Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Galakan bersedekah lambang kasih sayang Islam

Posted by epondok di Ogos 30, 2014


KEJADIAN ribut, gempa bumi, banjir dan banyak lagi musibah benar-benar menginsafkan kita. Kita wajib bersyukur apabila kita di Malaysia tidak mengalami ujian besar daripada Allah SWT itu.

Dalam situasi penderitaan yang dialami oleh seluruh mangsa akibat daripada bencana yang menimpa tersebut, kita rasa berbangga dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh segenap lapisan masyarakat untuk menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat melalui tabung derma yang dilancarkan.

Islam sendiri membawa kepada prinsip berbaik-baik sesama manusia. Al-Quran dan sunnah banyak menggariskan amalan-amalan yang boleh mendorong manusia berbuat baik sesama manusia. Tujuannya adalah untuk melahirkan individu insan yang sejahtera, keluarga yang bahagia, masyarakat yang penyayang, negara yang aman dan bersatu padu.

Bagi melaksanakan matlamat tersebut, Rasulullah SAW adalah sebagai qudwah hasanah telah melaksanakan konsep sedekah sebagai pelaksana pelbagai bentuk kebaikan yang dinyatakan itu. Baginda telah menganjurkan bahawa setiap pergerakan sendi manusia itu dikira sebagai sedekah dan sedekah itu dikira sebagai suatu kebaikan dan setiap satu kebaikan pula akan diberi nilai 10 hingga 70 atau 700.

Konsep setiap amar makruf adalah sedekah telah dinyatakan oleh baginda terhadap segala kebaikan dilakukan manusia. Justeru, ramailah dalam kalangan manusia yang berpeluang untuk memperoleh kelebihan pahala memandangkan ia terlalu mudah untuk dilaksanakan tetapi perlulah dengan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dengan sempurna, di samping ciri-ciri keikhlasan dan keinsafan dalam diri masing-masing.

Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari telah bersabda yang bermaksud: “Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang yang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan menaikkan barangannya ke atas binatang tunggangannya adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk pergi mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan adalah sedekah.”

Setiap kebaikan yang dilakukan, sama ada dalam bentuk rohani dan fizikal sebenarnya adalah sedekah. Amalan sedekah juga adalah satu lambang kebenaran iman kerana makna sedekah itu sendiri bermaksud ‘benar’. Orang yang bersedekah adalah mereka yang benar dan mempercayai kebenaran ajaran Islam yang suci.

Setiap orang yang benar dan berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah SWT dengan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat. Orang yang bersedekah adalah dermawan, manakala yang bakhil adalah seteru Allah.

Dalam surah al-Lail, Allah telah menyatakan tentang sifat kedekut dan ego, di mana orang yang bersifat demikian kehidupannya akan dipenuhi dengan liku-liku yang sukar dan bermasalah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tuhan tidak akan merahmati sesiapa yang tidak berperikemanusiaan, iaitu tidak bersifat kasih sayang terhadap orang lain.

Pahala berganda

Daripada konsep sedekah itu sendiri al-Sunnah telah menggariskan suatu keterangan iaitu berkaitan ganjaran pahala berganda bagi penganjur amalan baik dan makruf, di samping dosa berganda pula bagi mereka yang menganjur amalan keji dan maksiat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim dan al-Nawawi, baginda bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memulakan satu amalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukan kebaikan itu selepas ia mati tidak dikurangkan walaupun sedikit. Dan sesiapa yang memulakan satu amalan buruk dan keji yang melakukan amalan itu selepas daripada kematiannya, maka tidak sedikit pun dosa amalan itu dikurangkan.

Terdapat sebuah hadis Nabi SAW yang turut berbicara berkaitan konsep sedekah iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, di mana beliau menceritakan tentang beberapa orang sahabat baginda: “Wahai Rasulullah, orang kaya mendapat banyak pahala. Mereka solat seperti mana kami bersolat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah dengan harta mereka yang lebih.

Rasulullah SAW pun bersabda: “Tidakkah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap satu tasbih adalah sedekah, setiap satu takbir adalah sedekah, setiap satu tahmid adalah sedekah, setiap satu tahlil adalah sedekah, setiap suruhan makruf adalah sedekah, setiap tegahan daripada kemungkaran adalah sedekah, jimak seorang dari kamu adalah sedekah.

Para sahabat berkata, ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi syahwatnya, dia diberikan pahala? Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah kamu ingat bahawa jika sekiranya dia melepaskannya pada yang haram, tidakkah dia akan berdosa? Maka demikianlah, jika dia melepaskan syahwatnya pada yang halal nescaya dia akan mendapat pahala.”

Kedua daripada segi perolehan pahala berganda, Islam tidak pernah melihat kepada taraf kedudukan atau daripada aspek kaya dan miskin seseorang itu, kerana setiap insan mukmin sentiasa mempunyai peluang untuk memilikinya.

Galakkan berbuat kebaikan tidak akan memberatkan manusia, kerana Islam sendiri menjanjikan bahawa apa saja bentuk kebaikan yang dilakukan akan memperoleh pahala yang jelas daripada Allah SWT.

Sesungguhnya konsep bersedekah merupakan suatu motivasi yang cukup kuat kepada seseorang untuk menjadikan diri mereka lebih sempurna, sekali gus menjadi Muslim sejati yang mempunyai keperibadian unggul serta menjadi contoh ikutan umat yang lainnya

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: