya bagi sebuah negara yang matang seperti Malaysia. Kemaraan golongan kuffar dalam menerajui ekonomi negara Islam hendaklah diperlahankan dengan menyedarkan umat pentingnya ekonomi bagi menjana kemajuan sesebuah negara.

Perlu diingat, serangan pemikiran atau Ghazwul Fikri adalah pengganti kepada serangan fizikal yang sentiasa mengalahkan pihak kuffar dan menakutkan mereka sedangkan umat Islam sentiasa bersedia menghadapi cabaran fizikal itu dengan jayanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: