Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hukum tunai janji

Posted by epondok di Ogos 18, 2014


BERJANJI memang mudah, bak kata pujangga lidah tak bertulang, tetapi mahu menunaikan janji bukan semudah melafaznya walaupun dinyatakan dalam banyak ayat al-Quran dan hadis perihal kewajipan menunaikan janji.

Justeru, ketika melafazkan janji sebutlah insya-ALLAH kerana tidak ada siapa tahu keadaan kita, sama ada mampu atau tidak menunaikan janji. Atau kita teliti diri dahulu, jika tidak mampu usah berjanji kerana akan ada pihak yang menuntut janji itu.

PANDAI berjanji itu dan ini, tiba masa langsung dilupakan sekali gus memungkirinya dengan berjuta alasan tidak munasabah lantas mengundang kesusahan di pihak lain.
Elokkah sikap sebegitu, wajarkah diteladani? Bukankah individu yang memungkiri janji boleh dikategorikan sebagai munafik?

Menurut pendakwah, Ustaz Amly Asenar, manusia dianugerahkan ALLAH SWT dengan kelebihan untuk berkata-kata. Manusia mampu untuk menzahirkan perasaannya sama ada gembira atau sedih.

Mampu untuk memperdayakan sama ada dengan pembohongan atau tipu daya. Semua ini mampu dilakukan oleh lisan manusia. Begitulah hebatnya ciptaan ALLAH ini.

“Justeru, Islam telah datang untuk mendidik lisan manusia ini agar digunakan dengan tujuan yang diredai oleh Sang Penciptanya. Maka kita mendapati banyak ayat al-Quran dan hadis serta tulisan ulama yang membicarakan perihal kebaikan dan keburukan lisan dan di antaranya ialah memungkiri janji.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Maidah: 1)

Seterusnya Dia berfirman yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah ash-Shaff: 2 & 3)

“Ayat ini adalah teguran daripada ALLAH yang paling keras sekali. Semoga hati-hati manusia gentar untuk menyalahgunakan nikmat lisan yang ALLAH berikan ini,” katanya.

Janji sunat dituntut

Terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menerangkan persoalan janji dan kesan mungkir janji. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tanda-tanda munafik itu ada tiga iaitu apabila dia berkata maka dia berbohong, apabila dia berjanji maka dia mungkiri dan apabila dia diberikan amanah maka dia melakukan khianat.”

Melihat kepada hadis ini maka dengan mudahnya kita akan mengatakan sesiapa sahaja yang mungkiri janji maka dia adalah munafik.

Sewajarnya kita mengelakkan daripada berfahaman secara mudah dalam memahami hadis. Kefahaman perlu dibina berpandukan kepada perbahasan ulama terlebih dahulu. Adakah dengan mungkir janji akan dikatakan berdosa?

Ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Iman Nawawi menyatakan bahawa ulama sepakat sesiapa yang telah berjanji maka hendaklah dia mengotakan janjinya itu. Cuma adakah tuntutan mengotakan janji itu wajib atau sunat yang dituntut? Di sinilah berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Menurut Imam asy-Syafi’i, Abu Hanifah dan majoriti ulama, mengotakan janji adalah sunat yang dituntut. Maka sesiapa yang mungkir janji maka dia telah hilang kebaikan dan melakukan perkara amat dibenci. Sementara itu, sebahagian ulama yang lain berpandangan mengotakan janji adalah wajib.

Sebenarnya terdapat perbahasan yang mendalam dalam persoalan janji ini dan pelbagai pandangan ulama dalam meletakkan hukum bagi setiap janji. Ada yang membezakan antara janji biasa dan perjanjian yang dimeterai.

Berjanji untuk sedapkan hati?

Ustaz Amly berkata, seperti yang sedia maklum menunaikan janji adalah akhlak yang mulia. Maka tidak sewajarnya digunakan untuk sekadar menyedapkan hati terutama kepada orang yang tersayang.

Namun ada ulama menyebutkan sebaiknya disertakan kalimah insya-ALLAH selepas menyatakan sebarang janji supaya tidak termasuk dalam golongan yang berbohong jika ada keuzuran untuk menunaikan janji itu nanti.

Ini mengikut pendapat Imam al-Ghazzali, al-Jassash dan ulama mazhab Hambali berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud, “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): ‘Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti’. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): ‘Insya-ALLAH’.” (Surah al-Kahf: 23 & 24)

“Oleh itu, berjanjilah dengan benar dan penuh keazaman untuk menunaikannya dan sertakan dengan lafaz insya-ALLAH, andai tidak mampu menunaikannya kelak kita tidaklah dikategorikan sebagai berbohong.

“Namun jika dirasakan tidak berkemampuan dari awal, sebaiknya jangan berjanji dikhuatiri akhirnya hanya menjadi mainan lidah semata-mata tanpa wujud kejujuran dan keikhlasan,” katanya.

Menurutnya, seandainya seseorang telah berjanji dengan niat yang benar namun tidak mampu menunaikan janjinya itu dengan ada sebab dan keuzuran maka sebaiknya dia berterus terang dan menerangkan dengan baik dan jelas. Ini bagi mengelakkan salah sangka dan dapat menjaga keutuhan perhubungan sesama manusia.
ALLAH memuji Nabi Ismail

Ada banyak perihal janji yang diterangkan oleh ALLAH dalam al-Quran. Antara yang menarik untuk dikongsikan ialah berkenaan janji Nabi Ismail AS. Dalam surah Maryam, ALLAH telah memuji Nabi Ismail dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat nabi.” (Surah Maryam: 54)

“Mengapakah ALLAH memuji secara khusus kepada Nabi Ismail AS dalam ayat ini sedangkan semua nabi dan rasul juga menepati janji? Ini disebabkan Nabi Ismail AS bukan berjanji pada pemberian atau kata-kata tetapi berjanji mengenai hidup dan matinya. Baginda berjanji menyerahkan dirinya untuk disembelih ayahnya Nabi Ibrahim AS yang telah mendapat wahyu daripada ALLAH melalui mimpi.

“Nabi Ismail AS tidak melarikan diri malah memberikan janjinya dengan penuh keimanan dan keberanian dengan katanya, “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar,” katanya.

Menurutnya, inilah kisah yang terbaik dirakamkan dalam al-Quran. Janji seorang anak yang sanggup mengorbankan dirinya demi keyakinannya kepada agama yang dibawa oleh ayahnya. Janji yang telah mengangkat darjatnya di sisi ALLAH. Maka hiduplah dan matilah untuk ALLAH semata-mata. Alangkah hebatnya!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: