Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kezaliman yahudi berleluasa keatas umat Islam

Posted by epondok di Ogos 17, 2014


  • < 1 / 1 >

    DALAM konflik antara Gaza dan Israel, mereka menyalahkan Gaza kononnya atas tindakan Hamas melancarkan roket ke Israel.

    Tuduhan ini dijadikan alasan kuat untuk membenarkan Israel terus menyerang penduduk Gaza kerana alasannya adalah untuk Israel mempertahankan diri. Israel terus melakukan kezaliman dalam serangan terbaru mereka terhadap penduduk Gaza bermula 8 Julai lalu.

    Sungguh tidak masuk akal, sebuah negara yang lengkap dengan persenjataan canggih seperti pesawat pejuang, kereta kebal, senapang dan bekalan peluru, dibenarkan untuk mempertahankan diri dengan menyerang dan mengebom orang lain.

    Alasannya bukan lagi mempertahankan diri tetapi mahu mencari roket yang dimiliki Hamas dan ingin memusnahkan segala terowong yang terdapat di Gaza.

    Persis pencarian dan ingin memusnahkan weapon of mass destruction (WMD) yang dikatakan dimiliki Saddam Hussein bagi membenarkan Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya iaitu Britain atau United Kingdom untuk masuk menjajah negara Iraq. Sehingga ke hari ini, tiada satu pun WMD ditemui di negara tersebut.

    Alasan hampir sama sedang digunakan di Gaza sekarang bagi membenarkan tentera Israel melancarkan serangan ke atas umat Islam di Gaza. Daerah kecil yang terkepung itu sudah masyhur di dunia sebagai sebuah penjara yang paling padat di dunia.

    Pintu sempadan mereka yang bersempadan dengan Mesir, iaitu Rafah, terus ditutup dan dihalang rejim baru Mesir di bawah pemerintahan al-Sisi.

    Sempadan darat Gaza yang lain, termasuklah sempadan laut, sudah dikepung Israel semenjak 2007, iaitu selepas Hamas memenangi pilihan raya yang dibuat secara demokratik.

    Wajib dihentikan!

    Lihatlah betapa kejamnya dunia hari ini terhadap rakyat Palestin di wilayah Gaza ini. Segala hak mereka dinafikan kerana dosa mereka memilih pemimpin secara demokratik.

    Sedangkan dalam masa sama, negara Barat inilah juga yang menjaja kempen seluruh dunia untuk mewujudkan sistem pentadbiran berasaskan kepada demokrasi.

    Namun, setelah rakyat Gaza menggunakan ruang pemilihan pemimpin melalui pilihan raya secara demokrasi yang diadakan pada tahun 2006, mereka dihukum.

    Gerakan kuat daripada kelompok Yahudi ini terutama dari Pertubuhan Zionis Dunia berhasil sehingga mereka berjaya merampas tanah Palestin dan menubuhkan negara Israel untuk golongan Yahudi pada 1948. Pertubuhan tersebut asalnya dipelopori golongan sekularis Yahudi dengan bermatlamat untuk menubuhkan negara mereka.

    Sejak Pertubuhan Zionis Dunia ditubuhkan secara rasmi pada 1897, mereka bekerja keras mendesak kuasa besar dunia pada ketika itu untuk menyokong hasrat mereka.

    Pemimpin terawal mereka, iaitu Theodor Herzl, memperkenalkan satu piagam baru kepada masyarakat Yahudi dan dunia dengan apa yang dikenali sebagai Der Judenstaat (The Jewish State).

    Dokumen inilah membentuk faham golongan Yahudi untuk membentuk sebuah negara bangsa untuk mereka. Sedang dalam dunia ketika itu, tiada satu pun negara yang boleh untuk diasaskan negara bagi golongan Yahudi.

    Namun, atas lobi yang berterusan ke atas kerajaan Britain, mereka mendapat sokongan kuat bagi pembentukan sebuah negara bagi golongan Yahudi. Pada 1917, Britain mengeluarkan deklarasi dikenali Deklarasi Balfour bagi menyokong tujuan ini.

    Deklarasi tersebut berbunyi: “His Majesty’s government view with favour the establishment in Palestine of a national home for the Jewish people, and will use their best endeavours to facilitate the achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done which may prejudice the civil and religious rights of existing non-Jewish communities in Palestine, or the rights and political status enjoyed by Jews in any other country.”

    Berdasarkan deklarasi ini, jelas menunjukkan kerajaan Britain memberi sokongan penubuhan negara untuk Yahudi di Palestins serta memberikan jaminan untuk membantu sehingga tercapainya objektif digariskan Zionis.Malangnya, dalam banyak tanah jajahan Britain, bumi Palestin dipilih untuk diberikan kepada Yahudi.

    Inilah pencabulan yang berlaku di mana tanah Palestin milik bangsa Arab dan umat Islam, dirampas menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan dan segala instrumen sokongan kuasa besar digunakan demi menjayakan hasrat Zionis tersebut.

    Umat Islam Palestin tidak pernah putus asa dalam mengembalikan hak tanah mereka yang dirampas Zionis bagi menubuhkan negara Israel. Dalam hal ini, Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan mereka menentang negara Israel bukan kerana mereka berbangsa Yahudi tetapi kerana mereka melakukan kezaliman dengan mengambil hak rakyat Palestin lalu dijadikan milik mereka. Penentangan itu bukanlah disebabkan bangsa, bukan di atas dasar perkauman.

    Rakyat ditindas

    Dalam sejarah Islam, pernah bangsa Yahudi dan masyarakat Islam hidup bersama, sama ada di Andalus mahupun di Palestin sendiri.

    Pernah pada zaman Saidina Umar, beliau mengeluarkan satu deklarasi “Jaminan Umar” (al-Uhda al-‘Umariyyah) yang menjamin golongan Muslim dan bukan Muslim seperti Kristian dan Yahudi, untuk tinggal dengan selamat di Aelia (Baitul Maqdis) sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian. Sejarah ini berlaku selepas kota tersebut dibuka buat pertama kali oleh orang Islam pada zaman beliau.

    Berdasarkan apa yang dilakukan Saidina Umar ini, sarjana Barat seperti Karen Armstrong menyatakan Saidina Umar mempunyai visi yang jelas terhadap Jerusalem dengan mengamalkan prinsip inklusif ketika mana Islam berkuasa dan mentadbir Palestin.

    Inilah keadilan Islam yang sangat indah ditunjukkan Saidina Umar. Hak bagi golongan Yahudi untuk berada di Jerusalem dikembalikan beliau setelah pihak Roman menghalang mereka dari memasukinya 500 tahun sebelum itu, iaitu dari tahun 132 Masihi.

    Namun, apa yang berlaku pada zaman kini jauh berbeza dengan apa yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Apabila golongan Yahudi menguasai Palestin bermula secara rasminya pada 1948, pelbagai kezaliman yang dilakukan mereka terhadap umat Islam. Tiada lagi prinsip keadilan dilaksanakan, malah penindasan demi penindasan terus dilakukan ke atas umat Islam.

    Sepatutnya, golongan yang mereka perlu balas dendam ialah golongan Kristian. Ini kerana, golongan Yahudi ini teruk ditindas Kristian, bermula dengan penindasan Roman, sehinggalah pada ketika berlakunya Perang Dunia Kedua dalam zaman moden.

    Golongan Kristian sentiasa menganggap mereka lebih mulia daripada golongan Yahudi. Mereka menghina golongan Yahudi dengan pelbagai penghinaan. Malah mereka sanggup membunuh golongan Yahudi secara beramai-ramai dalam peristiwa Holocaust.

    Seakan golongan Kristian ingin menebus dosa yang mereka lakukan tersebut dengan memberi segala sokongan dan bantuan kepada negara Israel.

    Umat Islam tidak boleh berdiam diri dengan kezaliman berterusan Zionis. Palestin mesti dikembalikan kepada pemiliknya. Keadilan mesti ditegakkan kembali sepertimana yang dilakukan pada zaman Saidina Umar dan pada zaman Salahudin al-Ayyubi.

    Prinsip ini yang dinilai dan diangkat oleh Karen Armstrong terhadap kepimpinan Islam ketika mentadbir Palestin berbanding apa yang dilakukan Yahudi terhadap umat Islam kini. Beliau tegas menyatakan: “no peace and stability without justice”, tiada keharmonian dan kestabilan tanpa keadilan.

    Kempen kesedaran perlu diperkasakan melalui pelbagai kaedah, wadah dan cara yang sesuai. Nescaya suatu hari nanti, Palestin akan dapat dibebaskan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya sebagai satu keadaan di mana akan berlakunya Fath Baitul Maqdis selepas daripada kewafatan Baginda SAW.

    Nabi Muhammad  SAW bersabda: “Akan sentiasa ada golongan yang menegakkan kebenaran, mereka tidak gentar terhadap apa yang menimpa mereka sehinggalah datangnya perintah daripada ALLAH, mereka akan tetap demikian (berjuang). Sahabat bertanya, di manakah mereka wahai Rasulullah? Baginda SAW menjawab: “Mereka di Baitul Maqdis dan sekitarnya.” (Riwayat Ahmad)
    Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor

    Advertisements

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

     
    %d bloggers like this: