Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Fitnah Tajam bagaikan panah

Posted by epondok di Ogos 13, 2014


DALAM kehidupan bermasyarakat, fitnah sukar untuk dihapuskan, tetapi ia boleh dielakkan dan dikurangkan. Melalui hati yang bersih dan akal yang waras seseorang itu boleh membuat pertimbangan tidak akan bercakap tentang orang lain dengan mengikut perasaan atau melepaskan dendam semata-mata untuk melemparkan fitnah kepada seseorang.

Oleh itu, benteng keimanan yang kukuh adalah perisai kepada fitnah yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam memfitnah orang lain dan dikenakan fitnah. Dalam era globalisasi peranan internet melalui media baharu seperti Facebook, Twitter dan pelbagai tulisan juga menyebabkan kita melakukan fitnah jika tidak berhati-hati.

Jika dahulu mulut menyampaikan fitnah, kini tangan dan hati turut sama memfitnah orang lain tanpa usul periksa. Fitnah yang merebak dalam kalangan umat Islam tentunya akan membawa kehancuran kepada perpaduan ummah. Fitnah berlaku apabila dijadikan senjata politik untuk menjatuhkan lawan yang berlainan fahaman politik.

Justeru, Nabi SAW bersabda: “Umatku itu dirahmati Allah dan tidak akan diseksa di akhirat, tetapi seksaan terhadap mereka di dunia berupa fitnah-fitnah, gempa bumi, peperangan dan musibah-musibah.” (riwayat Abu Daud)

Begitulah dahsyatnya bahaya fitnah kepada umat Islam. Lantaran itu, fitnah diibaratkan bahayanya seperti seksaan gempa bumi dan peperangan serta musibah lain yang boleh menghancurkan perpaduan ummah.

Dalam keadaan ini, seseorang itu mesti mengelakkan fitnah melalui mulut iaitu percakapan dan kata-mengata serta melalui hati dan tangan melalui media baharu seperti fitnah di internet.

Peringatan Nabi SAW tentang hal ini: “Fitnah itu sedang tidur (reda) dan laknat Allah terhadap orang-orang yang membangkitkannya.” (riwayat Ar Rafii’)

Melaknat

Ingatlah, Allah SWT akan melaknat orang-orang yang menyebarkan fitnah, menghidupkan fitnah dan juga membuat fitnah. Perbuatan ini mendapat balasan setimpal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Kita sering mendengar musibah dalam kehidupan bermasyarakat sering berlaku seperti kemalangan jalan raya, mati lemas di lautan, kebakaran dan juga banjir yang dahsyat. Begitulah juga diibaratkan fitnah seksanya sama dengan musibah-musibah ini.

Dalam sebuah hadis, “Rasulullah SAW melarang penjualan senjata di kala berjangkitnya fitnah.” (riwayat Ath Thabrani)

Hal ini, dikhuatiri boleh menyebabkan akan berlaku pergaduhan dan pertumpahan darah apabila senjata dijual semasa berlakunya fitnah. Bayangkan perasaan orang yang difitnah akan merasa marah, dendam dan sebagainya. Tentunya, tanpa fikiran yang waras akan menyebabkan mereka membalas balik kepada orang yang memfitnah dirinya.

Peringatan ini juga telah dijelaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “Jangan mendekati fitnah jika sedang membara, dan jangan menghadapinya apabila sedang timbul, bersabarlah apabila fitnah datang menimpa.” (riwayat Ath Thabrani)

Ingatan ini sangat penting kepada umat Islam bagi menghadapi fitnah. Iaitu, jangan mendekati fitnah, dan jangan menghadapinya dengan kemarahan tetapi bersabarlah sebagai ujian dan dugaan daripada Allah SWT.

Oleh itu, ketika berucap, berceramah dan menyampaikan cerita, kita umat Islam diminta meneliti dengan hati iaitu berhati-hati, berfikir dengan waras iaitu menapis apa yang disampaikan. Begitu juga, sebagai pendengar kita juga wajar berfikir sedalam-dalamnya tentang apa yang kita dengar bagi mengelakkan fitnah.

Ada pendapat mengatakan, fitnah ini laju dan tajamnya bagaikan panah. Apabila mengenai sasaran, satu sasaran. Tetapi apabila dicabut ia akan terkoyak disebabkan dua mata panah (cangkuk) di sebelah luar yang bisa dan terlalu menyakitkan. Fitnah yang paling bahaya adalah fitnah dalam kalangan ummah.

Begitulah, bahayanya fitnah jika dilakukan. Ia boleh menyakiti hati orang yang kena fitnah dan juga memalukan seseorang dalam kehidupan bermasyarakat dan menyebabkan dirinya dipandang serong dan dihina oleh masyarakat, walaupun perkara itu tidak benar.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: